Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,810
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 17

ZULFIKAR duduk dengan tenang. Cuba mencari kekuatan. Bayangan wajah Shamira dan Atikah cuba dinyahkan daripada fikirannya. Kemudian matanya melilau mencari Wan Mas. Dia teringat pada ungkapan Wan Mas sebelum dia masuk ke bilik Tuan Haji Razali Mat Zin tadi. Kini dia mula faham maksud kata-kata itu. Apa yang tersirat di sebalik yang tersurat mula dimengertikan.

“Zul, kenapa bos panggil kau? Ada masalah?” Sahidi muncul di hadapannya.

“Esok aku cuti.”

“Hah? Kau nak ikut cadangan Shamira ke klinik tu?”

Geleng. Wajah Zulfikar muram.

“Habis... kenapa kau nak cuti?” tanya Sahidi, hairan.

“Ini rahsia aku. Kalau sepanjang aku cuti, isteri dan anak-anak aku telefon, kau cakap tak tahu ajelah,” kata Zulfikar.

“Peliknya. Kenapa ni?” Sahidi semakin teruja.

“Aku kena pergi bercuti. Tuan haji minta aku ambil cuti. Shamira telefon dia suruh luluskan cuti untuk aku,” ujar Zulfikar. Kemudian diceritakan semua perbincangan antara dia dengan Tuan Haji Razali.

“Ya Allah! Betul ke, Zul?”

Zulfikar mengangguk.

Sahidi mula faham duduk perkara.

“Aku malu, Di. Tak pernah aku rasa malu macam hari ni.” Zulfikar menarik nafas panjang, kemudian dilepaskannya.

“Kau malu kenapa?”

“Perbuatan Shamira itu melampau! Dia sengaja nak jatuhkan maruah aku sebagai suami dan sebagai lelaki. Dia sengaja nak gunakan kuasa dan kedudukannya pada diri aku.” Suara Zulfikar kedengaran bergetar.

Ketika itu Wan Mas melintas di hadapan mereka.

“Wan, sini sekejap!” panggil Zulfikar.

Wan Mas menghampiri. Wajahnya terkesan gelisah dan bimbang.

“Ada apa, Encik Zul?”

“Saya nak tanya awak. Tolong jawab dengan ikhlas. Apa maksud kata-kata awak sebelum saya masuk ke bilik bos tadi?” tanya Zulfikar sambil matanya tidak lepas merenung Wan Mas hingga wanita itu semakin gelisah.

“Tak ada apa-apa.”

“Kalau tak ada apa, kenapa awak suruh saya bersabar? Mesti isteri saya ada beritahu awak apa-apa. Cakaplah, Wan...” desak Zulfikar.

Wan Mas tunduk mencari ilham. Zulfikar dan Sahidi menunggu.

“Apa yang isteri saya cakap pada awak? Cakap, Wan!” sergah Zulfikar, sedikit keras.

“Dia cuma cakap, dia nak telefon tuan haji dan suruh luluskan cuti Encik Zul. Dia kata esok Encik Zul ada temu janji dengan doktor. Itu saja,” jawab Wan Mas.

“Habis... yang awak suruh saya sabar tu kenapa?”

Wan Mas menggelabah. “Sebab... sebab... saya simpati dengan Encik Zul.” Dia teragak-agak.

“Simpati? Simpati kenapa?”

“Puan Shamira kata Encik Zul ni mengalami gangguan jiwa,” jawab Wan Mas, perlahan dan berhati-hati.

Boom!

Zulfikar menepuk meja.

Wan Mas terkejut. Mukanya pucat.

Sahidi juga terkejut. Dia tahu tahap kemarahan Zulfikar sedang memuncak. “Zul, sabarlah...”

Zulfikar tunduk. Dia beristighfar, menghalau iblis yang sedang menyalakan api amarah.

“Saya tak akan ambil cuti esok. Awak pergi telefon isteri saya, cakap macam tu dengan dia. Pergilah...” Zulfikar berkata keras kepada Wan Mas. Dengan tergesa wanita itu meninggalkan meja Zulfikar.

“Kenapa kau suruh dia cakap macam tu?” tanya Sahidi selepas Wan Mas tiada.

“Aku nak buat dia gila esok.”

“Maksud kau?”

“Tuan haji suruh aku bercuti seminggu. Aku akan pergi ke satu tempat yang mereka tak tahu. Esok mesti telefon di ofis ini akan berdering, cari aku,” jawab Zulfikar.

Sahidi mengangguk. Dia mula faham.

“Tapi, aku nak ke mana ya?” tanya Zulfikar. Dia termangu-mangu, bingung. Dia jarang bercuti sendirian. Dia jarang ke mana-mana tanpa keluarganya.

“Baliklah ke kampung, tinggal dengan mak kau untuk sementara waktu,” usul Sahidi.

“Tak boleh. Aku tak boleh menyusahkan mak aku. Shamira pasti akan cari aku di sana. Dia pasti akan datang menyerang aku depan mak aku. Aku mesti pergi ke suatu tempat di mana mereka tak akan dapat cari aku.”

“Kalau macam tu, kau pergi sewachalet atau hotel.”

Zulfikar berfikir dan menimbang-nimbang. Tiba-tiba dia tersenyum.

“Pantai Bisikan Bayu!” kata Sahidi sambil mengangkat jari lalu membuat isyarat bagus kepada Zulfikar.

“Eh! mana kau tahu apa yang ada dalam otak aku ni?” tanya Zulfikar, menyengih.

“Aku bukan kenal kau sehari dua. Aku bukan tak tahu kisah cinta kau di pantai itu,” jawab Sahidi dengan senyum.

Zulfikar ketawa, terbahak. Kali ini dia rasa aman dan tenang. Desiran angin Pantai Bisikan Bayu seperti sedang menerjah kuping telinganya. Asyik dan menyegarkan.

“Kau bolehlah bahagia di sana lepaskan rindu lama kau tu. Aku juga yang kena menanggung derita kat sini,” sambung Sahidi. Dia senang melihat wajah ceria Zulfikar hari itu.

“Kenapa pula?”

“Sebab bala Shamira akan menimpa kepala aku esok dan hari-hari seterusnya selama seminggu kau tak ada.”

“Kesian kau!” Ketawa Zulfikar semakin kuat. “Asal kau jangan pecah rahsia sudahlah! Hanya kau dan tuan haji yang tahu aku bercuti.”

“Kau boleh percayakan kami. Pergilah. Tenangkan jiwa kau. Dalam pada itu, kau perlu cari kekuatan diri dan perisai,” kata Sahidi.

“Kenapa?” Zulfikar tertoleh-toleh.

“Sebab bila kau balik, kau akan berdepan dengan perang dunia ketiga atau langsung kepada perang dunia keempat dan kelima...” jawab Sahidi sangat perlahan.

Zulfikar senyum. Itu adalah perkara yang sedia ada dalam kepalanya. Namun dia sudah nekad. Apa hendak jadi, jadilah. Dia tidak akan berundur lagi!

“Kenapa kau senyum?” tanya Sahidi, keliru.

“Aku dah sedia dengan segala senjata dan bom untuk berperang. Tak akan ada tolak ansur dan perundingan lagi!” tegas Zulfikar.

Sahidi terangguk-angguk dengan senyuman juga.

“Kenapa kau senyum? Kau ingat aku main-main? Atau kau ingat aku tak berani nak lawan Shamira?”

“Bukan. Aku senyum sebab aku kagum dengan perubahan kau. Kalaulah dari dulu kau seberani ini, tak sempat Shamira nak buli kau selama berpuluh tahun,” jawab Shahidi dengan jujur.

Zulfikar sedar apa yang diucapkan oleh Sahidi itu benar belaka.

“Tapi aku rasa musykil sikit,”

“Apa dia?” Zulfikar segera menoleh.

“Macam mana dalam masa sekelip mata, kau berubah. Perubahan yang amat mendadak. Sebab itu Shamira kata kau sakit jiwa,” jawab Sahidi.

Zulfikar senyum. Dia menyimpan jawapan itu dalam hatinya. Hanya dia yang rasa. Hanya dia yang tahu sebab musababnya. Kali ini dia tidak berminat untuk menjawab kemusykilan Sahidi. Dia membiarkan Sahidi tertanya-tanya.

Zulfikar balik kerja lebih awal dari biasa. Dia memang sudah merancang akan segera keluar dari rumah sebelum Shamira balik. Dia tidak mahu bertembung dan menjawab soalan demi soalan daripada Shamira.

Sampaidi rumah, dia mengemas pakaian dan barang-barang keperluannya dengan cepat. Dicapainya mana yang dirasakan perlu. Semuanya diisi di dalam beg besar lalu dimasukkan ke dalam kereta dengan segera.

Setelah semuanya selesai, dia segera mandi dan menunaikan solat asar. Selepas itu, dia segera berpakaian. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat meninjau ke dapur dan mencapai bungkusan biskut, kek dan roti untuk bekalnya sepanjang jalan.

Ketika enjin kereta mula dihidupkan, sebuah teksi berhenti di hadapan pagar. Atikah keluar dengan sebuah beg besar. Zulfikar panik seketika. Dia menarik nafas. Dia cuba bertenang dan berlagak selamba.

“Babah nak ke mana?” tanya Atikah selepas teksi itu berlalu pergi.

“Nak keluar sekejap.”

“Jangan balik lambat sebab mama dah pesan suruh Ikah ajak babah k

Zulfikar angguk.

“Lagi satu, babah kena tidur awal untuk pemeriksaan esok.”

Angguk lagi. Kemudian Zulfikar menekan pedal minyak dan berlalu meninggalkan halaman rumah itu dengan hati yang sebal. Atikah sudah semakin dewasa. Dia merupakan mahasiswi tahun akhir jurusan ekonomi di sebuah universiti tempatan. Selepas tamat belajar, dia akan bekerja dan berkahwin. Dia akan berpindah ke rumah sendiri. Muhamad Afiq pun begitu.Tahun ini dia sudah lapan belas tahun. Sedang menjalani kursus matrikulasi. Beberapa tahun lagi akan habis belajar dan mulakan hidup sendiri.Yang akan tinggal di rumah besar itu nanti hanya dia dan Shamira.

Alangkah baiknya kalau Mak Senah sudi tinggal bersamanya. Tidaklah dia risau akan kesejahteraan ibunya itu. Tapi hal itu tidak mungkin akan berlaku.

“Biar mak mati kering di rumah sendiri, mak tak akan tinggal dengan kau, Zul. Bukan mak tak sayang kau, tapi mak tak akan tahan dengan kerenah bini kau tu. Sekarang kerenah tu dah berjangkit pula pada Atikah.”

Itu kata Mak Senah ketika Zulfikar mengajaknya tinggal bersama. Sejak itu dia tidak pernah lagi menyentuh hal itu. Dia akur dengan keadaan hidupnya.

Selepas keluar dari taman perumahan itu, hatinya tiba-tiba berasa lapang dan lega. Dia memandu menghala ke kampungnya. Dia perlu memaklumkan semuanya kepada Mak Senah sebelum dia ‘menghilangkan’ diri.


Previous: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.