Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,524
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 5

-5-

URUSAN pembelian kereta selesai dengan mudah. Kereta Produa Kancil 850cc yang ditunjukkan kepada Zulfikar, ternyata memenuhi kehendaknya. Ia juga mengikut bajet yang ada dalam fikirannya.

“Betulkah kau berpuas hati dengan kereta tu?” tanya Sahidi dalam perjalanan pulang.

“Ya. Aku memang berkenan sangat. Bayarannya pun taklah membebankan sangat. Terima kasih Di. Kau dah tolong aku,” jawab Zulfikar, tulus.

“Alah, setakat tolong tunjukkan kedai saja. Bukan aku tolong bayar pun!” jawab Sahidi dengan santai.

“Kau turunkan aku di perhentian bas tu,” kata Zulfikar sambil menunjukkan ke arah sebuah pondok menunggu bas.

“Eh, tak apalah. Biar aku hantar kau sampai ke rumah. Lagipun bukan jauh sangat rumah kau dan rumah aku,”

“Tak apa. Aku belum nak balik. Aku nak singgah di masjid. Nak solat maghrib dan isyak baru balik,”

“Habis nanti kau nak naik apa?”

“Teksi banyak..” jawab Zulfikar selamba. Shahidi akur. Dia memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan pondok yang ditunjukkan. Selepas mengucapkan selamat tinggal, dia memandu tanpa menoleh lagi.

Zulfikar duduk seketika. Dia membuang lenguh. Dia juga sengaja melambat-lambatkan masa. Biar dia lambat sampai ke rumah. Biar telinganya lambat mendengar rungutan dan herdikan Shamira. Sekali ini dia benar-benar ingin memberontak. Sudah terlalu lama dia mengikut, kali ini dia rasa perlu melawan.

Dia teringat pada telefon bimbitnya. Dengan cepat dia mengeluarkan dari kocek seluar. Tanpa berfikir banyak kali, dia mematikan telefon itu. Lega hatinya. Shamira tidak akan dapat mengesannya lagi. Dia rasa bebas buat sementara.

Selepas dia rasa lega dan selesa, dia bangun dan melangkah untuk melintas jalan. Sebuah masjid tersergam megah di seberang jalan. Pada masa itu, dia rasa hanya di situ dia akan rasa aman dan tenang.

Ketika tertinjau-tinjau menanti lampu bertukar hijau, sebuah kereta berhenti di sebelahnya. Dia menoleh. Tersentap jantungnya. Berubah rona wajahnya.

“Awak nak ke mana?” tanya Shamira selepas cermin kereta dibuka.

“Ke masjid,”

“Kan saya dah kata suruh balik cepat! Ada hal saya nak bincang,”

“Lepas solat isyak, saya balik. Nak bincang sampai pagi pun boleh..” selamba Zulfikar menjawab. Shamira mengetap bibir, menahan marah.

Lampu merah bertukar hijau untuk pejalan kaki. Zulfikar menyeberang jalan tanpa menoleh.

“Awak!! Saya belum habis cakap!!” Shamira menjerit. Zulfikar pekakkan telinga. Kakinya terus dihayun dengan selamba.

Shamira menekan minyak dan keretanya menderum pergi. Zulfikar menoleh, kemudian dia tersenyum senang. Bukan gembira kerana dapat menyakitkan hati Shamira tapi gembira kerana dia mampu bertegas dengan Shamira. Selama ini dia tidak terfikir untuk melakukan hal itu. Itu tidak bermakna dia takut, tapi dia menghormati Shamira dan tidak mahu melukakan hatinya. Kini? Dalam setiap langkahnya, dia berjanji kepada dirinya untuk menjadi lelaki dan suami. Sekian lama dia hilang arah dan hilang harga diri. Kini dia akan kembali mencari dan mengutip harga diri yang tercicir itu.

Zulfikar ingin cuba mengotakan janji pada dirinya. Malam itu dia pulang dengan dada lapang dan semangat yang tidak berbelah bagi.

“Aku akan tunjukkan akulah raja yang tidak hilang mahkotanya!” Itu yang disematkan dalam hati. Ketika dia sampai, Shamira sudah berdengkur di bilik. Dia tahu seharian itu Shamira sibuk dengan undangan membentangkan kertas kerja. Seluruh tenaga dan pemikirannya berpusat pada simposium itu.

Dia tidak mahu mengganggu. Malah dia senang melihat Shamira tertidur begitu. Bermakna Shamira tidak berpeluang untuk ‘menyerangnya’.

Dengan perlahan dia meletakkan begnya dan terus ke dapur, mencari kalau ada apa-apa yang boleh dimakan sebagai mengisi perut yang sedang lapar itu. Kosong. Atas meja hanya ada jambangan bunga sebagai penyeri. Atas dapur juga tidak ada satu periuk pun. Dia membuka peti sejuk. Tidak ada makanan yang boleh mengenyangkan selain buah-buahan dan deretan air kotak. Tanpa berlengah, Zulfikar mengambil sekotak air soya dan menyedutnya.

Dia kembali ke ruang tamu. Sunyi. Sejak Atikah dan Muhamad Afiq dewasa dan tinggal di hostel, rumah itu makin sunyi. Dia menekan suis tv. Sebuah drama sedang ditayangkan. Kisah sedih seorang ibu yang merindui anaknya. Hatinya tidak berminat untuk terus menonton. Dia terbayangkan ibunya. Tangisan pelakon dalam drama itu seperti tangisan Mak Senah yang rindukan anak cucunya. Suis tv dimatikan.

Kemudian dia berbaring di sofa untuk menghilangkan lenguh. Perut pula berkeroncong, lapar. Dia ingin keluar mencari makanan. Tapi serta merta pula dia teringat, dia tidak mempunyai kenderaan untuk keluar. Dua buah kereta yang tersadai di garaj itu adalah milik Shamira. Dia berjanji pada dirinya bahawa dia tidak akan menyentuh harta Shamira itu lagi!

Dia bangun, kembali semula ke dapur. Pintu kabinet kayu yang berukir cantik itu dibuka. Ada beberapa bungkus mi segera. Anaknya Muhamad Afiq yang gemar dengan makanan segera itu. Dia selalu memarahi Muhamad Afiq. Alasannya, makanan itu mengandungi bahan pengawet yang boleh merosakkan sistem imunisasi badan.

Kini, dia tidak ada alasan untuk menolak rezeki itu. Alasan perut yang lapar lebih penting dari seribu alasan yang lain! Akhirnya malam itu perut yang berdendang keroncong itu terdiam dengan sebungkus mi segera berlauk telur dan sedikit sayur.

Keesokan paginya, dia bangun dan bersiap lebih awal dari biasa. Dia tahu dia terpaksa menaiki kenderaan awam. Dia bersedia. Semua kata-kata Shamira semalam masih melekat di telinganya. Ia masih berkarat di hatinya.

“Awal awak bangun?” tegur Shamira ketika dia sudah siap berpakaian. Diam. Dia malas nak menjawab.

“Malam tadi, awak balik pukul berapa? Kenapa tak kejutkan saya. Kan saya kata saya ada perkara nak bincang?” tanya Shamira. Masih diam. Zulfikar berlagak selamba. Dia berpura-pura tidak mendengar suara Shamira. Tanpa berlengah, dia mencapai beg sandangnya dan terus keluar dari bilik itu.

“Hei! Saya ni belum habis cakap lagi!” Shamira menjerit sambil menoleh.

“Apa lagi? Saya ni dah lambat..”

“Lambat apanya? Saya pun belum siap lagi ni!” jawab Shamira.

“Saya pergi sendiri. Saya kuli, mana boleh lambat. Awak tak apa, bos!” balas Zulfikar dengan suara meninggi.

“Awak jangan bawa kereta Perdana, saya nak guna hari ni. Awak bawa kereta Waja tu,” Shamira memberi arahan, sombong dan angkuh. Zulfikar terus melangkah. Shamira sakit hati. Dia meninggalkan meja solek dan mengekori langkah Zulfikar.

“Awak jangan bimbang, saya tak akan cuit kereta-kereta awak tu lagi!” tegas Zulfikar ketika menyedari Shamira mengekorinya.

“Apa maksud awak?”

“Saya akan naik bas saja. Itu saja yang sesuai untuk orang macam saya,”
“Apa? Awak nak malukan saya?”

“Yang awak nak malu tu kenapa? Tak payah malu. Saya turun naik bas, tak salahkan?” Zulfikar menjengilkan mata.

“Saya ni orang berpangkat, ada nama!” kata Shamira, keras.

“Yang berpangkat dan ada nama tu awak, bukan saya. Sudahlah! Saya dah lambat. Nanti ketinggalan bas pula.”

Zulfikar terus melangkah. Dia tidak menoleh lagi. Shamira terkulat-kulat. Dia ingin menjerit dan menjerkah macam biasa, namun dia terpandangkan dua tiga orang jiran ada di hadapan rumah masing-masing untuk ke tempat kerja.

Zulfikar hilang dari pandangan matanya. Shamira ikut masuk. Dia juga perlu bersiap sedia untuk ke pejabat. Hari itu dia ada temujanji dengan Datin Masrina. Hari itu dia akan mencipta satu lagi kejayaan dalam hidupnya. Datin Masrina memilihnya sebagai ikon untuk projek pembangunan keluarga. Sudah lama dia menunggu saat itu.

Zulfikar sampai di pejabat awal dari biasa. Dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya tidak ada yang nampak dia berjalan kaki dari pondok hentian bas ke bangunan Wisma Persekutuan itu.

Ketika duduk melepaskan lelah, dia teringat pada akaun FB yang telah dibuka oleh Azila semalam. Dia menekan suis komputer. Nama Putera Aduka segera meniti segar di ruang minda. Sekali tekan saja, isi FB keluar. Dia membaca apa yang tertulis di skrin. Dia seperti tikus yang seronok melihat labu.

“Selamat pagi Encik Zul! Pagi-pagi dah buka FB. Ada cerita menarik ke?” tegur Azila dari belakang. Zulfikar menoleh dengan senyum.

“Awak ni, tak boleh tengok saya senang. Tak boleh tengok orang tua nak berkawan, ada saja komen awak. Mari sini cepat!” panggil Zulfikar.

“Ada apa ni? Saya nak hantar beg ke meja saya dulu,” Azila berlalu ke mejanya. Zulfikar menunggu.

“Ada apa Encik Zul?” tanya Azila ketika kembali ke meja Zulfikar.

“Awak dah buka akaun FB saya, awak kena ajarkan semua ilmunya. Jangan biarkan saya duduk tengok skrin macam orang bodoh macam ni,” kata Zulfikar. Azila menyengih. Dia teringat pengakuan Zulfikar mengenai ‘kebodohannya’ mengenai FB semalam.

“Apa yang Encik Zul nak tahu?”

“Macam mana nak cari kawan dan nak berbual dengan kawan,”

“Semalam dah ajar..”

“Itu semalam. Hari ni awak belum ajar lagi,” jawab Zulfikar dengan ketawa kecil. Azila ikut ketawa.

“Matilah kalau kena ajar tiap-tiap hari,” kata Azila di celah ketawanya.

“Sementara saya belum pandai. Kalau saya dah pandai, awak tak payah nak jeling-jeling saya,” jawab Zulfikar, masih senyum. Azila duduk. Dengan sabar dan penuh hemat dia mula mengajar mana yang dianggap penting. Zulfikar mula belajar dengan perlahan. Dia mula mengenali perkataan ‘add’ dan ‘search’.

“Maknanya saya boleh cari kawan-kawan saya dengan hanya menaip namanya?” tanya Zulfikar selepas Azila selesai memberi tunjuk ajar.

“Tidak semua boleh dicari melalui nama. Ada yang guna nama samaran. Macam Encik Zul. Putera Aduka,” Azila berbisik. Zulfikar menyengih.

“Tapi, saya hairan juga ni,” tambah Azila.

“Hairan kenapa?”

“Kenapa tiba-tiba Encik Zul rasa nak main FB?” Azila cuba mencari rahsia. Zulfikar mengangkat bahu. Selama ini dia memang tidak berminat untuk berfikir mengenai ruang dan halaman yang ada dalam internet.

“Mungkin sebab saya rindukan kekasih lama..”

“Hah? Betulkah?” Azila menoleh.

“Ish, gurau je. Jangan pecah rahsia mengenai nama samaran saya. Kalau sampai isteri saya tahu, maknanya awak yang pecah amanah,” kata Zulfikar memberi amaran, dengan senyum.

“Jangan bimbanglah Encik Zul. Saya ni jenis yang tak pecah amanah,” kata Azila sambil bangun. Dia meninggalkan meja Zulfikar.

Selepas Azila pergi, Zulfikar menjeling jam di tangannya. Masih ada 10 minit untuk memulakan tugas. Maknanya masih ada 10 minit untuk dia bermain-main di alam maya itu. Dia menekan huruf A. Keluar macam-macam nama yang bermula dengan huruf A. Ada yang bergambar wajah asal pemunya. Ada pula diletakkan dengan gambar objek yang lain. Ada yang kosong, tidak bergambar. Dia menaip nama Nik Anum. Langsung tidak keluar apa-apa.

“Aku tekanlah semua. Biar ramai rakan aku,” bisiknya sambil tangannya menekan butang ‘add friend’ yang ada. Kemudian Zulfikar perasan bahawa dia sendiri belum meletakkan gambar apa-apa pada ruang foto yang kosong itu. Dia menoleh, mencari Azila di mejanya. Namun gadis itu tidak kelihatan. Dia buntu. Malas pula untuk membaca apa yang perlu dibuat.

Akhirnya dia keluar dari alam itu, kembali ke alam nyata. Kerja-kerja yang tidak selesai semalam disambungnya. Ada satu dokumen yang perlu diberi perhatian segera.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.