Home Novel Islamik JIHAD MARDINA
JIHAD MARDINA
Fida Rohani
4/2/2014 23:36:59
20,606
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 7

Sabda Rasulullah s.a.w : Sebaik-baik rumah dikalangan rumah orang-orang Islam ialah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim yang diperlakukan dengan baik. (riwayat Ibnu Majah)

-7-

Akhirnya Mardina bersedia untuk menerima tugas dan tanggungjawab di HE Holdings sebuah syarikat hartanah yang kukuh dan kini semakin melebar sayapnya. Dia muncul di pejabat HE Holdings dengan langkah tenang dan penuh wibawa.

Datuk Iskandar pula agak kurang senang dengan pakaian Mardina, namun dia cuba berlagak tenang. Dia tidak mahu rasa hatinya mampu dihidu oleh semua pekerjanya. Dan dia yakin, Mardina akan membuang pakaian menutup auratnya itu bila sudah mula bekerja.

Satu taklimat ringkas diberikan oleh Datuk Iskandar kepada semua ketua jabatan mengenai perlantikan Mardina dan penyerahan kuasa Datuk Iskandar.

“Terima kasih di atas kehadiran semua. Tujuan saya panggil kamu semua ialah kerana saya nak kenalkan anak sulung saya Mardina. Mulai hari ini saya akan serahkan tugas mentadbir syarikat ini kepada beliau. Diharap anda semua dapat berikan kerjasama kepada beliau sebagaimana yang anda telah berikan kepada saya,” kata Datuk Iskandar semasa taklimat ringkas itu. Mardina termenung lama.

“Apa yang Dina fikirkan?”

“Dina ni baru dalam dunia ni. Bolehkah Dina pikul tanggungjawab ni?”

“Dina perlu belajar. Pegawai-pegawai yang ada tu orang-orang yang dah lama bekerja dengan syarikat ini dan cukup berpengalaman. Takkan ada masalah apa-apa,”

“Habis papa?”

“Papa ada tugas baru yang nak dibuat. Syarikat yang Syita uruskan sekarang perlukan perhatian papa. Syarikat itu baru dan masih belum kukuh. Papa akan carikan pelabur dan pelanggan untuk menguatkannya,” kata Datuk Iskandar dengan senyum. Mardina tunduk diam.

“Tak payah bimbang. Papa akan pantau Dina nanti. Kalau ada masalah, Dina boleh rujuk dengan papa,” kata Datuk Iskandar dengan senyum. Senyum itu sebenarnya menyimpan sejuta harapan. Dia tahu dengan menyerahkan semua urusan syarikat kepada Mardina, menjadikan Mardina sibuk. Mungkin itu cara yang terbaik untuk menarik Mardina keluar dari dunia fantasinya. Cita-cita Mardina ingin membuka sebuah rumah kebajikan itu dirasakan satu keinginan yang tidak masuk akal.

Mardina pula menerima tugas dan tanggungjawab itu dengan segala senang hati. Dia tahu dia belum berpengalaman. Dia hanya ada ijazah perniagaan. Dia ada teori, bukan praktikalnya. Namun dia tidak mahu menjadikan hal itu sebagai masalah yang memberatkan kepalanya.

Kalau Datuk Iskandar cuba mematikan niat dan hajat Mardina, Mardina pula tidak mahu melengahkan hajat dan hasratnya itu. Dia tidak mahu mencari alasan untuk menghentikan apa yang sudah dimulakannya.

“Dia akan terlupa akan cita-cita gilanya tu,” bisik Datuk Iskandar kepada Datin Marisa.

“Insya-Allah, tidak lama lagi semuanya akan siap. Rumah impian Dina tu akan berdiri megah. Semuanya rancangan berjalan dengan baik, Mak Leha,” bisik Mardina kepada Mak Leha.

Mardina rasa lega dan lapang kerana semuanya akan terpenuh dalam masa yang terdekat. Cita-cita Siti Fatimah akan tegap nyata bersama usahanya. Dia tidak akan menoleh lagi. Perjalanan akan diteruskan. Rumah yang dibeli sudah siap untuk diduduki.Semua urusan dengan pihak berwajib juga sudah selesai dengan baik. Bermakna sebahagian dari tugas sudah terlaksana. Hanya menunggu kehadiran petugas dan penghuni.

Datuk Iskandar dan Datin Marisa tidak tahu.

Sejak seminggu, Mardina sudah mengiklankan jawatan kosong untuk beberapa orang petugas wanita. Namun, baru hari itu dia menerima panggilan telefon dari dua orang gadis yang berminat.

“Baik. Awak boleh datang ke alamat tersebut petang ini,” katanya sebelum mematikan telefon.

“Siapa Dina?” Tanya Mak Leha.

“Ada orang minta kerja. Dina dah buat iklan jawatan kosong untuk jawatan pembantu,” jawab Mardina dengan ceria.

“Pembantu? Untuk apa?”

“Mak Leha lupa ke mengenai rumah kebajikan Dina tu? Semuanya dah siap, tu yang Dina perlukan pembantu untuk menguruskan rumah tu nanti. Dina dah kerja dengan papa, mana ada masa nak uruskan sepenuh masa. Dina juga akan menggaji seorang ustazah untuk mengajar penghuni di rumah itu nanti,” jawab Mardina. Mak Leha menarik nafas lega.

“Cepatnya Dina buat semua ni?”

“Perkara yang baik tak boleh bertangguh. Allah pun tidak suka kita menangguh dan melengahkan masa. Mak Leha ingat surah Al-Asr, Allah dah ingatkan kita mengenai masa,” kata Mardina. Mak Leha masih tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

“Boleh Dina bawa Mak Leha ke sana?”

“Boleh..tak ada masalah.Petang ni kita ke sana. Kebetulan mereka berdua tu akan datang petang ni. Boleh kita bantu mereka kemaskan rumah itu,” jawab Mardina dengan senyum senang.

“Apa nama rumah tu Dina?” tiba-tiba Mak Leha bertanya.

“Rumah Nur Mukmin,”

“Kenapa Nur Mukmin?”

“Kerana bermula di situ, kita akan membentuk nur yang mukmin dalam diri setiap penghuni. Untuk melahirkan umat yang beriman mesti bermula dengan nur. Semuanya harus bermula dari awal,”

“Maksud Dina?”

“Yalah, kita perlu mencari nur Allah untuk membentuk insan mukmin,” jawab Mardina.Mak Leha diam. Harapan Mardina begitu murni dan yakin.

“Mak Leha, kenapa?”

“Tak ada apa. Mak Leha hanya kagum dengan usaha Dina ni.Mak Leha tak mampu nak tolong. Yang mampu hanya berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar,”

“Itu dah cukup untuk Dina.Dina perlukan doa itu. Papa dan mama mungkin tak akan mendoakan Dina. Terima kasih Mak Leha,” Mardina menarik tangan Mak Leha dan menciumnya.

“Untuk apa?” Mak Leha terpinga-pinga.

“Untuk doa Mak Leha dan untuk kasih sayang Mak Leha selama ini,”

Mak Leha menarik Mardina ke dalam pelukannya dan mengelus-ngelus anak rambut yang berjuntaian di dahi Mardina.

**

Petang itu seperti yang dijanjikan, Mardina membawa Mak Leha melihat rumah yang sudah dibelinya itu.Mak Leha seperti tidak percaya pada mata yang melihat.

“Dina..” Mak Leha memegang tangan Mardina dengan erat. Matanya bukan hanya terpaku pada rumah banglo itu, tapi pada sebuah papan tanda RUMAH NUR MUKMIN.

“Inilah rumah baru Dina. Inilah impian dan harapan Sylvia yang Dina cuba tunaikan,”

“Sylvia?”

“Siti Fatimah. Kawan yang Dina cerita hari tu..” jawab Mardina. Mak Leha angguk. Dia semakin kagum dan bangga dengan kesungguhan Mardina. Benar-benar Mardina telah mendapat hidayah Allah. Siapa sangka Kota London yang sering dianggap kota maksiat telah membuka jalan iman kepada Mardina. Tidak rugi Mardina ke sana.

Tidak lama, muncul dua orang gadis yang hampir sebaya. Mereka memperkenalkan diri. Seorang bernama Aisyah dan yang seorang lagi bernama Mastura.

“Kamu berdua kawan baik?” Tanya Mardina sambil meneliti wajah kedua-duanya.

“Ya. Kami kawan baik sejak di bangku sekolah rendah lagi puan,” jawab Aishah. Mardina merenung lagi. Tiba-tiba dia rasa tertarik dan senang dengan penampilan kedua-duanya.

“Panggil saja Kak Dina. Jadi kamu berdua berminat untuk bekerja di sini?”

“Kalau Kak Dina percayakan kami,” jawab yang bernama Mastura pula.

“Kakak sedang cari orang yang amanah dan jujur. Rumah ini akan dihuni oleh anak-anak yatim dan orang-orang tua. Mereka perlukan belaian dan kasih sayang juga perhatian. Jadi kakak nak cari orang yang boleh layan kerenah mereka dengan hati yang ikhlas. Orang yang tidak hanya harapkan gaji. Kita nak mencari keredaan Allah, nak cari pahala,” kata Mardina.

“Insya-Allah, kami akan lakukan dengan ikhlas kerana kami juga dah tak ada sesiapa di dunia ini. Selain mencari duit, kami juga nak cari kasih sayang sebuah keluarga,” jawab Mastura dengan tenang. Hati Mardina tiba-tiba tersentuh.

“Apa maksud Mastura?”

“Kami berdua ni sebenarnya anak yatim piatu yang sebatang kara di dunia ini. Keluarga kami terlibat dalam kemalangan jalan raya. Sebab itu kami mencari kerja yang tak pisahkan kami. Kami dah janji untuk bersusah senang bersama,” jawab Aishah sebelum sempat Mastura menjawab.

“Sebelum ni kerja kat mana?”

“Di sebuah kilang. Kami tinggal di asrama tapi suasana di situ tidak sesuai dengan kami,” jawab Aishah lagi. Mardina angguk perlahan. Mak Leha ikut angguk. Segunung belas dan simpati tiba-tiba meninggi di hati masing-masing.

“Kalau macam tu, Aishah dan Mastura anggaplah rumah ini rumah kamu. Di samping kamu mendapat gaji, buatlah kebajikan dengan tulus,”

Mastura dan Aishah mengangguk bersungguh-sungguh.Maknanya mereka bersetuju menerima tugas mengurus dan menjaga rumah itu. Hati Mardina senang. Kerjanya menjadi semakin mudah.

“Mas, Syah, kakak harap kamu buatlah rumah ini macam rumah kamu sendiri.Jaga rumah ini dan jaga penghuni rumah ini macam keluarga sendiri,”

“Insya-Allah kak. Kami berterima kasih kerana kakak sanggup mengambil kami bekerja di sini,” jawab Mastura dengan senyum.

“Kakak tak nak anggap kamu berdua sebagai pekerja. Kakak nak kita berganding bahu dan bekerjasama untuk memberikan perhatian dan kasih sayang kepada penghuni tempat ini nanti,” kata Mardina meneliti wajah mereka sekali lagi.

“Insya-Allah kak, kami pun tak ada keluarga. Jadi merekalah keluarga kami nanti,” kata Aisyah pula.

“Kalau macam tu, kamu tinggallah di sini. Bagaimana dengan barang-barang kamu?”

“Barang-barang kami ada di asrama. Kami akan ke sana untuk mengambilnya,”

“Nak kakak hantarkan?” tanya Mardina.

“Tak apalah kak. Kami boleh naik teksi,” jawab Mastura.

“Kak Dina..” tiba-tiba Aishah mencelah. Mardina menoleh ke arah gadis itu. Wajah itu nampak muram.

“Kenapa Aishah?”

“Bolehkah kami terus pindah ke sini hari ni juga?”

“Hmm..tapi kenapa?” Mardina rasa kurang senang dan keliru. Diam. Mastura dan Aishah saling berpandangan.

“Kalau ada masalah, kamu boleh cerita dengan Kak Dina. Kalau kamu tak ada keluarga, anggaplah kakak sebagai keluarga kamu,” ujar Mardina dengan lemah lembut. Dia faham ada satu kebimbangan dalam mata kedua-duanya.

“Kami dah tak selesa sangat-sangat untuk tinggal di sana. Maklum kami ni budak kampung, yang tak berpelajaran tinggi. Kami bimbang pada keselamatan diri kami,”

“Kakak tak faham,”

“Sejak sebulan di situ, banyak perkara mungkar yang kami lihat tapi kami tak ada kuasa nak halang. Kami tak sanggup nak dengar kisah mengandung tanpa nikah dan kes buang bayi..” Mastura berkata perlahan. Mardina tunduk. Dia langsung tidak terkejut dengan cerita itu. Saban hari di kaca tv dan di surat khabar memang banyak kisah-kisah seperti itu. Hanya ada sesuatu yang dia kurang faham dan kurang jelas.

“Jadi, kenapa kamu takut dan bimbang pada keselamatan kamu?” Tanya Mardina cuba mencari kepastian.

“Di situ juga ada satu sindiket pelacuran. Beberapa orang rakan kami dah terjebak. Kami tak mahu ikut terjebak dengan hal itu kak. Tolonglah kami..” tiba-tiba Mastura memegang tangan Mardina. Barulah semuanya jelas. Mardina mula mengangguk faham. Lama dia diam berfikir.

“Mak Leha, apa yang kita nak buat ni?” Mardina menoleh kepada Mak Leha yang sejak tadi hanya diam mendengar semua perbualan itu.

“Mak Leha rasa, lebih baik Dina hantar mereka ke asrama dan ambil barang-barang mereka hari ni juga. Bukan apa, mungkin mereka tak selamat pergi sendiri. Manalah tahu..” kata Mak Leha. Mardina angguk berkali-kali. Ada benarnya kata-kata Mak Leha itu. Kalau benar di asrama itu ada sindiket seperti itu, sudah tentu ada orang dalam yang terlibat dan akan menghalang Mastura dan Aishah keluar dari situ.

“Kalau macam tu, marilah kita ke sana,” ajak Mardina.

“Tapi kak..tidakkah ini menyusahkan kakak?” Aishah menjadi serba salah.

“Kalau terjadi apa-apa pada kamu berdua, kakak lagi susah nanti. Dah, jangan fikir banyak. Mari kita pergi sebelum hari malam,” kata Mardina sambil berjalan keluar dari rumah itu, diekori oleh Mak Leha, Mastura dan Aishah.

Dengan panduan arah yang diberikan oleh Aishah dan Mastura, Mardina memandu dengan penuh hati-hati.

“Mungkin ada masalah untuk masuk ke kawasan asrama itu,” kata Mastura.

“Masalah macam mana?” Tanya Mardina sambil memandu.

“Ada pengawal keselamatan di pintu pagar. Selalunya mereka akan mengawal ketat orang yang keluar masuk. Kami rasa mereka sebahagian dari ahli sindiket itu,”

“Mana Mastura tahu?”

“Entahlah..kami hanya syak,”

“Tak boleh syak tanpa bukti. Kenapa hal ini tidak dilaporkan kepada polis?”

“Semua tak berani kak,” jawab Mastura lagi. Kali ini Mardina tidak menyoal lagi.

Tidak lama, mereka sampai ke tempat yang di tuju. Memang benar apa yang dikatakan oleh Aishah dan Mastura. Di pintu pagar, mereka dihalang masuk. Mardina terpaksa campur tangan ketika dia melihat Mastura dan Aishah lama bertegang urat dengan seorang pengawal keselamatan. Akhirnya semua berjalan dengan baik. Mereka berjaya masuk dan keluar dari situ dengan selamat.

Mastura dan Aishah telah selamat di Rumah Nur Mukmin.

Selepas menunaikan solat Maghrib, Mardina meninggalkan Rumah Nur Mukmin. Dia berhajat membawa Mak Leha makan saja di sebuah restoren. Dia kasihan melihat Mak Leha yang keletihan kerana sepetang itu mereka sibuk mengguruskan hal Mastura dan Aishah.

“Kita makan di rumah saja Dina. Mak Leha dah masak,” kata Mak Leha menolak ketika kereta sudah berhenti betul-betul di hadapan restoren.

“Sekali-kali kita makanlah di luar,”

“Dina jemu dengan masakan Mak Leha?”

“Ish, bukan macam tu. Dah terlanjur kita keluar. Lagi pun, Dina kesian tengok Mak Leha. Kita dah letih. Sampai di rumah nanti, hanya solat dan tidur saja,”

“Tapi..” Mardina terus menarik tangan Mak Leha sebelum sempat wanita itu menghabiskan kata-katanya. Mereka masuk dan duduk dengan selesa. Kemudian mereka memesan makanan dan minuman. Sementara menunggu pesanan sampai, Mardina termenung. Terlalu banyak perkara yang berputar di fikirannya ketika itu. Pertengkaran kecil dengan pengawal keselamatan di asrama itu masih mengganggunya.

“Cik tak boleh bawa mereka keluar dari sini,”

“Kenapa tak boleh. Mereka dah tak kerja di sini lagi dan mereka berhak keluar dari sini. Pihak syarikat tak berhak nak tahan mereka,”

“Tapi mereka masih terikat dengan syarat asrama ini,”

“Syarat apa?”

“Setiap penghuni yang ingin keluar dari asrama perlu menunjukkan surat izin dari pihak majikan. Kalau tidak, kami tak boleh lepaskan,”

“Mana ada macam tu. Pihak kilang yang suruh kami keluar kerana kami dah tak kerja lagi. Bilik kami itu akan diberikan kepada pekerja baru,” tiba-tiba Mastura mencelah. Dia tahu semua itu adalah putar belit pengawal itu. Diam. Pengawal itu kemudian mencapai gagang telefon dan cuba mendail. Mardina mendekat, seolah-olah ingin mendengar apa yang akan dikatakan. Lelaki itu meletakkan semula gagang.

“Telefonlah, biar saya cakap sendiri. Ini anak buah saya, kenapa saya tak boleh ambil dia keluar,” Mardina meninggikan suaranya. Lelaki itu semakin teragak-agak.

“Baiklah. Kalau encik masih keberatan membenarkan kami masuk, kami akan ke pejabat majikan untuk dapatkan surat,” kata Mardina bertegas. Wajah pengawal itu tiba-tiba berubah.

Mardina akhirnya tersenyum.

“Yang Dina senyum-senyum ni kenapa?” Mak Leha menepuk bahu Mardina.

“Dina terbayangkan wajah pucat pengawal keselamatan tu tadi,”

“Padan muka dia, nak tipu orang yang lebih pandai,” ujar Mak Leha dengan senyum juga.

“Tapi, Dina rasa betul juga sangkaan Mastura dan Aishah tu. Pengawal keselamatan tu ada hubung-kait dengan sindiket pelacuran yang dikatakan itu,”

“Dina, dahlah. Jangan fikir lagi hal tu. Mak Leha tak mahu Dina terlibat, bahaya!” kata Mak Leha memberi amaran.

“Tapi, kalau tekaan itu benar kita berdosa kerana membiarkan anak-anak gadis bangsa kita menjadi mangsa mereka. Sekurang-kurangnya kita kena buat laporan polis. Biar mereka yang buat kerja,” ujar Mardina. Mak Leha terdiam. Dia dihantui rasa bimbang dan risau yang amat sangat. Dia membayangkan bahaya yang sedang menanti Mardina.

“Mak Leha, tengok tepi jalan sana tu!” Kata Mardina tiba-tiba. Mak Leha menoleh ke arah yang ditunjukkan. Semua kerisauannya hilang.

“Mana?”

“Sana tu? Nampak tak?”

“Apa dia Dina?”

“Tengok mak cik tu! Ya Allah..kesiannya. Mak Leha tunggu sekejap, Dina pergi tengok,” Mardina bangun, terus berjalan ke arah itu. Mak Leha hanya menghantarnya dengan mata. Dia tahu ada sebuah taman kasih di hati Mardina yang begitu subur. Untuk itu dia berjanji dengan dirinya, untuk sama-sama membajai taman itu agar sentiasa sejuk menghijau. Mardina sudah mendapat petunjuk Allah. Dia akan membantu gadis itu berjalan lurus dengan petunjuk itu.

Langkah Mardina bernoktah di sisi wanita tua yangterbaring lesu di tepi jalan itu. Matanya terpenuh rasa simpati. Tasik hatinya pula melimpah dengan rasa belas.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.