Home Novel Islamik JIHAD MARDINA
JIHAD MARDINA
Fida Rohani
4/2/2014 23:36:59
20,605
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 6

Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar. ( Surah al-Hujarat ayat 15 )

-6-

Siti Fatimah bt. Abdullah, adalah orang yang amat berjasa kepadanya. Begitu pelik rasanya bila dia yang dilahirkan sebagai seorang Islam tidak pandai solat, tidak pandai mengaji dan tidak pandai semua hal agama. Tambah aneh lagi bila Siti Fatimah yang baru mengucap kalimah syahadah itu menjadi tangan yang membimbingnya untuk menjadi mukmin sebenar. Pujukan Siti Fatimah yang tidak pernah jemu membuatkan dia insaf dan sedar bahawa dia adalah hamba Allah yang khilaf.

“Dina, marilah kita bersama-sama menuju jalan yang benar. Marilah kita solat kerana solat itu tiang agama,” ajak Siti Fatimah pada satu Subuh yang hening. Ketika itu dia menggeliat, terganggu dengan cahaya lampu yang dipasang oleh rakan sebiliknya itu.

You buatlah dulu,” dia cuba mengelak.

“Kerja yang baik jangan bertangguh.Hanya solat yang boleh beri ketenangan pada kita. Hanya solat juga yang mendekatkan diri kita kepada Allah. Dunia ini hanya sementara. Satu masa kita akan mati. Kalau kita tak solat, kita tak ada bekal untuk dibawa mati,”

“Dari mana you belajar semua ni?” Dia bertanya hairan. Wajah Siti Fatimah yang begitu tenang dalam telekung putih itu direnungnya lama.

“Allah yang mengatur segalanya Dina. Dia Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ada seorang ustaz dari Malaysia yang datang ke sini sebagai pendakwah bebas dan diketemukan dengan 1 tanpa dirancang,”

“Sejak bila?”

“Sejak beberapa bulan ini. Selepas peluk Islam, I berdoa agar Allah berikan jalan untuk terus mendekatiNya. Dan itulah..I bertemu dengan ustaz itu. Sungguh indah perjalanan hidup yang Allah aturkan untuk kita,”

Mardina mengeluh perlahan. Benar, semuanya sudah diatur dengan baik.

Siti Fatimah, nama itu tidak mungkin akan dilupakan. Nama yang hebat itu sehebat jasanya mengembalikan iman seorang keturunan Adam yang jahil sepertinya.

Siti Fatimah sudah kembali mengadap Illahi. Yang tinggal hanya sebuah kenangan dan sebuah amanah. Sepertimana dia tidak pernah melupakan Siti Fatimah, dia juga tidak akan melupakan amanah yang telah diletakkan di bahunya.

“Ingat Dina, you mesti tunaikan amanah itu walau dalam keadaan apapun. Hanya itu sedekah jariah I untuk agama yang suci ini,”

“Tapi kenapa I?”

“Sebab I percaya dan yakin dengan you. Hanya you yang boleh tunaikan semua hajat I tu. Selepas I pergi, you pergi ke bank. Di sana I dah siapkan semuanya. Apa yang ada itu you gunakan dengan baik.Kalau tak cukup, you call my mum. Dia tahu semua hal ini. Dia dah janji untuk bantu kalau perlu,”

“Siti, kenapa you merepek macam ni? You sebenarnya nak ke mana?”

I tak ke mana-mana, hanya nak kembali ke tempat yang kekal. I nak bertemu Allah,”

“Siti..”

“Lagi satu, jangan sedih kalau I dah tak ada.Ajal maut semua milik Allah. You kena redha. Kata seorang pujangga, garis penamat sebuah kehidupan ialah kematian.Kata seorang sufi pula, mati adalah permulaan sebuah perjalanan menemui Allah,”

Siti Fatimah sungguh petah kalau berkata-kata.Dia mempunyai cukup bukti yang berasas. Mungkin kerana dia banyak membaca atau kerana kerajinannya mencari ilmu.

Semuanya berlaku begitu cepat. Seminggu selepas meletakkan amanah di bahunya, Siti Fatimah pergi mengadap Illahi hanya kerana demam biasa. Dia seperti sudah tahu mengenai penghujung hidupnya itu.

Siapakah yang mampu menahan tangisan dengan perpisahan yang tidak terduga itu?

“Mardina, kamu jangan terlalu sedih. Iringi pemergian dia dengan doa. Walaupun dia bukan Rabiatul Adawiyah yang sufi, tapi dia adalah muslimah yang sejati. Allah mengasihinya dan segera menjemputnya supaya segara dapat bertemu. Dia adalah kekasih Allah..” kata ustaz yang selama ini membimbing iman Siti Fatimah di kota besar itu.

Mardina mengeluh lagi. Kenangan bersama Siti Fatimah seperti baru semalam dilaluinya. Kini, dia rasa masanya sudah sampai untuk dia menunaikan semua amanah.Masa itu emas. Mardina tidak mahu berlengah dan bertangguh lagi. Tekad yang ada dalam hatinya perlu dilaksanakan dengan segera. Semakin bertangguh semakin pula banyak onaknya.

Dia perlu mulakan dengan langkah yang pertama, mencari lokasi yang sesuai sebagai tapak. Seharian itu, dia menjelajah ke pejabat beberapa buah syarikat hartanah. Dalam banyak lokasi yang ditunjukkan, hanya satu yang dia rasa sesuai. Lalu dia membuat temujanji dengan pegawai yang bertanggungjawab.

Selepas setengah jam memandu dan berpusing-pusing mencari alamat yang diberikan, akhirnya Mardina sampai ke tempat yang dituju.

“Dah lama encik sampai?”

“Taklah lama sangat,”

“Maaflah. Saya dah lama tak memandu. Dah lupa banyak jalan. Lagi pun Malaysia dah maju, kereta pun dah makin banyak di jalan raya,” kata Mardina.

“Benar tu. Marilah. Saya akan tunjukkan rumah yang saya katakan tu,” kata lelaki itu sambil membuka pintu. Mardina mengekorinya. Dia melihat-lihat kawasan rumah itu dan kelihatan dia berpuas hati dengan keadaan rumah itu.

“Macam mana Cik Mardina?”

“Baiklah. Saya setuju dengan tawaran yang diberikan. Encik boleh uruskan perjanjian jual belinya. Kalau boleh saya nak ia disiapkan segera. Saya nak pindah ke sini secepat mungkin,”

“Cik Mardina tak nak buat ubah suai dulu?”

“Encik siapkan urusan jual beli dulu. Saya akan fikirkan pasal ubah suai itu nanti,”

“Kalau macam tu, baiklah. Saya akan uruskan segera. Macam mana dengan bayarannya?”

“Saya akan bayar secara tunai,” jawab Mardina. Lelaki itu angguk senang. Semuanya selesai dengan mudah.Mereka meninggalkan kawasan rumah banglo yang tersergam itu dengan rasa lega.

Hati Mardina rasa lapang kerana telah berjaya mendapat tapak untuk dia memulakan langkahnya. Langkah pertama akan diikuti oleh langkah-langkah seterusnya. Dia perlu melakukannya dengan teliti. Setiap sen yang dibelanjakannya, dia tidak mahu kerugian dari mendapat pahala Allah.

“Apa yang Dina tulis ni?” Tegur Mak Leha yang keluar membawa horlicks panas kegemaran Mardina. Sejak lepas menunaikan solat Isyak, dia memerhatikan Mardina menulis dan mencatit.

“Dina tengah catitkan apa yang perlu Dina beli untuk rumah baru Dina tu Mak Leha,” jawab Mardina selamba, tidak menoleh.

“Dina beli rumah baru? Kat mana? Dina nak pindah dari rumah ni?Mak Leha macam mana?” Mak Leha bertanya bertubi-tubi. Tiba-tiba dia terkejut dengan apa yang didengarnya. Dia belum pernah membayangkan untuk berpisah dengan Mardina.

“Banyaknya soalan Mak Leha. Mana satu yang Dina nak jawab ni..” kata Mardina dengan ketawa. Mak Leha ikut menyengih.

“Dina jawablah satu persatu, jangan tertinggal satu pun,” gurau Mak Leha.

“Ok, Dina memang dah beli sebuah banglo tapi, Dina tak akan pindah dari sini dan Mak Leha akan tetap di rumah ini,”

“Jadi rumah tu untuk siapa?”

“Rumah tu Dina nak buat rumah kebajikan. Rumah itu untuk anak-anak yatim, orang susah yang tak ada tempat tinggal dan orang-orang tua yang tak ada tempat berlindung,”

“Maksud Dina?” Mata Mak Leha melorot mencari jawapan dari dalam mata Mardina. Namun Mardina tidak terus menjawab. Dia membiarkan seketika Mak Leha dihantui rasa ingin tahu. Kemudian dia menceritakan tentang amanah Siti Fatimah dan apa yang sedang dirancangnya.

“Betulkah Dina?” Mata Mak Leha bersinar riang selepas cerita Mardina usai. Dia rasa amatlega.

“Dina, boleh Mak Leha tanya lagi?”

“Ada lagi?” Mardina bergurau. Mak Leha terkesima malu. Dia tunduk diam.

“Dina gurau je. Tanyalah berapa banyak Mak Leha nak tanya, Dina akan jawab kalau Dina ada jawapannya,”

“Mak Leha dan semua orang dalam rumah ini masih tertanya-tanya, macam mana Dina boleh berubah. Maksud Mak Leha, sebelum ke luar negeri dulu Dina …Dina tak macam ni..” Mak Leha teragak-agak. Dia bimbang akan menyentuh perasaan Mardina.

Mardina memandang ke arah Mak Leha dengan senyum. Kemudian dia mendongak ke langit. Awan putih berarak perlahan. Dia terasa berada di celah awan itu, tenang dan aman.

“Ceritanya panjang Mak Leha,”

“Cerita je. Panjang mana pun Mak Leha akan setia mendengarnya,” ujar Mak Leha jujur. Mardina menarik nafas.

“Semasa di sana, Dina telah lalui hidup yang sukar. Dina tak cukup bekal..”

“Hah? Papa tak kirimkan Dina duit belanja?” Mak Leha terkejut.

“Bukan duit, tapi iman. Kalau di sini, Dina dah hanyut dengan jalan hidup yang terumbang-ambing, di sana apa lagi. Budaya hidup bebas di sana semakin menyesatkan hidup Dina. Hampir saja Dina tenggelam di tengah gelora itu. Namun, Allah rupanya masih sayangkan Dina,”

“Apa yang berlaku?” Mak Leha semakin teruja untuk tahu.

“Mak Leha sendiri tahu bagaimana kehidupan Dina di sini, tak pernah tahu hukum hakam dan batas insan. Sejak kecil tak pernah diajar semua itu,” Mardina berhenti. Matanya masih merenung awan. Mak Leha ikut merenung awan yang tenang itu sambil menanti penyudah cerita yang sedang dikisahkan oleh Mardina itu.

“Allah telah menentukan semuanya. Dina berkenalan dengan seorang pelajar Cina dari Singapura. Kami akhirnya tinggal serumah. Dia berusaha mendalami Islam dan akhirnya memeluk Islam dengan penuh keinsafan,” Mardina berhenti seketika. Dia masih merenung awan. Salah satu kebesaran Allah itu disyukurinya dalam hati. Mak Leha masih menunggu. Dia yakin masih banyak cerita yang akan didengarnya dari Mardina.

“Sejak itu saban malam Dina tengok dia kerjakan solat dengan tekun dan kusyuk walaupun dengan ilmunya yang cetek. Dia nampak begitu tenang dengan cara hidupnya yang sederhana,”

“Keluarganya tahu dia masuk Islam?”

“Tahu dan mereka tak campur tangan. Dia mengajak Dina mencari diri Dina yang hilang. Dia menyedarkan Dina tentang kehidupan Dina yang penuh dengan kemungkaran. Dari situ timbul kesedaran mengenai dosa pahala dan amal ibadat. Atas kehendak Allah juga, kami diketemukan pula dengan Ustaz Ismail seorang pendakwah bebas yang sering berulang alik ke London untuk menyebarkan Islam. Daripada dialah kami belajar banyak ilmu agama. SubhanaAllah, barulah Dina rasakan kehidupan yang tenang dan damai yang tidak Dina rasai sebelum ini. Setiap cuti semester kami tidak lagi buang masa dengan perkara yang sia-sia. Sebaliknya kami pergi belajar agama dengan Ustaz Ismail,” kata Mardina dengan mata yang bercahaya, tenang dan bahagia. Sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh Mak Leha sebelum ini.

“Habis dimana kawan Dina tu?”

“Dia telah mati di sana,”

“Innalillahhiwainnailaihirajiun…”

“Sebelum dia meninggal, dia amanahkan agar Dina teruskan cita-citanya untuk membuka sebuah rumah kebajikan. Dia impikan sebuah masyarakat yang betul-betul amar makruf nahi mungkar, yang betul-betul mengikut sunnah dan hukum yang benar,” kata Mardina dengan sebak. Mak Leha membiarkan.

“Dia telah tinggalkan duit untuk tujuan itu,”

“Darimana dia dapat duit sedangkan dia juga masih belajar macam Dina?”

“Sebenarnya dia anak seorang jutawan kapal, Mak Leha. Dia lebih kaya dari Dina. Walaupun mewah dan kaya, dia masih tak tenang. Itu sebabnya dia mencari dan mencari sebabnya. Hinggalah bila dia bertemu dengan Islam,” kata Mardina. Mak Leha angguk. Benar kata orang, kekayaan bukan kunci sebuah kebahagiaan.

“Amanah itu berat Dina,” getus Mak Leha akhirnya. Dia tidak mahu ikut terhanyut dengan perasaan yang sedang dirasai Mardina.

“Itu Dina tahu Mak Leha. Tapi Dina yakin kalau niat kita ikhlas, yang susah akan menjadi senang. Rintangan awal ialah dari papa dan mama Dina sendiri,”

“Hajat yang baik mesti ada halangan. Itu semua dugaannya. Dina kena sabar,”

“Benar. Dina kena sabar. Tapi Dina juga risaukan keluarga Dina ni. Ada banyak perkara pincang dalam keluarga ini. Papa sebagai ketua keluarga gagal menjadi imam yang baik kepada kami. Mama yang sibuk dengan dunianya, tak ada masa nak buat amal. Syita yang hanyut dengan dunianya sendiri. Langsung mereka tak ingat pada mati. Langsung tak ada bekal untuk akhirat. Miskinnya keluarga ini Mak Leha…” keluh Mardina dengan perlahan dan sebak. Mak Leha jatuh belas melihat keadaan Mardina. Namun dia tidak upaya untuk membantu. Dia meninggalkan Mardina di ruang tamu itu sendirian.

Tidak lama kemudian, Masyita pula keluar dari biliknya sambil menyanyi-nyanyi kecil. Dia sudah berpakaian rapi. Mardina dan Mak Leha berpandangan.

“Syita nak ke mana?”

“Keluar kejap kak,” jawab Masyita sambil menyarungkan kasutnya. Mardina menolehke arah jam di dinding.

“Dah malam ni. Tak bagus keluar malam-malam macam ni,”

“Kak Dina, kalau kakak nak terperuk di rumah ni, Syita tak kisah kak. Jangan kakak nak ajak Syita memerap macam kakak. Syita boleh mati jadinya!” Tengking Masyita. Mardina tersentak. Dia tidak menduga akan menerima tengkingan seperti itu.

“Syita..”

“Sudahlah kak. Syita tak ada masa nak dengar ceramah kakak ni. Mama dan papa pun tak pernah halang ke mana Syita nak pergi dan apa yang Syita buat. Ni yang kakak nak sibuk ni kenapa?”

“Kerana kakak sayangkan kamu Syita. Cubalah bawa mengucap dan ingatkan Allah. Kita hidup hanya sementara saja dik. Yang kekal ialah kehidupan akhirat. Dunia ini dipinjamkan kepada kita adalah untuk menguji iman dan taqwa kita, bukan untuk bersukaria dan kumpul dosa,”

“Eii! Rimas betul dengan Kak Dina ni.Membebel macam orang tua!Dahlah, Syita pergidulu. Kakak tunggulah rumah besar ni dengan Mak Leha tu..!” Masyita melangkah pergi tanpa menoleh. Mardina terdiam. Hatinya dilanda bimbang dan kesal. Dia sudah melalui semua itu. Dia pernah hanyut dalam dunia itu. Kalau boleh dia tidak mahu adiknya ikut hanyut.

Selepas Masyita pergi, Mardina merebahkan diri ke sofa. Dia seperti hilang upaya dan lemah. Datuk Iskandar dan Datin Marisa berbangga dengan semua kekayaannya. Masyita pula bermegah dengan hidup modennya. Dalam masa yang sama batinnya sendiri meronta-ronta untuk menghalang semua kemungkaran yang sedang berlaku itu.

“Kau tak akan berjaya Mardina, aku lebih berkuasa,” satu suara menerjah kuping telinganya. Suara itu sinis dan berselang seli dengan ketawa.

“Tidak! Kau makhluk yang dilaknat Allah. Kau tidak ada kuasa. Yang berkuasa ialah Allah..”

“Ha! Ha! Kau lupa janji aku di hadapan Allah ketika Adam dijadikan?”

“Aku tidak lupa. Kau memang dengki dan cemburukan Adam,”

“Aku tidak cemburu, tapi aku berjuang untuk keadilan dan menegakkan kebenaran,”

“Kebenaran apa?”

“Kebenaran bahawa aku dijadikan daripada api dan Adam hanya daripada sekepal tanah yang hitam dan kering,”

“Jadi?”

“Jadi kenapa aku perlu sujud pada Adam dan menghormatinya. Lagipun aku dijadikan terlebih dahulu sebelum Adam. Kenapa aku kena tunduk dan sujud pada Adam? Tidakkah itu tidak adil. Allah tidak berlaku adil pada aku!”

“Subhanallah..Allah itu Maha Adil. Dia Maha Pencipta. Engkau adalah makhluk ciptaanNya. Seharusnya kau patuh pada semua kehendak Allah, bukannya membantah. Kalau Allah minta kau sujud, kau kena buat. Tapi kenapa kau mesti nak melawan Dia?”

“Kerana aku ada maruah diri. Aku tak akan mengalah pada Adam,”

“Bermakna kau durhaka pada perintah Allah!”

“Memang aku dah derhaka. Dan Allah dah melaknat aku dan telah mengusir aku dari syurgaNya. Sejak itu aku berjanji bahawa semua keturunan Adam akan aku bawa bersamaku ke neraka jahanam!”

“Allah hu Akbar!! Jahanam kau iblis! Pergilah kau ke neraka Allah!”

“Tidak, aku tidak akan pergi sendirian. Aku akan bawa seberapa ramai anak cucu Adam. Ha! Ha!..aku akan bawa semua Mardina!! Termasuk ahli keluarga kau!! Ha! Ha!”

“Setan kau!!” jerit Mardina dengan kuat.

“Dina! Kenapa ni?” Tiba-tiba bahunya disentuh. Mardina membuka mata. Dahinya berpeluh. Dia beristighfar berkali-kali.

“Mengigaulah ni. Itulah tidur selerak macam ni..” Mak Leha merungut. Dia memimpin Mardina menuju ke biliknya dan membaringkan Mardina ke katil.

“Dah, tidurlah,” kata Mak Leha sambil mematikan suis lampu.

“Mak Leha, tolong jangan tutup lampu. Dina takutlah..”

“Eh! Kenapa Dina? Dina mimpi hantu ke?”

“Bukan hantu, tapi setan Mak Leha. Dia datang tertawakan Dina,”

“Tertawakan?”

“Ya, katanya Dina tak akan kalah..” Mardina sebak. Dia takut untuk membayangkan mereka seisi keluarga akan menjadi bahan bakar api neraka. Ustaz Ismail pernah membacakan sebuah kitab yang menerangkan hal ehwal neraka. Sungguh menakutkan..

“Ya Allah Ya Tuhanku, Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Tunjukkanlah jalan yang benar dan lurus kepadaku ya Allah. Ampunilah dosa kedua ibubapaku. Ya Allah, bukakanlah pintu hati mereka untuk beriman kepadaMu. Jauhilah mereka dari kelalaian dan tipu daya syaitan serta kemungkaran dunia.Bukakanlah pintu hati mereka ya Allah…ya Allah…bukakanlah ya Allah…”


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.