Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,815
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 2

ZULFIKAR memandu dengan hati yang keliru. Suara Shamira masih berdesing di telinga. Permintaan Shamira supaya dia melupakan pantai itu tidak mungkin tertunai. Hanya itu kenangan yang tinggal untuknya selepas Nik Anum pergi. Ke mana lagi akan dibawa hati yang rindu kalau tidak ke pantai itu. Dia tidak pandai berpoya-poya ke tempat lain. Hanya di pantai itu.

"Biarlah babah ke pantai itu mama. Apa salahnya babah tenangkan hatinya di situ. Biarkan babah dengan cara dia. Buat apa mama nak campur.."

"Afiq, mama tak suka. Itukan namanya menghabiskan masa. Orang semua tak cukup masa mengejar peluang, babah kau tak habis-habis nak pergi mengira pasir pantai itu. Kan buang masa.." Dia pernah mendengar anaknya Muhamad Afiq cuba menyebelahinya. Namun, Shamira bukan orangnya yang mudah faham perasaan orang lain.

Dia sampai di simpang jalan. Lampu merah mula menyala. Dia berhentikan kereta. Kemudian telefon bimbitnya pula berdering. Dia segera menjawab.

"Awak ni kenapa?" Tanpa mengucap salam, Shamira menengkingnya.

"Apa lagi?"

"Awak pergi macam tu je? Habis saya ni macam mana?"

"Macam mana apa? Saya nak pergi kerja. Awak pun pergilah kerja," Zulfikar menjawab selamba. Seperti tidak ada salahnya jawapan itu. Seperti dia tidak bersalah apa-apa.

"Kan tadi saya dah kata, hari ni saya ada undangan untuk Majlis Simposium Wanita di Hotel Perdana.."

"Itukan tengah hari. Nanti saya datang ambillah awak di ofis awak tu. Saya janji, saya tak akan lupa. Saya akan ingat,"

"Sekarang saya nak pergi ofis dulu,"

"Pergilah. Siapa tak bagi awak pergi ofis?" Zulfikar semakin selamba.

"Saya nak naik apa? Awak dah tinggalkan saya! Awak pergi macam tu je. Bodoh betul!" tengking Shamira.

Lampu isyarat bertukar hijau. Tapi Zulfikar tidak menekan pedal minyak Sebaliknya dia menekan pedal brek. "Ya Allah! Bini aku!" Dia seperti baru tersedar dari mimpi. Kereta di belakang menekan hon berulang-kali. Akhirnya baru Zulfikar menekan pedal minyak.

"Awak pusing balik!" Shamira memberi arahan.

"Tapi saya dah lambat ni. Awak naik teksi sajalah," suruh Zulfikar. Dia membelek jam di tangannya. Memang dia sudah terlambat.

"Apa? Naik teksi? Tidak. Saya tak nak naik teksi. Nanti apa pula orang kata. Saya tak nak satu ofis ketawakan saya. Awak pusing balik, ambil saya!" Shamira menjerit kuat.

Suara Shamira benar-benar menyakitkan telinga Zulfikar. Dia menukar arah perjalanan, berpusing balik arah ke rumahnya dengan dada yang panas!

Dengan geram Zulfikar memandu dengan laju. Akhirnya dia sampai juga di hadapan rumah banglo itu. Dia membunyikan hon, beberapa kali. Shamira tidak keluar. Hati Zulfikar semakin terbakar.

"Ish!" Zulfikar melepaskan keluhan sambil menekan hon, berkali-kali.

Shamira terhegeh-hegeh keluar. Di bahu tersandang beg tangannya, tangan kanannya menjinjit sebuah beg laptop sementara tangan kirinya mengepit beberapa buah fail.

"Tak payah nak memekak pagi-pagi ni!" kata Shamira sambil mencampakkan barang-barang yang ada di tangannya ke dalam kereta.

"Saya dah lambat, awak pula terhegeh-hegeh!" balas Zulfikar dengan keras.

"Siapa suruh awak tinggalkan saya?"

"Mana saya tahu awak nak pergi bersama saya? Selalunya awak memandu sendiri,"

"Kan hari ni saya nak ke.."

"Okey, saya salah. Tapi awak kan boleh naik teksi?" Zulfikar segera memotong cakap Shamira.

"Saya ni pegawai tau? Jangan awak nak malukan saya,"

"Salahkah naik teksi. Ada ramai lagi ketua jabatan, datuk, datin yang naik teksi. Apa yang tak

kena dengan awak ni?" tengking Zulfikar.

"Yang awak nak tengking saya ni kenapa? Awak jangan lupa, ini kereta saya. Saya yang bayar tiap bulan. Saya dah beri awak pandu pun dah cukup baik. Jangan nak melebih-lebih pula!" Shamira membalas dengan tengkingan juga. Zulfikar terdiam. Darahnya menggelegak. Dia cuba beristighfar.

"Kenapa diam? Tak betul apa yang saya cakap ni?" Shamira semakin angkuh. Dia rasa menang kerana dapat mematahkan cakap Zulfikar.

"Kalau macam tu, esok awak ambillah balik kereta kebanggaan awak ni. Saya boleh pergi ofis naik bas!" jawab Zulfikar dengan suara yang pecah bergetar.

"Jangan nak malukan saya!"

"Nak malu apa?"

"Apa kata orang kalau tahu awak naik bas?"

"Dah saya ni tak mampu nak beli kereta mewah macam ni. Dulu saya ada kereta Kancil, awak paksa saya jual. Kalau saya tahu awak nak mengungkit macam ni, sumpah saya takkan jual kereta tu," kata Zulfikar lagi.

Kereta yang dipandu memasuki kawasan letak kereta. Zulfikar mencari ruang letak kereta. Kebetulan ada satu petak yang kosong. Dia segera membelok.

"Kenapa nak parkir pula?" tanya Shamira. Zulfikar tidak menjawab. Setelah kereta diparkir dengan baik, dia keluar dan mengambil barang-barangnya di belakang. Dia berlagak selamba.

“Awak? Apa maknanya ni?" Shamira separuh menjerit melihat lagak Zulfikar yang selamba itu.

"Maknanya, awak ambillah kereta mewah awak ni. Awak pandulah sendiri. Saya akan naik teksi!"

"Kalau saya nak memandu sendiri, lebih baik saya bawa kereta saya tadi. Kan saya dah kata, saya nak ke hotel tengah hari nanti!!"

"Jadi awak nak suruh saya datang ambil dan hantar awak. Awak nak tunjuk dengan staf awak saya ni pemandu awak??" tengking Zulfikar. Shamira terkedu. Belum pernah Zulfikar bersikap begitu sebelum ini. Kenapa?

Sebuah teksi melintas. Zulfikar menahannya.

"Awak!!" jerit Shamira. Dia geram. Dia sakit hati.

Zulfikar tidak menoleh. Dia terus melangkah ke dalam perut teksi dan teksi terus bergerak.

Dalam perut teksi, Zulfikar menarik nafas berkali-kali. Entah kenapa dia rasa semakin rimas dengan kelakuan dan sikap Shamira yang kuat memerintah itu. Dia semakin jelak dengan kata-kata Shamira yang suka mengungkit itu. Bukan hari ini dia dimaki hamun. Setiap pagi. Setiap malam. Setiap hari. Suara Shamira tidak pernah rendah dan perlahan. Dia cuba bertahan. Dia berusaha mengawal diri.

"Awak bawalah kereta saya tu,"

“Habis kereta saya?"

"Jual sajalah. Buat apa nak simpan Kancil buruk tu.."

"Saya sayang kereta tu. Itulah kereta pertama saya. Itulah hasil titik peluh saya,"

"Alah, tak payah nak sayang. Jual saja. Jangan nak malukan saya dengan kereta buruk awak tu!" tegas Shamira.

Selepas beberapa bulan, dia akur dengan kehendak Shamira. Kereta Kancil 660cc yang menjadi kesayangannya dijual. Sebagai ganti, Shamira memberikan dia kunci kereta Proton Perdana yang baru dibelinya. Dia sebenarnya keberatan. Apa lagi setiap kali dia ke pejabat, dia akan diperli oleh kawan-kawan.

"Wah! Kau ni memang beruntung dapat bini berpangkat besar. Tengok, dari Kancil kau dah pakai Perdana. Kita semua ni, Proton Wira pun terkial-kial nak bayar,”

"Yalah Zul, bukan senang nak dapat bini yang penyayang macam bini kau tu. Kalau nak harapkan gaji kau mungkin tak terbeli. Macam aku ni ha! kerja mati-matian pun hanya mampu pakai Iswara je. Itu pun setiap bulan kena catu sana sini.."

Dia mengakui semua kata-kata mereka. Dia hanya pegawai biasa, lulusan Sijil Pelajaran Malaysia. Shamira pula seorang pegawai lulusan universiti, yang berpangkat besar dan bergaji besar. Juga kadang-kadang Zulfikar rasa, Shamira berlagak besar!

"Encik, dah sampai encik," suara pemandu teksi meleraikan semua ingatannya. Dia keluar dan membayar tambang. Semasa kakinya melangkah masuk ke bangunan Wisma Persekutuan, telefon bimbitnya berdering. Dia melihat nama yang tertera. ISTERIKU, itu yang tertulis di skrin. Talian dimatikan. Dia terus berjalan ke arah pejabatnya.

"Selamat pagi Encik Zul," tegur seorang kerani yang ada di meja hadapan. Dia tidak menjawab ramah macam selalu, hanya angguk dengan senyum. Sampai di mejanya, sebuah fail sudah terletak rapi. Dia segera duduk.

"Zul, kenapa kau lambat? Datuk Nazri dah cari kau tadi," kata Sahidi, teman sekerjanya.
"Kereta aku kena tarik. Aku terpaksa naik teksi," jawabnya selamba.

"Hah?! biar betul kau ni? Takkan bini kau tak mampu bayar sampai kena tarik?" Sahidi hairan.

Zulfikar membelek-belek fail yang ada di mejanya itu dengan selamba. Dia sengaja membiarkan Shahidi membuat spekulasinya.

"Zul, betulkah kereta kau kena tarik ni?" Sahidi masih tidak berpuas hati.

"Kau ni, kalau tak ambil tahu hal orang tak boleh heh?" Dia mengangkat muka dan merenung wajah Sahidi.

"Aku saja nak tahu. Kau tu sahabat baik aku. Apa yang berlaku pada kau, aku kena ambil tahu. Kalau tidak aku akan dituntut di akhirat sebagai sahabat yang tidak berjasa," jawab Sahidi dengan selamba. Zulfikar tidak tahan dengan jawapan itu. Dia ketawa berdekah-dekah.

"Banyaklah kau punya songel.." kata Zulfikar di celah ketawanya. Sahidi ikut ketawa. Suasana tegang kembali santai dan ceria.

"Sebenarnya bini aku mengamuk pagi ni. Dia ungkit-ungkit pasal kereta tu. Aku campaklah kunci kereta tu pada dia! Aku malaslah Di. Aku naik bas atau teksi lagi baik.." kata Zulfikar. Wajah yang tadi ceria berubah muram.

Sahidi terdiam. Dia mula faham apa yang berlaku. Selama ini dia dah banyak mendengar rintihan Zulfikar mengenai rumah tangga dan isterinya yang berpangkat itu.

"Habis macam mana sekarang? Takkan setiap hari kau nak naik teksi?" tanya Sahidi.

"Aku rasa aku nak beli kereta lain. Aku nak beli sebuah kereta Kancil. Itu yang aku mampu,"

"Kau tak takut diketawakan orang?"

"Kenapa orang nak ketawakan aku?"

"Yalah, dari kereta besar kau tukar kereta kecil. Dah macam melawan arus," jawab Sahidi berhati-hati. Dalam saat seperti itu, Zulfikar mungkin terlalu sensitif.

"Aku tak boleh nak fikirkan orang lain. Aku kena fikirkan kocek aku ni. Dengan gaji aku yang sebanyak ni, nak bayar macam-macam. Aku nak beli apa yang aku mampu sahaja," Zulfikar berkata jujur. Sahidi angguk. Dia tahu Zulfikar bukan orang yang suka berlagak. Walaupun dia ada peluang untuk berlagak, tapi dia tidak pernah menggunakan peluang itu. Setiap masa dia akan beritahu, dia pegawai rendah. Kereta besar itu milik isterinya, bukan hak dia.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering lagi. Sekali lagi dia melihat tulisan di skrin. Masih sama, ISTERIKU. Tangannya dengan cepat mematikan talian.

"Siapa?" tanya Sahidi.

"Siapa lagi, tuan keretalah..." jawab Zulfikar dengan senyum. Sahidi ikut tersenyum. Namun beberapa saat kemudian, bunyi isyarat pesanan ringkas (SMS) berdeting. Zulfikar menekan dan membaca dalam hati. Tiba-tiba wajahnya kemerahan. Tangannya menggigil. Dia seperti sedang terbakar dek api kemarahan yang menjulang!

"Kenapa Zul? Apa dia nak?" Sahidi merenung wajah Zulfikar. Perubahan wajah Zulfikar secara drastik itu amat membimbangkannya. Zulfikar tidak menjawab. Sebaliknya dia tunduk menahan gelodak rasa.

"Zul, bawa bertenang dan sabar. Berfikirlah dengan akal bukan dengan nafsu. Aku nak keluar ke tapak projek. Kalau ada apa-apa, kau telefon aku. Mana yang aku boleh tolong, aku akan tolong," Sahidi menepuk-nepuk bahu Zulfikar.

"Kalau betul kau nak tolong aku, kau tolong aku carikan sebuah kereta dengan segera," Zulfikar mengangkat muka dan menatap wajah Sahidi.

"Maksud kau?" Sahidi keliru.

Zulfikar tidak menjawab. Sebaliknya dia menghulurkan telefon bimbitnya. Sahidi mengambil huluran itu dan terus membaca apa yang baru di terima oleh Zulfikar itu.
"NAK BERLAGAK DENGAN SAYA YA? TAK SEDAR DIRI! MULAI HARI INI, JANGAN SENTUH HARTA SAYA LAGI!!

Sahidi terkedu. Sungguh kasar bahasa Shamira. Simpatinya kepada Zulfikar tiba-tiba melaut. Sebagai insan bernama lelaki, darahnya juga ikut terasa panas dan mengalir laju. Selama ini dia hanya mendengar dari mulut Zulfikar mengenai kelancangan, kurang ajar dan sikap kasar Shamira. Kadang-kadang dia cuak dan ragu-ragu akan kebenarannya. Namun sekarang, dia yakin sepenuhnya akan semua cerita Zulfikar itu. Semuanya tidak bohong. Semuanya benar belaka.

"Kalau macam ni, petang ni aku bawa kau jumpa kawan aku. Selalunya dia ada stok yang dah siap. Kau nak beli kereta apa?"

"Kan aku dah kata, Kancil cukuplah. Aku tak mampu kereta lain," jawab Zulfikar, masih muram.

"Baiklah. Aku pergi dulu. Kau tunggu sampai aku balik," Sahidi mencapai topinya dan berjalan keluar dari pejabat itu.

Zulfikar mengambil fail yang ada. Dia membelek-belek sekali lagi fail itu. Namun fikirannya yang kacau bilau menyebabkan perhatiannya tidak mampu ditumpukan kepada angka dan tulisan yang tercatit di kertas yang ada. Dia menutup semula fail itu dan termenung menopang dagu.
Dia mengenang keadaan dirinya. Lebih dua puluh tahun dia hidup bersama Shamira. Selama itu, dia cuba sedaya upaya menjadi suami yang baik dan penyayang. Dia rasa seluruh perhatian dan kasih sayangnya tertumpu pada keluarga dan rumah tangga.

Dia tahu perkahwinannya dengan Shamira bukan atas dasar cinta. Semuanya berlaku begitu cepat. Tanpa diduga dan tanpa dirancang. Semuanya diatur oleh temannya Abas, atas dasar simpati dengan nasibnya yang kehilangan Nik Anum.

Previous:
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.