Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,592
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 6

-6-

ZULFIKAR membelek dokumen yang ada di tangannya. Seluruh perhatian tertumpu di situ. Semua kekacauan fikiran kerana kerenah Shamira hilang. Begitu juga semua kerinduannya terhadap Nik Anum, terlerai.

“Zul, kau naik apa? Aku lalu depan rumah kau, tapi tak nampak kau pun?” Shahidi tiba-tiba muncul di hadapannya. Zulfikar mengangkat muka.

“Aku naik bas,” jawab Zulfikar selamba.

“Kenapa tak tunggu aku?”

“Aku malas nak susahkan kau,”

“Susah apanya? Aku ni kan lalu depan rumah kau? Kau ni betullah..” rungut Sahidi dengan wajah kesal. Zulfikar rasa bersalah. Dia tahu Sahidi ikhlas dengan kata-katanya. Hanya Sahidi sahabat yang dia ada, ketika susah dan senang.

“Tak apalah. Esok aku tunggu kau. Maafkan aku,” kata Zulfikar sambil menepuk-nepuk bahu Sahidi.

“Esok mana kita kerja..”

“Eh! Kenapa?” Zulfikar bertanya hairan.

“Kau ni dah teruklah Zul. Esok hari Jumaat. Mana kita kerja,”

“Hari ni hari Khamis?” Sekali lagi Zulfikar kebingungan.

“Ya. Esok Jumaat, lusa Sabtu, tulat Ahad, tungging Isnin,” kata Sahidi dengan ketawa. Zulfikar rasa dia diperli. Namun dia ikut ketawa, segar dan ceria.

“Macam mana ni?” Zulfikar menggaru kepala.

“Macam apa pula?”

“Aku dah janji dengan mak aku, nak bawa dia ke klinik,” jawab Zulfikar dengan wajah gusar.

“Apa masalahnya. Balik dari ofis nanti kau teruslah balik,”

“Nak naik apa? Aku dah tak ada kereta..” kata Zulfikar perlahan. Sahidi menepuk dahi. Dia jua baru teringat apa yang telah dan sedang berlaku kepada Zulfikar.

“Boleh aku tanya kau sikit?” Sahidi menoleh. Zulfikar angguk.

“Kau ni nak merajuk betul-betul atau nak main-main saja dengan Shamira tu?” tanya Sahidi, menduga.

“Kali ini aku tak main-main lagi. Dah lama sangat aku bersabar dengan harapan dia akan berubah. Tapi nampaknya tidak. Aku tak nak hidup di bawah bayang-bayang kejayaan dia. Apa yang aku ada, semua orang tak nampak. Aku dah bosan..” rungut Zulfikar.

“Kalau dia tak terima rajuk kau ni macam mana? Maksud aku, dia tak kisah pun!” Sahidi menduga lagi.

“Aku juga tak kisah,” jawab Zulfikar selamba.

“Kalau macam tu, aku sokong kau. Kita ni lelaki. Kita kena ada prinsip!”

“Prinsip hidup aku, dah lama hilang sejak aku kahwin dengan dia.”

“Masih belum terlambat untuk kau kembali mencari prinsip yang hilang itu,” kata Sahidi pula. Zulfikar angguk. Dia yakin pada semangatnya kali ini.

“Kau ambillah kereta aku, kalau kau nak balik tengok mak kau hari ni,” kata Sahidi.

“Habis kau?” Zulfikar mengangkat muka. Wajah Sahidi direnung.

“Esok tak kerja, aku tak ke mana-mana. Setakat nak ke masjid, aku boleh naik motor. Yang penting, kau bawa mak kau ke klinik,” jawab Sahidi, tulus.

“Terima kasih Di..” Zulfikar terharu. Sahidi menepuk-nepuk bahunya sebelum berlalu meninggalkan meja Zulfikar.

Zulfikar termenung. Dia bersyukur kerana Allah telah memberikan seorang sahabat yang baik seperti Sahidi. Dalam hidupnya dia memang tidak mempunyai ramai teman rapat selain Sahidi.

**

Petang itu, balik dari pejabat hati Zulfikar berbunga riang. Pertama kerana dia akan bertemu ibunya, Mak Senah. Keduanya kerana dia akan ke Pantai Bisikan Bayu seperti minggu-minggu sebelumnya.

“Awak bersiap-siap ni nak ke mana?” tegur Shamira ketika Zulfikar sedang menyikat rambut sambil bersiul-siul kecil.

“Saya nak balik ke Pasir Puteh, nak tengok mak saya,” jawab Zulfikar dengan selamba.

“Aik? Baru minggu lepas awak balik, nak balik lagi?” Shamira meninggikan suara. Hati Zulfikar yang masih rentung kembali panas.

“Apa masalah awak ni Mira? Kalau saya nak balik setiap hari pun, apa salahnya. Itu rumah saya. Saya nak tengok mak saya..” ujar Zulfikar, masih selamba.

“Nak tengok mak awak atau nak pergi berkhayal di pantai tu?” Shamira juga tidak mahu kalah. Suaranya menengking kuat.

“Dua-dua..”

“Apa kena dengan awak ni?”

“Kena apa? Tak ada kena apa-apa!”

“Kalau seminggu tak duduk melanguk merenung ombak tu, awak macam orang gila. Apa sebenarnya yang awak cari di sana? Kekasih atau tapak kekasih?” Shamira melorotkan matanya. Zulfikar membalas lorotan mata itu. Tajam. Dia tidak mahu mengalah.

“Saya malas nak jawab. Dah berpuluh kali saya jawab, saya ni hanya cari ketenangan. Awak tak faham?”

“Ketenangan? Apa di rumah ni dah tak ada ketenangan?” Shamira senyum sinis. Hati Zulfikar semakin hangus melihat senyum itu. Langsung tidak manis. Langsung tidak menawan. Dia rasa ingin memberontak dan menjerit menafikan kemanisan senyum itu. Namun, ketika menjeling jam di dinding dia rasa dia tidak mempunyai cukup masa untuk menghuraikan istilah ‘ketenangan’ kepada wanita berjaya itu. Lalu dia membiarkan Shamira dengan senyum sinisnya. Kakinya melangkah keluar.

“Saya tak habis cakap lagi!” Shamira menjerit.

“Nak tunggu awak habis, sampai mati pun tak habis. Saya tak nak lambat-lambat. Mak sedang tunggu saya,” kata Zulfikar. Dia menyarung kasut dan berjalan ke arah kereta yang sengaja di parkir di luar pagar.

“Kereta siapa pula awak naik ni?” Shamira mengekori dengan muka masam.

“Kereta Sahidi,”

“Tak malu ke pinjam kereta orang macam ni?”

“Dah tak ada kereta sendiri, pinjamlah,” jawab Zulfikar sambil membuka pintu kereta, masuk dan menghidupkan enjin. Dengan selamba berlalu tanpa menoleh langsung.

Shamira mengetap bibir. Dia ingin menjerit. Dia ingin meraung-raung melepaskan kemarahannya yang membakar dada. Namun apa gunanya. Zulfikar sudah meninggalkan rumah itu. Hanya deruman dan asap kereta yang ditinggalkan.

Dia rasa hairan dengan perubahan Zulfikar yang semakin ketara sejak akhir-akhir ini. Sudah lebih dua puluh tahun, Zulfikar menjadi suami yang taat. Dia tidak pandai membantah. Tidak pandai meninggikan suara. Juga tidak engkar pada perintah dan kehendaknya. Kenapa sekarang Zulfikar berubah? Siapakah yang menghasutnya? Siapakah yang ada membuat dia bersemangat begitu?

Semua persoalan itu berlegar tidak selesai dalam kotak fikiran Shamira.

Zulfikar pula memandu dengan tenang dan aman. Hari sudah beransur senja. Jalan dari Kota Baharu ke Pasir Puteh tidak sesibuk waktu pagi. Dia menjangka akan sampai ke kampungnya sebelum waktu maghrib. Mungkin sempat untuk berjemaah di masjid kampung.

Telefon berdering. Dia mencapai dan menjeling nombor yang tertera. Dia meletakkan telefon di tempat duduk dan membiarkan ia berdering tidak berjawab. Kemudian dia menguatkan bunyi radio agar deringan itu tenggelam di celah lagu yang sedang berkumandang. Hatinya puas.

Ketika melintasi kawasan sawah antara di Bukit Jawa dan Bukit Abal, dia ternampak sebuah gerai menjual kuih bahulu. Gerai itu nampak lengang.

“Dah habis ke kak?” Zulfikar bertanya kepada seorang wanita yang sibuk mengemas.

“Ada sikit lagi. Tapi korek-koreklah,” jawab wanita itu dengan senyum.

“Korek-korek pun bolehlah. Asal mak saya tak kempunan,” kata Zulfikar, juga dengan senyum.

“Nak berapa ringgit?” tanya wanita itu mengambil penyepit kuih dan plastik untuk membungkus.

“Bagi semualah. Senang sikit akak nak kemas nanti.”

Wanita itu mengira dan membungkus. Zulfikar keluarkan dompet dari koceknya.

“Berapa kak?”

“Lima ringgit dahlah. Ada lebih sikit, kira sedekah!”

“Terima kasih kak,” Zulfikar menghulurkan duit RM5 sekeping. Kuih dan duit bertukar tangan. Kemudian Zulfikar terus ke kereta dan memandu semula.

Dia sampai di kampungnya ketika hampir waktu maghrib. Mak Senah sedang menghalau ayam itiknya masuk ke reban. Dia segera menoleh ketika terdengar deruan enjin kereta masuk ke halaman. Kemudian dia tersenyum senang.

“Zul, mana Mira?” Mak Senah tertinjau-tinjau ke dalam kereta ketika kereta berhenti. Zulfikar turun dari kereta dan memeluk ibunya dengan penuh rindu.

“Mak macam tak tahu pula dia tu,” jawab Zulfikar dengan penuh makna.

“Dah lama dia tak ikut kau balik. Sibuk sungguh dia ya,” rungut Mak Senah.

“Biarlah dia mak. Dia tu orang sibuk. Orang berpangkat kerjanya tak pernah habis. Sebab itu saya tak nak jadi orang berpangkat,” seloroh Zulfikar, dengan ketawa santai.

“Yalah tu,” kata Mak Senah, sinis. Dia faham semuanya. Zulfikar tidak perlu untuk berbohong atau sembunyikan semuanya.

“Mak, ini kuih bahulu yang mak suka tu,” Zulfikar menghulurkan kuih yang dibelinya tadi.

Mak Senah mengambil bungkusan plastik yang dihulurkan. Dia menciumnya beberapa kali. Bau harum kuih bahulu yang baru dibakar itu menyenangkan hatinya.

“Hmm..sedapnya. Baru mak ingat nak suruh kau beli, kau dah beli. Macam kau tahu saja mak teringin nak makan bahulu ni..” kata Mek Senah dengan senyum senang. Benar-benar dia senang hati dengan sikap prihatin Zulfikar.

“Saya ni anak mak. Saya tahu apa yang mak rasa dan apa yang mak teringin.” Zulfikar juga tersenyum senang. Bahagia rasa hati kerana mampu membuat ibunya gembira begitu.

Mereka melangkah naik ke atas. Rumah kayu peninggalan ayahnya, Haji Jusoh itu masih tegap. Pernah dia mengusulkan kepada Mak Senah untuk membuat ubah-suai pada rumah itu, tapi Mak Senah tidak mahu. “Rumah ini kenangan kami. Jangan ubah apapun..” kata Mak Senah ketika mendengar usul itu.

“Mak, saya ke masjid dulu. Dah masuk waktu. Nanti balik dari masjid, kita sembang” kata Zulfikar.

“Kau tak nak makan dulu?”

“Balik nanti saya makan. Dah lambat ni..” Zulfikar menarik tuala di ampaian. Dia terus ke bilik air, membersihkan diri dan berwuduk.

Mak Senah melabuhkan punggung di anak tangga terakhir. Dia membuang lenguh. Petang itu awal-awal dia sudah siap memasak. Dia sudah tahu Zulfikar akan balik. Hanya Zulfikar yang tinggal dekat dengannya. Anak-anak perempuannya Zulaikha, Zulifah dan Zakiah semuanya menetap jauh kerana mengikut suami. Begitu juga anak-anak lelakinya Zulman berada di Sabah. Zuhairi yang bongsu pula masih belajar di Mesir.

Hanya Zulfikar yang ada. Racun atau penawar, itulah anak tempat dia bergantung harap. Bukan anak-anak yang lain tidak boleh diharap, tetapi mereka jauh. Kalau Zulfikar boleh balik setiap minggu, yang lain akan balik setahun sekali atau dua kali saja setahun. Dia tidak kesal. Keadaan hidup telah memisahkan mereka.

“Mak mengelamun? Ada apa? Mak sakit ke?” Zulfikar tergopoh-gapah turun tangga dan menyarung selipar.

“Taklah. Saja nak buang lenguh sekejap,”

“Nanti saya balik dari masjid, kita ke klinik,” kata Zulfikar lagi. Angguk. Mak Senah tidak mahu menyambung kata. Dia tahu Zulfikar sudah terlambat untuk ke masjid.

Azan maghrib berkumandang dengan penuh sayu dan mendayu. Suara Bilal Mansor ternyata mampu menggamit hati setiap mukmin untuk ke rumah Allah itu. Mak Senah naik. Sudah beberapa hari dia tidak pergi ke masjid sejak lututnya bengkak dan teramat sakit. Dia mengerjakan solat sambil duduk di kerusi. Dulu pun dia pernah sakit begitu. Dua kali Zulfikar membawanya ke klinik Dr. Che’Ku. Sejak itu baru dia rasa sakitnya berkurangan, walaupun tidak baik sepenuhnya.

“Kesian Zulfikar…” Tiba-tiba berdetik rasa belas itu di celah hatinya. Dia tahu ‘nasib’ yang menimpa anak lelakinya itu. Hati seorang ibu memang sedih. Namun apakan daya. Shamira itu pilihan Zulfikar sendiri. Dia dan keluarga, tidak pernah kenal dengan Shamira sebelum Zulfikar mengatakan hajat untuk berkahwin dengannya. Tiba-tiba saja nama Shamira muncul di tengah keluarga mereka. Hanya sekali Shamira dibawa ke rumah. Kemudian Zulfikar terus mengatakan hajat untuk mengahwininya.

Pertama kali melihatnya, hati seorang ibu sudah memberikan firasat yang tidak baik.

Shamira duduk dengan angkuh. Langsung tidak tahu bersalam dengannya. Langsung tidak tahu menghormati orang tua. Di wajah Shamira, dia tidak dapat melihat kejujuran dan ketulusan.

“Mana kau kenal dia Zul?” Dia bertanya selepas Shamira melangkah meninggalkan rumah itu.

“Kawan saya yang kenalkan, mak,”

“Kau yakin boleh bahagia dengan dia?” Dia cuba mencari kepastian. Dia tidak nampak ada satu kemesraan yang sedang terjalin antara keduanya ketika itu. Hubungan itu hambar dan tawar. Langsung tidak sama dengan hubungan anaknya itu dengan Nik Anum, mesra dan penuh hilai ketawa.

“Kenapa? Mak tak suka ke? Kalau mak tak suka, Zul boleh batalkan,” jawab Zulfikar bersungguh-sungguh. Dia merenung wajah Zulfikar. Entah kenapa tiba-tiba hatinya jatuh belas melihat wajah itu. Dia tahu Zulfikar kecewa. Kisah putus cinta Zulfikar dan Nik Anum telah membuatkan anaknya itu hilang arah hidup.

Mungkin Shamira diutus Tuhan untuk menjadi ubat penyembuh luka di hati Zulfikar. Mungkin cinta dan kasih sayang Shamira akan membuatkan Zulfikar mampu melupakan Nik Anum. Itu yang diharapkan.

“Tidak. Mak tak kata mak tak suka. Kalau kau benar-benar sukakan dia, mak ikut sahaja. Mak cuma bimbang kau terluka lagi. Mak dah tak larat nak tengok hidup kau menderita kerana perempuan,” ujarnya dengan hati yang tulus.

Ketika itu Zulfikar hanya diam. Tidak ada pengakuan jujur yang dibuat oleh anaknya. Akhirnya dalam majlis yang amat sederhana dan tertutup, Zulfikar menerima ijab kabul sebagai suami. Dia sendiri tidak menghadirinya.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.