Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,811
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 3

-3-

KESENGSARAAN hidupnya bermula selepas Nik Anum pergi.Hampir dua tahun dia hidup dalam merana. Dia hilang rasa. Dia hilang selera dan dia hilang harga diri sebagai lelaki. Perpisahan itu benar-benar mengejutkan jiwa raganya. Terlalu cepat masa memisahkan segalanya. Amat mudah cinta yang terjalin sejak bertahun-tahun itu putus di tengah jalan.

“Anum, kenapa cinta kita harus berakhir begini?” tanya Zulfikar ketika Nik Anum menyampaikan cerita luka itu. Tanpa malu dia menangis teresak-esak. Nik Anum lebih-lebih lagi esaknya. Lama mereka bertangisan. Lama mereka tenggelam dalam lautan kesedihan yang langsung tidak bertepi.

“Anum minta maaf, Zul. Anum terpaksa menerima jodoh yang ditentukan keluarga. Mereka langsung tak beri peluang untuk Anum memilih. Zul tahulah keluarga Anum, tegas dan keras dalam bertindak. Anum tak rela, tapi Anum juga tidak ada upaya..” Dalam sedu-sedan Nik Anum bersuara. Hati Zulfikar luluh. Bukan hanya kerana cerita yang baru didengarnya, tapi kerana mendengar tangisan Nik Anum yang begitu mendayu.

“Sabarlah Anum..” Setelah lama bertangisan, akhirnya dia cuba memujuk. Dia cuba berbohong pada hatinya bahawa dia sangat sabar. Walhal kalau boleh dia ingin menjerit meluahkan rasa kecewa dan sedihnya ke seluruh alam semesta. Biar awan yang berarak tenang itu tahu. Biar burung-burung yang berterbangan itu ikut merasakan. Biar ombak yang setia menghempas pantai juga maklum bahawa dia sedang sengsara.

“Macam mana Anum nak sabar, ini soal cinta kita. Ini soal masa depan Anum. Macam mana Anum nak sabar ketika istana cinta yang cuba kita bina akan dirobohkan oleh keadaan..”

“Mungkin Tuhan tidak menetapkan jodoh antara kita..” pujuknya perlahan. Hanya itu alasan yang mampu terucap.

“Zul! Zul tak sayangkan Anum agaknya..?”

“Kenapa Anum kata begitu? Anum masih tak rasa bagaimana dalamnya cinta dan kasih sayang Zul pada Anum selama ini? Apa lagi yang Anum nak Zul buktikan?” Dia menarik tangan Nik Anum, meletakkan di dadanya. Dia ingin Nik Anum rasa jantungnya yang mula berdegup tidak sekata. Nik Anum menoleh. Kemudian menarik tangannya dan mengucupnya beberapa kali. Titik-titik air mata Nik Anum basah di belakang tangannya.

“Kalau benar Zul cintakan Anum, mahukah Zul buat sesuatu untuk Anum?” Nik Anum merenung ke dalam matanya.

“Apa saja, jiwa dan raga Zul adalah untuk Anum. Katakanlah Anum.” Dia mengangguk dan berkata jujur dari hatinya yang luhur. Nik Anum terdiam lama. Dia tunduk merenung pasir pantai yang memutih. Angin lembut di Pantai Bisikan Bayu berhembus perlahan. Ombak juga tidak berdebur kuat. Semuanya seakan-akan faham akan kesedihan yang sedang mereka rasai ketika itu.

“Anum, kenapa diam? Katakanlah apa yang perlu Zul buat untuk membahagiakan hati Anum?” tanya Zulfikar sambil membetulkan anak-anak rambut yang berjuntaian di dahi Nik Anum. Dengan perlahan pula dia mengucup lembut dahi Nik Anum.

Nik Anum mengangkat mukanya. Mata Nik Anum yang bengkak itu direnungnya dengan kasih dan belas.

“Kita lari dari sini. Kita pergi jauh-jauh. Kita bina istana cinta kita jauh dari sini,”

“Maksud Anum? Kita kawin lari?” Dia tergamam. Nik Anum angguk. Mata gadis itu masih merenungnya. Dia serba salah.

“Anum, ini bukan jalan penyelesaiannya. Ini akan tambahkan lagi masalah yang ada,”

“Hanya itu jalan yang kita ada. Kita kena tempohinya kalau kita sayangkan hubungan ini,” balas Nik Anum dengan tegas. Zulfikar menggelengkan kepala berkali-kali. Dia tidak sanggup melakukannya.

“Tidak Anum. Kita tak boleh buat macam tu. Itu akan mencemar maruah keluarga Anum. Jangan malukan mereka, Anum.”

“Jadi, Zul sanggup berpisah dengan Anum? Zul sanggup tengok Anum menjadi milik orang lain?”

“Memang Zul tak sanggup berpisah dengan Anum. Apa lagi nak bayangkan Anum hidup dengan orang lain. Tapi..”

“Sudahlah! Sekarang Anum tahu hati Zul macam mana. Zul hanya kata sayangkan Anum. Tapi Zul tak sanggup berkorban untuk Anum. Tak apalah, biar Anum pergi. Biarlah kita berpisah. Selamat tinggal!” Nik Anum bangun dan berlari meninggalkannya. Dia terkedu. Dia kaku. Langsung dia tidak mengejar Nik Anum. Sebaliknya dia duduk mengais-ngais pasir yang sedang dihakis ombak.

Takdir telah memisahkan dia dengan Nik Anum. Dia memaksa diri untuk reda. Pada hari perkahwinan Nik Anum, dia termenung di Pantai Bisikan Bayu. Dia menjerit pada ombak. Dia meraung pada angin. Dia merintih pada awan. Seluruh hidupnya dirasakan kelam dan gelap. Dia hidup dalam kebingungan. Sungguh dia nanar. Kehilangan Nik Anum menjadikan dia lupa diri dan tanggungjawabnya sebagai insan. Banyak masa dihabiskan dengan termenung, menangis dan merintih. Semua kerja tidak mampu dilakukan dengan baik.

"Sampai bila kau nak hidup macam ni Zul?" tanya Abas pada satu hari.

"Kenapa?"

"Kau tengoklah diri kau tu. Daripada segak dah jadi kusut masai dan tak bermaya. Kenapa kau nak seksa hidup kau macam ni. Bukalah mata. Dunia ini masih luas. Masih ramai wanita lain selain Nik Anum. Hidup kau mesti diteruskan Zul," kata Abas dengan wajah simpati yang jelas.

"Dia akan kembali. Aku akan tunggu dia.."

"Jangan mimpi di siang hari, Zul. Dia dah kahwin. Dah ada anak. Untuk alasan apa lagi dia kembali pada kau?"

"Tidak. Itu janjinya. Kami dah berjanji untuk hidup bersama,"

"Astaghfirullahhalazim, kau sedarlah dari lena kau tu! Nik Anum dah tak ada. Dia dah kahwin. Kau tak payah nak tunggu dia lagi..!" kata Abas separuh menjerit. Dia terkebil-kebil, bingung. Benarkah apa yang dikatakan oleh Abas itu? Benarkah Nik Anum sudah meninggalkannya?

Akhirnya dia memujuk hatinya. Memang Nik Anum sudah tiada. Memang Nik Anum sudah pergi. Memang Nik Anum sudah menjadi isteri orang. Dia cuba menerima kenyataan. Sungguh pahit. Sungguh pedih.

Lalu dia dikenalkan dengan Shamira. Abaslah yang bertanggungjawab mengatur perkenalan itu. Semuanya tidak lama. Beberapa bulan kenal, tiba-tiba dia menerima usul Abas untuk mengambil Shamira sebagai isteri. Dia tidak sempat untuk dia mengenali hati budi Shamira. Tidak sempat juga hatinya dicambah cinta. Perbincangan dengan keluarga pun tidak ada.

Shamira yang minta urusan perkahwinan dipercepatkan. Tidak ada pertunangan, terus kepada pernikahan. Persandingan juga dibuat ala-kadar. Dia akur. Dia percaya pada kata-kata Abas bahawa Shamira akan membuat dia melupakan Nik Anum. Shamira akan memimpin dia untuk memulakan hidup baru.

“Aku harap perkahwinan ini akan mengubah hidup kau Zul. Aku harap Shamira dapat menggantikan tempat Nik Anum di hati kau. Apa kurangnya dia. Dia cantik dan bergaya. Dia berpangkat. Tak malu kalau kau kenalkan kepada keluarga atau kepada Nik Anum. Malah kau boleh berbangga dengan Shamira,” kata Abas pada hari dia menjabat salam sebagai suami. Dia hanya angguk perlahan. Dia tidak mengharap untuk berbangga. Dia juga tidak mengimpikan untuk bermegah dan berlawan dengan Nik Anum. Yang diharapkannya ialah dia mampu melupakan Nik Anum. Dia mampu membuang semua kenangan bersama Nik Anum.

Selepas menjadi suami, dia berusaha mencari dirinya. Dia berusaha meletakkan cinta dan rasa kasihnya kepada Shamira. Walaupun selepas itu dia mula faham kenapa Shamira mendesak disegerakan perkahwinan mereka. Dia langsung tidak mahu peduli apapun sebabnya. Dia ingin membina mahligai bersama Shamira. Dia mencuba sehingga lahirlah Atikah dan Muhamad Afiq. Sehingga anak-anaknya itu membesar dan dewasa. Sehingga rambutnya yang hitam kini sudah putih.

Namun apa yang diharapkan tidak pernah berlaku. Bisikan angin dan belaian bayu di Pantai Bisikan Bayu tidak pernah dilupakannya. Nik Anum tidak pernah padam dari unggun cintanya yang menyala. Semakin bertambah usianya, semakin bercambah pula ingatan rindunya kepada Nik Anum. Akhirnya Nik Anum muncul dalam tidur dan jaga. Dalam mimpi atau sedar, tetap ada nama dan bayangan wajah Nik Anum di hujung nubarinya.

“Hai Encik Zul! Pagi lagi dah mengelamun?” tegur Azila, pegawai di Bahagian Kewangan. Suara Azila yang lemak merdu itu mematikan semua kenangan yang sedang bersusun lalu di ingatannya.

Dia membalas teguran Azila dengan senyum. Tidak ada ayat yang sesuai untuk dia bersambung kata dengan Azila pagi itu.

“Encik Zul dah baca surat khabar pagi ni ni?” tanya Azila.

“Berita apa? Saya belum baca apa-apa lagi,” jawab Zulfikar sambil mendongakkan kepala.

“Berita mengenai isteri Encik Zul. Hari ni dia akan membentangkan kertas kerja mengenai ‘Peranan wanita dalam alaf baru’. Kami bangga dengan kejayaannya. Apa lagi dia tu isteri Encik Zul," jawab Azila, masih tersenyum.

Zulfikar mengangkat muka. Wajahnya selamba. Senyum yang tadi menguntum tulus di bibirnya serta merta hilang. Nama Shamira telah membunuh semuanya. Dia memang mengakui Shamira orang yang hebat. Memang dia tidak pernah menidakkannya. Sejak awal kahwin, dia sudah tahu dan rasa bahawa Shamira adalah orang yang hebat. Dia disanjung. Dia sentiasa dipuji. Semua orang memujinya. Namanya meniti dari bibir ke bibir. Dia wanita bekerjaya yang pintar dan berwibawa. Dia sedang meniti hari-hari untuk ke tempat yang lebih tinggi.

“Encik Zul tak bangga?” Tiba-tiba Azila bertanya.

Zulfikar terpinga-pinga. Kemudian dengan perlahan dia mengangguk, untuk menutup rasa sebal yang sedang berbuku di hatinya.

“Encik Zul memang bertuah. Ada bini yang cantik dan pintar,” sambung Azila lagi.

“Ya..ya..saya memang bertuah..” kata Zulfikar perlahan. Suara itu seperti terselit di celah kerongkong. Hari itu hatinya dirasakan amat sakit dan pedih dari hari-hari sebelumnya. Shamira, yang disanjung-sanjung itu semakin hari semakin galak menoreh hatinya.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.