Home Novel Islamik JIHAD MARDINA
JIHAD MARDINA
Fida Rohani
4/2/2014 23:36:59
20,610
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 3

ALLAH menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isterimu itu anak-anak dan cucu-cucu dan memberimu rezeki yang baik-baik.Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batil dan mengengkari nikmat Allah. ( surah An-Nahl ayat 72)

                                                                          -3-

Pagi minggu masih awal. Datin Marisa dan Masyita sedang bersarapan pagi. Mardina pula, selesai solat sunat Dhuha dia membaca Al-Quran. Sepertinya tidak mahu langsung dia membuang masa tanpa mengingati Allah.

“Mama tak rimas ke tengok kakak tu! Lain benar perangai dia tu. Mama tengok orang lain yang balik dari luar negeri tu. Mereka bukan saja bawa balik segulung ijazah, tapi juga bawa balik fesyen yang cantik dan cara hidup yang moden. Kakak tidak. Entah budaya mana yang dia bawa. Pakaian menutup aurat konon! Ee..rimasnya Syita tengok,” Masyita mencebik.

“Nasib baik dia tak berjubah dan tutup mata!” tambah Datin Marisa dengan ketawa, memperli. Masyita ikut ketawa.

“Sampai hari ni Syita masih belum faham apa yang berlaku pada Kak Dina tu. Kenapa dia jadi macam tu? Mama tak tanya dia?”

Datin Marisa menggeleng. Dia menghirup minuman di hadapannya.

“Mama lagi tak faham. Apa yang mama bimbang sangat ialah kalau-kalau dia tu terlibat dengan gerakan militan Islam di sana. Atau dia terlibat dengan dakwah songsang dan ajaran sesat. Sekarang ni kan ramai puak hala kiri dan pengganas ada di bandar-bandar besar, bukan di hutan,” Datin Marisa meluahkan rasa. Ketawa Masyita terhenti. Kata-kata ibunya seperti satu ancaman yang menakutkannya.

“Mungkin benar juga apa yang mama kata tu. Nampak pelik sangat perangai dia sekarang ni. Tengoklah tu, bukannya dia nak campur dengan kita. Dia asyik memerap dalam bilik. Kalau tak mengaji, dia akan sembahyang. Dah tak ada masa nak bersembang macam dulu. Mama, dia sembahyang apa pada waktu macam ni? Kalau tak silap Syita, dulu ustaz ajar waktu pagi hanya ada sembahyang Subuh. Mama tahu?” Masyita segera menatap wajah ibunya. Dia mencari-cari jawapan.

Datin Marisa tersentak. Dengan perlahan dia menggeleng, antara bingung dan malu. Masyita menghirup horlicks panas yang ada di hadapannya. Sepi seketika. Fikiran Datin Marisa dan Masyita berpusat pada hal yang sama.

“Ajaran sesat..mungkin benar dia menuntut ilmu yang salah,” keluh Datin Marisa perlahan seperti berbisik kepada dirinya sendiri. Diam. Masyita hanya mengangguk setuju.

“Syita tak keluar ke hari ni?” Datin Marisa mengubah topik.

“Sekejap lagi. Syita ada kelas aerobik di kelab. Ingat nak ajak Kak Dina. Tapi kalau macam tu cara hidup dia, tak payahlah. Dah tentu dia tolak ajakan Syita. Apa pula program mama hari ni?”

“Petang nanti mama ada temu janji dengan Mr.Yoshita dari Jepun mengenai projek baru kami di Singapura. Malam, mama mungkin akan ke kelab. Datin Halida buat majlis hari lahirnya. Belum tahu balik pukul berapa,”

“Papa mana ni?”

“Papa dah ke Turkistan Subuh tadi. Dia dan Tan Sri Jamal ada seminar di sana,” jawab Datin Marisa.

“Jadi, pagi ni mama tak ada agenda?”

“Nampaknya macam tu lah,”

“Apa kata mama ikut Syita ke kelab. Kita beraerobik,” ajak Masyita.

“Malaslah Syita. Mama rasa nak rehat je. Petang dah nak keluar. Syita pergilah..” kata Datin Marisa perlahan. Masyita angguk.

“Eh! Dah senyap dah. Orang mengaji tu dah tertidur ke?” Perli Masyita sambil memuncungkan mulut ke arah bilik Mardina. Mereka ketawa.

“Apa yang gembira sangat ni mama?” Tiba-tiba Mardina menegur dari belakang, cuba mesrakan suara. Datin Marisa dan Masyita tergamam. Mereka berpandangan. Wajah masing-masing berubah rona.

“Eh! Dina. Mari duduk, kita sarapan. Mama nak panggil Dina tadi, tapi dengar Dina masih mengaji..” Datin Marisa berhelah untuk menutup rasa bersalah.

“Tak apalah,” Mardina memotong sambil mencedok mee goreng ke pinggan. Datin Marisa sekali lagi terkedu. Masyita pula terus mengunyah tanpa memberikan apa-apa reaksi. Dia hanya memasang telinga.

“Ma tak ke mana-mana pagi ni?” Tanya Mardina cuba mengisi suasana. Dia rasa kemesraan suara Datin Marisa luar biasa pagi itu.

Jurang kasih yang selama ini memisahkan hubungan mereka, tiba-tiba dirasakan semakin menyempit.

“Pagi ni mama nak rehat. Petang baru keluar,” jawab Datin Marisa, bernada mesra. Mardina angguk. Kemudian dia terus diam dan bersarapan. Dia kehabisan idea untuk berkata-kata. Sepi. Masing-masing melayari fikiran. Jasad dan rohnya seperti tidak bersatu ketika itu.

Mardina sedang mencari-cari satu titik untuk memulakan kata. Sejak dia pulang, belum ada masa yang terluang untuk berbicara. Mungkin hari itu adalah hari yang baik. Dia perlu bercakap dengan mama dan adiknya sebagai seorang muslimah. Begitu banyak yang ingin dikatakannya.

”Mama, Syita, ada perkara yang Dina nak cakap,” Mardina mengatur ayat.

“Eh! Syita pergi dululah. Dah lambat ni,” tiba-tiba Masyita bangun. Mardina tersentak. Belum sempat dia berkisah hal tanggungjawab seorang wanita muslimah. Belum sempat dia bercakap hal halal haram atau lebih jauh mengenai syurga dan neraka. Masyita seperti sudah tahu apa yang ada di hatinya. Dia langsung tidak mahu memberi peluang dan ruang untuk Mardina memulakan apa yang dirasakan wajib diucapkan itu.

“Syita nak ke mana ni?” Tanya Mardina dengan senyum yang dipaksa. Dia mampu menelah apa yang ada di sebalik sikap tergesa-gesa Masyita itu.

“Syita ada kelas aerobik. Pergi dulu mama, Kak Dina,”

Masyita terus berlalu tanpa menoleh. Datin Marisa senyum. Dia juga terlebih maklum dengan kebimbangan yang ada di hati Masyita itu. Mereka mempunyai denyut rasa yang hampir sama. Mardina pula menarik nafas hampanya dengan perlahan.

“Dina tak keluar?” Tanya Datin Marisa selepas melihat Mardina diam sambil terus mengunyah makanan di mulutnya. Geleng.

“Kalau Dina nak keluar, pergilah. Suruh Hambali hantar. Kalau Kak Leha nak ikut, pergilah. Mana tahu Dina nak pusing-pusing Kuala Lumpur ni. Dina kan dah lama di luar negara. Banyak tempat-tempat hiburan dan shopping yang baru yang belum Dina pergi. Pergilah,” kata Datin Marisa menoleh ke arah Mak Leha, cukup mesra.

Diam. Mardina mahupun Mak Leha tidak memberikan apa-apa komen dan reaksi. Mak Leha sedang mengemas pinggan yang ditinggalkan Masyita, sedang Mardina tetap diam melayan fikirannya.

Datin Marisa serba salah. Dia rasa seperti sedang memaksa Mardina keluar dari kepompong hidup baru yang dibawa balik dari luar negara. Tiba-tiba dia rasa gugup dan bimbang untuk berdepan lebih lama dengan Mardina.

“Mama naik dululah. Mama nak tidur sekejap. Dina sarapanlah ya..” kata Datin Marisa sambil bangun. Dia cuba menutup rasa gugupnya. Dia juga sebenarnya seperti Masyita yang cuba mengelak diri dari Mardina.

Mardina hanya angguk, perlahan dan tenang. Kemudian ketika Datin Marisa tergesa meninggalkan meja makan dan menaiki tangga ke biliknya, Mardina sempat menjeling dengan ekor matanya. Dia faham semuanya. Dia bukan budak kecil lagi.

Jurang pemisah yang diharapkan menyempit, rupanya tidak menjadi.

Tiba-tiba Mardina rasa sedih. Kesedihan yang bersimpang siur dengan rasa kesal yang amat dalam. Tiba-tiba pula, dia teringat pada Sylvia. Mungkin kesedihan yang dirasakannya sekarang, sama dengan apa yang pernah dirasai oleh sahabatnya itu.

My family tak ada pegangan agama. Sejak kecil I tak diajar mengenal Tuhan. Kalau orang lain ada masjid, ada gereja, ada kuil dan ada tokong, kami tak ada. Bagi mereka, kekayaan itulah Tuhan yang menjaga mereka. I sedih dengan keadaan itu. Setiap tahun, bila orang lain ada perayaan agama, kami tidak ada. Daddy kata, kalau kita ada duit Tuhan ada bersama kita. So, dia cari duit dan kemewahan sebanyak-banyaknya. Dia rasa bangga dengan cara dia,”

“Kalau macam tu, untuk apa you cari Tuhan? Bukankah you dah ada semuanya? Keluarga you pun dah ajar, kekayaan itu Tuhan,” dia bertanya soalan dungu.

“Kerana I tak pernah rasa tenang dan aman walaupun hidup mewah. I rasa ada seperti ada satu kekurangan dalam hidup ini. Seperti ada satu ruang dalam hati yang begitu kosong dan sepi. Seperti kita minum arak untuk tenangkan fikiran. Semasa kita mabuk, memang kita lupakan semuanya. Tapi selepas kita sedar, kita akan resah gelisah semula. Maknanya itu ketenangan yang sementara, bukan yang selamanya. I mencari ketenangan yang sebenar,”

“Tapi kenapa Islam?”

Diam seketika. Sylvia membelek-belek buku yang ada di hadapannya. Mardina menunggu dengan sabar. Entah kenapa, dia begitu tertarik untuk tahu apa yang ada di hati teman sebiliknya itu. Walhal, sejak setahun tinggal sebilik dia jarang duduk berbual. Masanya banyak dihabiskan di luar, berfoya-foya. Dia balik ke rumah hanya untuk tidur dan berehat. Ada masa dia balik. Ada masa dia tidur saja di rumah rakan sosialnya. Dia tak pernah ambil tahu hal Sylvia, begitu juga sebaliknya. Namun, sejak akhir-akhir itu dia amat berminat untuk ambil tahu.

I dah belajar semua agama. Yang terakhir ini baru I belajar Islam. Selepas setahun I membaca dan mengkaji, ternyata hanya Islam yang lengkap dan sempurna. Dalam Islam ada sebab dan penyebab. Ada pencipta dan ada makhluk. Islam juga mengajar umatnya hidup dalam harmoni. Segala cara dan peraturan telah tersusun dengan baik dalam kitab Al-Quran. Apa pendapat you Dina?” Tanya Sylvia merenung ke arahnya.

Dia terpinga-pinga.

Seumur hidupnya dia tidak pernah membaca Al-Quran, apa lagi untuk mengkajinya. Dia terjerat antara rasa malu dan kesal dengan diri sendiri. Tiba-tiba dia rasa dirinya naif dan daif.

“Dina, you beruntung kerana dilahirkan dalam keluarga Islam. Turun temurun you orang Islam. You ada Al-Quran sebagai pedoman,”

“Maksud you?”

“Maksud I, you dah ada jalan yang benar. You tak perlu nak tercari-cari macam I.

Jantung Mardina seperti disentap. Dia tahu Sylvia berkata jujur secara hakikatnya. Namun dia rasa tersindir secara makrifatnya. Sindiran itu menikam tajam ke lubuk jiwanya. Benarkah dia beruntung? Soalan itu yang muncul dalam fikirannya saat itu.

“Dina, you marah I?”

“Tak.” Dia menahan rasa.

“Habis wajah you berubah? I’m sorry Dina. I tak ada niat apa-apa.”

It’s ok, but..”

I faham Dina,” Sylvia memotong cakapnya yang tersendat di kerongkong.

“Apa yang you faham?”

You ada jalan yang lurus dan benar, tapi you tersasar dari jalan itu,”

Diam.

Mardina termenung, lama. Dia ingin mengakui kebenaran kata-kata Slyvia itu. Namun dia malu dan tidak kuat untuk menyatakannya. Dia memang jahil. Dia memang sesat. Dia hanya dilahirkan sebagai seorang umat Islam, tapi dia tidak pernah mengamalkan cara hidup yang sepatutnya diamalkan oleh orang Islam.

“Kembali ke pangkal jalan tidak sesusah membuka jalan yang baru Dina,” tiba-tiba Sylvia berkias. Dia mendongak. Sylvia seperti sedang membaca apa yang ada di hatinya. Gadis bangsa China kelahiran Singapura itu tersenyum, manis dan tulus.

I..I..” dia teragak-agak, hilang punca.

“Dina, belum terlambat lagi. Kalau you nak hidup yang aman dan tenang, kembalilah ke jalan Islam. Ibaru belajar, tapi I dah rasakan keseronokannya. I dah rasa hidup yang sempuna, aman dan tenang. Keluarga you mesti bangga dengan you, Dina,” kata Sylvia menepuk-nepuk bahunya.

Dia malu untuk mengaku keadaan keluarganya. Secara teorinya dia memang berada dalam keluarga Islam. Namun hakikatnya? Tidak ada bezanya keluarganya dibandingkan dengan keluarga Sylvia itu. Mereka tidak pernah mengerjakan solat, jarang berpuasa dan tidak menunaikan fardhu haji sedangkan mereka mampu.

“Syl, can I ask you something?”

“Tanyalah,”

“Keluarga you tak marah you pilih Islam?”

“Tak. Mereka tak kisah. Mereka tak pernah ambil tahu agama apa yang anak-anak mereka ikut. Syaratnya cuma satu,”

“Syarat apa?”

“Mereka tak diajak ke gereja, ke kuil, ke tokong atau ke masjid. Mereka nak hidup cara mereka dan tak mahu terlibat dengan cara hidup anak-anak. Mereka tak ada masa nak fikirkan hal Tuhan dan hal-hal yang berkaitan dengan mati,” jawab Sylvia.

Kata-kata Sylvia itu seperti mengena pada batang hidungnya juga. Kegelisahan yang sama dirasai oleh mereka. Bezanya, keluarga Sylvia tidak menentang pilihan anaknya. Tapi dia? Datin Marisa dan Datuk Iskandar bersama Masyita seperti sengaja mencari alasan untuk memusuhinya.

Tiba-tiba Mardina mengeluh.

“Dina?” Mak Leha menepuk bahu Mardina. Dia menoleh. Kenangan bersama Sylvia segera berlalu seperti angin lalu.

“Mengelamun lagi?”

Diam. Mata Mardina tertunduk ke lantai.

“Mak Leha, Dina rasa semakin tak selesa dengan keadaan di rumah ini.”

“Maksud Dina?”

“Sejak dulu mama kurang mesra dengan Dina. Sekarang keadaaan itu semakin nampak jelas. Mama dan Syita seperti cuba jauhkan diri dari Dina. Mereka seperti takut dengan Dina. Entah apa salah Dina pada mereka.”

Diam. Mak Leha mengakui dalam hati. Dengan mata zahirnya dia melihat keadaan itu. Begitu juga dengan mata batinnya dia ikut merasai perasaan yang ada di dada Datin Marisa dan anak kesayangannya Masyita.

“Pelikkah orang yang bertudung Mak Leha? Hingga mereka seperti takut untuk bersua muka dengan Dina. Mereka juga seperti mencebik Dina... ” Suara Mardina kedengaran perlahan dan tersekat di kerongkong.

Mak Leha masih diam, membiarkan Mardina melepaskan apa yang ada di dadanya.

“Dina telah belajar mengenai kewajiban menutup aurat. Sejak Dina tahu betapa berat azab Allah kepada wanita yang mendedahkan auratnya, Dina semakin takut. Dina pernah berdosa kerana engkar perintah Allah itu. Sekarang bila Dina dah sedar, Dina terpaksa berdepan pula dengan keadaan ini,”

“Dina mesti kuat. Sebenarnya bukan pasal tudung Dina ni yang buat mereka tu takut.”

“Habis apa?”

“Solat, bacaan Al-Quran, wirid dan doa-doa Dina,” jawab Mak Leha. Dia memang kurang arif dalam bidang agama. Tapi selama dia bekerja dengan keluarga itu, dia tidak pernah melihat majikannya melakukan tanggungjawab sebagai seorang Islam. Namun dia tidak pernah menegur. Kedudukannya di rumah itu menyebabkan dia tidak ada kuasa untuk bersuara. Dia bersyukur kerana majikannya tidak melarang dia menunaikan solat lima waktu dan berpuasa di bulan Ramadhan. Mereka juga tidak melarang dia mengikuti kelas-kelas agama di masjid yang berdekatan. Itu sudah cukup untuknya.

“Dina faham apa maksud Mak Leha?” tanya Mak Leha. Mardina diam. Dia masih mencongak sendiri. Namun akhirnya dia menggeleng perlahan.

“Mak Leha ni bukan pandai sangat. Tapi serba sedikit tu Mak Leha tahu sebab Mak Leha selalu ke masjid. Jadi Mak Leha rasa mama Dina dan Syita tu larikan diri kerana bimbang diajak ke jalan benar. Iblis dan syaitan yang ada di dalam diri mereka memang sengaja menghasut mereka supaya menjauhi orang-orang yang solat, membaca ayat-ayat suci dan sering berdoa kepada Allah. Ini pendapat Mak Leha, mungkin pendapat ini salah..” ujar Mak Leha.

Mardina angguk.

“Apa yang boleh Dina buat untuk lembutkan hati mereka, Mak Leha?”

“Entahlah. Mak Leha sendiri tak tahu Dina. Cuma Dina perlu terus berdoa. Mungkin Dina boleh buat solat hajat. Minta Allah berikan jalan dan lembutkan hati mereka. Allah itu bersifat Maha Pendengar,” ujar Mak Leha.

Mardina diam. Dia cuba merenung ke dalam diri dan keluarganya. Kemudian dia teringat pada sebuah hadis yang pernah dibacanya. Nabi Muhamad s.a.w bersabda: “Barang siapa yang menjadikan dunia, cita-citanya yang terbesar maka tiadalah dia daripada Allah pada sesuatu. Dan Allah mengharuskan hatinya empat perkara, kesusahan yang tidak putus selama-lamanya, kesibukan yang tidak akan selesai sepanjang masa, kemiskinan yang tidak akan sampai menjadi kaya selama-lamanya serta angan-angan yang tidak akan sampai selama-lamanya,”

Benarlah apa yang disabdakan nabi. Keluarganya mengejar dunia dengan kesibukan yang tidak pernah selesai. Allah memberikan kehidupan duniawi yang teramat baik kepada mereka sebagai dugaan. Namun mereka lupa untuk bersyukur. Mereka lupa bahawa semua pemberian itu hanyalah pinjaman yang nanti suatu masa akan ditarik semula.

“Ya Allah, berikanlah aku petunjukMu,” bisik Mardina dalam hati.

Dia rasa persoalan menjadi semakin rumit. Jalan yang diharapkan lurus rupanya berliku dan akan berceracak dengan duri. Dia rasa semakin banyak perkara yang perlu diubah. Tapi dia tidak pasti akan bermula dari titik mana. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, perjalanan hidup keluarganya tidak betul.

Dia perlu membulatkan tekad

Dia harus menjunjung iktikad

Dan dia wajib memulakan jihad

Sebelum mereka dipanggil ke liang lahad!


Previous: Bab 2
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.