Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 11

GULAI NANGKA BUAH MELAKA

Sejak Atuk Jay kembali semula ke rumah itu, hati Nek Ros berbunga bahagia. Semua kerinduannya lebur. Atuk Jay pun sama. Demamnya segera kebah. Letih lesunya tiada lagi. Dia seperti pesakit yang mendapat suntikan dari seorang doktor pakar.

“Ayah dan mak dah lebih dari belangkas. Mesranya semacam je...” beritahu Nurlisa ketika menelefon adiknya Ezani.

“Ezani dah agak dah. Ayah selalu demam dan sakit sana sini kerana rindukan mak. Sekarang, baru ayah tahu macam mana penangan orang rindu. Lain kali ayah tentu serik nak merajuk lagi. Kan kak long?” Ezani menyambut berita itu dengan ketawa.

Kepulangan Atuk Jay juga menggembirakan Pati Lakshmi. Sebagai jiran dan rakan baik, dia memang selalu berdoa agar yang keruh itu akan jernih. Sepi halaman rumahnya tanpa Atuk Jay. Biasanya setiap pagi, balik dari jogging lelaki itu akan singgah menyapanya di luar pagar.

“Jay! Akhirnya awak balik jugak. Awak tahu, awak tak ada saya rasa sunyi. Ros tu tak macam awak. Dia jarang nak tengok saya. Asyik berkurung je...” kata Pati Lakshmi dengan senyum gembira ketika melihat Atuk Jay di hadapan pagar rumahnya.

Atuk Jay ketawa panjang.

“Awak sihat ke Lakshmi?”

“Awak tengoklah. Kaki saya ni dah semakin lemah. Lutut saya ni dah tak kuat dah. Kalau saya jalan banyak, malam sakit tak boleh tidur. Begitu juga tumit kaki saya ni.”

“Awak tak makan suppliment?”

“Ada. Tapi tak adalah macam dulu. Masa Murthy ada, dia yang rajin jaga ubat dan suppliment untuk saya. Dia dah tak ada ni, susah saya. Kena suruh budak-budak beli. Nak keluar sendiri dah tak kuat,” jawab Pati Lakshmi.

Atuk Jay diam. Sejak Tata Murthy pergi, memang dia nampak sangat keuzuran Pati Lakshmi.

“Itu yang saya kata pada Ros. Dia sangat beruntung kerana masih ada awak. Tak macam saya ni...” kata Pati Lakshmi, mula sebak.

Hati Atuk Jay ikut hiba.

“Lakhsmi, janganlah sedih. Kami ni ada. Bila-bila masa awak boleh panggil Ros datang temankan awak, kalau awak sunyi. Saya tak kisah.”

Pati Lakshmi menoleh dan merenung tepat ke wajah Atuk Jay. Kemudian dia ketawa menyeringai. Terserlah giginya yang rompong.

“Kenapa awak ketawa? Tak percaya?”

“Percaya. Tapi awak tu kuat merajuk. Nanti awak merajuk sekali lagi, Ros juga yang susah hati. Saya kasihan tengok dia tu. Hari-hari mengadu dengan si Temah dan Kudin,” jawab Pati Lakshmi. Kali ini dia mengilai. Gigi rongaknya ditutup dengan kedua tapak tangannya.

Timbul belas di hati Atuk Jay. Timbul pula rasa bersalah yang amat sangat terhadap Nek Ros. Berbulan-bulan dia tinggalkan isterinya dalam keadaan sedih.

“Jay, awak jangan buat lagi tau!”

“Buat apa?” Atuk Jay terpinga-pinga seketika.

“Merajuk macam budak-budak,” jawab Pati Lakhsmi.

Atuk Jay tersenyum. Kata-kata Pati Lakshmi seperti satu tamparan ke mukanya. Namun dia tidak marah. Memang itu benar. Dia merajuk pada perkara yang amat kecil.

“Lakhsmi, saya rindukan tosai dan vadeh awak,” kata Atuk Jay cuba melarikan tajuk.

“Ya ke? Nanti saya buatkan untuk awak. Awak nak kari apa?” Mata Pati Lakshmi bersinar.

“Apa-apa pun boleh. Tapi kalau ada idli pun sedap juga.” Atuk Jay ketawa berdekah. Namun tidak lama, ketawa itu terhenti. Wajahnya muram serta merta.

“Kenapa pula?”

“Kalaulah Murthy ada...” keluh Atuk Jay, mendesah pilu.

“Oit! Awak rindu dia?”

“Di taman ini, saya hanya rapat dengan dia. Sejak dia pergi, saya dah tak ada teman bercakap hal-hal lelaki.”

“Awak buat saya sedih semula Jay,” kata Pati Lakhsmi, sebak semula.

Diam. Masing-masing tunduk melayan rasa. Selepas itu, kaki Atuk Jay melangkah berat meninggalkan halaman rumah mendiang Murthy yang lebih dikenali sebagai Tata Murthy oleh warga taman itu.

“Kudin, kau jangan nak jahat sangat. Asyik nak bergaduh je ni kenapa?”

Telinga Atuk Jay sempat mendengar leteran Nek Ros di tepi akuarium. Dia berdiri melihat gelagat isterinya dengan senyum senang. Hilang semua pilu bersama Pati Lakhsmi tadi.

“Ros, kenapa?”

“Ni, laki bini ni ayik nak bergaduh je. Habis ekor si Temah di gigit Kudin. Saya rasa macam nak pisahkan kedua-dua ni,” jawab Nek Ros sambil menaburkan makanan ikan yang baru dibeli.

“Nasib mereka bergaduh je. Dan Kudin tak merajuk. Kalau Kudin merajuk, habislah Temah...” gurau Atuk Jay. Nek Ros mengekek ketawa.

“Apa khabar girl friend abang tu?” Nek Ros bertanya selamba.

“Lakhsmi? Nampaknya dia dah semakin uzur.”

“Dia uzur lahir batin,” balas Nek Ros tanpa menoleh. Matanya masih lagi menatap dua ekor ikan talapia yang berenang berkejar-kejaran berebut makanan itu.

“Apa maksud Ros?”

“Biasalah bang. Kalau dah tua, anak-anak pun dah tak sudi nak ambil tahu.”

Atuk Jay diam termenung. Tiba-tiba dia rasa dadanya berdenyut senang dan bahagia. Anak-anaknya penyayang dan baik. Ezani dan isterinya Noor Hazuar telah menjaganya dengan baik selama enam bulan dia di rumah mereka.

Nurlisa dan suaminya Arman juga sangat baik. Begitu juga dengan Darwis dan Marni. Kadang-kadang dia rasa keenam-enam mereka adalah anaknya. Dia langsung tidak rasa dia ada menantu, melainkan anak-anak.

Sejak dia sudah kembali ke rumah itu, Nurlisa dan Darwish semakin kerap membawa keluarga mereka bermalam di rumah itu. Mereka tidak lagi menunggu cuti sekolah untuk datang.

“Awak... awak... tengah hari ni nak makan apa?” Nek Ros berlagak manja. Semua ingatan Atuk Jay kepada anak-anaknya relai. Lengguk suara Nek Ros amat disenanginya.

“Ros, awak masih secantik dulu,” kata Atuk Jay dengan kenyitan nakal.

“Awak!” Nek Ros tersipu malu. Pujian itu menggetarkan hatinya. Lelaki itu tetap macam dulu, suka memuji.

“Saya tanya awak nak makan apa? Bukan suruh awak puji saya begitu,” kata Nek Ros selepas lama terdiam.

Atuk Jay masih merenung Nek Ros. Rasa cintanya mengalir tulus jauh di sudut hatinya.

“Cukuplah awak merenung saya. Nanti saya cair kat sini. Sekali lagi nak tanya, awak nak makan apa? Saya nak ke dapur ni.”

“Masak lemak nangka dengan tetel. Pencuci mulutnya, cucu buah melaka. Ondeh-ondeh,” kata Atuk Jay, selamba.

“Awak!” jerit Nek Ros sambil menerkam dan mencubit paha Atuk Jay.

“Aduh! Ada ketam batu merayap dalam rumah!” jerit Atuk Jay pula. Ketawa mereka pecah berderai. Girang dan gembira.

Nek Ros berjalan ke dapur. Bibirnya masih menguntum senyuman. Memang kalau disebut nama dua menu itu, hatinya bagai dicuit-cuit. Geli hati sangat. Nangka muda masak lemak bersama tetel? Biasa sahaja. Apa yang lucunya?

Yang buat ia lucu kerana cara ia dimasak. Kenangan itu sudah lama terjadi. Ketika itu dia baru menjadi isteri. Bulan puasa pertama dia berpuasa bersama seorang suami.

“Ros, ini abang belikan nangka muda dan tetel,” kata Atuk Jay ketika pulang dari kerja.

“Nak masak apa ni?” Dia tergamam seketika. Seumur hidupnya dia tidak pernah masak nangka.

“Masak lemak. Campur tetel ni. Kemudian abang rasa teringin nak makan ondeh-ondeh,” kata Atuk Jay.

“Ondeh-ondeh?”

“Ya. Cucu buah melaka tu. Yang kecil-kecil sebesar ibu jari tu,” terang Atuk Jay bersungguh-sungguh.

Nek Ros angguk perlahan. Walau tidak tahu, dia malu untuk bertanya. Kemudian dia berlagak lebih pandai dari chef sebenar.

Nangka dan tetel disiang dan dibersihkan. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk. Bawang dan ikan bilis ditumbuk lalu dicampakkan ke dalam periuk tadi. Kemudian dia masukkan santan sebelum dimasak di atas dapur. Lama mendidih dan semua bahan sudah dimasukkan, dia mengangkat dan menghidangkannya.

Selepas itu tepong pula segera diuli dengan air daun pandan. Sudah sebati, tepong itu digentel sebesar ibu jari, kemudian meletakkan secubit gula melaka di tengah-tengahnya. Sudah siap, ia direbus hingga masak terapung. Kemudian ia digolek di atas kelapa parut yang putih berseri.

Sambil menghidang dia bernyanyi-nyanyi. Dia rasa sungguh bangga kerana sudah pandai memasak. Petang itu mereka akan berbuka puasa dengan penuh berselera. Dia bayangkan senyuman lebar suaminya ketika menikmati juadah kegemarannya itu.

Namun...

“Apa yang Ros masak ni? Nangka ke kayu? Tetel ke batu? Ondeh-ondeh ni... boleh buat peluru lastik burung!” Suara suaminya Jais, terjerit.

Nek Ros tunduk diam. Dia merenung mangkuk lauk dan piring kuih dengan mata keliru. Apa salahnya?

“Kenapa bang? Inikan menu yang abang cakap tadi. Ros masak ikut apa yang abang nak,” katanya dengan wajah kurang senang.

“Tapi, kenapa semuanya keras! Macam mana abang nak makan? Nasib baik gigi emas abang dah tak ada. Kalau tak, melantun keluar gigi abang tu!” Suara suaminya bertukar nada. Dia cuba bergurau. Ketawa mengiringi butir katanya.

Dia tidak berpuas hati dengan kata-kata suaminya. Lalu dia mengambil sebiji ondeh-ondeh dan memasukkan ke mulut. Matanya terbeliak. Ya ALLAH! Kerasnya. Langsung tak boleh digigit.

Kemudian dia mencuba pula seketul nangka. Boleh digigit, tetapi sedikit keras. Seketul tetel pula dimasukkan ke mulut. Liat macam tiub basikal buruk!

Akhirnya dia terteleng-teleng, bingung.

“Ros guna tepong apa?”

“Tepong gandum.”

“Macam mana Ros masak gulai nangka ni?

“Macam masak sayur biasa. Siang dan masukkan dalam periuk. Perah santan dan masak atas dapur.”

“Tetel?”

“Masukkan sekali dengan nangka. Dah mendidih lama sikit, Ros angkat.”

Suaminya ketawa berdekah-dekah. Sampai keluar air mata. Dia pula tercengang-cengang. Langsung dia tidak tahu kenapa suaminya ketawa begitu.

“Ros, abang tahu Ros tak pandai masak. Lain kali, kalau tak pandai jangan nak mengaku pandai. Tak tahu, tanya. Kerana malas nak bertanya, jadilah macam ni,” tunjuk suaminya kepada hidangan di hadapan mereka.

Dia terkulat-kulat.

Akhirnya, mereka terpaksa berbuka puasa dengan telor goren mata lembu! Hanya itu yang dia mahir.


Previous: Bab 10
Next: Bab12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.