Home Novel Keluarga BERTAUTLAH KIAMBANG
BERTAUTLAH KIAMBANG
Fida Rohani
11/4/2014 18:18:30
44,198
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 5

Qisya semakin resah. Tumpuan kepada pelajaran terganggu seketika. Dia banyak berdiam diri dan termenung. Fikirannya kacau bilau dengan keputusan mama dan abahnya. Juga dengan keputusan keluarga Affian.

Sungguh buntu.

“Dia boleh keluar dari rumah ini, kalau dia masih berdegil!”

Itu kata-kata abahnya.

“Sya, fikirlah sekali lagi. Mama sayang Sya. Mama tak nak semua ini berlaku. Sya tahu akibatnya kalau melanggar perintah abah. Mama belum bersedia nak berpisah dengan Sya.”

Itu pula kata mamanya, yang diiringi dengan esakan kecil. Hatinya tersayat pilu. Pendiriannya sedikit goyah melihat air mata itu. Perlukah dia menyakiti hati orang yang sudah melahir dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang?

Sungguh dia tidak sanggup. Sungguh dia keliru. Namun, apa yang mampu dilakukannya. Semuanya sudah berlaku.

“Sya, Fian hanya ada Sya saja. Kalau Sya tinggalkan Fian sekarang entahlah apa akan jadi dengan diri Fian ni.”

“Fian boleh balik semula ke rumah itu. Mereka halau Fian kerana Fian nak kahwin. Mereka bukan benci Fian, tapi mereka tak suka rancangan kita.”

“Kalau pun Fian tak kahwin, Fian tak akan diterima seperti dulu lagi. Fian dah sakitkan hati ibu dan ayah kerana cinta. Fian tak akan balik lagi ke rumah itu.”

Kata-kata Affian lebih membebani fikiran Qisya.

Kalau dia ikut cakap mama dan abahnya, bermakna dia kena tinggalkan Affian. Sedangkan Affian telah dihalau dari rumah gara-gara dia. Kalau dia memilih untuk berkahwin, bermakna dia terpaksa tinggalkan keluarganya.

Berhari-hari dia berfikir dan menimbang buruk baiknya. Akhirnya, cinta mengatasi segalanya. Qisya membuat keputusan mengikut kata hatinya. Dia ingin menjadi isteri Affian!

“Mama, tolonglah. Walau apa yang terjadi, Sya mesti kahwin dengan Fian. Ini keputusan muktamad Sya. Tolong pujuk abah untuk mewalikan Sya. Tolonglah ma,” rayu Qisya.

Hati Hajah Afida retak. Dia ingin mengatakan tidak. Namun dia tidak upaya menghampakan hati seorang anak.

“Sya, kalau itu keputusan Sya mama tak boleh nak kata apa. Walaupun mama kecewa namun mama tak mampu nak halang Sya. Ini soal hidup dan masa depan Sya.” Hajah Afida menahan sebak. Tidak berdaya dia membayangkan apa yang akan berlaku selepas itu.

“Ma, Sya minta ampun kerana terpaksa lukakan hati mama. Sya sayangkan mama. Tapi Sya juga sayangkan Affian. Berilah Sya peluang menentukan masa depan Sya sendiri,” kata Qisya sambil menarik tangan Hajah Afida dan menciumnya. Air matanya merembes.

Hajah Afida jatuh belas. Dia menyapu air mata anaknya. kemudian dia menarik tubuh Qisya dan memeluknya erat. Terasa begitu cepat masa berlalu. Qisya sudah mula dewasa. Dia sedang menuju kepada alam kehidupan yang sebenar.

“Mama akan cuba. Tapi, Sya jangan letak harapan yang tinggi sangat. Sya tahu macam mana sikap abah kan? Dia keras hati dan tak ada belas kasihan. Kalau dia dah kata putih, selamanya tetap putih dan tak akan jadi warna lain.”

Qisya angguk.

Malam itu, Hajah Afida mempertaruhkan dirinya demi Qisya. Dia duduk bersimpuh di hadapan suaminya Haji Hasnan. Dia merendahkan dirinya. Dia perlahankan suaranya lalu disampaikan sekali lagi hajat anaknya.

“Jadi, awak pun suka budak tu kahwin?” Haji Hasnan membeliakkan matanya.

“Suka tak suka, kita kena terima keputusan dia, bang.”

“Tidak! Kalau saya kata tidak, maknanya selamanya tidak. Saya tak akan walikan dia. Dia nak pergi, biarkan dia pergi.” Suara Haji Hasnan bergema kuat.

“Abang, kita kena berfikir dengan waras.”

“Apa, awak ingat saya dah gila ke?” Haji Hasnan menjadi semakin marah.

Hajah Afida tunduk. Dia tahu dia sedang berdepan dengan saat getir. Demi Qisya, dia terpaksa menerobos benteng kemarahan Haji Hasnan.

“Yang awak ni, beria-ia sangat nak suruh saya walikan budak tu kenapa?”

“Budak mana? Dia anak kita bang.”

“Anak yang tak kenang budi. Anak yang engkar!”

“Pun masih anak kita. Sebusuk mana dan sejahat manapun dia tetap darah daging kita. Takkan kita nak biarkan dia terus macam tu?”

“Kalau dia nak terus tinggal di sini, dia kena batalkan niatnya. Dah berapa kali saya cakap, kenapa awak masih tak faham-faham?” jerkah Haji Hasnan.

Hajah Afida diam. Dia membiarkan seketika suasana sepi dan kemarahan suaminya reda. Sementara itu dia sedang meredakan hati sendiri. Hati seorang ibu yang sayangkan anaknya. Hati seorang isteri yang taat pada suaminya.

Sehari menjadi seminggu. Seminggu akhirnya menjadi sebulan. Keputusan tegas Haji Hasnan masih tidak berganjak.

“Kalau abah masih tak nak walikan Sya, mungkin Sya terpaksa juga ikut Affian berkahwin di Thailand. Sya tak nak tunggu lagi. Lagi lama kami tunggu, lagi kusut fikiran kami. Sedangkan tak lama lagi kami nak exam.”

“Sya, sabarlah. Berilah sedikit masa lagi pada mama untuk merayu.”

“Sya kesian kat mama, asyik kena marah dengan abah. Sya bersalah pada mama,” kata Qisya perlahan.

Hajah Afida senyum nipis. Wajah anaknya direnung dengan mata berkaca. Genangan air jernih mula memenuhi birai mata.

“Mama, Sya tak boleh undur lagi kerana Fian sendiri sudah dihalau oleh keluarganya. Sya kena bertanggungjawab. Maafkan Sya...” Qisya memeluk Hajah Afida.

“Sya, kamu masih baru dalam hidup. Masih banyak ranjau yang perlu Sya lalui. Mama bimbang kalau Sya kalah dalam hidup ini,” kata Hajah Afida membelai rambut Qisya yang mengurai jatuh ke bahunya.

Giliran Qisya pula diam.

“Tak apalah. Kalau Sya rasa pilihan ini boleh buat Sya gembira dan bahagia, mama akan cuba korbankan kegembiraan mama. Sya sabar ya. Malam ni mama akan pujuk abah lagi. Di samping itu, Sya buatlah solat hajat dan berdoa agar hati abah lembut. Mama tak sanggup nak biarkan Sya berkahwin di Thailand. Macam tak ada keluarga. Selagi mama hidup, mama tak akan benarkan!” tegas Hajah Afida.

Malam itu seperti yang dijanjikan dengan Qisya, Hajah Afida bersimpuh lagi di hadapan suaminya. Kali ini dia amat mengharapkan simpati Haji Hasnan.

“Abang, Ida tak pernah minta apa-apa dari abang. Kali ni Ida nak minta sesuatu dari abang. Tolonglah tunaikan permintaan Ida ni,” kata Hajah Afida sambil menggenggam tangan Haji Hasnan.

Haji Hasnan merenung wajah Hajah Afida. Seperti ditarik kuasa aneh, dia mengangguk perlahan.

“Ida tahu abang tak suka dengan permintaan ini. Tapi, tolonglah. Untuk sekali ini sahaja.”

“Cakaplah. Apa nak berbelit-belit ni?”

“Ida nak abang walikan Qisya. Biar dia kahwin dan pergi. Kita tak boleh nak biarkan keadaan tergantung begini.”

“Jadi, awak nak saya mengalah dengan permintaan gila dia tu?”

“Bukan mengalah, tapi menjalankan kewajiban sebagai ayah. Walau hati kita tak suka, kita kena hadapi. Kalau terjadi apa-apa pada mereka, kita yang akan menyesal. Lebih baik ikat mereka dengan akad nikah daripada membiarkan mereka ke hulu ke hilir tanpa nikah.”

Haji Hasnan diam. Namun matanya masih merenung tajam ke arah Hajah Afida.

“Tolong penuhi permintaan Ida ni bang. Kalau bukan untuk Qisya, abang buatlah untuk Ida. Sebagai ibu, Ida tak sanggup nak tengok anak Ida terumbang-ambing begitu. Mari kita lepaskan dia dengan baik walaupun hati kita sakit.”

Suasana menjadi sepi. Haji Hasnan mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Kotak fikirnya tiba-tiba menjadi lebih serabut dan hatinya bertambah sakit. Dia bangun dan meninggalkan Hajah Afida tanpa jawapan.

Titik-titik air mata menitis perlahan di pipi seorang ibu. Hajah Afida menangis sekali lagi. Entah untuk kali ke berapa. Dia sudah tidak mampu mengira.

Sepanjang malam itu, dia bersimpuh pula di atas sejadah. Dia menunaikan solat hajat. Dia mohon ALLAH berikan hak Qisya sebagai anak. Dia minta ALLAH lembutkan hati seorang ayah.

“Kalau memang ini jodoh dia, maka KAU permudahkanlah semua urusan ya ALLAH. Sesungguhnya aku hamba-MU yang sangat lemah.”

Bengkak matanya kerana menangis. Sampai ke subuh dia berzikir dan berdoa. Dia serahkan seluruh harapannya kepada ALLAH.

“Buat apa awak nak menangis macam ni? Pergi suruh dia isi borang wali hakim. Saya akan tanda tangan borang itu. Saya tak akan ke majlis nikah itu. Itu saja yang boleh saya bantu awak. Saya buat ni kerana awak, bukan kerana dia!” jerkah Haji Hasnan selepas dia terdengar esakan Hajah Afida dalam samar dinihari.

“Alhamdulillah...” ucap Hajah Afida sambil menengadah ke langit. Dia bersyukur kerana ALLAH makbulkan doa sucinya.

“Terima kasih bang. Itupun dah cukup buat saya dan Qisya. Saya tak akan malukan abang. Saya akan atur majlis itu dengan baik dan saya akan jaga maruah dan nama baik abang,” kata Hajah Afida memegang lutut Haji Hasnan.

Dia rasa sangat gembira dan bahagia. Berita itu seperti ubat yang menyembuhkan resahnya.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.