Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 2 - NENEK MERINDU

SITI AQILA merengus manja sebelum kakinya melangkah keluar dari bilik untuk ke bilik air. Nek Ros tersenyum-senyum. Senang hatinya dapat menyakat Siti Aqila, anak sulung Darwis itu.

Tiba-tiba muncul pula cucunya Ainun Najwa, anak bongsu Darwis.

“Nek, Najwa boleh tidur dengan nenek tak malam ni?” tanya Ainun Najwa ketika Nek Ros masih tersenyum-senyum.

“Eh, mana boleh. Nanti atuk marah. Najwa tidurlah dengan kakak. Atau Najwa tidur dengan mama Najwa,” jawab Nek Ros mengalihkan pandangan mata dari buku di tangannya kepada cucunya yang baru berusia tujuh tahun itu. Dia melihat wajah itu lebih mirip kepada menantunya Marni daripada wajah anak lelakinya Darwis.

“Atuk? Mana ada atuk?” tanya Ainun Najwa dengan petah. Nek Ros terkebil-kebil dan tergamam. Hatinya tiba-tiba berderau, pilu. Dia menarik Ainun Najwa ke dalam pelukannya. Kepala Ainun Najwa diusap-usap dengan penuh kasih.

“Ermm… mana Najwa tahu atuk tak ada?” Nek Ros cuba menduga.

“Najwa tahulah… kan nenek selalu nyanyi lagu Penawar Rindu? Mama kata nenek sedang rindu. Nenek rindu atuk?” tanya Ainun Najwa dengan petah.

Nek Ros serba salah dan mula terharu. Dengan senyum terpaksa dia mencium pipi Ainun Najwa. Sekali lagi dia cuba menutup sebuah rasa yang membekam dada. Tidak disangka, dalam usianya yang masih muda, Ainun Najwa sudah mampu bercakap soal rindu.

“Najwa!” panggil Marni dari luar bilik.

“Hah, mama Najwa dah panggil tu!” kata Nek Ros. Dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia terlepas dari soalan panas anak itu mengenai perasaannya.

Ainun Najwa bangun dan berlari mendapatkan mamanya yang muncul di muka pintu.

“Mak, Najwa ganggu mak membaca ke?” tanya Marni selepas memimpin tangan Ainun Najwa.

“Taklah Mar. Dia datang merengek nak minta tidur dengan mak,” jawab Nek Ros dengan senyum senang. Mata kasihnya memandang ke arah Marni, menantu yang sangat menyenangkan hatinya.

“Kan Aqila yang dah booking malam ni?” Marni ketawa kecil.

“Itulah. Tak tahu kenapa angin dia nak tidur dengan mak malam ni,” jawab Nek Ros dengan ketawa juga. Perkataan booking itu terasa begitu mesra didengar. Kalau musim cucu-cucunya berkumpul, memang mereka terpaksa bergilir-gilir untuk tidur dengannya.

“Mana dia?” Mata Marni melilau, mencari.

“Siapa?”

“Anak gadis Mar tulah. Katanya nak tidur di sini.”

“Oh, dia ke bilik air. Mak suruh dia pergi kencing dulu. Merungut dia tak terima. Kononnya dia dah besar, dah tak kencing kat tilam lagi,” kata Nek Ros, mengilai perlahan. Marni menyengih.

“Mar keluar dulu mak. Nak tidurkan tuan puteri ni,” kata Marni sambil memimpin Ainun Najwa keluar dari bilik itu.

Nek Ros ingin menyambung bacaannya. Namun ketika itu, moodnya sudah terganggu. Dia segera menyelitkan penanda buku pada di celah muka surat yang sedang dibacanya. Kemudian novel ‘Terlukanya Sebuah Hati’ diletakkan di atas almari yang ada di sisi katilnya.

Dia termenung.

“Nenek rindukan atuk?” Pertanyaan Ainun Najwa menyentuh nubarinya. Bohonglah kalau dia tidak rindu pada suaminya itu. Hati isteri mana tidak rindukan isterinya. Walaupun sudah tua, namun rindunya tetap sama seperti muda-muda dulu. Namun, apakan daya...

“Nek, termenung lagi?” sergah Siti Aqila tersengih-sengih.

“Mana ada?” Nek Ros membetulkan dirinya. Alangkah malunya kalau Siti Aqila tahu di celah hatinya memang sedang merayap rasa rindu.

Siti Aqila naik ke katil. Dia menarik selimut dan menutup kaki dan separuh tubuhnya.

“Nenek dah habis baca novel tu?”

“Belum. Nenek sambung esok. Nenek nak tidur dulu.” Nek Ros bangun dan mematikan suis lampu. Bilik menjadi samar dengan cahaya dari lampu jalan. Kemudian Nek Ros berbaring di katilnya. Dia mengiring mengadap Siti Aqila.

“Dah baca doa tidur? Nanti mimpi yang bukan-bukan pulak,” kata Nek Ros. Dia sendiri membaca doa tidur dalam hatinya. Selepas berdoa untuk tidur, dia menambah satu lagi doa.

‘Ya ALLAH, selamatkanlah dia. Munculkan dirinya dalam mimpi hamba-MU ini. Sesungguhnya ENGKAU Yang Maha Tahu...’

Malam semakin sepi. Nek Ros terdengar bunyi enjin motor memasuki halaman rumah. Dia bingkas bangun dan menuju ke muka pintu. Senyumnya melebar. Atuk Jay menongkat motor Harley Davidsonnya. Dia membuka topi keledar dan berdiri merenung wajah Nek Ros.

“Anjaku Ros, apa khabar? Sikitpun dia tak rindu kita ya?” tegur Atuk Jay.

“Mana ayangku Jay tahu kita tak rindu dia? Dia tahu ke siang malam kita ingat dia. Dia tahu ke air mata kita nak kering dah kerana rindukan dia?” jawab Nek Ros dengan senyum manja.

Atuk Jay hulurkan tangan. Nek Ros menyambutnya. Mereka berpegangan tangan. Mata saling bertentang. Gubahan lagu rindu sedang bermain dalam jiwa masing-masing.

“Kalau nenek rindukan atuk, jom kita keluar berdua.”

“Ke mana?”

“Ke bulan dan ke bintang. Kita jalan-jalan keliling dunia.”

“Naik apa?”

“Naik unta atuk tu!” tunjuk Atuk Jay sambil memuncungkan mulutnya.

Nek Ros ketawa mengekek ketika matanya melihat ke arah motor besar yang tersadai megah di halaman. Rasa kelakar bila membayangkan mereka berdua mengelilingi dunia dengan motor yang macam unta itu.

“Kenapa nenek ketawa? Nenek tak sudi?”

“Siapa kata nenek tak sudi. Dah lama nenek tunggu atuk ajak nenek keliling dunia naik unta kesayangan atuk tu! Tapi, nenek bimbang tulang dan urat-urat kita lenguh dalam perjalanan jauh itu,” jawab Nek Ros di celah ketawa.

Mereka ketawa dan masih berpegangan tangan. Nek Ros melentukkan kepalanya di bahu Atuk Jay. Dengan penuh kasih sayang, Atuk Jay membelai-belai rambut Nek Ros yang mengurai kekuningan. Sungguh indah.

“Nenek sangat rindukan atuk. Kenapa atuk tinggalkan nenek?” tanya Nek Ros sambil menggenggam tangan Atuk Jay dengan kuat.

“Benarkah apa yang atuk dengar?”

“Dengar apa?”

“Nenek rindukan atuk? Kalau betul, kenapa nenek tak pernah kirim surat pun?” Atuk Jay merenung mata Nek Ros. Kemudian dengan senyum dia kenyitkan mata.

“Atuk ni gatal tau!” Nek Ros mencubit lengan Atuk Jay. Dengan cepat Atuk Jay menggigit tangan Nek Ros.

“Atuk! Sakit tau!” Nek Ros menjerit kemudian ketawa mengekek. Sungguh bahagia. Sungguh santai. Nek Ros tersengih-sengih, riang.

“Nek! Nek! Bangun nek. Nenek mengigau ni... ” Siti Aqila menepuk-nepuk tubuh Nek Ros.

Nek Ros tersedar. Dia terkebil-kebil seketika.

“Nenek mimpi jumpa atuk ya?” Siti Aqila tersenyum-senyum.

Nek Ros termenung seketika. Kemudian dia ikut senyum. Ingatannya masih pada motor besar ala-ala unta milik Atuk Jay. Sebelum ini, motor itulah yang mengeratkan hubungan mereka. Motor itu yang membawa mereka berkeliling bandar setiap kali mereka bosan. Motor itu juga yang membawa mereka ke taman bunga atau ke taman permainan.

Di mana atuk dan motornya?

“Dah, pergi tidur. Nenek nak ke dapur sekejap. Nak minum air,” suruh Nek Ros kepada Siti Aqila. Dia mencari alasan untuk menghindar diri dari soalan-soalan cepu mas cucunya yang keletah dan sedang remaja itu. Dia juga mencari jalan untuk melupakan mimpi manisnya sebentar tadi.

Di dapur, Nek Ros mengambil segelas air masak dan keluar ke anjung. Dia mendongak ke langit. Bintang-bintang memutih berkerlipan.

“Apa bukti cinta abang pada Ros?”

“Selagi bintang berkerlipan, selagi itu cinta abang tak akan pudar.”

“Kalau ia terselindung awan?”

“Itukan sekejap saja. Bila awan berarak pergi, muncullah bintang dengan kerlipannya yang sangat cantik.”

Itu kata Atuk Jay ketika mereka baru berkahwin. Sudah hampir empat puluh tahun, namun suara itu seperti baru semalam dibisikkan. Ia masih segar dan tetap indah dalam pendengaran. Apakah itu hanya sekadar ucapan manis penyejuk hati atau memang bintang sedang terselindung awan?

“Tak apalah...dia dah lupakan aku...” bisik Nek Ros sambil bangun. Gelas dibasuh dan diletakkan semula ke rak.

Nek Ros melintasi bilik cucunya. Bilik itu masih terang. Maknanya penghuni bilik itu masih belum tidur lagi. Dengan perlahan dia menolak daun pintu yang memang tidak berkunci. Dengan perlahan dia menolak daun pintu yang memang tidak berkunci. Sekilas itu mata terus terpaku kepada cucunya yang sedang menopang dagu, bermuram durja. Nek Ros menegur dengan serangkap pantun.

Mengail ikan ke hujung kampung

Ikan tamban dimasak kari

Cucu nenek duduk termenung

Perkara apa yang sakitkan hati?

Senyap. Langsung pantunnya tidak disambut dan tuan punya tubuh langsung tidak memberikan apa-apa reaksi melainkan terus termenung.

“Hei tuan puteri! Kenapa ni?” tanya Nek Ros sambil mencuit -cuit telinga cucunya.

“Nek, janganlah main-main. Ain tengah susah hati ni,” kata, Nurul Qurattu’Ain berwajah sedih.

“Nurul Q…Q…Qurattu’Ain... Adui, kenapalah mama kamu ni beri nama kamu susah sangat. Setiap kali nak sebut nama kamu, tergeliat lidah nenek. Empat kali sebut dalam sehari, patah terus tulang lidah nenek!” balas Nek Ros sambil ketawa. Dia cuba bergurau. Dia cuba mengubah suasana. Ain cucu yang sentiasa lincah dan ceria. Kalau tidak ada masalah yang benar-benar menggangu fikirannya, dia tidak akan bermuram.

“Nek? Lidah mana ada tulang?” Ain membeliakkan mata.

“Tak ada ke? Entahlah. Tapi, lidah nenek memang sakit setiap kali sebut nama penuh Ain,”

“Yang nenek nak panggil nama penuh Ain tu kenapa? Panggil saja Ain. Senang je. Kalau huruf jawi, cuma satu huruf je. Ain, sebelum qhim!”

Nek Ros cuba meleret-leretkan tawanya. Memang disengajakan agar suasana menjadi lebih santai. Tindakannya menjadi. Tidak lama Ain ikut ketawa. Wajahnya yang muram, sedikit ceria.

“Apa masalah Ain ni?” tanya Nek Ros selepas ketawa Ain usai.

“Kalau Ain cakap pun bukannya nenek boleh tolong.”

“Kalau tak tahu apa-apa macam mana nak tolong ? Wa bukan along, wa cuma nak tolong!”

Ain ketawa mengekek. Cara Nek Ros menggayakan iklan dalam tv itu nyata menggelikan hatinya. Wajah muramnya berubah ceria.

“Nah, macam nilah cucu nenek. Segar dan ceria. Ada masalah mesti cari jalan untuk selesaikan. Bukan termenung macam ayam berak kapur.” Nek Ros menepuk bahu Ain dengan ketawa kecil. Hatinya ikut lapang. Rindunya kepada Atuk Jay berkurangan seketika.

“Apa masalahnya? Ain putus cinta?” teka Nek Ros lagi. Dia meneliti wajah Ain yang lembut.Walaupun lincah dan ceria, pada wajanya masih tergambar sebuah kelembutan semula jadi. Apa lagi dia dilahirkan oleh ibu bapa yang beriman. Cahaya iman teta pada wajah wajah Ain.

“Nek? Soalan apa ni? Ain masih belajar.Baru tahun pertama di universiti. Muda lagi untuk bercinta. Masih belajar.”

“Eh, nenek tengok kat bandar, kat pasar malam, budak-budak baya Ain ni berjalan berpegangan tangan dan berpelukan.Kenapa mereka boleh?” Nek Ros cuba menduga.

“Nek, itu orang lain bukan Ain. Mana boleh nenek samakan semua orang dengan Ain.”

“Tak boleh ke?” Nek Ros tersengih-sengih, sengaja menggamit perasaan Ain untuk bercerita.

Ain membetulkan duduk. Dia menarik tangan Nek Ros agar duduk di birai katilnya. Nek Ros akur. Dia tahu cucunya itu sudah bersedia untuk meluahkan apa yang ada di dadanya.

“Nek, Ain sedang siapkan sebuah artikel mengenai ‘Hubungan Kasih Sayang Dalam sebuah Keluarga’. Dah sampai separuh jalan, Ain dah buntu,” kata Ain sambil merenung wajah Nek Ros.

Nek Ros tersenyum senang. Dia rasa lega kerana apa yang dibimbangkan tidak berlaku. Tadinya dia bimbang kalau Ain terlibat dengan gejala yang salah.


Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.