Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,201
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 16

Hajah Afida pejamkan mata. Dia menarik nafas berulang-kali. Dia cuba memujuk hati supaya bertenang.

“Fian, sabarlah. Nanti mama ajak Kak Sara ke sana.”

“Mama nak datang? Abah macam mana? Fian tak nak mama dimarahi. Tak apa. Fian boleh jaga Sya. Fian cuma nak beritahu saja,” tingkah Affian.

“Abah dah izinkan mama tengok Sya. Fian tunggu ya. Mama telefon Kak Sara dan Abang Is dulu,” balas Hajah Afida.

Dia segera matikan talian. Kemudian dengan cepat pula dia menelefon Qaisara. Semua yang terjadi diceritakan.

“Alhamdulillah... kalau macam tu, esok Sara ambil mama,” kata Qaisara.

“Bukan sekarang?”

“Mama, pergi sekarang pun bukan boleh masuk. Esok masa melawat kita pergilah.”

Hajah Afida diam.

“Mama jangan risau sangatlah. Kalau Fian dah bawa dia ke hospital, tak perlu bimbang lagi. Doktor tahu nak buat apa,” pujuk Qaisara.

Akhirnya Hajah Afida akur. Dia terpaksa bersabar menunggu hari esok. Lagipun, dia hanya diberi izin keluar rumah hanya ketika Haji Hasnan tiada di rumah. Kalau dia ada, maknanya Hajah Afida tidak boleh ke mana-mana. Dia perlu melayan suami!

Keesokan paginya selepas menyiapkan sarapan untuk Haji Hasnan, Hajah Afida segera bersiap-siap. Dia keluar dari bilik ketika Haji Hasnan sudah duduk mengadap sarapan.

“Ni nak ke mana bersiap pagi-pagi ni?” tanya Haji Hasnan.

Hajah Afida menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu memulakan cakap. Dia sudah ditanya, hanya perlu menjawab sahaja.

“Saya nak ke hospital, tengok Sya. Dia pengsan malam tadi. Abang nak ikut?” Hajah Afida mempertaruhkan perasaannya untuk mengajak. Jawapannya memang sudah diketahui. Namun dia masih ingin menduga.

“Huh! Buang masa!” rengus Haji Hasnan dengan kasar. Dia menghabiskan makanannya dengan cepat. Dengan muka masam, dia bangun dan meninggalkan meja makan.

“Jangan tak ingat nak balik pulak!” sindir Haji Hasnan ketika kakinya melangkah keluar dari pintu.

Hajah Afida menelan nasi goreng yang disuapnya dengan payah. Sejak malam tadi, hanya wajah Qisya yang terbayang di ruang matanya.

Setengah jam kemudian, Qaisara sampai.

“Abah dah pergi kerja, mama?”

“Dah. Bukan main masam lagi,” jawab Hajah Afida.

“Biarlah dia nak masam asalkan dia izinkan mama pergi. Itu dah cukup baik,” balas Qaisara, menyengih.

Hajah Afida mengiakan dalam hati. Memang benar. Dia sudah tidak peduli kalau Haji Hasnan mahu menyindir atau bermasam muka dengannya. Yang penting, dia sudah mendapat kata izin yang ditunggu selama berbulan-bulan.

“Dah siap ke stokin yang mama kait tu?” tanya Qaisara ketika terpandang benang-benang kait tersusun dalam sebuah kotak.

“Tinggal sikit lagi. Mama curi-curi mengait. Mama takut abah marah. Mama bimbang kalau dia buang semuanya nanti.”

Qaisara merenung wajah ibunya dengan mata belas. Kemudian dia mengkagumi ketaatan dan kesetiaan mamanya selama ini.

“Jomlah Sara. Mama dah tak sabar nak jumpa Sya ni,” ajak Hajah Afida dengan senyuman senang. Di tangannya sudah terbimbit sebuah mangkuk tingkat.

“Mama bawa apa untuk Sya?”

“Bawa bubur nasi dengan ikan bilis. Mana tahu dia selera nak makan.”

Mereka keluar dan mengunci pintu. Qaisara memandu dengan hati-hati sementara Hajah Afida diam mengelamun.

Sesampainya di hospital, Qisya sedang menyandar di katil dan Affian sedang menyuakan sesudu nasi ke mulutnya. Namun Qisya menolaknya.

“Sya tak selera.”

“Makanlah sikit Sya,” pujuk Affian.

“Nanti Sya muntah lagi,” balas Qisya pula.

“Mungkin Sya nak makan bubur nasi dengan ikan bilis masakan mama. Ini ada mama bawakan untuk Sya,” kata Hajah Afida dari belakang Qisya.

Dengan cepat Qisya menoleh. Wajahnya berubah.

“Mama!” jerit Qisya dengan sebak.

“Maafkan mama kerana lambat datang anakku,” kata Hajah Afida sambil memeluk dan mencium Qisya dengan penuh rindu.

“Mama, Sya rindukan mama dan abah. Kenapa abah tak datang?”

“Sya jangan minta yang lebih dari apa yang mama mampu buat. Sya tahu abah tu macam mana.”

“Mama datang ni abah tak tahu?”

“Abah izinkan mama datang tengok Sya. Kita kena bersyukur kerana ALLAH dah lembutkan sikit hati dia,” jawab Hajah Afida, tersenyum senang. Qisya mengucap syukur.

“Mari, mama suapkan Sya bubur ni. Cucu mama tentu dah lapar,” kata Hajah Afida.

Qisya rasa seleranya muncul. Dia rasa semangatnya kembali kuat.


Previous: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.