Home Novel Islamik JIHAD MARDINA
JIHAD MARDINA
Fida Rohani
4/2/2014 23:36:59
20,604
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 8

“Mak cik..mak cik..kenapa tidur di sini?” Tubuh wanita itu digoncang lembut, penuh kasih. Wanita itu cuba membuka matanya, tapi tidak berdaya dan lemah. Tangan diletakkan ke dahi wanita itu. Bahang panas menyentuh kulitnya.

“Mak cik demam ni. Mari saya bawakan mak cik ke klinik,”

Dia tidak menunggu jawapan. Dalam saat macam tu, dia tidak perlu menunggu. Dengan kederatnya yang ada, wanita itu dipapah ke kereta.

“Kenapa Dina?”Mak Leha tergopoh datang selepas melihat Mardina bersusah payah memapah.

“Mak cik ni demam. Kita kena bawa ke klinik. Mak Leha, mari tolong angkat,” kata Mardina. Mereka memapah wanita tua itu masuk ke dalam kereta.

“Dina, begnya tertinggal tu!” Tunjuk Mak Leha. Mardina menoleh dan terus berjalan ke arah sebuah beg lusuh lalu mengambilnya. Kemudian tanpa berlengah, Mardina memandu ke arah sebuah klinik yang berdekatan. Betul-betul Mardina berhenti di hadapan sebuah klinik.

“Mak Leha tolong tengok dalam beg dia tu, kalau-kalau ada dokumen penting mengenai diri mak cik ni,” suruh Mardina sebelum turun dari kereta. Mak Leha patuh. Zip beg usang itu ditarik perlahan.

“Ada beberapa helai baju, sekeping gambar keluarga dan beg duit. Tapi duitnya tak ada. Hanya kad pengenalan saja,”

“Kalau macam tu, keluarkan kad pengenalannya,” suruh Mardina. Mak Leha sekali lagi patuh. Sekeping kad pengenalan yang juga agak lusuh dikeluarkan dan dihulurkan kepada Mardina.

“Esah bt Dolah..” Mardina membaca kad pengenalan di tangannya.

“Mari kita bawa dia turun,”

Mereka memapah wanita itu masuk ke klinik.Tidak ramai pesakit yang ada. Dengan bantuan seorang jururawat, mereka terus membawa tubuh lemah wanita itu ke bilik kecemasan. Seorang doktor datang untukmemeriksa.

Mardina dan Mak Leha menunggu dengan tenang.

“Nampaknya demam mak cik ni agak teruk. Tekanan darahnya terlalu rendah. Itu yang buat dia lemah. Bahaya kalau dibiarkan. Saya rasa baik dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Cik ni anaknya?” Doktor itu berpaling ke arah Mardina.

“Oh bukan. Saya jumpa dia terlantar lemah di tepi jalan tadi. Sebab itu saya bawa dia ke sini,”

Mata doktor muda itu menyapu wajah Mardina, dengan rasa kagum yang menggunung. Di daerah yang serba maju dan sibuk itu jarang ada orang memperhatikan keuzuran dan kedaifan orang lain. Masing-masing sibuk menguruskan diri sendiri.

“Kalau macam tu kata doktor, biarlah saya bawa dia ke hospital sekarang,” kata Mardina, tulus dan penuh simpati.

“Nanti saya akan berikan surat. Cik bawalah dia dengan segera sebelum terlambat,”

Mardina angguk. Sekali lagi tubuh lemah wanita bernama Esah itu dibawa ke kereta.

“Kesian dia Dina. Kenapa agaknya dia terlantar di tepi jalan tu,” keluh Mak Leha dalam perjalanan ke hospital.

“Entahlah Mak Leha. Kita tak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada dia. Kalau dia benar-benar orang miskin yang tak ada sanak saudara dan tak berharta, tak apa. Tapi kalau sebaliknya..”

“Maksud Dina?”

“Yalah, mana tahu dia ada anak-anak tapi mereka tak pedulikan dia,”

“Ish! Ada ke anak yang macam tu di zaman ni. Zaman dulu tu adalah cerita si Tenggang atau cerita Malim Kundang. Zaman ni, anak-anak dah bijak berfikir. Takkan mereka sampai hati,” ujar Mak Leha. Dia rasa terlalu mustahil hal itu akan berlaku.

“Itu kata kita Mak Leha. Tapi, kenyataannya? Zaman dulu tak ada rumah kebajikan untuk orang tua. Sekarang, di mana-mana ada rumah orang tua-tua. Dah jadi satu perkara biasa, anak-anak yang kaya raya menghantar ibu bapa ke sana. Alasan mereka, sibuk dan tak cukup masa nak jaga,” kata Mardina bersungguh. Mak Leha menelan air liur. Dia seperti tidak percaya pada apa yang didengarnya. Benarkah?

“Mak Leha tengoklah dalam zaman ini ramai anak yang buang mak bapak. Hari tu dalam surat khabar, Dina baca ada anak yang sanggup tinggalkan ayahnya yang dah tua di perhentian bas. Kesiannya..”

“Benarkah..?” Tanya Mak Leha perlahan. Dia seperti bertanya pada dirinya sendiri.

“Apa pula tak benarnya. Memang banyak kes macam tu sekarang. Itu yang kita tahu. Yang kita tak tahu?”

Mak Leha terdiam. Suara Mardina didengarnya aneh. Kata-kata Mardina amat menakutkannya. Dia pernah dengar ceramah agama, syurga seorang anak di bawah telapak kaki seorang ibu.

“Redha Allah adalah redha ibu bapa..” tiba-tiba terlontar kata-kata itu dari celah bibirnya. Mardina menoleh. Pandangannya menyapu wajah Mak Leha.

“Kalaulah semua anak tahu beratnya hukuman Allah terhadap perbuatannya itu, hal ini tak akan berlaku,” ujar Mardina perlahan. Mak Leha menyokong dengan anggukan perlahan.

Akhirnya kereta yang dipandu sampai ke Hospital Kuala Lumpur. Mardina segera mendapatkan pertolongan kaki tangan hospital. Tubuh lesu Mak Esah diangkat dan dibawa ke bilik rawatan.

Kemudian apa yang diduga menjadi nyata.

“Kami terpaksa tahan dia di wad,” kata doktor yang merawat. Mardina menarik nafas lega. Wanita itu akan mendapat rawatan yang rapi di situ. Keluarganya mesti dimaklumkan.

“Mak cik, macam mana nak beritahu keluarga mak cik?” Tanya Mardina selepas Mak Esah sudah ada di katil pesakit. Diam. Tidak ada jawapan. Matanya terus pejam.

“Dia lemah sangat Dina. Biarkan dia di sini dulu. Esok-esok kita tanyalah dia,”

“Bagaimana kalau terjadi sesuatu pada dia?”

“Kita berserah pada Allah. Ini yang mampu kita buat. Marilah kita balik dulu,” kata Mak Leha menarik tangan gadis itu. Mardina akur. Ada benarnya kata-kata Mak Leha itu. Mereka tidak boleh mendesak wanita yang lemah itu.

Akhirnya mereka meninggalkan wad itu.

“Mak Leha lapar tak?” Tanya Mardina selepas mereka masuk ke kereta.

“Lapar juga. Tapi tak payahlah kita singgah di mana-mana lagi. Kita makan kat rumah je,”

“Tak ada rezeki kita nak makan kat luar,” kata Mardina dengan senyum.

“Habis makanan yang Dina pesan di restoren tadi macam mana?”

“Dina dah bayar, kira sedekahlah,” kata Mardina sambil terus memandu. Mak Leha angguk.

“Allah telah mengaturnya dengan baik,” Mak Leha membetulkan duduknya.

“Maksud Mak Leha?”

“Yalah, kalau kita tak berhajat nak makan di luar kita tak akan terjumpa Esah di tepi jalan tu. Dari hajat nak makan, kita bertukar kepada hal yang lain,”

“Mak Leha kesal?”

“Ish! Apa pulak? Makan tu tak penting sangat. Kita tak akan mati kerana tak makan sehari,”

“Habis apa yang penting?” Mardina menduga.

“Yang penting, Allah telah berikan kita peluang untuk membantu hamba-Nya yang lemah dan daif. Allah telah memberikan kita peluang buat pahala,” Mak Leha senyum, senang.

“Alhamdulillah..kita sependapat rupanya,” Mardina ikut senyum. Dadanya rasa lapang, jiwanya rasa tenang.

“Dina pun fikir macam tu?”

“Ya. Bukan senang kita nak jumpa pahala tersepak macam ni!”

Mak Leha mengekek ketawa. Kata-kata Mardina itu mencuit hatinya.

“Ingat rezeki je boleh tersepak. Rupanya pahala pun ada yang tersepak,” ujar Mak Leha di celah tawanya. Mardina ketawa kecil.

“Dina teringat pada satu hadis nabi, barang siapa yang memenuhi keperluan saudara muslimnya, maka aku akan berdiri di samping timbangan amalnya. Jika amal kebaikan menang, maka sudahlah. Jika tidak, aku akan memberi syafaat kepadanya,”

“Insya-Allah..” ucap Mak Leha penuh rasa kagum. Sejuta kali rasanya Mardina berbeza dari dulu. Dia rasa seperti Mardina baru balik dari Mekah bukan dari Amerika. Alangkah sejuknya perut Datin Marisa mengandungkan anak yang baik seperti Mardina. Tapi kenapa Datin Marisa tidak rasa dia beruntung? Selama ini dia tidak melihat ada jalinan rasa kasih di hati majikannya itu terhadap Mardina. Kenapa?

“Mak Leha, kenapa?” Mardina menegur selepas dilihat Mak Leha berwajah keliru.

“T..tak ada apa-apalah Dina,” Mak Leha cuba menepis rasa curiga di hatinya.

Hampir jam 10.00 malam, mereka sampai di rumah.

“Dina pergi mandi dan solat dulu. Mak Leha nak panaskan lauk,” suruh Mak Leha sambil berjalan ke dapur. Mardina pula terus menuju ke biliknya. Dia perlu segera mandi dan menunaikan solat Isyak. Dia perlu menyerahkan dirinya kepada Yang Maha Esa. Dia perlu mencari keredaanNya selepas berusaha melakukan yang terbaik untuk kebajikan duniawi.

Keesokannya, seawal pagi Mardina sudah ada di pejabatnya. Masih banyak perkara yang perlu dipelajari dari pegawai kanan HE Holdings. Dia tidak malu untuk belajar dari orang bawahannya.

Telefon bimbitnya berdering. Mardina menekan butang dan menjawabnya dengan segala senang hati.

“Ya Aisyah? Ada apa?”

“Kak Dina, ada orang nak jumpa. Katanya mustahak sangat,” suara Aishah menerjah telinga.

“Siapa? Lelaki atau wanita?”

“Wanita,”

“Suruh dia datang petanglah. Kak Dina di pejabat ni,”

“Dia kata tak boleh tunggu lagi kak. Dia nak jumpa sekarang juga. Mustahak sangat,” Aishah begitu bersungguh. Mardina diam berfikir. Perkataan ’mustahak’ itu amat menarik perhatiannya.

“Kalau macam tu, suruh dia ke pejabat Kak Dina sekarang. Berikan dia alamat pejabat Kak Dina. Siapa namanya?”

“Puan Rusila,”

“Kak Dina tunggu dia, suruh datang sekarang. Kebetulan pagi ni Kak Dinafree,”

Mardina meletakkan gagang telefon. Fikirannya masih tertumpu pada kata-kata Aishah. Siapakah wanita yang bakal membawa misi mustahak itu?

Intercom berbunyi. Tanpa berlengah, dia menekan butang.

“Cik Dina, adacall dari sebuah majalah,” suara Nori kedengaran.

“Ada apa?”

“Mereka minta nak buatappointment dengan Cik Dina,”

“Untuk apa?”

“Mereka nak pilih Cik Dina untukcover story majalah mereka,”

“Hah? Ish mengarut je. Kenapa saya pula?” Mardina rasa hatinya tercuit, lucu.

“Cik Dina terpilih diantara wanita berjaya yang mereka cari..”

“Nori, saya tak nak terlibat dengan hal macam ni. Beritahu mereka saya belum layak nak dipilih. Saya baru nak mula, belum berjaya. Lagipun pagi ni saya ada temu janji,” Mardina segera memotong cakap setiausahanya.

“Tapi, dalamschedule Cik Dinafree pagi ni,”

“Saya adapersonal appointment. Nanti ada seorang wanita bernama Puan Rusila akan datang. Awak bawa dia jumpa saya,”

Intercom dimatikan. Mardina mencapai sebuah fail dan cuba memulakan kerja. Namun tiba-tiba fail yang ada di tangan diletakkan. Dia tersenyum, menggelengkan kepala. Sanjungan yang baru didengarnya, sungguh tidak manasabah. HE Holdings berdiri megah atas usaha Datuk Iskandar dan Datin Marisa, bukan usahanya. Mereka yang patut disanjung.

Lagipun, dia tidak berminat untuk semua itu. Zaman gemilang dan mencari pujian manusia sudah tidak ada lagi dalam hatinya.

“Astaghfirullahhalazim..aku mencari keredaanMu ya Allah..” bisiknya perlahan. Fail dicapainya semula. Dia mula menyambung kerja.

Hampir setengah jam, baru orang yang dikatakan Aishah itu muncul. Seorang wanita yang berjubah dan jilbab labuh kelihatan tenang menyapanya.

“Assalamualaikum Cik Mardina,”

“Walailkummussalam, silakan duduk kak,” Mardina memesrakan diri. Dia tidak tahu wanita itu datang atas urusan apa. Namun dia cuba berprasangka baik. Melihat gerak langkah wanita itu, dia rasa apa yang akan dikatakannya memang mustahak.

“Apa halnya kak? Boleh saya tolong?” Mardina tidak mahu berkelok kata. Berlengah masa akan tambahkan rasa curiga dan wasangka.

“Akak minta maaf kalau akak ganggu Cik Mardina. Tapi akak dah buntu. Akak dah tak tahu ke mana lagi nak minta tolong. Hanya ini jalan terakhir akak,”

“Minta tolong?” Mardina membetulkan duduknya. Rasa ingin tahu tiba-tiba menjadi satu rasa yang tidak mampu dibendung. Raut wajah wanita itu, menggambarkan situasi dirinya yang sedang dalam kesusahan.

“Akak dapat tahu Cik Dina akan membuka sebuah rumah kebajikan. Kerana itulah akak datang. Akak mempunyai sepuluh orang anak yatim dan lima orang warga tua yang perlukan perlindungan,” Puan Rusila berhenti seketika. Dia mencari riak di wajah Mardina.

“Selama bertahun-tahun, akak menjaga mereka. Akak menyewa sebuah rumah dan menguruskan sendiri. Bantuan memang ada dari para dermawan. Tapi sekarang..” Puan Rusila tunduk murung.

“Apa yang berlaku?”

“Akak dah tak ada upaya lagi. Akak ni semakin uzur. Mereka memang tak pernah menyusahkan akak, tapi akak bimbang kalau akak gagal memberikan mereka hidup yang selesa. Selama ini akak tumpukan sepenuh perhatian akak pada mereka. Sekarang akak dah mula sakit-sakit,”

“Akak tak ada pembantu?”

“Dulu ada. Tapi sekarang, akak dah tak mampu nak terus bayar pembantu. Duit gaji pembantu itu akak gunakan untuk kebajikan mereka. Anak-anak itu juga sudah membesar. Mereka dah boleh uruskan diri sendiri. Hanya warga tua itu. Ada yang terlalu uzur dan tak mampu berjalan,”

“Mereka tak ada saudara mara?”

“Ada. Tapi, semuanya tak peduli. Awalnya akak hanya menjaga mereka untuk sementara sebagai transit,”

“Transit?

“Akak ambil mereka dari hospital. Mereka dihantar ke hospital oleh keluarga, tetapi selepas sembuh keluarga mereka langsung tak muncul. Pihak hospital tak boleh nak terus jaga mereka. Lalu akak ambil mereka dengan harapan satu hari keluarga mereka akan muncul. Tapi..dah bertahun-tahun, tidak pernah ada yang datang,”

Mardina angguk. Manusia menjadi semakin kejam dan zalim. Anak-anak menjadi semakin lalai untuk menjaga kebajikan ibu bapa. Ya Allah, berikanlah mereka petunjuk..doa Mardina dalam hati.

“Jadi, akak nak saya buat apa? Bentuk pertolongan macam mana yang akak nak?”

“Bolehkah Cik Dina ambil mereka nak tempatkan di Rumah Nur Mukmin itu? Akak sayangkan mereka, tapi akak terpaksa buat keputusan ini dengan segala berat hati. Akak bimbang kalau akak tak ada, hidup mereka lagi tak terurus,”

“Akak sakit apa?” Mardina ringankan mulut untuk bertanya. Diam. Wanita itu tidak terus menjawab. Sebaliknya dia mengeluh dan tunduk merenung lantai.

“Akak dah disahkan mengidap kanser otak,”

“Masya-Allah..!” Tiba-tiba Mardina tersentak. Air matanya tiba-tiba bergenang.

“Sebab itulah akak buat keputusan ni. Tapi kalau Cik Mardina tak mahu terima mereka, terpaksalah akak serahkan mereka kepada pihak Kebajikan Masyarakat. Hanya itu yang mampu akak atur untuk mereka sebelum akak pergi..” Puan Rusila teresak. Hati Mardina disentuh pilu.

“Kak, sabarlah. Serahkan hidup dan mati akak kepada Allah. Hanya Dia yang Maha Mengetahui. Semua rahsia hidup manusia terletak di tanganNya,”

“Benar Cik Mardina. Sejak akak tahu mengenai penyakit ini, akak tak putus berdoa. Setiap malam akak buat solat hajat, minta petunjuk. Akak minta Allah panjangkan umur akak sehingga akak dapat selesaikan masalah ini. Mungkin berkat doa akak itu, tiba-tiba Allah hantar akak ke sini,”

“Macam mana akak tahu fasal Rumah Nur Mukmin itu?”

“Rumah akak tak jauh dari situ. Petang kelmarin selepas solat Asar, akak tergerak hati untuk berjalan-jalan di sekitar taman itu. Akak terpandangkan rumah itu. Malam tadi akak buat solat sunat istikharah dan minta jawapan yang baik dari Allah. Dan Allah berikan jawapan-Nya. Semuanya dengan kehendak-Nya,”

Mardina angguk. Benar kata Puan Rusila, Allahlah yang menggerakkan semuanya. Setiap pergerakan itu ada rahsia dan hikmah yang tersembunyi.

“Baiklah, akak baliklah dulu. Rumah itu belum siap dikemas. Masih banyak barang yang belum saya beli. Saya pun nakkan penghuninya hidup dengan selesa. Nanti kalau semuanya dah siap, saya akan hubungi akak. Akak berikan nombor telefon akak,” kata Mardina. Puan Rusila pula menarik nafas lega. Berulang kali dia mengucap syukur.

Dia menuliskan nombor telefonnya pada sehelai kertas yang dihulurkan oleh Mardina.

“Semoga Allah memberkati hidup Cik Dina dan rumah itu,” kata Puan Rusila sambil menghulurkan kertas di tangannya. Kemudian dia bangun untuk keluar dari situ. Namun sebelum dia melangkah, Mardina menarik tangannya dengan cepat dan menyelitkan dua keping not seratus ringgit.

“Cik Dina..” Puan Rusila cuba menolak.

“Kak..ini untuk perbelanjaan kakak. Hal mereka itu, saya akan uruskan segera. Akak bertenanglah. Ingat dan berserah kepada Allah. Ajal dan maut itu di tangan Dia,” Mardina mengerdipkan mata, mesra dan penuh simpati. Puan Rusila terharu. Selepas mengucapkan terima kasih, dia berlalu pergi dengan cepat. Dia seperti tidak mahu Mardina melihat air matanya.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.