Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,834
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 8

- 8 -

ZULFIKAR masuk ke bilik. Dia mencapai beg dan mengeluarkan komputer riba. Selepas membuat sambungan pada suis elektrik di dinding, dia memasang broadband yang dibawanya. Entah kenapa dia rasa amat teruja untuk muncul di alam maya.

Dia melihat, ada banyak mesej ucapan terima kasih yang ditulis pada dinding FBnya. Dalam senarai rakan-rakannya, sudah ada 50 orang. Dia senyum. Satu persatu dia membaca profil dan komen yang ada. Dalam banyak-banyak komen, dia tertarik pada komen seorang wanita bernama Adira Amilin yang menulis: “Cinta pertama, tetap manis walaupun berlalu begitu lama,”

Dia meringankan tangan menaip: “ Sungguh indah kenangan cinta pertama,”

Adira Amilin menjawab: “Putera Aduka ada kenangan manis cinta pertama?”

Dia menjawab: “Ada. Terlalu manis hingga saya tidak mampu melupakannya, walaupun sudah lebih 20 tahun berlalu,”

Perbualan tanpa suara itu tamat di situ. Zulfikar menekan lagi butang cari dan mencari beberapa nama sahabat yang terlintas di ingatannya. Akhirnya dia terjumpa nama Wan Ramlah, Ayub Tahir, Muzailah Mustafa, Musalmah Yaakob, Kasimi Ismail, Mat Ripin dan Azaha Mat Nor. Dengan cepat dia menekan butang ‘add friend’. Kemudian dia menulis mesej di dinding mereka: “Salam sahabatku, lamanya tidak bersua..”

Tiba-tiba dia teringat sesuatu. “Aku guna nama samaran Putera Aduka, mana mereka nak kenal..?”

“Ah..biarlah. Nanti kalau mereka dah jawab, baru aku beritahu siapa aku..” kata hatinya.

Dia menelentang, merenung lelangit kain yang dijahit oleh ibunya. Dia rasa malam itu sungguh tenang. Setenang hatinya merindui Nik Anum tanpa gangguan.

“Zul, nak minum kopi tak? Kalau nak, mak nak buat. Mak dah nak tidur ni..” kata Mak Senah dari luar bilik.

“Mak pergilah tidur. Kalau saya nak, saya buat sendiri nanti,”

“Pandai ke kau buat kopi?”

“Mak, dua puluh lima tahun saya buat kopi sendiri. Kalau mak suruh saya masak pun, saya boleh,” jawab Zulfikar dengan ketawa kecil.

“Yalah, mak tidur dulu,” kata Mak Senah dengan ketawa juga.

“Mak, kejutkan saya awal sikit. Saya nak berjemaah di masjid,” pesan Zulfikar.

“Yalah,” Mak Senah menjawab senang.

Zulfikar kembali mengadap skrin. Dia meneliti nama-nama yang keluar di tepi skrin. Kemudian dia menekan butang add pada beberapa nama. Dia masih berhajat dan berhasrat untuk mengesan Nik Anum melalui dunia yang tidak bersuara itu. Namun, bagaimanakah caranya? Nama Nik Anum tidak ada langsung selepas berkali-kali dia mengeja nama itu. Mungkinkah Nik Anum Maryati juga menggunakan nama samaran sepertinya?

Keesokannya, selepas bersarapan Zulfikar membawa Mak Senah ke klinik seperti yang dijanjikan. Tidak ramai pesakit yang ada. Mungkin kerana pagi masih awal.

Seperti biasa, Mak Senah akan diperiksa dengan teliti. Bukan hanya lututnya, tapi juga tekanan darah dan degupan jantung. Akhirnya seperti biasa, dia diberi bekalan ubat mengikut keperluan sakitnya.

“Hah? Jemu sungguh mak makan ubat ni..” keluh Mak Senah, ketika melangkah masuk ke dalam kereta.

“Tak apalah mak. Daripada mak sakit tak boleh bangun, lebih baik mak makan ubat,” kata Zulfikar. Dia menghidupkan enjin kereta. Namun sebelum dia menekal pedal minyak, matanya terpaku pada sesaorang.

“Mak, sekejap ya. Saya nak jumpa kawan sekejap,” kata Zulfikar sambil mematikan enjin dan keluar dari kereta.

“Assalamualaikum!” sapa Zulfikar kepada seorang wanita yang sedang menjinjit sebuah beg plastik di tangannya. Wanita itu menoleh. Rona wajahnya berubah, keliru dan bimbang. Dia meneliti Zulfikar dari atas ke bawah. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.

“Tuan Maihamah? Ini Tuan Maihamah ke?” Zulfikar cuba mencari kepastian. Sekali lagi wajah wanita itu keruh berselirat cuak.

“Y..ya. Saya Tuan Maihamah. Tapi encik ni siapa?”

“Heh, tak kenal saya? Saya Zulfikar. Zulfikar kawannya..” Tiba-tiba Zulfikar teragak-agak. Dia merenung ke dalam dirinya. Masih layakkah dia menyapa wanita itu?

“Tak apalah, mungkin saya silap orang,” kata Zulfikar memutuskan. Dia berpusing. Dia ingin menukar arah. Dia rasa malu pada dirinya sendiri.

“Nanti dulu!” Wanita yang bernama Tuan Maihamah itu menahan. Zulfikar menoleh.

“Encik tak silap. Memang saya Tuan Maihamah. Saya ni kawan baiknya…” Tuan Maihamah terhenti. Dia tidak jadi untuk menyebut nama yang ada dalam fikirannya. Hati Zulfikar amat teruja. Dia ingin mendengar kata-kata seterusnya. Namun ia tidak berlaku.

“Encik dah berubah. Wajah encik lain dari dulu,” kata Tuan Maihamah.

“Jangan berencik-encik. Panggil saya Zul. Macam dulu..”

“Z..Zul. Lamanya saya tak menyebut nama ni..” Tuan Maihamah tersenyum.

“Ya. Kali terakhir kita jumpa bila ya?” tanya Zulfikar pula.

“Tak silap saya, seminggu sebelum majlis perkahwinan tu,”

Angguk. Zulfikar membuang pandangannya ke arah lain. Dia resah.

“Macam mana keadaan dia sekarang?” Zulfikar menoleh. Mencari satu jawapan. Namun Tuan Maihamah tidak segera menjawab. Dia tunduk diam. Awan mendung sedang berlegar di wajahnya.

“Imah? Kenapa?” Hati Zulfikar bergetar.

“Zul tak tahu cerita ke?”

Geleng.

“Sejak kami berpisah, saya tak tahu apa-apa lagi pasal dia. Betulkah dia berpindah jauh ke Brunei?”

“Ya. Memang dulu dia di Brunei. Tapi dah lama dia pindah balik ke sini,”

“Dia ada di Kelantan ini?” Zulfikar teruja.

“Tidak, di Kuala Lumpur. Banyak perkara sedih berlaku pada dia,” jawab Tuan Maihamah dengan perlahan. Dia seperti sedang menahan sebuah kesedihan yang teramat sangat.

“Kenapa? Bukankah dia berkahwin dengan jutawan pilihan keluarganya? Apa lagi yang sedihnya? Lainlah dulu kalau dia kahwin dengan saya. Mesti hidup melarat..” ujar Zulfikar dengan nada orang merajuk.

“Zul, bukan harta penentu bahagia,”

“Apa yang berlaku? Tolonglah ceritakan pada saya?” tanya Zulfikar, semakin keliru. Diam. Tuan Maihamah seperti tidak ada kekuatan untuk bercerita. Hal ini membuatkan Zulfikar bertambah menggelabah.

“Macam mana saya nak hubungi dia? Imah ada nombor telefon atau alamat dia?”

“Dulu masa dia di Brunei, dia selalu hubungi kami. Tapi sejak dia balik ke Malaysia, dia seperti menghindarkan diri dari kami,” jawab Tuan Maihamah.

“Kami? Maksudnya..?”

“Saya dan suami saya,” jawab Tuan Maihamah. Zulfikar termenung. Tiba-tiba dia rasa berserabut fikiran. Cerita Tuan Maihamah yang tidak habis itu mengundang rasa ingin tahu yang menebal.

“Zul, saya jalan dulu. Anak-anak saya menunggu dalam kereta,” kata Tuan Maihamah sambil melangkah pergi. Zulfikar terkebil-kebil bingung. Tidak lama baru dia teringat untuk bertanyakan nombor telefon wanita itu. Namun semuanya sudah terlambat. Kereta yang dinaiki oleh Tuan Maihamah sudah berlalu dengan lajunya.

Dengan langkah longlai, Zulfikar melangkah ke keretanya.

“Siapa tu Zul?”

“Kawan lama, mak,” jawab Zulfikar sambil menghidupkan enjin kereta. Mak Senah meneliti wajah Zulfikar yang muram. Terasa hari yang terang, tiba-tiba berubah mendung.

“Kau ni kenapa? Mendung je..?” Mak Senah bertanya dengan hairan.

“Tak ada apa mak,” Zulfikar kelihatan lemah.

“Jangan nak sembunyikan dari mak. Mesti ada cerita yang kau dengar dari orang tu tadi,” ujar Mak Senah lagi. Zulfikar serba salah. Dengan Mak Senah, dia jarang sembunyikan rasa. Samada bahagia atau derita, sedih atau gembira pasti akan dikongsi. Tapi kali ini dia rasa keberatan untuk bercerita. Pertama kerana dia sendiri kurang pasti akan cerita keseluruhannya. Keduanya kerana dia tidak mahu muncul tohmahan negatif terhadap dirinya.

Dia terus memandu.

“Mak nak singgah beli apa-apa lagi?”

“Taklah. Lauk dalam peti ada banyak lagi. Barang-barang lain pun sama. Mak dah beli di kedai Rohani tu. Kita terus balik sajalah,” jawap Mak Senah. Tanpa menoleh Zulfikar angguk perlahan. Dia juga rasa begitu. Dia tidak mahu singgah di mana-mana lagi. Walaupun awalnya dia memang berhajat untuk singgah di Restoren Herba walau sebentar. Tekaknya terasa ingin menikmati teh misai kucing yang dihidangkan di situ.

Kereta yang dipandunya meluncur laju. Dia diam melayari khayalan. Fikirannya terasa kosong sekosong hatinya yang terbang bersama semangatnya.

“Zul? Nak ke mana ni?” Tiba-tiba Mak Senah menyergah.

“Nak baliklah mak,”

“Kau tengok betul-betul. Ini bukan jalan nak balik ke rumah kita. Ini jalan nak ke Jerteh. Memang sah kau ni mengelamun. Memang sah fikiran kau ni sedang celaru,” leter Mak Senah. Zulfikar terkebil-kebil. Memang benar, kereta yang dipandu sedang menghala ke Jerteh bukan ke Jalan Machang. Dia terbabas dan tidak membelok semasa di simpang tiga tadi.

Akhirnya dia terpaksa berhenti dan berpusing arah. Mak Senah menggelengkan kepala. Zulfikar diam melayan fikiran kusutnya. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dia mengeluarkan dari poket dan menjawab, tanpa melihat nombor yang tertera.

“Awak kat mana ni?” Suara Shamira melengking di telinga.

“Kat Pasir Puteh, bawa mak ke klinik,”

“Sakit apa lagi?” tanya Shamira, kering dan tanpa belas. Hati Zulfikar mendidih. Pertanyaan itu begitu kurang ajar baginya. Dia segera mematikan talian.

“Siapa Zul?” tanya Mak Senah.

“Menantu mak. Malas nak layan,” kata Zulfikar. Mak Senah terdiam. Dia tahu fikiran Zulfikar teramat bingung. Sebagai ibu dia ingin membantu. Namun, dia sendiri tidak tahu punca cerita.

Mereka sampai di rumah. Mak Senah turun dari kereta.

“Mak, Zul nak keluar sekejap. Nak pergi tempat biasa,” kata Zulfikar. Dia tahu Mak Senah akan faham akan maksud kata-katanya itu.

“Habis, kalau bini kau telefon mak nak cakap apa?”

“Mak cakaplah apa-apa pun. Kalau mak tak nak bohong, mak cakap saja saya pergi tempat biasa..” jawab Zulfikar, selamba dan sengih. Mak Senah merenung tanpa berkelip. Zulfikar faham akan erti renungan itu.

“Saya dah tak kisah mak. Biarlah dia nak buat apapun,” sambung Zulfikar. Mak Senah angguk. Dia tahu Zulfikar sudah terlalu lama menanggung dan menahan rasa. Mungkin sudah sampai masanya, seluruh gunung rasa itu harus diletupkan.

Zulfikar berlalu. Mak Senah naik ke rumah. Sebelum sempat dia membuka pintu, deringan telefon kedengaran berulang-ulang kali. Dia tahu itu mesti Shamira.

“Assalamualaikum!” Dengan suara termengah, Mak Senah memberi salam.

“Mak, anak mak mana?” tanya Shamira.

“Dah keluar,” Mak Senah menjawab acuh tak acuh. Tiba-tiba hatinya ikut meradang dengan cara Shamira yang semakin kurang sopan sebagai menantu.

“Keluar? Ke mana?”

“Entah. Tak diberitahu pula,”

“Mak tak tanya?”

“Dia dah tua, buat apa nak ditanya-tanya,” Mak Senah menjawab selamba. Dia seperti sengaja membuat Shamira sakit hati. Kedengaran Shamira mendengus mendengar kata-kata Mak Senah itu.

“Ini mesti pergi ke pantai tu lagi,” rungut Shamira.

“Ya..ya..mungkin. Katanya nak ke tempat biasa,” kata Mak Senah mengiyakan. Dia rasa tidak mahu berbohong dan tidak mahu sembunyikan apa yang diketahuinya.

“Mak! Kan saya dah kata, jangan benarkan dia ke sana!” Shamira separuh menjerit.

“Eh! Dia ada kaki. Biarlah dia pergi. Apa nak tahan-tahan..”

“Mak tak tahu keadaan dia sekarang. Dia tu dah terkena sampuk hantu laut. Mak, mak nak ke anak mak tu sasau?”

“Sasau? Heh merepek je! Kenapa Mira suka cakap yang bukan-bukan ni?”

“Sebab mak tak tahu dia tu dah berubah. Lagi kerap dia pergi ke pantai tu, lagi berubah perangai dia. Mak mana tahu!”

“Dia anak mak. Mak tahu semuanya. Mak tahu kenapa dia berubah..” Mak Senah memotong cakap Shamira. Tidak tahan dia terus mendengar tohmahan Shamira itu.

“Mak tahu? Kenapa dia berubah?”

“Sebab..sebab..” Mak Senah teragak-agak. Dia cuba mencari ayat yang sesuai. Namun ketika itu juga ada sesuatu terlintas di fikirannya.

“Tak ada apa-apalah. Mak ada kerja ni. Mak pergi dulu. Kalau Mira nak tahu dia di mana, Mira telefonlah dia sendiri. Assalamualaikum..!” Mak Senah segera meletakkan gagang telefon. Dia mengurut dada. Nasib baik, kalau tidak lancar saja mulutnya berkisah. Kalau tidak akan pecah semua ketidakpuasan hati dia dan keluarga terhadap Shamira selama ini. Kalau tidak terluah juga segala duka lara yang dipendamkannya sebagai ibu mertua.

Dia tidak mahu terlalu mencampuri urusan Zulfikar. Kalau Zulfikar kata masanya untuk dia berubah sudah sampai, jadi biarlah dia sendiri yang berdepan dengan isterinya itu.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.