Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,840
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 7

7

M

AK SENAH mengeluh perlahan. Waktu maghrib sudah sepuluh minit berlalu. Dengan lambat, dia bangun. Dia membetulkan pinggangnya. Tiba-tiba telefon di ruang tamu berdering. Dia percepatkan langkah. Gagang diangkat dengan ucapan salam.

“Mak, anak jantan mak tu ada balik ke?” Suara Shamira bergema keras di hujung talian.

Mak Senah tergamam. Sungguh kasar budi bahasa menantunya itu. Tanpa salam sebagai basa-basi, tanpa bertanya khabar, terus saja ke matlamatnya.

“Ada. Dia ke masjid.”

“Mak tengok sikit anak mak tu!”

“Kenapa pula dengan dia tu?” tanya Mak Senah, sedikit terkejut. Kata-kata Shamira amat meragukan hatinya. Dia nampak Zulfikar biasa saja. Tidak ada yang berubah dari minggu-minggu yang lepas.

“Saya rasa anak mak tu dah tak betul,” kata Shamira.

“Hah? Tak betul macam mana? Mak tengok dia biasa saja,” tingkah Mak Senah dengan cepat.

“Mak tak tahu. Sejak akhir-akhir ni, dia macam orang kena rasuk. Dia dah bukan macam dia. Dah macam orang lain. Cakapnya pun dah lain. Cakap saya langsung tak diendahkan lagi. Dia suka-suka nak tengking dan nak marah saya!”

Mak Senah diam, menelan butir kata Shamira dengan mata terkebil-kebil. Dia masih kurang jelas apa yang ingin disampaikan oleh Shamira.

“Kalau boleh, mak jangan benarkan dia ke pantai. Saya bimbang...”

Mak Senah masih diam.

“Mak? Mak dengar apa yang saya cakap ni?!” Tiba-tiba Shamira melenting.

“Dengar...” Mak Senah kurang senang. Anak-anaknya sendiri tidak pernah berkasar begitu.

“Mak jangan benarkan dia ke pantai esok.”

“Kenapa pula?”

“Saya rasa dia tu dirasuk hantu laut,” kata Shamira.

Mak Senah senyum. Dia sebenarnya hampir tergelak. Orang berpelajaran tinggi dan berpangkat besar seperti Shamira pun masih percayakan hantu?

Tidak lama kemudian Shamira mematikan talian. Seperti biasa, datangnya tidak diundang perginya juga tidak dihalau. Dia muncul tanpa salam, pergi juga tanpa pesan. Itulah Shamira. Bukan sehari dua jadi menantunya, sudah lebih 20 tahun. Semua titik bengik perangai Shamira ada dalam fikirannya.

Dia menoleh ke arah jam di dinding. “Hisy, dok fikir pasal dia, terlambat pula aku solat,” rungutnya sendirian. Dia segera berlalu, menuju ke bilik air.

Malam itu, pukul 10.00 baru Zulfikar balik ke rumah.

“Kau ke mana, Zul? Mak tunggu kau, nak makan sama,” kata Mak Senah.

“Eh, mak tak makan lagi ke?”

“Mak tunggu kaulah. Kata nak makan sama-sama?”

“Tadi turun dari masjid, kami semua ke rumah Kak Nik Dah. Ada jemputan kenduri doa selamat.”

“Ada apa? Semalam mak jumpa dia, tak ada dia cerita pun pasal kenduri,”

“Mungkin dia lupalah tu.”

“Kenduri untuk apa?”

“Anak dia, Amal Amalina dapat surat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara,” jawab Zulfikar sambil menyangkutkan kopiah pada paku di dinding.

Mak Senah mengangguk perlahan. Dia tahu anak-anak Nik Dah pandai belaka. Benar kata orang, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Nik Dah dan suaminya sendiri tergolong dalam barisan orang-orang yang bijak. Anak-anaknya mesti mengikut jejak mereka.

“Zul, tadi bini kau telefon.” Matanya tidak lepas merenung Zulfikar. Dia mencari-cari kelainan yang dikatakan oleh Shamira. Tidak nampak dan tidak terjumpa satu apa pun yang lain.

“Dia cakap apa, mak?”

“Dia suruh tengok-tengokkan kau. Dia kata kau dah berubah. Dia suruh mak jangan benarkan kau ke pantai lagi. Dia kata kau tersampuk hantu laut.” Mak Senah seperti sedang memberi laporan.

“Hah?” Zulfikar terkejut.

Mak Senah meneliti lagi wajah kaget Zulfikar. “Kau bergaduh dengan dia ke?”

Diam. Zulfikar tiba-tiba tunduk, tersenyum-senyum.

Mak Senah semakin keliru dengan senyuman Zulfikar itu. “Lain macam saja bunyi cakap dia tu. Dia kata kau dah berubah. Kau dah tak dengar apa yang dia cakap lagi. Apa dah berlaku ni?” Dia terus mencari kepastian. Dia tidak mahu berkelok kata. Sejak tadi hatinya risau dan celaru dengan apa yang didengarnya daripada Shamira.

“Zul?” Mak Senah menyergah Zulfikar.

“Tak ada apa berlakulah, mak. Biasalah rumah tangga. Kata Allahyarham P. Ramlee, sedangkan lidah lagi tergigit,” Zulfikar menjawab sambil meniru gaya nyanyian Allahyarham P. Ramlee.

Mak Senah rasa kelakar. Dia tersenyum nipis. “Ni mak nak tanya. Kereta siapa yang kau bawa tu? Kau dah beli kereta baru ke?” Sejak petang memang dia ingin bertanya, tapi melihat Zulfikar kelam-kabut untuk ke masjid, dia pendamkan semuanya.

“Kereta kawan, mak. Saya pinjam.”

“Kereta kau mana?”

“Mana saya ada kereta? Kereta Perodua Kancil dulu tu, kan dah lama saya jual?”

“Maksud mak, kereta yang kau naik selama ini tu?”

“Itu kereta Mira. Tak bayar ansuran, mak. Kena tarik dengan tuan dia.” Zulfikar berseloroh.

Mak Senah diam. Seloroh Zulfikar langsung tidak lucu dan mencuit hatinya. Sebaliknya dia diburu kekeliruan yang berjela.

“Mak, jangan nak peningkan kepala mak fikirkan hal saya ni. Anak mak ni bukan orang berpangkat. Saya hanya pegawai rendah. Saya tak mampu nak pakai kereta besar-besar. Saya dah sedar diri saya, mak.”

Hati Mak Senah tersentuh hiba. Dia tahu kedudukan Zulfikar dan Shamira seperti enggang dengan pipit. Shamira ada rupa dan ada harta. Dia ada pangkat dan kedudukan. Zulfikar?

“Mira tak bagi kau naik kereta dia lagi?” Mak Senah mencari kata pasti.

“Bukan dia tak bagi, saya yang tak nak. Saya dah penat, mak,” keluh Zulfikar.

“Penat kenapa?” Mak Senah semakin bingung.

“Dah lama sangat saya hidup dalam umpat keji dia. Dia memberi, kemudian dia mengungkit. Kadang-kadang depan anak-anak pun dia ungkit semua pemberian dia pada saya. Saya ni bukan budak kecil. Saya dah tua. Saya dah bosan hidup dalam keadaan ni,” jawab Zulfikar perlahan.

Mak Senah semakin pilu. Nulari seorang ibu semakin tersentuh.

“Jadi, kau nak melawan dia? Kau nak bantah semua perintah dia? Kau dah tak takut lagi?” tanyanya, sedikit terkejut. Kalau boleh dikatakan teruja, memang dia benar-benar teruja. Benar-benar dia tidak sangka akan mendengar semua perkataan itu daripada mulut Zulfikar.

Zulfikar tidak segera menjawab. Sebaliknya dia merenung wajah ibunya. Lama.

“Kenapa pula kau tengok mak macam tu?”

“Jadi, selama ini mak pun ingat saya ni takut bini?”

Mak Senah diam. Dia hilang kata-kata untuk menjawab. Dia bimbang Zulfikar akan terasa hati. Sebenarnya selama ini bukan hanya dia yang anggap begitu. Semua keluarga dan kenalan pun berfikir hal yang sama. Masing-masing menyimpan simpati dan geram.

“Saya tahu, orang semua ingat saya macam tu, kan?”

“Zul, kami melihat dari luaran. Selama ini kami nampak kau lemah sangat. Kau jadikan diri kau bola yang boleh Shamira tendang ke sana dan ke sini. Kau biarkan diri kau diherdik, ditengking dan diarah macam kuli. Kami melihat semuanya, Zul. Mak ni sedih sangat tengok anak yang mak kandung dan lahirkan dengan susah payah diperlakukan begitu. Mak menangis, Zul.” Mak Senah terhenti kata. Dia cuba menahan tangisnya. Namun, dia tidak berdaya. Air mata seorang ibu menitik juga.

Zulfikar terharu. Dia ikut sebak melihat Mak Senah menangis. “Mak, sudahlah. Sebenarnya saya tak macam tu. Saya cuma tak nak bergaduh demi anak-anak. Mak tahulah kalau saya berkasar, Shamira akan ikut kasar. Pengakhirannya, tentu anak-anak yang jadi mangsa. Tapi sekarang, Atikah dan Afiq dah dewasa. Mereka dah pandai menilai. Tak lama lagi mereka akan tamat belajar dan bekerja. Saya tak perlu nak fikirkan hal mereka lagi. Masa ini saya kena fikirkan hal saya, perasaan saya,” ujarnya dengan tenang, tapi bersungguh.

“Alhamdulillah... mak bersyukur kerana Allahberikan kau kekuatan,” ucap Mak Senah di celah esakannya.

Zulfikar tenang. Memang dia rasa seperti ada kekuatan baru untuk bangun membina hidup baru.

“Tapi, janganlah sampai kau bercerai-berai, Zul. Kesian dengan Atikah dan Afiq.”

“Taklah sampai ke situ, mak. Saya cuma nak sedarkan dia. Saya nak dia tahu saya juga seorang insan yang ada perasaan. Saya juga lelaki yang masih ada harga diri,” kata Zulfikar.

Mak Senah terangguk-angguk. Hajat untuk ke klinik malam itu tertunda. Hari sudah jauh malam. Tentu klinik pun sudah tutup.

“Esok sajalah kita ke klinik,” kata Mak Senah ketika Zulfikar mengajaknya. Dia bangun dan berjalan ke dapur. Perutnya mula rasa pedih. Dia menahan lapar sejak tadi kerana ingin makan bersama Zulfikar.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.