Home Novel Islamik JIHAD MARDINA
JIHAD MARDINA
Fida Rohani
4/2/2014 23:36:59
20,608
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 5

Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya kerana kami hendak menguji siapakah diantara mereka yang lebih baik amalnya.

( Surah al-Kahfi ayat 7)

-5-

Hasim melangkah masuk ke ruang tamu dan terus duduk di sofa dengan wajah letih dan murung. Sebuah keluhan mendesah berat.

Puan Sri Asmat yang sedang membaca majalah di ruang tamu itu menoleh.Sekilas, dilihatnya wajah Hasim bertempek muram.

“Sim dari mana ni?”

“Tadi main golf dengan Alex sekejap. Lepas tu pergi jumpa Dina,”

Puan Sri Asmat meletakkan majalah yang sedang dibacanya.

“Ai! Balik jumpa tunang, wajah mendung macam nak hujan ni kenapa?” Puan Sri Asmat cuba bergurau. Namun hati Hasim tidak tercuit dengan gurauan itu. Tanpa menoleh, dia menyandarkan kepalanya ke sofa dan termenung. Kata-kata Mardina masih memenuhi ruang fikirnya.

“Dina pun dah balik. Bila lagi nak dilangsungkan perkahwinan kamu? Rasanya dah lama sangat kamu bertunang. Nak tunggu apa lagi? Makin hari umur kamu bukan makin muda,” kata Puan Sri Asmat.

“Entahlah mak…” tiba-tiba Hasim mengeluh.

“Apa yang entahnya. Kalau kamu setuju, biar mak dan ayah bincang hal ini dengan keluarga Dina tu. Tahun ni, kita pun tak sibuk sangat. Dapatlah tumpukan masa pada majilis kamu tu nanti,” kata Puan Sri Asmat lagi.Diam. Hasim terus termenung. Kata-kata Mardina masih belum mampu dinyahkan sedikitpun. Kadang-kadang dia rasa seperti senjata tajam yang sedang menusuk-nusuk dadanya.

“Sim! Kamu ni kenapa? Asyik termenung saja. Cubalah serius sikit dalam hal ni,” sergah Puan Sri Asmat dengan suara meninggi. Hasim tersentak.

“Hal apa mak?” Dia menoleh ke arah Puan Sri Asmat.

“Ish! Budak ni.Hal kamu dengan Mardina tulah..”

“Sim dah bincang dengan Dina. Kami rasa terpaksa tangguh dulu mak,”

“Tangguh lagi? Tapi kenapa? Dulu dia kata nak sambung belajar.Sekarang dia dah habis belajar. Alasan apa lagi? Atau dia sengaja buat helah nak elakkan diri dari kamu?” Puan Sri Asmat melenting. Hasim rasa serba salah. Perlukah dia ceritakan kepada ibunya semua butir bicara Mardina tadi?

“Dina tu dah banyak berubah, mak. Dia bukan Dina yang dulu lagi,”

“Kalau hal pakaiannya tu, mak dah tahu.Semua kawan-kawan mak dah bercerita. Katanya Mardina tukar fesyen, bertudung litup! Itu senang saja. Dah jadi bini kamu, kamu ubahlah dia balik,”

“Bukan hanya pakaiannya mak,”

“Apa lagi yang berubah? Hati dia?” Tanya Puan Sri Asmat dengan wajah kurang senang.

“Fikirannya tentang hidup. Tadi kami baru saja bincang hal ni. Dia beri syarat kalau nak kahwin dengan dia,” kata Hasim berhati-hati. Dia tahu hal itu akan menyentuh hati ibunya. Tapi dia rasa ibunya perlu tahu.

“Syarat apa pula ni?” Puan Sri Asmat semakin keliru.

“Dia kata saya ni belum mampu nak jadi ketua keluarga dan pikul tanggungjawab sebagai suami. Dia mahu saya belajar agama dulu sebelum kahwin,” kata Hasim. Puan Sri Asmat tersentak.Tiba-tiba dia rasa darahnya menyirap ke muka. Dia rasa begitu terhina. Mardinaseperti telah membaling najis ke pintu rumahnya.

“Apa kena dengan budak tu? Apa dia ingat kita ni jahil sangat hal agama? Dia ingat dia dah tukar fesyen baju, dia dah alim hingga nak tuduh orang lain jahil?” suara Puan Sri Asmat tiba-tiba seperti guruh berdentum memenuhi ruang.

“Dina mungkin tak berniat begitu mak,” Hasim cuba membela Mardina.

“Kalau tak niat begitu, apa?”

“Mungkin Dina..”

“Sudah! Kamu jangan nak sebelahi dia pula.Mak tak akan biarkan dia. Kalau dia bersyarat, kita juga boleh bersyarat. Mungkin syarat kita lebih berat!” sergah Puan Sri Asmat dengan lantang. Hasim terdiam.

Dengan sebuah keluhan yang semakin berat, dia bangun dan meninggalkan Puan Sri Asmat yang masih mengomel. Keadaan dirasakan bertambah kusut. Harapan untuk meringankanbeban menjadi sebaliknya. Kepala yang serabut semakin menjadi bertambah serabut.

Dia masuk ke bilik, berbaring di katil.Dia cuba pejamkan mata. Namun, dia gagal. Bayangan wajah Mardina dengan blaus dan tudung kepalanya amat mengganggu mindanya saat itu. Semua ucapan dan kata-kata Mardina juga diingatnya. Sungguh menyakitkan. Mardina amat berbeza dari dulu. Seperti langit dengan bumi. Kadang-kadang dia rasa Mardina sengaja membina tembok pemisah antara mereka.Kenapa Mardina berbuat begitu? Apakah dosa yang dilakukannya?

“Dina nak sambung belajar. Kalau Sim rasa tak sabar nak tunggu, Sim kahwinlah dengan siapa yang Sim suka,”

“Kenapa Dina cakap macam tu? Dina tak cintakan Sim? Dina pergilah berapa lama yang Dina suka. Sim akan tunggu Dina,”

Mardina ketawa, berdekah dan sinis.

“Bolehkah percaya pada janji seorang jantan. Lelaki..sedang ada depan mata mereka boleh curang. Kalau jauh, apa lagi?”

“Itu lelaki lain, bukan Sim,” ujarnya bersungguh-sungguh. Namun, Mardina tidak pernah percaya. Dia tidak pernah peduli dengan kesangsian Mardina. Dia tahu diri dan hatinya. Selama berpisah dengan Mardina, tidak sekali dia berlaku curang. Walaupun peluang memang sering datang bergolek. Seperti kata Alex, ramai gadis yang mencari peluang mendekatinya. Namun semua peluang itu ditutup kemas.Dia langsung tidak memberi ruang pada wanita lain untuk singgah dalam hatinya.

Dia amat menyintai Mardina. Tidak pernah terkurang sedikitpun rasa yang ada di hatinya itu. Namun, kenapa Mardina berubah?

Selepas Hasim meninggalkannya di ruang tamu itu, Puan Sri Asmat terus mencapai telefon bimbitnya dan menekan nombor Datin Marisa.

“Aku tak mahu berlengah. Mardina ni dah melampau. Aku takkan biarkan dia buatsesuka hati kepada Hasim. Kalau Datin Marisa mahu hubungan persahabatan mereka berkekalan, dia mesti bertindak cepat sebelum ‘penyakit’ dalam diri anaknya merebak kepada Hasim,” bisik Puan Sri Asmat dalam hati.

Talian bersambung. Apa yang terbuku di hatinya tidak dinyatakan dengan jelas. Sekadar satu sindiran. Dia ingin berteka-teki dengan Datin Marisa.

“Datin bincanglah hal ini dengan datuk. Kalau tak ada aral, kita percepatkan majlis dua anak kita tu. Dah lama sangat mereka tu bertunang. Lebih lama, lebih banyak pula anasir negatif yang akan mengganggu hubungan itu. Kelak nanti fikiran kita juga yang akan serabut,”

“Maksud Puan Sri?”

“Mungkin pihak datin lebih maklum. Tak apalah. Kalau ada apa-apa perkembangan, cepat beritahu saya. Datin buat keputusan dengan cepat sebelum saya yang buat keputusan saya,” kata Puan Sri Asmat dengan sinis.

“Lain macam saja Puan Sri? Ada apa-apa yang tak kena dengan budak-budak tu ke?” Tanya Datin Marisa semakin keliru. Dia tidak faham langsung tidak mampu membaca apa yang cuba diluahkan oleh Puan Sri Asmat itu.

“Tak apalah, datin tanyalah anak datin sendiri,” kata Puan Sri Asmat sebelum mengucapkan salam dan mematikan talian telefon. Datin Marisa akhirnya mematikan talian handsetnya dengan wajah kelat. Nada suara Puan Sri Asmat amat berbeza dari biasa.

“Entah apa lagi yang Dina tu buat pada si Hasim tu agaknya..” keluh Datin Marisa perlahan.

“Apa yang awak merungut sorang-sorang ni Risa?”

“Eh! Bila abang balik?Tak dengar bunyi kereta pun?”

“Sebab awak tu mengelamun.Bunyi enjin yang begitu kuat pun awak tak dengar. Ada apa?” Datuk Iskandar meletakkan begnya. Ketika Datin Marisa termangu-mangu memikirkan kata-kata Puan Sri Asmat itu, Mardina keluar dari bilik.

“Dina, duduk sini sekejap. Papa nak cakap sikit,” panggil Datuk Iskandar.Mardina menurut. Dia duduk di hadapan mama dan papanya dengan sopan. Hati Datin Marisa lega. Datuk Iskandar seperti telah menebas jalan untuk dia bersemuka dengan Mardina mengenai teka-teki Puan Sri Asmat tadi.

“Dah beberapa bulan Dina balik. Bila Dina nak mula kerja?” Tanya Datuk Iskandar.

“Tengoklah dalam seminggu dua ni papa,”

“Baguslah. Kami berharap sangat agar Dina dapat menerajui HE HOLDINGS. Kami ni dah tua dan dah tak larat. Kalau boleh kami nak berehat,” kata Datin Marisa pula, sengaja memesrakan suasana.

“Kalau mama dan papa penat, kenapa tak serahkan saja syarikat tu pada Syita,”

“Syita, dia dah ada kerja sendiri. Dia sibuk uruskan anak syarikat kita yang baru ditubuhkan setahun lepas. Papa tak nak ganggu dia. Biar dia tumpukan pada tugas dia tu,” kata Datuk Iskandar.Mardina diam.

“Macam mana dengan pertunangan Dina dengan Hasim tu?” Datin Marisa tidak mahu menunggu lagi. Jalan yang ditebas oleh suaminya sudah boleh dilalui.

“Kenapa mama?” Mardina mengangkat muka.

“Yalah, tadi Puan Sri dah telefon mama. Dia minta perkahwinan dilangsungkan segera. Terlanjur Dina belum nak ke pejabat ni, elok kalau kita selesaikan dulu hal ini,” kata Datin Marisa berbohong. Dia sengaja mencari ’angin’ Mardina.

“Dina dah bincang dengan Hasim hal ini,” kata Mardina.

“Ya? Habis apa katanya?” Tanya Datin Marisa, teruja. Mardina membetulkan duduknya.

“Dia kena ikut syarat Dina kalau dia nak kahwin dengan Dina,”

“Syarat apa pula ni?” Datin Marisa tersentak. Datuk Iskandar pula segera menoleh. Wajah Mardina direnungnya lama.

“Biarlah kami saja yang tahu,” balas Mardina selamba. Datin Marisa teringat pada kata-kata Puan Sri Asmat. Mungkin syarat Dina itulah puncanya. Tapi apa syaratnya? Mardina nampaknya tidak bersedia untuk memberitahu mereka.

“Lagi pun Dina rasamasanya belum sampai. Dina nak capai cita-cita Dina dulu sebelum kahwin,” tambah Mardina lagi. Sekali lagi Datin Marisa teruja.

“Cita-cita apa Dina?Dina nak buka perniagaan sendiri ke?”

“Tak mama. Dina bercita-cita nak buka sebuah rumah kebajikan untuk orang miskin dan orang tua. Dina nak beri bantuan dan kehidupan kepada mereka yang tidak ada tempat tinggal,” kata Mardina.

Datin Marisa dan Datuk Iskandar berpandangan sesama sendiri.Mereka keliru dengan apa yang mereka dengar.

“Dina, apa yang Dina merepek ni?”Datin Marisa meninggikan suaranya.

“Dina tak merepek mama. Dina memikul satu amanah orang. Dan itu juga cita-cita Dina. Sejak di London lagi Dina dah merancang untuk laksanakan cita-cita itu,”

“Dina, jangan nak buang masa dengan semua itu. Biar kerajaan yang fikirkan hal kebajikan fakir miskin tu. Itu tanggungjawab para menteri bukan tanggungjawab kita. Semua tu tak memberi untung kepada syarikat kita,” kata Datuk Iskandar dengan kasar dan tegas.

“Berbuat kebajikan itu tanggungjawab setiap insan papa.Allah dah berikan kita rezeki yang mewah. Apa salahnya kalau sedikit dari pemberian itu kita kongsi dengan orang-orang yang susah dan anak-anak yatim. Papa, dalam harta orang kaya itu terdapat hak orang miskin,” Mardina merenung wajah Datuk Iskandar yang berkerut dan wajah Datin Marisa yang berubah.Tiba-tiba Datin Marisa mencebik. Kata-kata Mardina itu tiba-tiba menjengkelkan hatinya.

“Kalau setakat nak buat kebajikan macam tu, tak perlu Dina belajar sampai ke luar negeri Dina,” kata Datuk Iskandar.

“Papa, menuntut ilmu itu tak salah. Dina bersyukur kerana dapat belajar di sana. Selain mendapat ilmu dunia Dina juga telah mendapat ilmu akhirat. Allah telah berikan Dina hidayahNya. Di sana Dina temui jalan kehidupan sebenar dan belajar mengenai Islam dengan mendalam. Kalau Dina tidak ke luar negeri dulu, sudah tentu Dina masih hidup dalam dunia Dina yang sesat dan mungkar. Alhamdulillah…” ucap Mardina dengan tulus. Sekali lagi Datuk Iskandar dan Datin Marisa berpandangan. Telinga mereka semakin janggal mendengar kata-kata Mardina.

Datuk Iskandar mengeluh. Dia harus menukar cara, harus berlembut dengan Mardina.

“Dina, berilah tumpuan kepada syarikat kita dulu.Banyak projek baru sedang dalam proses penyelenggaraan.Papa perlukan bantuan Dina. Daripada papa ambil pegawai lain, lebih baik Dina saja yang buat. Jangan buang masa dengan perkara yang tak berfaedah macam tu,”

“Betul kata papa tu Dina. Kalau syarikat kita berjaya, Dina juga yang untung kerana mama dan papa buat ini semua untuk Dina dan Syita,” sokong Datin Marisa, juga bernada rendah.

“Insya-Allah papa, mama, Dina akan kerja dengan papa dan uruskan semua projek itu dengan baik. Dan dalam masa yang sama Dina juga akan buat apa yang Dina rancang,”

“Dina, cuba buat satu-satu. Dina tak boleh nak campur-adukkan macam tu,”

“Duniawi dan ukhrawi tu harus seiring mama,” tingkah Mardina.

“Dina, jangan fanatik sangat. Kami dah kerja keras nak kumpul kekayaan ini. Tanpa harta kita tidak akan ke mana. Dunia hari ini lebih pentingkan harta dari segalanya,” kata Datin Marisa dengan suara keras.Datuk Iskandar diam.

“Dina tak fanatik dalam hal ini mama. Buat amal ibadat adalah kewajipan setiap makhluk Tuhan. Kekayaan yang sebenarnya bergantung kepada jumlah amalan kita bukan nilaian harta benda yang kita ada. Bila kita mati, harta benda akan kita tinggalkan, yang akan kita bawa hanya amal jariah, sedekah serta kebajikan yang kita ada,” kata Mardina lagi. Kali ini dia rasa lebih yakin dengan apa yang dikatakannya.

“Jadi inilah yang Dina belajar selama bertahun-tahun di luar negeri? Papa hantar Dina ke sana untuk belajar selok belok perniagaan supaya Dina boleh kembangkan empayar perniagaan kita. Bukannya belajar benda-benda yang mengarut ni!” Tiba-tiba suara Datuk Iskandar menengking kuat. Mardina tidak sedikit pun tersentak. Dia tenang dan sudah bersedia untuk berdepan dengan keadaan itu.

“Kami bangga dengan ijazah Dina. Tapi kami tak harapkan Dina bawa balik sekali ilmu yang sesat ni!” sambung Datuk Iskandar.

“Astaghfirullahalazim..papa? Dina belajar agama Islam. Dina belajar apa yang Dina tak dapat selama ini. Tidak ada yang sesat papa. Ini hak kita sebagai seorang muslim,” Mardina cuba membetulkan cakap Datuk Iskandar.

“Sudahlah. Dina jangan nak berlagak pandai dengan kami. Dina tu budak hingusan lagi. Jangan kerana pandai sikit saja, dah nak berdakwah dengan kami,” kata Datuk Iskandar sambil bangun dan meninggalkan ruang tamu itu dengan muka masam. Datin Marisa dengan setia mengekorinya. Mardina terkedu. Dia rasa pelik dan semakin keliru. Bilakah akan tumbuh rasa insaf dan bila pula akan terbuka jalan taubat kepada kedua ibu bapanya?

“Dina, sabarlah. Bukan senang nak luruskan jalan yang dah lama bengkok,” pujuk Mak Leha yang muncul dari dapur setelah kedua-dua majikannya naik ke atas. Sejak awal dia sudah mendengar apa yang dibincangkan oleh mereka anak beranak.

“Dahlah, jangan fikir banyak sangat.Serahkan semuanya kepada Allah. Kita hanya mampu merancang. Selebihnya, biar Dia yang uruskan. Mak Leha ke belakang dulu. Dina nak minum tak?”

“Taklah. Nanti kalau Dina nak, Dina ambil sendiri,” ujar Mardina perlahan. Mak Leha meninggalkan ruang tamu itu. Mardina masih tidak berganjak. Dia masih keliru dengan sikap kedua ibu bapanya.

Wajah Sylvia muncul. Semua kata-katanya terngiang…

“Dina, tidakkah you fikir bahawa setiap benda ada pembuatnya.Semuanya tidak terjadi dengan sendirinya. Tapi siapakah yang menjadikan langit dan bumi serta seluruh alam ini?”

“Kenapa you fikir sampai ke situ? Mana kita tahu siapa penciptanya kerana ketika kita lahir, dunia ini sudah sedia ada. Nenek moyang dan ibu bapa kita pun tak pernah beritahu siapa pencipta alam ini,”

“Kenapa kita tak cari?”

“Nak cari macam mana?”Tanyanya dengan bingung. Sylvia senyum.

“Kenapa you senyum?”

“Kerana I dah dapat jawapannya.I dah tahu siapa pencipta alam ini.I dah tahu kuasa siapa yang menjadikan bulan dan matahari juga malam dan siang,”

“Macam mana you tahu? Siapa yang beritahu?”

I baca ini,” Sylvia menunjukkan sebuah kitab terjemahan Al-Quran.

“Siapa yang cipta dunia dan semua isinya ini?” Tiba-tiba dia sengaja menduga.

“Allah. Seluruh kejadian alam, manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan adalah diciptakan oleh Allah.Dia pemilik dunia ini,”

You yakin?”

Angguk.

You tak yakin?”Sylvia pula menyoalnya.

I tak tahu. Selama ini I tak pernah terfikir hal ini,” keluhnya perlahan, menutup rasa gugup dan malu untuk meluahkan kenyataan itu.

I tahu. Kita adalah antara manusia yang berjiwa kosong dan tidak tenang,”

“Syl..” Dia ingin meluahkan rasa.

“Tak salah kalau kita mengaku salah. Dina, kita memang manusia yang bersalah selama ini. Kita tidak mencari Tuhan yang Maha Agung. Kita menjadikan kehidupan duniawi kita sebagai kiblat utama,”

“Syl..” Dia semakin penasaran dan bingung.

“Belum terlambat untuk kita berpatah ke arah kiblat yang betul,”

“Kiblat apa?”

“Kiblat Allah,” Sylvia berkata dengan tenang. Dia diam membatu. Tidak berani bertanya lagi. Semakin banyak dia bertanya, semakin dia tidak faham apa akan jawapannya.

Namun, semakin hari dia melihat rakan sebiliknya itu semakin tenang dan aman kehidupannya. Wajahnya bercahaya sejak namanya bertukar menjadi Siti Fatimah. Semakin hari Siti Fatimah itu semakin tekun mempelajari jalan mengadap kiblat Allah. Setiap malam dia melihat Siti Fatimah yang kusyuk menyerah diri pada Allah. Dia rajin mengerjakan solat.

Mardina jadi hairan. Sylvia yang baru menjadi Siti Fatimah itu begitu sempurna rukun solatnya. Saudara baru itu begitu rajin menyerah diri kepada Allah.

Sedangkan dia?Masih rasa hebat dan sempurna dengan iman yang kosong.


Previous: Bab 3
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.