Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,804
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 10

- 10 -

MAK SENAH mengeluh. Nik Anum, sudah lama nama itu tidak muncul dalam fikirannya. Kini nama itu tiba-tiba meniti di bibir. Sekali gus wajah manis gadis itu juga menjelma di ruang mata.

“Mak ini kawan Zul, Nik Anum,” kata Zulfikar ketika memperkenalkan gadis itu kepadanya untuk pertama kali. Waktu itu Zulfikar dan Nik Anum sama-sama belajar dalam tingkatan satu di Sekolah Menengah Tok Janggut.

Sungguh dia senang dengan Nik Anum. Selain wajahnya yang manis. Dia juga memiliki budi bahasa dan tutur kata yang mampu menawan siapa saja yang berdepan dengannya.

“Apa khabar mak..” Nik Anum menyalaminya, penuh sopan.

“Aik? Belum apa-apa Anum dah panggil mak?” Zulfikar bergurau. Gadis itu tersipu malu.

“Semua wanita yang sebaya bonda Anum, Anum akan panggil mak. Zul tak payah nak pelik,” jawab Nik Anum dengan ketawa kecil. Zulfikar ikut mengekek. Hati Mak Senah rasa bahagia dan terhibur.

“Tak salahkan mak?” Nik Anum menoleh kepadanya.

“Tak. Siapa yang nak marah. Panggilan tu tanda kita beradab dan tanda hormat,”

“Dengar tu! Zul saja yang marah. Mak tak marah pun!” Nik Anum mencebik.

“Zul tak marah, suka!” balas Zulfikar pula. Nik Anum membaling sebuah buku kepada Zulfikar dan Zulfikar menangkapnya. Mereka ketawa. Mesra dan riang. Sejak itu tawa riang dan gurau senda mereka sering memenuhi ruang rumah itu kalau hari cuti. Nik Anum sudah menjadi sebahagian dari keluarganya. Bukan hanya dia yang menyenangi, anak-anaknya yang lain juga senang setiap kali Nik Anum datang.

Bertahun-tahun juga ikatan hati antara kedua-duanya terjalin. Dia merestuinya dan dia tahu hubungan mereka tidak pernah tersasar dari landasan hukum dan adat. Walaupun Nik Anum sering bertandang ke rumah, sebagai orang tua Mak Senah tidak pernah membiarkan mereka berdua-duaan hingga mengundang pihak ketiga iaitu syaitan. Dia selalu mengawasi pergerakan mereka agar tidak sumbang di mata masyarakat dan berdosa di sisi Allah.

Tamat tingkatan 5, Nik Anum menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sedangkan Zulfikar gagal untuk ke mana-mana. Dia memilih untuk mencari pekerjaan.

“Sambung belajarlah Zul. Mak masih ada duit simpanan kalau kau nak ambil periksa sekali lagi,” Mak Senah memujuk.

“Tak apalah mak. Biar Zul cari kerja saja,”

“Kerja apa yang boleh kau buat dengan sijil kau tu?”

“Apa-apa kerja yang layak. Jadi kuli pun tak apa,” Zulfikar menjawab selamba.

“Kau tak malu dengan Anum?”

“Nak malu kenapa pula? Mak, Allah jadikan manusia itu dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kalau saya rasa malu, maknanya saya menolak ketentuan Allah. Biarlah Nik Anum terus belajar. Dia ada cita-cita dia dan saya juga ada cita-cita saya sendiri,” kata Zulfikar. Akhirnya dia terpaksa menerima keputusan anaknya itu.

Akhirnya dua sejoli itu berpisah jasad. Nik Anum di Kuala Lumpur dan Zulfikar di Pasir Puteh. Namun, perpisahan jasad tidak memisahkan hati dan cinta mereka. Hubungan mereka terus terjalin manis dan indah sehingga Nik Anum tamat belajar. Zulfikar juga mendapat pekerjaan di sebuah jabatan kerajaan sebagai pegawai kerani.

“Dah kerja ni, kumpul duit. Nik Anum tu dah lama tunggu,” kata Mak Senah ketika Zulfikar baru mula kerja.

“Mak macam tak sabar nak timang cucu?” Zulfikar berseloroh.

“Kau tu pun tak sabar nak timang anak,”

“Yalah kita sama-sama tak sabar,” Zulfikar ketawa. Dia ikut ketawa kecil. Ketika itu langsung tidak terbayang di fikiran mereka bahawa semua impian itu tidak akan menjadi kenyataan. Namun semuanya milik Allah. Hanya Dia Yang Maha Bijaksana, menyusun dan menentukan takdir hidup seorang manusia.

“Mak? Apa hal senyum-senyum ni?” Tiba-tiba Zulfikar menepuk belakang tangannya. Mak Senah terkejut dan tergamam seketika. Dia tersedar kembali dari lamunannya yang panjang.

“Mak khayalkan apa ni?”

“Tak ada apalah. Mak cuma teringatkan Anum,” jawab Mak Senah jujur. Zulfikar terdiam. Dia hilang kata-kata. Selama ini dia tidak pernah melupakan Nik Anum walaupun sudah berpuluh tahun. Kini ingatan itu semakin melekat.

“Mungkin dah sampai masa seperti yang diharapkannya,” sambung Mak Senah, perlahan namun jelas. Ada sesuatu di nubarinya yang terselit lama.

“Apa maksud mak?” Zulfikar menoleh. Dia teruja dengan kata-kata ibunya.

“Anum pernah kata satu hari takdir pasti akan pertemukan kau berdua. Dia akan tunggu takdir itu, tak kira dalam keadaan macam mana pun. Walaupun sudah beruban dan bongkok tiga, kalau pertemuan kedua muncul dia akan terima. Dia akan tetap tunggu kau,”

“Bila Anum cakap dengan mak macam tu?”

“Seminggu sebelum dia dinikahkan. Dia datang ke sini tanpa pengetahuan kau. Dia menangis. Dia minta mak jaga kau dengan baik..dia..dia..” Tiba-tiba Mak Senah sendu. Dia tidak mampu menghabiskan ayat. Air matanya tiba-tiba amat murah. Ia seperti untaian manik, yang terputus dari talinya.

Zulfikar tergamam. Hal yang tidak diduga itu ikut menyentuh hatinya. Jiwa raganya yang memang sedang resah gelisah, menjadi semakin tidak menentu.

“Anum..” keluh Zulfikar perlahan.

“Sudahlah. Kita tak boleh nak terus ingat dia. Dah lama dah dia hilang dari hidup dan hati kita. Kau tu dah ada isteri dan anak-anak. Jangan kerana Nik Anum, rumah tangga kau kacau bilau,” kata Mak Senah selepas mengesat air matanya.

“Mak, saya tak boleh nak bohong pada diri saya. Mak pun tahu, rumah tangga saya macam mana. Saya tak pernah rasa bahagia dan aman dalam rumah tangga saya itu mak..”

“Yalah. Itu mak tahu. Tapi kau sepatutnya cari jalan nak pulihkannya, bukan cari alasan nak runtuhkannya,” kata Mak Senah.

“Mak, mak nak suruh saya buat macam mana lagi? Saya dah ikut semua cakap Shamira hingga saya dikatakan suami yang penakut, yang dayus!” tegas Zulfikar sedikit keras. Mak Senah langsung tidak tersentak dan tidak berkecil hati. Apa yang dikatakan oleh Zulfikar itu ternyata benar.

“Dia tak pernah berterima kasih dan bersyukur dengan apa yang ada, mak. Saya dah letik nak ikut kehendak dan gelagat dia. Letih sangat-sangat,” Zulfikar meluah rasa. Mak Senah semakin tersentuh hatinya.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.