Home Novel Islamik JIHAD MARDINA
JIHAD MARDINA
Fida Rohani
4/2/2014 23:36:59
20,601
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 1

Ketika ALLAH berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di muka bumi yakni Adam.” Jawab mereka : “Adakah patut Engkau menjadikan seorang khalifah di atas bumi yang akan berbuat binasa dan menumpahkan darah ( berbunuh-bunuhan ) sedangkan kami yang bertasbih memuji Engkau dan mensucikan Engkau,” Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tidak kamu ketahui,”( Surah Al-Baqarah ayat 30 )

( 1 )

Penerbangan dari London ke Malaysia, selamat mendarat di lapangan terbang KLIA. Mardina mengucap syukur berulang-kali. Udara di bumi sendiri disedut sepuas-puasnya.

“Alhamdulillah…Malaysiaku yang permai dan aman damai,” ucap Mardina dengan senyum puas. Sungguh tenang memandang persekitaran dan pemandangan di tempat sendiri. Di mana saja, bumi dan langit adalah kejadian yang sama. Di mana bumi dipijak di situ langit di junjung, ia tetap ciptaan Al-Khalik untuk makhluk-Nya.

Lima tahun dia tidak pernah pulang. Lima tahun dia berpijak di bumi dan berteduh di bawah langit asing. Lima tahun dia hidup di celah-celah budaya orang lain dengan segala kemelut sosial bangsa asing.

Kini, dia kembali. Benar kata pepatah, hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri lebih baik di negeri sendiri. Dia seperti seluang yang pulang ke lubuk, gembira dan amat teruja.

Dalam gembira ada gusar dan bimbang. Dia tidak pulang seperti Mardina yang dulu. Dia juga tidak pulang dengan hanya membawa ijazah dalam bidang perniagaan. Sebaliknya dia pulang sebagai Mardina yang baru dengan membawa segenggam azam dan nawaitu yang jitu – beriman kepada Allah dan rasul-Nya dengan penuh taqwa.

Hal kepulangannya itu telah pun dimaklumkan kepada keluarganya dua minggu yang lepas. Kepada Mak Leha pembantu rumah yang setia itu juga sudah dikhabarkan.

Masih tidak terluangkah masa kedua ibu bapanya untuk menunggu kepulangannya hari itu? Dulu semasa dia akan berangkat meninggalkan Malaysia, kedua-duanya hanya mewakilkan salam perpisahan melalui Mak Leha, pembantu rumah. Juga mengarahkan Pak Kasim, pemandu peribadinya menghantarnya ke lapangan terbang.

Kemudian selama lima tahun, dia seperti tersisih dari ingatan mereka. Tidak pernah sekali mereka menelefon, bertanya khabar atau menyuruh dia pulang ketika cuti semester. Apalagi untuk mengatakan rindu padanya.

Tidak berputikkah rindu di hati kedua-dua ibu bapanya? Tapi kenapa? Mardina mengeluh perlahan. Dia berjanji kepada hatinya untuk bertenang ketika berdepan dengan kenyataan yang bakal dihadapinya nanti.

Di balai ketibaan pula, Mak Leha dan Masyita tersenyum selepas hampir satu jam resah menunggu. Pengumuman ketibaan yang baru dibuat mematikan semua rasa bosan dan resah yang ada.

“Bagaimana agaknya rupa Kak Dina tu ya Mak Leha. Tak sabar Syita nak tengok wajah dia. Dah lima tahun dia tak balik,”

“Lima tahun saja. Mungkin tak ada yang berubah pun,” balas Mak Leha selamba. Matanya masih merenung ke arah pintu keluar, menanti penuh harapan rindu.

“Apa pulak tak lama Mak Leha. Kalau nak berubah, sehari pun orang boleh berubah,”

“Sekejap lagi kita akan jumpa dia. Mungkin dia dah kurus kerana lama tak makan sambal belacan dan asam pedas Mak Leha. Nanti esok Mak Leha nak buat sambal belacan tu untuk dia. Ikan pari pun Mak Leha dah beli, boleh masak asam pedas untuk dia,” kata Mak Leha dengan senyum. Dia terbayang wajah Mardina yang merah padam dan mata yang berair setiap kali makan berlaukkan asam pedas. Dia tidak lupa, Mardina makan dengan penuh selera kalau ada sambal belacan dan ikan bakar.

“Mak Leha ni, Kak Dina dah lupakan tu semua. Mana ada kelas, orang balik dari luar negeri nak makan belacan yang busuk tu. Nanti Mak Leha kena pergi kursus masak memasak tau!” kata Masyita mencebik.

“Untuk apa?” Mak Leha segera menoleh. Wajah Masyita direnung dengan penuh tanda tanya. Dia tahu selera Masyita tidak sama dengan selera Mardina. Sejak kecil pun memang tidak pernah sama. Ada banyak perkara yang tidak sama.

“Kerana Kak Dina dah tak pandai makan masakan Melayu. Dia hanya makan masakan mat saleh sahaja. Dia dah lupa nak makan sambal belacan dan asam pedas ikan pari yang Mak Leha selalu masak tu,” Masyita menjuihkan mulut.

“Kalau macam tu, senang je. Dekat rumah kita ada Restoren Mat Saleh. Kita beli sajalah..”

“Bukan Mat Salehlah Mak Leha, tapi mat saleh. Orang putih. Kak Dina hanya makan steak, vegetables salad, spaghetti dan macam-macam lagi,”

“Ish! Kamu ni Syita.Takkanlah Dina macam tu. Mak Leha tahu perangai dia tu. Dari kecil kamu berdua ni Mak Leha yang jaga. Mak Lehadah tahu yang mana kamu berdua suka dan yang mana kamu tak suka!” bantah Mak Leha cuba pertahankan cakapnya.

“Itu dulu. Sekarang dah lain. Sedangkan sungai lagi berubah…”

“Orang lain mungkin berubah, tapi tidak Dina.” Mak Leha masih bertegas. Dia tidak percaya kalau selera Mardina akan berubah. Kalau Masyita mungkin begitu sebab selama ini pun dia tidak suka sangat makan masakan Melayu. Yang dimakannya ialah makanan yang pelik-pelik. Kalau bukan masakan Jepun, dia makan masakan China atau mat saleh.

“Syita rasa kakak tentu lebih rugged dan seksi.Maklum sajalah dia berada di pusat dan syurga membeli belah tersohor di dunia. Mesti puas dia berfesyen kan Mek Leha?” Tanya Masyita. Mak Leha tidak menjawab. Hal-hal pakaian, dia tidak berani memberi komen. Sejak dulu pun dia tidak berani menegur kalau Mardina atau Masyita memakai baju yang dirasakannya memang menyakitkan mata.

“Biarlah mereka Mak Leha. Itu pakaian orang sekarang,” kata Datin Marisa ketika dia menegur baju Mardina yang singkat senteng. Sejak itu dia tidak berani menegur lagi. Pakailah apa saja dia tidak kisah. Dia tahu dia hanya pembantu di rumah itu. Dia tidak ada suara untuk menegur dan tidak ada kuasa untuk menahan. Dia bisukan mulut. Dia butakan mata. Juga dia pujuk hati supaya tidak campur urusan majikannya.

Dari jauh mereka melihat seorang wanita keluar dari pintu sambil menyorong troli yang sarat dengan barang-barang. Langkahnya mereka sudah kenal, Mardina!

“Mak Leha, tengok tu!” Masyita menunjukkan ke arah seorang wanita yang baru keluar dari pintu ketibaan. Wanita yang berseluar jeans dengan baju labuh danbertudung melambaikan tangan kepada mereka.

Mereka saling berpandangan.

“Betul ke itu Kak Dina?” Masyita terpinga-pinga.

“Betullah tu..kita tak mimpi pun,” jawab Mak Leha dengan senyum senang. Mardina berjalan menuju ke arah mereka dengan tergesa-gesa, penuh rindu. Tanpa menunggu dia terus memeluk kedua-duanya dengan erat.

“Mak Leha apa khabar?” Tanya Mardina ketika melepaskan pelukannya.

“Alhamdulillah syukur kerana masih diberi peluang untuk melihat dunia dan bertemu dengan Dina lagi,” Mak Leha masih memegang tangan Mardina dengan dada lapang.

“Syita macam mana?” Tanya Mardina menoleh ke arah adiknya.

“Syita pun ok. Masih macam dulu, sihat dan ceria,”

“Mama dan papa mana?”

“Mama ke Singapura dan papa ada di pejabatnya. Hari ni dia ada temu janji penting dengan pelabur dari luar negeri. Itu yang dia minta Syita dan Mak Leha yang jemput kakak ni,” kata Masyita. Hampa. Wajah Mardina tiba-tiba berubah mendung. Dugaannya benar.

“Mama dan papa tetap sibuk,” keluhnya perlahan, namun sempat didengar oleh Masyita dan Mak Leha.

Don’t worry kak. Kita kan boleh jumpa di rumah nanti. Kak Dina pun dah balik dan takkan pergi lagi. Masih ada banyak masa,” pujuk Masyita. Mardina diam dan dengan perlahan dia mengangguk. Lalu dia memaksa dirinya untuk tersenyum. Jauh di sudut nubarinya dia memang berkecil hati. Bukan hanya kali ini, malah sudah berkali-kali.

Sejak kecil hingga kini, mereka tidak pernah ada masa. Sentiasa sibuk. Kalau tidak dengan urusan bisnes, tentu dengan urusan persatuan. Kalau papanya ke padang golf, mamanya akan ke spa atau ke butik. Namun untuk ke sekolah bagi meraikan acara untuk anak-anak, tidak pernah ada masa.

Sejak kecil juga seperti ada jurang kasih yang dalam antara mereka. Cara Datin Marisa dan Datuk Iskandar bercakap dengannya tidak sama dengan cara dia bercakap dengan Masyita. Di celah hati mereka seolah-olah tidak ada sekuntum kasih untuk dirinya. Entah kenapa, kadang-kadang dia rasa dia seperti anak tiri atau anak angkat saja.

“Dina..?” Mak Leha menyergah. Dia tahu Mardina sedang mengelamun.

“Jomlah, kita balik. Tak sabar nak tengok ’syurga’ kita tu,” kata Mardina dengan senyum perli. Mak Leha angguk. Dia membalas senyuman Mardina itu dengan senyum sinis.

Mereka berjalan keluar dari balai ketibaan. Sebuah Mercedes C320 bernombor JEX 186 siap siaga menunggu. Melihat mereka datang, dengan segera pemandu itu membukakan pintu dan memasukkan semua barang ke dalam boot kereta. Mereka masuk dan duduk dengan selesa.

“Kak Dina, Syita tanya sikit boleh?” Tanya Masyita ketika kereta sudah meluncur meninggalkan lapangan terbang itu.

“Syita ni..tak menyempat-nyempat. Kak Dina ni penat lagi. Esok-esok kan boleh tanya..” rungut Mak Leha.

“Tak apalah Mak Leha. Tanyalah, apa dia?” Mardina menoleh kepada Masyita.

“Fesyen apa yang Kak Dina pakai ni?” Tanya Masyita dengan senyum, mengejek.

“Kenapa Syita? Ada yang tak kena dengan pakaian kakak ni?” Tanya Mardina dengan senyum juga. Tudung yang menutupi kepalanya dibetulkan.

“Bukan tak kena, tapi kakak dah berubah..”

“Manusia perlu berubah dalam hidupnya Syita. Kalau dia tak berubah, maknanya hidupnya memang tak sempurna,”

“Tapi perubahan Kak Dina ini terlalu drastik dan menonjol,” Masyita masih tidak berpuas hati dengan jawapan Mardina. Matanya masih tidak lepas merenung Mardina.

“Menonjol?”

“Yalah, dulu Kak Dina tinggalkan negara dalam keadaan rugged dan seksi. Bila balik, Kak Dina bawa fesyen ni..” Masyita menarik hujung tudung kepala Mardina dengan hujung jarinya. Mardina ketawa perlahan. Dia tahu perubahan pakaiannya akan menjadi isu. Dia tahu pakaiannya yang menutupi aurat itu akan mengelirukan fikiran keluarganya yang separuh mat saleh itu.

Dia tidak ketawa kosong. Dia ketawa dengan azam: ada banyak lagi perubahan yang akan dibuat dalam keluarga itu.

“Kak Dina belum jawab soalan Syita,” Masyita mengejutkan Mardina yang sedang merenung ke luar. Sekali lagi Mardina senyum. Sejak dulu Masyita tidak pernah berubah, suka mendesak.

“Mengenai apa?”

“Mengenai pakaian Kak Dina ni..”

“Apa yang aneh sangat dengan pakaian akak ni?”

“Dulu akak..”

“Dulu tu akak jahil. Akak tak tahu hukum dan akak tak tahu dosa mendedahkan aurat. Sekarang, akak dah tahu. Dosanya amat berat. Jadi, akak nak tutup aurat akak dan tak mahu terus hidup dalam dosa. Itu saja,” jawab Mardina dengan tenang dan selamba.

“Tapi ini terlalu taksub kak. Ini tak masuk akal,” tingkah Masyita.

“Ini adalah hukum Allah Syita. Ini adalah hukum yang wajib untuk semua wanita Islam. Apa yang tak masuk akal..?” Mardina menoleh dan merenung wajah Masyita. Ternyata masa beberapa tahun yang ditinggalkannya tidak langsung mengubah diri Masyita.

“Kak Dina, untuk apa akak buat semua ni? Kita ni golongan elit. Akak tak takut orang ketawakan akak nanti?”

“Hukum Allah itu tidak mengira pangkat dan kedudukan sesaorang. Allah sentiasa adil kepada hambaNya. Kaya atau miskin, sama saja. Akak lebih takut pada azab Allah. Ketawa manusia tidak akan membawa kita kecundang kerana bukan manusia yang menentukan hidup dan masa depan manusia lain. Allah Yang Maha Berkuasa,” jawab Mardina dengan tegas.

“Syita tak setuju dengan fikiran akak ni,”

“Setuju atau tidak, inilah realitinya. Manusia adalah khalifah Allah di muka bumi ini. Sebagai khalifah, kita ada tanggungjawab masing-masing,”

Diam. Masyita melepaskan pandangannya ke luar tingkap. Kesibukan jalan raya menyeliratkan lagi fikirannya. Wajahnya nampak kurang senang. Mardina menjeling ke arah adiknya dengan senyum. Mak Leha juga tersenyum. Perubahan Mardina begitu menyenangkan hatinya. Apa lagi selepas telinganya mendengar kata-kata Mardina mengenai dosa pahala.

“Sudahlah tu. Lain kali saja bincang hal ni. Dina nak makan apa malam ni?” Mak Leha cuba meredakan suasana, mengalihkan perhatian kedua beradik itu. Kalau tidak dialih perhatian mereka, tidak mustahil satu pertikaman lidah akan berlaku. Sejak kecil mereka berdua memang suka berdebat. Biasanya dari perdebatan biasa akan jadi pergaduhan dan saling bermasam muka. Tapi tidak lama. Belum beberapa jam, mereka sudah berbaik.

“Apa saja Mak Leha. Tak usah nak susah-susah. Dina ni letih sangat. Rasa macam nak tidur saja,”

“Lepas makan tidurlah,”

“Kak Dina masih ingat pada masakan Melayu?” Masyita menyorot ke dalam mata Mardina, menduga.

“Kita orang Melayu, sampai mati pun tetap orang Melayu. Walau berapa lama menetap di tempat orang, kita tetap orang Melayu. Kita kena bangga dengan cara hidup, budaya dan makanan kita,” jawab Mardina sinis.

“Mana tahu, dah lama makan keju dah lupa pada belacan. Dah lama makan spaghetti, dah lupa pada laksa. Dah lama makan salad, dah lupa pada rojak!”

Mardina ketawa kecil. Dia tahu Masyita bergurau. Namun dalam masa yang sama, dia juga faham maksud yang tersirat di sebalik gurauan itu.

Mereka sampai di rumah.

“Masuklah Dina. Rumah ni tetap macam dulu. Tak ada yang berubah pun,” ujar Mak Leha.

Mardina melangkah masuk. Matanya memandang ke sekeliling. Memang benar kata Mak Leha, rumah itu tidak berubah. Banyak perhiasan lama masih utuh di situ. Yang berubah mungkin kedudukan perabut dan gubahan perhiasan.

“Kak, Syita keluar dulu. Ada janji dengan kawan. Nanti kalau ada masa lapang, kita berbual. Akak rehatlah dulu,” Masyita melangkah ke arah kereta spotnya sebelum sempat Mardina memberi reaksi.

Mak Leha berjalan ke dapur, menyiapkan minuman. Mardina masih tertinjau-tinjau keadaan di dalam rumah itu.

“Dina, minum dulu. Air kesukaan Dina, sirap limau,”

“Mak Leha masih tak lupa?”

“Mana boleh lupa. Lebih dua puluh tahun Mak Leha sediakan minuman itu untuk Dina,”

“Terima kasih Mak Leha. Hanya Mak Leha yang tak pernah lupakan Dina,” kata Mardina perlahan. Mak Leha faham apa yang dimaksudkan oleh Mardina. Namun dia tidak mahu bersambung kata dengan gadis itu.

“Minumlah, lepas tu berehat. Mak Leha dah kemaskan bilik Dina,”

Mardina akur. Dengan bismillah yang perlahan, dia meneguk sirap limau yang dihidangkan. Mak Leha hanya memerhati. Perubahan yang dibawa balik dari London itu amat melapangkan dada Mak Leha.

Mardina berjalan ke arah biliknya. Sebaik pintu dibuka, dadanya tiba-tiba sebak. Lima tahun dia meninggalkan bilik itu. Namun, ternyata Mak Leha menjaganya dengan baik. Dia membuka almari pakaiannya. Semua pakaiannya masih tersangkut dan tersusun dengan rapi. Almari enam pintu dengan ukiran kayu jati itu masih penuh dengan pakaian yang beraneka fesyen.

Dia membelek semua pakaian itu. Dia rasa malu pada dirinya sendiri ketika membayangkan dia memakai baju-baju yang singkat dan terdedah itu. Dia teringat kisah Israk wal Mikraj yang pernah dibacanya. Baginda Rasulullah s.a.w berkata: “Aku melihat wanita yang digantungkan rambut-rambutnya hingga menggelegak otak mereka seperti gelegaknya kuali. Maka aku bertanya: “Siapakah mereka ini wahai saudaraku Jibril?” Jibril menjawab: “Mereka ialah wanita yang tidak menutup rambut mereka dari pandangan lelaki ajnabi,”

Tiba-tiba Mardina ketakutan. “Mak Leha!” Mardina memanggil.

“Ada apa Dina?” Mak Leha muncul di muka pintu.

“Boleh tak Mak Leha tolong kemaskan almari baju Dina ni,”

“Tapi kenapa? Bukankah semuanya masih kemas macam dulu ni?” Mak Leha terpinga-pinga. Susunan pakaian di almari itu tidak pernah berselerak. Tidak pernah ada orang yang menyentuh semua milik Mardina. Hanya dia yang masuk dan mengemas bilik dan semua barang yang ada di bilik itu.

“Dina nak Mak Leha kosongkan almari ini,”

“Habis pakaian-pakaian ni nak diletakkan di mana?”

“Buang saja. Dina tak nak ingat semua kenangan lama dan Dina malu dengan kejahilan Dina dulu,”

“Tapi Dina..” Mak Leha rasa ralat dan sayang melihat pakaian yang mahal-mahal itu dibuang begitu saja. Alangkah baiknya kalau pakaian itu disedekahkan kepada mereka yang sudah dan tidak berbaju. Tapi..

“Mak Leha, tolonglah. Dina nak mulakan hidup baru..” Mardina seperti merayu.

“Baiklah Dina, nanti Mak Leha akan kemaskan,” Mak Leha tidak mahu bertanya lagi. Dia keluar dari bilik itu dan membiarkan Mardina sendirian. Dalam fikirannya masih terfikir bermacam perkara.

Mardina berbaring dengan selesa, membetulkan lenguh kaki dan badan akibat perjalanan jauh itu. Baju-baju yang bergantungan di almari itu direnungnya. Bukan sedikit masa dan wang telah dihabiskan untuk membeli kesemuanya itu. Setiap hujung minggu, dia dan teman-temannya akan menjelajah dari gedung ke gedung untuk berbelanja. Dia terikut-ikut perangai Datin Marisa yang suka berfesyen.

Sejak kecil dia sudah terdedah dengan keadaan itu. Dia lahir di atas lantai hidup yang mewah. Datuk Iskandar mahupun Datin Marisa tidak pernah berkira dari segi wang ringgit. Duit koceknya sentiasa penuh. Kad kredit dan duit simpanan banknya juga tidak pernah luak. Begitu juga dari segi kebebasan hidup, tidak pernah sekali pun dia dihalang dan ditanya ke mana dia pergi. Dia balik atau tidak ke banglo itu tidak pernah dipedulikan.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.