Home Novel Islamik JIHAD MARDINA
JIHAD MARDINA
Fida Rohani
4/2/2014 23:36:59
20,615
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 2

-2-

Selesai menunaikan solat sunat dhuha, Mardina turun ke bawah. Suasana rumah itu sepi. Hanya tinggal Mak Leha yang sedang menyiapkan sarapan pagi.

“Mana semua orang dalam rumah ni Mak Leha?” tanya Mardina ketika menarik kerusi.

“Semua dah keluar Dina. Mama dan papa dah pergi kerja. Syita juga. Macam nilah setiap hari. Mereka keluar pagi-pagi dan balik jauh malam. Mak Leha tinggal seorang sepanjang hari. Ada tak ada, kalau Hambali tu tak ada kerja dia akan temankan Mak Leha berbual-bual,” jawab Mak Leha dengan senyum senang. Sejak Mardina balik, bibirnya tidak lekang dengan senyum. Seperti gunung rindu yang memuncak di hati sudah roboh semuanya.

“Hambali? Siapa?”

“Pemandu kita tulah,” Mak Leha menghulurkan sepinggan nasi lemak. Mardina angguk. Pinggan yang dihulurkan itu disambutnya. Dengan Bismillah yang perlahan, dia menyuapkan nasi itu ke mulutnya. Dia terbayangkan kehidupan yang sepi dan sunyi di rumah banglo mewah itu. Sejak dia kecil hingga kini ia tetap sama.

Sejak dulu, mama dan papanya sibuk mengumpul harta kononnya untuk masa depan mereka. Kini, harta mereka sudah menimbun. Tapi mereka tetap sibuk. Usia mamanya sudah menjangkau lima puluhan. Papanya sudah enam puluhan. Adiknya Masyita sudah mencecah angka tiga puluh. Namun, mereka sedikitpun belum mahu berubah.

Sudah seminggu dia balik, baru sekali dia berpeluang bertemu dengan mama dan papanya. Itupun hanya seketika. Tidak sempat melepas rindu. Apa lagi untuk bermanja-manja. Dia tidak langsung diberi peluang menagih rindu dan belaian sebagai anak.

“Mama, boleh masuk?” Mardina mengetuk pintu bilik mereka. Ketika itu masih awal pagi.

“Masuklah Dina,” suruh mamanya. Dia masuk. Mamanya sibuk bersolek.

“Papa mana?”

“Tengah mandi,” jawab mamanya, langsung tidak menoleh.

“Ma..”

“Ada apa Dina? Mama nak cepat ni?” Tanya mamanya lagi. Juga tanpa menoleh. Diam. Tiba-tiba dia kehilangan suara untuk berkata. Tiba-tiba dia rasa begitu sensitif. Dia bangun dan berjalan ke pintu. Ketika itu papanya keluar dari bilik mandi.

“Ha! Dina, apa hal?” Datuk Iskandar seperti kurang senang melihat dia di situ. Dia berjalan ke arah papanya dan mencium tangan lelaki itu. Lelaki itu selamba sahaja. Tidak tergambar kegembiraan atau kerinduan dari wajahnya.

“Dina nak cakap apa tadi, cakaplah,” kata mamanya.

“Tak ada apa mama. Cuma kalau mama dan papa tak sibuk, Dina nak mama dan papa makan malam di rumah. Dah lama kita tak makan bersama,”

“Hmm..papa tak boleh. Malam ni papa ada meeting dengan Datuk Asraf,”

“Mama pun sama. Malam ni mama kena jumpa client di Pacifik Hotel. Lain kali saja ya Dina,” pujuk mamanya. Dia angguk perlahan. Dia tahu mereka sengaja mencipta alasan. Dari dulu, memang mereka selalu kaya dengan alasan.

Lalu dia keluar dari bilik itu dengan cepat. Ada sesuatu yang cuba diselindungkan, ada rasa yang cuba ditahannya. Sedih dan air mata. Dia rasa langsung tidak dihargai. Kepulangannya seperti tidak diharapkan..

Hidupnya mewah dengan wang ringgit, tapi sebenarnya papa dengan kasih sayang dan perhatian. Di rumah besar dan mewah itu dia sudah lama menjadi yatim sebelum kematian. Kadang-kadang dia rasa dia bukan anak yang dilahirkan oleh Datin Marisa dan benih Datuk Iskandar.

“Dina dah balik ni, hilanglah sikit sunyi Mak Leha,” tiba-tiba Mak Leha mendekatinya dan meletakkan sepinggan ayam bakar di hadapannya. Mardina tersentak. Buaian rasa kecewanya terhenti.

“Dina berkhayal pagi-pagi ni?” kata Mak Leha dengan senyum. Mardina segera membetulkan dirinya. Semua rasa sedih yang baru berputik di nubarinya, ditepis jatuh. Hanya Mak Leha yang sentiasa bertanya khabar dirinya.

“Dina ingat apa?”

“Tak ada apa-apa Mak Leha,” kata Mardina perlahan.

“Dina nak ke mana hari ni?”

“Entahlah Mak Leha. Tak tahu nak ke mana,”

“Telefonlah kawan-kawan lama, ajak mereka keluar. Kata orang muda, apa tu..melepak!” Mak Leha cuba melawak. Mardina tidak memberikan reaksi. Dia diam. Mak Leha diserang rasa bersalah.

“Terukkan perangai Dina dulu Mak Leha?”

Mak Leha terkesima. Dia tahu maksud kata-kata Mardina itu.

“Dina nak lupakan semuanya Mak Leha. Dina nak jauhkan diri dari kawan-kawan yang merosakkan itu. Lagipun, mana Dina ada kawan lagi Mak Leha,”

“Kenapa pulak? Dulu kawan-kawan Dina ramai. Cubalah hubungi mereka. Tidak semuanya jahat. Dina ajak mereka makan di sini. Mak Leha akan masak yang istimewa untuk menjamu kawan-kawan Dina tu..!”

“Entahlah..Dina rasa dah makin jauh dengan mereka tu. Ramai yang dah kahwin dan ikut suami masing-masing. Ada juga yang dah berpindah ke luar negara mengikut keluarga,”

“Mana Dina tahu? Dina ada berhubung dengan mereka?”

“Habis, Dina tahu dari mana?”

“Hasim yang cerita. Setiap kali ada kawan Dina yang kahwin, dia akan beritahu Dina,” kata Mardina sambil menyuap nasi lemak yang masih berbaki di pinggannya.

“Hmm..dia sindir Dinalah tu!” kata Mak Leha dengan ketawa kecil. Dia melihat Mardina semakin polos dan lurus. Tidak seperti dulu, lincah dan kasar. Dia semakin senang dengan angin perubahan itu.

“Sindir macam mana Mak Leha?” Mardina menoleh. Kunyahannya terhenti.

“Mungkin dia nak ajak Dina cepat kahwin, tapi dia malu. Jadi dia cerita pasal orang lain yang dah kahwin..” jawab Mak Leha dengan ketawa panjang. Mardina ikut ketawa. Mungkin benar kata-kata Mak Leha itu.

“Kalau macam tu, hari ni ajak Hasim saja keluar. Pergi makan-makan ke atau pergi shopping. Dia mesti suka tu!” usul Mak Leha selepas ketawanya usai. Mardina tidak menjawab. Dia hanya senyum sambil terus makan.

“Dina rasa semua tu membuang masa saja, Mak Leha. Lebih baik Dina di rumah saja. Ada banyak perkara yang Dina boleh buat di rumah,”

“Dina betul-betul tak nak keluar?” Tiba-tiba Mak Leha bertanya. Sejak tadi dia memerhatikan wajah Mardina yang muram. Menungan Mardina itu seperti mengandungi sejuta rasa yang dia sendiri tidak pasti.

“Tak naklah. Kenapa?” Mardina menoleh.

“Kalau Dina tak nak keluar, jom ikut Mak Leha ke dapur. Kita main masak-masak. Dah lama Mak Leha tak masak,” jawab Mak Leha dengan senyum.

“Habis selama ni mereka tak makan?”

“Mereka cuma bersarapan saja di rumah ni. Makan tengah hari dan makan malam, di luar. Mak Leha masak untuk makan sendiri. Kadang-kadang goreng telor je..” kata Mak Leha sambil berjalan ke dapur. Mardina bangun, mengemaskan cawan dan pinggan yang ada di meja kemudian mengekori Mak Leha ke dapur.

“Kita nak masak apa?”

“Masaklah makanan kegemaran Dina, asam pedas!” jawab Mak Leha dengan ceria. Entah kenapa, dia lebih gembira dengan kepulangan Mardina berbanding dengan Datin Marisa.

Ikan dikeluarkan dari peti sejuk. Begitu juga bawang, halia dan cili. Tanpa kekok, Mardina membantu. Kalau boleh dia ingin melupakan apa yang dirasainya sebentar tadi.

“Mak Leha tahu, semasa di luar negeri Dina selalu rindukan masakan Mak Leha.Dina rindu pada asam pedas, laksa Penang, mee rebus Johor dan macam-macam lagi.Yang paling Dina rindu ialah sambal belacan…” kata Mardina dengan ketawa.

“Mak Leha ingat Dina dah lupakan semua tu,”

“Mana boleh..” kata Mardina dengan mata bercahaya.

“Habis tu kawan-kawan mat saleh Dina, tak diajar makan sambal belacan?”

“Ada juga tapi mana Dina pandai nak buat sambal belacan sesedap sambal Mak Leha. Sambal Mak Leha ni boleh buat orang meleleh air hidung dan kadang- kadang boleh berdesing telinga,”

Mereka ketawa.

“Apa rancangan Dina selepas ini?”

“Rancangan apa Mak Leha?”

“Yalah, Hasim tu dah lama tunggu Dina.Kamu berdua pun dah lama bertunang.Tak baik bertunang lama-lama Dina. Banyak bahaya dan buruknya dari yang baik,”

“Pasal itu, Dina tak berani janji apa-apa.Dina serahkan kepada Allah yang menentukannya. Kalau jodoh kami ada, akan berkahwinlah kami. Kalau jodoh tak ada, nak buat macam mana.”

“Kenapa Dina bercakap macam orang tak suka saja. Bukan ke Hasim tu pilihan Dina? Bukan ke Dina dan dia saling cinta? Apa Dina dah tak suka dia lagi?”

“Dina memang sayangkan dia, Mak Leha. Tapi, untuk masa ini Dina lebih suka kalau Allah juga sukakan dia,” jawab Mardina selamba.

“Apa maksud Dina?” Mak Leha keliru dengan kata-kata itu.

“Dina perlukan seorang suami yang taqwa dan taat pada perintah ALLAH. Mak Leha fahamkan? Bukan Dina nak kata dia tu jahil, tapi kita semua ni lalai. Kerana sibuk mencari harta, kita lupa pada ALLAH. Kita ni dah sesat dalam perjalanan hidup ni. Dina nak dia lebih bersedia sebagai lelaki muslim sebelum kami berkongsi hidup,”

“Tak beratkah kehendak Dina tu?”

“Memang berat bagi orang yang tak mendapat petunjuk ALLAH,”

“Kenapa Dina nak macam tu?” Mak Leha sengaja menduga.

Diam. Hujung pisau yang ada di atas meja dikuis-kuis.

“Mak Leha sendiri dah tahu hidup Dina sebelum ini, jauh dari landasan iman. Kadang-kadang Dina malu nak ingat kehidupan masa lalu Dina tu..”

”Semua orang ada buat silap,” Mak Leha memujuk.

”Benar. Dina bersyukur kerana Allah masih memberi peluang untuk Dina bertaubat. Kalau tidak, entahlah. Tengok saja keluarga Dina ni. Memang dari segi duniawi, kami cukup semuanya. Tapi untuk akhirat, tak ada langsung. Papa tak pernah didik kami supaya taat pada ALLAH. Malah seingat Dina, papa tak pernah melakukan ibadat kepada ALLAH. Kalau Hasim tak berilmu dan beriman, nasib anak-anak Dina juga akan sama dengan nasib Dina. Tak akan ada perubahan dalam keluarga kami nanti. Tetap akan jahil turun temurun,” jawab Mardina jujur. Dia tidak mahu berselindung dengan Mak Leha. Wanita itu sudah hidup bersama keluarga itu sejak muda. Tidak ada rahsia lagi antara mereka. Semua kelemahan dan kejahilan keluarganya diketahui oleh Mak Leha.

Mak Leha pula membenarkan semua kata-kata Mardina itu di dalam hati. Memang sejak dulu dia sudah maklum semua itu. Rumah besar itu memang gah dengan kemewahan, tapi kosong dengan keimanan. Malaikat rahmat pun mungkin tidak sudi untuk menjengah ke rumah itu.

“Dina dah beritahu dia?”

“Belum. Dina belum jumpa dia lagi,”

“Hari tu bukankah dia ada datang ke sini?”

“Dia datang sekejap macam tu, takkan nak bincang hal ni. Nantilah, Dina akan ambil satu masa yang sesuai,” kata Mardina. Mak Leha merenung Mardina lama.

“Kenapa Mak Leha tenung Dina macam tu?”

“Entahlah..Mak Leha bimbang kalau apa yang Dina nak, tak tercapai,” jawab Mak Leha, juga jujur. Cita-cita Mardina terlalu tinggi. Mengajak orang beriman dan kembali ke jalan Allah tidak semudah menguruskan sebuah perniagaan seperti yang Mardina pelajari di luar negeri.

“Dina pasrah dan berserah pada Allah. Semuanya atas kehendakNya,” kata Mardina perlahan. Dia juga sebenarnya bimbang tidak mampu memenuhi impiannya itu. Namun, dia perlu kuatkan semangat. Tidak ada jalan mudah untuk berjaya.

“Mak Leha boleh tolong Dina?”

“Tolong apa Dina?”

“Tolong doakan agar semuanya berjalan dengan baik,”

“Insya-Allah, kalau itu Mak Leha memang akan selalu doakan Dina. Dia nak buat benda yang baik. Allah pasti akan memberikan Dina jalanNya,” kata Mek Leha sambil memeluk Mardina dengan penuh kasih sayang. Ubun-ubun Mardina dikucupnya berkali-kali. Mardina terharu dan sebak. Airmatanya tiba-tiba luruh tanpa dipinta. Seumur hidupnya, hanya Mak Leha yang selalu berbuat begitu kepadanya.

“Dina? Kenapa? Mak Leha tersalah cakap ke?” Mak Leha menolak tubuh Mardina dan melihat air mata yang berjuraian itu. Tubuh itu bergegar. Esakannya pecah dan tidak mampu ditahan lagi.

Mak Leha buntu. Dia menarik semula tubuh Mardina ke dalam pelukannya. Dibiarkan Mardina menangis sepuasnya. Mungkin itu yang terbaik untuk melegakan seluruh rasa yang berbuku di nubarinya. Lama.

“Alangkah baiknya kalau mama yang peluk dan belai Dina macam ni..” ujar Mardina di celah esakannya. Mak Leha tersentak. Akhirnya dia mula faham erti tangisan itu. Mardina merindui belaian kasih sayang ibunya. Memang semuanya tidak pernah berlaku. Dia sendiri tidak pernah melihat Datin Marisa memanjakan atau berbual dengan penuh kasih sayang dengan Mardina. Sejak dulu, tidak ada kemesraan yang ditunjukkan oleh Datin Marisa terhadap Mardina. Seperti ada yang tidak kena, namun dia tidak tahu puncanya.

“Kalau Dina nak, Mak Leha boleh peluk Dina hari-hari. Dah, jangan sedih lagi,” Mak Leha mengesat air mata yang berjuraian di pipi Mardina dengan senyum, memujuk.

“Dina bukan sedih apa Mak Leha. Dina rindukan pelukan dan belaian mama. Dari dulu, Dina tak dapat belaian kasih sayang mama. Kadang-kadang Dina cemburu pada rakan-rakan Dina yang hidup miskin dan susah tapi mereka kaya dengan perhatian serta kasih sayang ibu bapa. Dina?” Mardina menatap mata Mak Leha, mencari-cari simpati.

Luruh hati Mak Leha melihat mata basah Mardina itu. Walaupun dia tidak pernah mengandung dan melahirkan anak, namun rasa kasih seorang ibu tetap mengalir lembut di sudut hatinya. Dia tetap diberikan Allah rasa itu, tanpa diminta.

“Mak Leha tak perasan ke layanan mama dan papa pada Dina selama ini?”

“Layanan macam mana?” Mak Leha berpura-pura tidak mengerti.

“Yalah, seperti ada jurang antara kami. Kalau bercakap dengan Dina, mama dan papa jarang tersenyum. Tapi kalau dengan Syita..mereka boleh bergelak ketawa dan bergurau senda. Kenapa macam ni Mak Leha?”

Diam. Mak Leha kehilangan suara untuk berkata-kata. Sudah lama soalan itu berlegar dalam fikirannya. Sudah lama dia keliru dengan semua itu. Hari ini, Mardina sendiri sudah mempersoalkannya.

“Dina rasa macam Dina ni bukan anak mereka. Mungkin Dina ni hanya anak pungut..”

“Ish! Tak baik cakap macam tu. Mungkin mereka sibuk dan tak perasan hal ni,”

“Ya. Mungkin mereka tak perasan. Mereka tak sedar ada hati seorang anak yang sering terluka kerana sikap mereka,” keluh Mardina perlahan.

“Sudahlah Dina. Ini mungkin takdir yang telah ditentukanNya. Dina kena terus berdoa. Allah akan mendengar doa hambaNya,” pujuk Mak Leha. Mardina angguk perlahan. Memang doa itu senjata orang mukmin. Doa juga yang mendekatkan diri manusia dengan Allah Yang Maha Agung dan Berkuasa.

”Benar Mak Leha. Hanya itu yang boleh Dina buat. Hanya Allah Yang Maha Tahu apa yang ada di hati Dina saat ini. Hanya Dia yang akan mengubah semua ketentuan buruk kepada ketentuan yang lebih baik. Dina tidak akan berhenti berdoa. Dina tak akan berhenti berusaha untuk menyedarkan mama dan papa tentang adanya Tuhan di muka bumi ini,” kata Mardina penuh semangat. Mak Leha menepuk-nepuk belakangnya dengan senyum. Sedikit sebanyak dia mula faham keinginan yang ada di hati Mardina itu. Dia berjanji kepada dirinya untuk membantu apa yang termampu olehnya. Mardina sedang menyusur jalan hidup yang lurus. Dia perlu disokong. Itu yang ada di fikiran Mak Leha.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.