Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 24 - AKULAH RAJA KAPOR!

Selepas semuanya berlalu dari ruang tamu itu, Nek Ros kembali pejamkan mata. Dia rasa itu yang terbaik untuknya ketika itu.

“Awak, kita nak tidur sekejap. Nak hilangkan pening ni,” kata Nek Ros.

“Tidurlah wahai permaisuriku,” balas Atuk Jay.

“Maafkan kita, awak.”

“Tak apa, kita tahu awak tak sihat. Tidurlah. Awak nak kita dodoi ke?”

Namun pertanyaan itu sudah tidak sempat dijawab. Nek Ros sudah terlena. Dengkuran kecil kedengaran mendesah lembut. Atuk Jay meneliti wajah Nek Ros dengan penuh kasih sayang. Kemudian dia teringat, di atas sofa itu dia pernah tertidur dan bermimpi indah.

Kononnya dia berada dalam sebuah istana yang sangat cantik. Ia dikelilingi sebuah tasik yang membiru airnya. Ada pula sebuah taman yang penuh dengan beraneka pohon dan bunga. Dayang-dayangnya ramai. Pengawalnya juga segak dan berani. Singgah sana juga sangat cantik. Namun, di atas singgah sana itu dia sendirian. Tidak ada permaisuri. Tidak ada teman.

“Sampai bila beta nak duduk di sini sorang-sorang. Beta perlukan seorang permaisuri. Mana permaisuri beta?” Itu yang selalu ada dalam hatinya.

“Sampai hati dinda tak rindukan kanda. Sampai hati dinda hilang begitu saja,” keluhnya perlahan.

“Tuanku, sekarang masa untuk santap,” kata seorang dayang bernama Cempaka Dewi. Orangnya kurus langsing. Berpinggang ramping dan berkulit putih kuning.

Lamunan rindunya berterabur hilang. Dia menatap wajah dayang yang manis itu. Semasa permaisuri ada, inilah dayang yang paling disukainya. Inilah juga dayang yang paling cekap dan setia.

“Beta kurang selera hari ini, dayang.”

“Tapi, sejak pagi tuanku tak menyentuh apa-apa juadah. Santaplah sikit agar perut tuanku tak masuk angin. Kalau dah masuk angin, tuanku juga yang susah,” pujuk Cempaka Dewi dengan senyuman manis bak gula melaka.

“Beta tak ada selera. Beta rindukan adinda permaisuri. Di mana dia?” Dia tidak pedulikan pujukan Cempaka Dewi. Dan dia juga tidak malu mengaku perasaannya kepada dayang yang seorang ini.

“Bersabarlah tuanku. Permaisuri kan berada di kayangan.”

“Kenapa dia tinggalkan beta? Dia tak sayangkan beta. Dia langsung tak rindukan beta.”

“Kita mana tahu dia tak rindu?”

“Kalau dia rindu, tentu dia dah balik. Kenapa nak duduk di kayangan tu lama-lama? Bukannya ada apapun di sana.”

Cempaka Dewi ketawa galak.

“Kenapa tuan hamba ketawa ni? Salahkah apa yang beta cakap?”

“Tuanku tak salah. Tapi, yang merajuk lari ke bumi itu adalah tuanku. Kenapa tuanku sendiri tak terbang naik ke kayangan? Kenapa degil sangat hati tuanku hingga tak nak mengaku salah. Tuanku sanggup biarkan singgah sana tuanku kosong tak berpermaisuri. Tuanku sanggup menanggung rindu macam ni semata-mata kerana tak mahu mengaku salah dan kalah,” kata Cempaka Dewi.

Dia mengeluh berat.

“Betul tuanku tak nak santap?” tanya Cempaka Dewi lagi.

Geleng.

“Tuanku akan menyesal.”

“Kenapa pula?”

“Sebab hari ni tukang masak sediakan makanan kegemaran tuanku,” jawab Cempaka Dewi, tersengih-sengih.

“Asam pedas ikan pari dengan kangkung goreng belacan.”

“Belacan?”

“Ya tuanku, belacan kegemaran tuanku.”

Dia terdiam lama. Sudah lama dia tidak menjamah hidangan itu. Semasa permaisuri ada di sisinya, setiap hari dia dihidangkan dengan kangkung belacan, sambal belacan dan semua sayur digoreng dengan belacan. Asam pedas pula bertukar-tukar jenis ikan. Namun yang paling disukainya ialah ikan pari. Setiap hari permaisuri akan pastikan masakan itu terhidang untuknya.

Tiba-tiba air liurnya menitik. Kemudian berjuraian. Dia segera menjamah hidangan. Selepas dua tiga suapan, dia berhenti dan termenung.

“Kenapa tuanku?”

“Beta teringatkan permaisuri. Sudah makankah dia?”

“Tuanku jangan risaukan dia. Selama mengenali permaisuri, patik tahu dia seorang yang kuat semangat. Cuma, patik risau satu perkara.” Cempaka Dewi berwajah gundah.

“Apa dia dayang?”

“Di istana sana, ada ke stok belacan? Permaisuri sangat sukakan belacan. Setiap hari dalam setiap hidangan pasti ada belacan. Kalau tak ada belacan, permaisuri mesti tak selera makan,” jawab Cempaka Dewi.

Kunyahannya terhenti. Benar kata Cempaka Dewi. Belacan sangat penting kepada permaisurinya. Ia ibarat seketul keju kepada orang putih.

“Tak apa tuanku. Patik akan cuba hubungi inang di sana. Patik akan cari berita permaisuri di sana. Tuanku santaplah dulu.”

Dia mengunyah semula.

Asam pedas ikan pari dihirup dengan penuh selera. Entah kenapa, ia lebih sedap dari biasa.

“Siapa yang masak hidangan asam pedas ini hari ni?” Dia mengangkat muka dan merenung wajah Cempaka Dewi.

“Kenapa tuanku? Tak sedap ke?” Cempaka Dewi bertanya dengan bimbang.

“Rasanya tak sama macam semalam. Lebih sedap. Terasa rempahnya dan bau daun kesomnya ...” katanya sambil mencicip kuah asam pedas itu. Tidak lama, dia berhenti.

“Atau mereka masukkan darah dalam masakan ini. Macam dalam cerita Raja Bersiong tu?”

“Ish, apa yang tuanku mengarut ni?” sanggah Cempaka Dewi dengan cepat.

“Habis, kenapa sedap sangat ni?”

Cempaka Dewi mula tersenyum.

“Kita ada tukang masak baru. Dia memang sangat pakar dalam masakan asam pedas, tuanku.”

“Siapa namanya?”

“Penyair Bidasari tuanku.”

“Aik? Namanya Penyair Bidasari, kenapa kerjanya memasak?”

“Itu nama samarannya tuanku.”

“Memasak pun ada nama samaran. Tak pernah beta dengar sebelum ini.”

“Dalam zaman siber ni semuanya kena menyamar tuanku. Tambahan tukang masa tersohor macam dia. Ramai peminat dan paparazi yang tunggu,” kata Cempaka Dewi.

“Bawa dia mengadap beta. Teringin beta nak melihat orangnya!”

Cempaka Dewi berlalu pergi meninggalkan dia sendirian menghabiskan kuah asam pedas itu. Dia menghirup dan menghirup. Dia rasa sangat berpuas hati dan nikmat dengan kesedapan kuah dan isi ikan pari itu.

Tidak lama, Cempaka Dewi masuk ke ruang santap itu bersama seorang wanita. Dengan penuh hormat mereka duduk mengadapnya.

“Tuanku, inilah pacar yang bernama Penyair Bidasari itu,” kata Cempaka Dewi memperkenalkan. Dia meneliti wajah itu. Rasanya seperti pernah dilihatnya pacar itu. Wajah dan senyumannya sangat dekat dalam hatinya.

“Beta pernah melihat wajah kamu. Di mana ya?” Dia bertanya dengan sambil matanya tidak lepas merenung wajah Penyair Bidasari.

Penyair Bidasari tunduk diam. Cempaka Dewi juga diam. Masing-masing cuba mencari jawapan. Suasana sepi seketika.

“Ha! Baru beta ingat. Kamu ni pernah berlakon dalam filem Seniman Bujang Lapok bersama Allahyarham P.Ramlee tu. Kamu yang bergaduh dengan suami kamu pasal belacan tu. Kamu hampir dipancung kerana tak masukkan belacan dalam hidangan suami kamu. Masa tu beta masuk campur dan dimarahi oleh Pengarah, Ahmad Nisfu.”

“Ampun patik tuanku, tapi siapakah tuanku ini?” tanya Penyair Bidasari pula.

“Kamu tak kenal beta? Betalah Raja Kapor! Ha! Ha! Ha!” Dia ketawa berdekah-dekah. Sampai berair matanya kerana ketawa itu. Dia teringat mukanya yang macam tepong gomak. Dia terbayang wajah Ahmad Nisfu yang berang!

“Awak! Kenapa awak ketawa ni? Apa yang lucu?” Tiba-tiba bahunya ditepuk berkali-kali.

Atuk Jay tersentak. Dia tersedar. Dia mencubit pipinya. Ya ALLAH! Dia mengelamun rupanya. Wajah Nek Ros yang tidur di sofa itu ditatap dengan ketawa yang bersambung.

“Apa yang lucu? Sampai awak ketawa terbahak-bahak. Sampai terkejut kita...?”

“Saya tadi teringat mimpi saya hari tu. Mimpi saya menjadi raja dalam sebuah negeri.”

“Raja? Raja apa?” tanya Nek Ros dengan senyuman.

“Akulah Raja Kapor!” kata Atuk Jay bersama ketawanya yang semakin berdekah.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.