Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,492
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 4

- 4 -

ZULFIKAR menekan suis komputer. Dia perlu menyiapkan semua kerja ‘perkeranian’ yang ada di atas mejanya sebelum makan tengah hari. Dalam masa yang sama, dia harap Shahidi akan segera kembali ke pejabat. Perbincangan mengenai pembelian kereta baru itu akan disambung dengan serius.

Hampir dua jam, semua kerja yang perlu dibuat selesai. Urusan fail-fail pekerja dan data-data maklumat yang perlu dimasukkan juga siap. Dia menyandarkan diri ke kerusi. Tiba-tiba dia rasa bosan dan sepi. Kemudian dia menekan papan kekunci dengan fikiran yang kosong.

“Encil Zul, ini fail yang saya pinjam dengan Encik Zul semalam. Semuanya dah siap,” Azila muncul lagi dengan dua buah fail di tangannya. Dia angguk sambil matanya masih di skrin komputer dan tangannya mengetik-ngetik punat kekunci dengan hati yang kosong.

“Encik Zul nak buat apa ni? Nak main game ke?” tanya Azila dengan hairan.

Zulfikar menoleh dan matanya bertembung dengan mata Azila yang sedang memerhatikannya.

“Saya tak tahu nak buat apa. Nak main game, saya tak minat. Zila, awak boleh tolong saya?”

“Tolong apa Encik Zul?”

“Awak ajar saya macam mana nak buka Facebook. Saya nak cari kawan-kawan lama saya..” kata Zulfikar. Azila tersenyum-senyum mendengar permintaan itu.

“Kenapa awak senyum? Salahkah apa yang saya cakap?”

“Tak salah apa-apa. Cuma..”

“Cuma apa?”

“Saya terkejut. Apa selama ini Encik Zul tak pandai buka facebook? Encik Zul tak ada akaun facebook?” tanya Azila.

Zulfikar menggeleng perlahan. Dia jujur. Selama ini dia kurang berminat untuk terlibat dengan aktiviti itu.

“Tapi Puan Shamira selalu ada di maya itu. Kami selalu membaca komen-komennya. Sebahagian dari kaki tangan pejabat ini adalah rakan facebook dia. Macam mana Encik Zulfikar tak ada akaun pula..” kata Azila dihurung hairan. Dia mula rasa pelik dengan apa yang didengarnya.

“Zila, tak semestinya dia pandai saya pun ikut pandai. Sama juga tidak semestinya dia pegawai tinggi, saya juga begitu. Awak tengok, saya tetap pegawai rendah. Jangan nak samakan saya dengan dia,” jawab Zulfikar dengan senyum.

“Jadi Encik Zul langsung tak pandai?” Sekali lagi Azila bertanya seolah-olah perkara itu terlalu asing. Dia seperti tidak yakin dalam dunia IT sekarang, masih ada yang tidak pandai menggunakan laman sosial.

Sekali lagi Zulfikar menggelengkan kepala.

“Buat apa saya nak bohong dengan awak. Bab-bab internet ni saya memang bodoh. Tak sepandai awak semua dan tak sepandai isteri saya,” jawab Zulfikar dengan jujur. Dia mengalihkan pandangannya ke skrin.

Azila dihantui rasa bersalah. Dia tidak berniat untuk merendahkan Zulfikar.

“Encik Zulfikar, saya minta maaf..”

“Untuk apa?” Zulfikar segera menoleh. Azila kelu.

“Tak apalah, lupakan. Mari, tolong ajarkan saya macam mana nak buka akaun muka buku ni..” kata Zulfikar, cuba meredakan kekesalan yang ada di hati Azila.

“Muka buku?” Mata Azila terbeliak.

Facebook…” Zulfikar menjawab selamba dan mendatar. Azila ketawa mengekek. Dia rasa lucu mendengar terjemahan yang dibuat oleh Zulfikar itu.

“Mari saya bukakan akaun Encik Zul dulu, lepas tu baru saya ajar yang lain-lainnya,” Azila mendekat. Zulfikar bangun dan memberikan tempat duduknya untuk memudahkan kerja Azila.

“Encik Zul nak guna nama betul ke nama samaran?” tanya Azila sambil tangannya ligat menekan papan kekunci komputer.

“Boleh ke guna nama samaran?”

“Boleh, tak ada salahnya. Asalkan nama itu belum digunakan oleh orang lain. Encik Zul nak guna nama apa?”

“Putera Aduka,” dengan cepat dan selamba Zulfikar menjawab.

“Putera Aduka? Klasiknya,” Azila ketawa kecil. Zulfikar ikut ketawa. Dia sendiri tidak tahu dari mana dia mendapat nama itu. Ianya muncul secara spontan.

“Macam dalam cerita Sri Mersing, ada watak Aduka dan Damak. Hmm..harap-harap Encik Zul akan bertemu dengan Dara atau Melati. Ataupun dengan Kenanga,” kata Azila.

“Tidak. Saya ingin bertemu Anum,” tiba-tiba Zulfikar menyangkal.

“Anum? Dang Anum?” Azila menoleh. Zulfikar gugup. Nama itu juga terkeluar tanpa diminta. Ia begitu cepat dan selamba.

“Lupakanlah..” katanya perlahan. Mata Azila beralih ke arah skrin. Dia memberikan tumpuan kepada apa yang sedang dilakukannya.

“Dah siap. Sekarang Encik Zul boleh mula mencari teman-teman untuk berhubung,”

“Macam mana nak cari?” Zulfikar menggaru kepala.

“Encik Zul, taip nama di sini dan tekan butang ni untuk mencari. Kemudian Encik Zul tekan butang ‘tambah kawan’. Lepas tu tunggu sampai mereka terima,” jawab Azila.

Zulfikar termenung. Cuba mengingat-ingat ilmu yang baru diberikan oleh Azila itu.

“Encik Zul nak saya ajak Puan Shamira jadi kawan encik?” tanya Azila, menduga.

“Oh! Jangan! Awak kena simpan rahsia saya. Jangan sampai dia tahu hal ini. Jangan ada yang kenal siapa Putera Aduka. Boleh awak janji dengan saya Zila?” Zulfikar merenung wajah Azila dengan penuh harap.

“Baiklah, saya janji,” kata Azila sambil mengangkat tangannya sambil bangun dan meninggalkan meja Zulfikar untuk menyambung kerjanya. Zulfikar duduk merenung skrin dengan fikiran yang kosong. Sudah lama dia ingin menjejaki Nik Anum. Mungkinkah dia akan bertemu Nik Anum melalui alam maya ini?

Ketika itu tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dia segera menjawab tanpa melihat nama pemanggil yang tertera.

“Petang ni balik cepat! Ada perkara yang saya nak bincang dengan awak!” Suara Shamira memetir di telinga. Zulfikar menjauhkan telefon dari telinganya. Dadanya yang mula reda berdebar semula.

“Dengar tak?” bentak Shamira. Zulfikar tidak menjawab. Sebaliknya dia mematikan telefon dan mencampakkan ke atas meja.

“Melampau sungguh,” bisiknya sendirian.

“Heh! Kau bercakap dengan siapa ni?” Tiba-tiba Sahidi terpacak di hadapannya. Zulfikar mengeluh. Dia cuba membuang gumpalan kesal yang ada di hatinya.

“Aku ada berita baik untuk kau!” Sahidi menyambung tanpa menunggu Zulfikar menjawab soalannya tadi.

“Apa dia? Kau jangan nak cakap pasal bini aku,” Zulfikar memberi amaran.

“Bini kau kenapa?” tanya Sahidi pula.

“Yalah, orang semua dok bercakap pasal dia. Semua sedang puji dia. Mana tahu kau pun sama,” kata Zulfikar. Sahidi angguk perlahan dan senyum.

“Apa berita tu?” Zulfikar menyergah Sahidi yang terdiam berfikir itu. Sahidi tersentak.

“Oh! berkenaan dengan kereta yang kau cari tu. Aku dah telefon kawan aku. Dia suruh kita datang petang ni. Ada sebuah kereta terpakai yang masih elok. Mana tahu sesuai dengan bajet kau,” jawab Sahidi. Zulfikar angguk. Kemudian dia teringat pada suara arahan Shamira yang baru menerjah telinganya tadi.

“Kenapa? Kau ada hal ke petang ni?” tanya Sahidi ketika melihat Zulfikar terkedu diam.

“Mem besar baru telefon, suruh balik cepat. Biasalah, nak sambung bergaduhlah tu!” jawab Zulfikar selamba.

“Habis macam mana? Kalau kita tak pergi petang ni, aku bimbang kereta tu dibeli orang. Kau fikirlah mana yang penting,”

“Aku ikut kau!”

“Betul ni?” Sahidi senyum senang.

“Eh! Betullah. Sejak bila aku pandai tipu kau?”

“Kau yakin?” Sahidi cuba menduga.

“Kenapa dengan kau ni?” Zulfikar merenung wajah Sahidi yang tersenyum sinis.

“Kau tak takut mem besar kau tu mengamuk? Kau juga yang kata, kau ikut telunjuk dia sebab tak kuasa nak bergaduh. Sekarang? Kau tak ikut kehendak dia. Pastinya kau akan bergaduh besar nanti,” kata Sahidi.

“Biarlah. Sekarang aku tengah malas nak layan dia,” jawab Zulfikar.

“Zul, kau tak takut ke?”

“Sejak bila pula aku takut dengan dia?” Zulfikar menyoal balik.

“Maksud aku..”

“Dahlah. Pukul berapa kita nak ke sana?” Zulfikar segera memotong ayat Sahidi yang belum bernoktah.

“Lepas waktu pejabat, kita terus ke sana,” kata Sahidi seperti memberi arahan. Zulfikar angguk. Sahidi berlalu.

Zulfikar menyambung kerja. Telefon berdering lagi. Kali ini Zulfikar sempat menjeling pada nombor yang tertera sebelum menjawabnya.

“Assalamualaikum Zul, mak ni..” Suara Mak Senah menyentuh kuping telinganya. Sejuk dan damai.

“Waalaikummussalam mak. Apa khabar mak?” Zulfikar teruja. Hatinya berbunga riang. Seperti anak-anak yang menerima sebiji gula-gula, begitulah yang dirasanya.

“Mak sihat saja. Cuma kepala mak ni kadang-kadang pening,”

“Ubat yang Zul beli tu mak tak makan?”

“Dah. Tapi ubat tu tinggal sikit saja lagi,”

“Oh, tak apa. Nanti Zul beli lagi,”

“Esok Zul balik?”

“Ya. Zul mesti balik. Nanti Zul beli ubat tu. Atau Zul bawa mak pergi jumpa Dr.Che’ Ku,” jawab Zulfikar.

“Kalau kau sibuk, tak apalah. Mak tak apa-apa. Tiap-tiap minggu kau balik, apa kata Shamira,” kata Mak Senah pula.

“Mak, hal Shamira tu hal saya. Mak tak usah risau. Mak tu yang kena jaga kesihatan mak. Kalau mak sakit, saya lagi susah hati sebab mak tinggal seorang diri. Lainlah kalau mak tinggal dengan saya di sini..” kata Zulfikar dengan lemah lembut. Rasa kasihnya mengalir lembut dalam dada.

“Zul, baiklah. Mak tunggu kau di rumah saja. Kau jaga diri baik-baik. Ajaklah Afiq dan Atikah balik nanti,”

“Mereka dah balik ke asrama mak. Mungkin cuti semester nanti baru mereka balik lagi. Nanti Zul akan bawa mereka ke rumah mak,” kata Zulfikar, cuba membuat janji manis. Namun ucapan janjinya itu disambut dengan sebuah keluhan perlahan di hujung talian. Dia faham erti keluhan itu. Dia juga tahu keluhan itu mengandungi seribu rasa hampa dan kecewa seorang ibu dan nenek.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.