Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 8

BILA  ATUK MERAJUK

Selepas sebulan menjadi suami isteri, tiba-tiba satu hari suaminya pulang dengan wajah yang baru. Rambut gondrong ala afronya tidak ada lagi. Gigi emasnya juga. Yang tinggal adalah kepalanya botak licin. Juga giginya yang sudah tidak mengerlip.

Dia ketawa mengekek-ngekek melihat wajah baru itu. Rasa kelakar sangat.

“Abang? Kenapa ni?”

“Saja nak tukar rupa. Ros tak suka abang berwajah baru?”

“Ish, apa pulak tak suka. Abang lebih kacak dengan fesyen botak look ni. Tapi, mana gigi emas abang?”

“Abang dah buka. Emas haram untuk lelaki. Ros marah?”

Dia tersenyum.

“Kalau Ros marah, abang pergi pasang semula.”

“Tapi, abang juga kata emas haram untuk lelaki.”

“Abang akan pasang gigi suasa. Kalau abang sengih, tetap akan berkilau. Kalau kena cahaya lampu, ia memantul. Ros suka?”

Dia tidak dapat menahan ketawa. Berdekah-dekah dia ketawa sampai keluar air mata. Suaminya menarik tubuhnya dan memeluk mesra.

“Abang gembira kalau Ros selalu ketawa macam ni. Abang ada hadiah untuk Ros,” bisik suaminya.

Ketawanya terhenti. Dia merenung wajah suami. Tiba-tiba suami mengeluarkan sebuah kotak kecil dari saku seluarnya.

“Nah, ini hadiah abang untuk Ros.”

“Apa ni bang?”

“Bukalah.”

Dia membuka kotak itu. Sebentuk cincin dengan huruf RJ.

“Cantiknya bang. Terima kasih bang,” katanya sambil mencium tangan suaminya sekali lagi.

“Mari abang pakaikan.” Suaminya mengambil cincin itu. Serta merta dia menghulurkan jari manisnya untuk disarungkan.

“Kalau Ros teringatkan gigi emas abang, Ros tataplah cincin ini,” kata suaminya ketika menyarungkan cincin itu ke jarinya.

Dia tersentak.

“Maksud abang?”

Suaminya kerdipkan mata dengan senyum menguntum di bibir. Dia mula faham. Lalu dia ikut tersenyum-senyum. Sejak hari itu cincin dengan huruf RJ itu tidak pernah dilucutkan dari jarinya. Dan setiap kali dia melihat cincin itu, dia akan tersenyum.

Namun, sejak enam bulan ini cincin itu dilucutkan dan dimasukkan semula ke dalam kotak asalnya. Bukan dia tidak sudi memakainya, tetapi dia tidak mahu menangungg rindu yang parah!

Kotak itu diletakkan semula di tempat asalnya. Biarlah ia di situ. Selagi tuan cincin itu tidak balik, dia sudah berikrar kepada dirinya dia tidak akan memakainya.

Dia teringat kata-kata Darwis tadi. ‘Betulkah Atuk Jay rindukan aku seperti aku sedang merindui dia?’ Itu yang terdetik di hatinya. Dia mengeluh perlahan. Biarlah. Dia akan tunggu dan lihat. Dia akan tabah menahan hati.

Selepas beberapa hari, Nurlisa muncul di muka pintu selepas waktu pejabat.

“Mak sihat ke?” tanya Nurlisa ketika Nek Ros membuka pintu. Dia terus bersalam dan mencium pipi ibunya.

“Alhamdulillah,” balas Nek Ros sambil memeluk Nurlisa seperti sudah bertahun-tahun tidak bertemu. Walhal baru seminggu anak perempuannya itu tidak datang.

“Maafkan Nur kerana lama tak tengok mak,” kata Nurlisa seperi tahu kerinduan ibunya. Dia memimpin Nek Ros duduk di sofa.

“Alah... baru seminggu. Budak-budak macam mana?”

“Semuanya sihat mak. Ain dah balik ke asrama. Amir yang sedang berkemas nak ke PLKN.”

“Bila?”

“Minggu depan, mak. Tu yang Nur datang ni. Kalau boleh nak ajak mak hantar Amir nanti.”

Nek Ros angguk. Amir Asyraf, cucu keduanya sudah 17 tahun. Itulah cucu yang paling rapat dengan atuknya.

“Mak, Nur dah bawa ayah balik. Ezani risau tengok ayah di sana asyik demam,” kata Nurlisa. Matanya mula mencari jawapan dari wajah Nek Ros.

“Ayah ada di rumah Nur. Dia keletihan. Doktor kata tubuhnya kurang gula dan kurang darah. Kalau mak nak, Nur boleh hantar dia balik ke sini,” kata Nurlisa perlahan, bimbang akan menyakiti hati ibunya. Namun, kata-kata itu membuatkan hati Nek Ros yang retak menjadi terbelah.

Dia tunduk diam. Begitu kecil dirinya sebagai isteri. Rasa seperti tidak berguna langsung.

“Mak, macam mana?”

“Macam mana apa?” tanya Nek Ros dengan suara yang pecah bergetar.

“Bolehkah ayah balik ke sini?”

“Bila pula mak lebih berkuasa dari dia? Bila pulak mak yang halau dia dari sini? Bila pulak rumah ni rumah mak? Dia adalah ketua keluarga ini. Mak tak pernah halau dia walau sekali. Ini rumah dia. Sebab itu dia boleh pergi dan balik sesuak hatinya. Lainlah kalau dia memberi syarat, tak akan balik ke sini selagi mak ada....” Kali ini, air mata sudah menitik.

Nurlisa segera memeluk ibunya. Dia tahu hati kedua-duanya sedang merindu. Dia juga tahu mereka bertahan dan tidak mahu mengalah.

“Nur pun tak faham. Apa sebenarnya sebab, hingga ayah merajuk hati dan lari ke rumah Ezani. Dan apa pula sebabnya mak tak nak memujuknya. Bila tanya ayah, dia diamkan diri. Bila tanya mak, mak juga tidak menjawab. Akhirnya, kami anak-anak yang gelisah. Belum pernah mak dan ayah berpisah begini lama. Enam bulan. Sangat lama tu mak. Ayah dah cengkung. Mak juga dah pucat. Mak... sudah-sudahlah tu. Salah seorang kena mengalah.”

“Mak tak salah apa-apa. Buat apa nak mengalah. Mak sendiri tak tahu kenapa dia begitu marah,” kata Nek Ros, teresak-esak.

“Mak, ayah dah bertolak ansur dan setuju ikut Nur balik. Walaupun hanya setakat rumah Nur. Namun Nur tahu rajuknya semakin sembuh.”

“Kalau rajuknya semakin sembuh, dia pasti terus balik ke sini. Ini rumah dia. Mak ni masih isteri dia!” sergah Nek Ros, sedikit meninggi.

“Mungkin dia nak manja-manja dengan mak. Dia nak mak pergi sana ambil dia.”

Tangis Nek Ros reda seketika. Dia menyeka air mata yang merembes.

“Mak, sejak dulu ayah tu kan manja kalahkan anak-anak. Mak pergilah jemput dia. Mungkin itu yang dia nak. Apa salahnya menunjukkan cinta kan? Mak juga yang ajar kami semua agar bertolak ansur. Nur tahu mak sangat cintakan ayah. Sejak kecil kami melihat cinta dan kasih sayang mak pada ayah,” tambah Nurlisa.

Bibir Nek Ros menguntum senyuman. Kata-kata anaknya itu dirasakan sangat mengasyikkan.

“Mak dan ayah kan dah janji nak cinta sampai hujung nyawa? Sekarang, kenapa nak mungkir janji. Mak, mak jemput ayah balik ya!” Nurlisa menggenggam tangan Nek Ros dengan penuh harap.

“Mahukah dia balik ke sini lagi?”

“Mak, ayah tu sangat rindukan mak.”

“Dia cakap macam tu?”

“Tak payah dia nak cakap mak. Kami ni dah dewasa untuk faham. Kata Ezani ayah selalu mengigau panggil mak. Sebelum dia demam teruk, dia menangis-nangis dalam sambil menyebut nama mak. Itu maknanya rindu...”

Hati Nek Ros semakin tersentuh.

“Bila mak nak ambil ayah?” Nurlisa mengasak persetujuannya.

“Nantilah mak fikir dulu.”

“Mak janganlah fikir yang lain. Mak fikir keadaan ayah saja. Lagi cepat mak datang ambil, lagi cepat ayah tu sembuh.”

“Kenapa Nur desak sangat? Nur tak nak jaga ayah ke?” Giliran Nek Ros menduga anaknya.

“Mak jangan fikir yang bukan-bukan. Kalau boleh Nur nak jaga mak dan ayah sampai bila-bila. Abang Arman pun izinkan kalau Nur nak bawa mak dan ayah tinggal dengan kami. Tapi, mak juga yang tak nak keluar dari rumah ini,” jawab Nurlisa, cepat.

Nek Ros menarik nafas lega dan dia rasa semangatnya pulih. Nurlisa bangun.

“Nur balik dulu. Nur tunggu mak di rumah. Bila-bila masa mak boleh datang. Datanglah dengan cinta mak,” kata Nurlisa sambil memeluk tubuh Nek Ros dengan kemas.

Semakin mekar rindu yang menjalar di hati Nek Ros.

“Oh ya! Ini ada kiriman dari ayah.” Sebuah sampul surat kecil berbunga-bunga dihulurkan oleh Nurlisa. Bibirnya menguntum senyuman.

Nek Ros menerima huluran itu dengan dada yang berdebar. Sampul surat berbunga-bunga itu menggamit kenangan lama. Semasa bercinta, hampir setiap minggu dia menerima warkah rindu dalam sampul seperti itu.

Nurlisa melangkah pergi.

Mata Nek Ros masih terpaku kepada sampul di tangannya. Tiba-tiba matanya kembali berkaca...

Dengan perlahan dan sedikit terketar, sampul surat itu dibuka. Dia menarik kertas yang dilipat rapi. Harum bau bedak Cuticura menyerbu hidung. Senyum Nek Ros semakin menguntum.

Dia membaca dengan hati girang warkah dari kekasih awal dan akhirnya:

Wahai adinda pengarang jantungku

Belahan jiwa kekasih hatiku

Gelak tawamu amat kurindu

Hingga terbayang dalam mataku.

Rindunya hati bukan kepalang

Kepada adinda buah hati abang

Bilakah masa dapat kuulang

Bercanda denganmu adindaku sayang.

Setiap hari kekanda menanti

Adinda muncul menghibur hati

Namun kenapa adinda menyepi

Bencikah adinda di dalam hati?

Aduhai dinda jauh di mata

Di hati kanda tidaklah lupa

Entah bila dapat bersua

Berdoalah kita kepada YANG ESA.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.