Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 21- MEOW MEOW LU JANGAN MABUK!

Hari yang dijanjikan untuk terbang ke Kuching pun tiba. Kapal terbang dari Senai ke Kuching dijadualkan berlepas jam 3.00 petang. Satu jam sebelum itu, penumpang perlu ada di lapangan terbang. Terlambat check-in alamatnya akan ditinggalkan. Kapal terbang bukan macam bas, boleh ditunda-tunda masa berlepas.

Kerana itu, Nek Ros dan Atuk Jay sudah bersiap awal-awal lagi. Dua buah beg sedia menunggu di pintu.

“Awak, kita ni tak pernah naik kapal terbang. Macam mana rasanya ek?” tanya Nek Ros separuh merengek.

“Biasa saja. Macam naik buai. Seronok!” jawab Atuk Jay dengan ketawa perlahan.

Pukul 12.00 tengah hari, kereta Nurlisa tiba di luar pagar. Pemandunya ialah Nurul Quratun’Ain, anak sulung Nurlisa.

“Atuk! Nenek! Miss you!” jerit Ain dengan riang ketika melihat Atuk Jay dan Nek Ros keluar dari rumah. Dia meluru memeluk kedua-duanya.

“Cucu atuk ke ni?”

“Kenapa pula?” Aini membelek dirinya. Rasanya tidak ada yang salah pada pakaiannya. Dia memakai seluar panjang dengan baju kemeja lengan panjang. Dia bertudung. Dia menutup aurat walaupun pakaiannya bukan pakaian orang Melayu. Apa yang tak kena?

“Atuk ingat budak mat saleh mana. Cuba jadi orang Melayu. Buat apa nak jadi orang lain. Atuk tak suka Ain lupakan adat dan budaya Melayu,” jawab Atuk Jay.

Ain merenung wajah neneknya. Nek Ros hanya senyum sambil mengangkat bahu. Dia faham kesilapan Ain. Namun dia akan mambiarkan Ain berfikir sendiri.

“Atuk, apa salah Ain?”

“Macam gitukah orang Melayu menegur orang tua? Itu bukan cara kita, Ain.”

Si cucu mula faham. Dengan cepat dia menarik tangan Atuk Jay, merendahkan diri dan menciumnya dengan penuh hormat takzim. Atuk Jay mencium dahi Ain sebelum menarik tubuh cucunya itu ke dalam pelukannya.

“Jangan lupa identiti kita, Ain. Ain jangan ingat atuk dan nenek yang sempoi macam ni, tak pentingkan adab sopan. Walau bagaimana rock kita pun, kita masih nak anak cucu beradab dengan orang tua,” kata Atuk Jay, berbisik ke telinga Ain.

Ain terharu. Air matanya bergenang.

“Kalau bukan kita yang martabatkan adat sopan kita, siapa lagi? Jangan sampai kita dijajah oleh budaya kasar mereka tu,” sambung Atuk Jay ketika melepaskan pelukannya.

“Baiklah atuk. Ain minta maaf,” jawab Ain sambil mencium tangan Atuk Jay sekali lagi.

“Maafmu diterima. Lain kali jangan buat lagi. Atuk tak suka!”

“Wah, atuk dah jadi pejuang adat dan bangsa ya!” perli Nek Ros pula. Ain pula tidak berani menyampuk. Dia rasa terpana dengan sindiran atuknya. Dia rasa sangat kesal dengan perbuatannya tadi.

“Kita semua harus jadi pejuang. Kalau bukan kita, siapa?” balas Atuk Jay, mula tersenyum.

“Yalah. Kita memang pejuang. Jom kita bergerak. Kalau terlambat, kita ketinggalan kapal terbang, baru betul kita kena berjuang!” kata Nek Ros lagi.

Beg diangkat dan dimasukkan ke dalam boot kereta. Mereka masuk ke dalam kereta. Namun sebelum sempat kereta bergerak, Pati Lakshmi berjalan keluar dari pagar rumahnya dan melambaikan tangan ke arah mereka.

“Kenapa dengan Lakhsmi tu, Ros?”

Nek Ros segera keluar. Dia berjalan ke arah sahabatnya itu.

“Ros, awak nak pergi mana?” tanya Pati Lakshmi, sedikit cemas.

“Kan saya dah cakap dengan awak, saya nak ke Kuching. Kami nak melawat anak cucu kami,” jawab Nek Ros sambil menarik tangan Pati Lakshmi.

Pati Lakshmi angguk perlahan. Wajahnya berkerut dan muram. Dia seperti sedang menahan kesakitan.

“Lakhsmi, kenapa ni? Awak sakit ke?”

“Saya sakit perut. Sejak semalam. Saya ingat nak minta awak hantar saya pergi klinik. Tapi...”

Nek Ros termenung.

“Bang, macam mana ni?” Nek Ros mencari jawapan dari Atuk Jay.

“Maafkan kami Lakhsmi. Kami tak boleh nak hantar sebab nanti kami akan ditinggalkan kapal terbang. Macam mana ya?” Atuk Jay merenung Nek Ros. Mereka saling mencari jawapan.

“Tak apalah Ros, Jay. Awak pergilah. Nanti saya naik teksi saja.”

“Anak-anak awak mana? Mintalah mereka hantar. Kami benar-benar rasa bersalah kalau awak naik teksi,” balas Nek Ros pula. Dia memeluk bahu Pati Lakshmi. Dia tidak berkata bohong.

Soalan Nek Ros tidak dijawab. Namun muram wajah Pati Lakhsmi sudah cukup membuat Nek Ros faham.

“Nek, atuk, marilah kita pergi. Kalau leka, Ain bimbang kita terlewat,” kata Ain.

“Tapi Ain...pati ni...” Nek Ros nampak resah.

“Pasal Pati, Ain akan hantar pati ke klinik nanti selepas hantar atuk dan nenek ke lapangan terbang. Marilah,” kata Ain dengan senyuman senang. Dia kerdipkan mata tanda setuju.

Nek Ros dan Atuk Jay merenung Ain. Hati mereka kembang bangga. Ada kasih sayang yang tulus pada kata-kata yang baru didengar.

“Lakshmi, awak tunggu sampai Ain ambil awak ya. Kami pergi dulu. Apa-apa hal awak boleh telefon Nurlisa atau Ain. Mereka akan ambil alih kasih sayang kami pada awak,” kata Atuk Jay.

Mata Pati Lakhsmi bergenang air mata. Wajahnya dihurung rasa terharu. Namun selepas itu dia tersenyum dan melepaskan Nek Ros pergi dengan senang hati.

“Kesian pati...” rungut Nek Ros ketika kereta mula meninggalkan halaman rumahnya. Rungutan itu tidak dibalas oleh Atuk Jay ataupun Ain. Mereka ikut hanyut bersama rasa belas dan simpati terhadap wanita itu.

Ketika sampai di Lapangan Terbang Sultan Ismail, suasana sudah agak sibuk. Masa untuk check-in sudah tiba. Balai pelepasan mula dipenuhi penumpang.

Ain meninggalkan mereka selepas memeluk dan mencium Atuk Jay dan Nek Ros. Lalu tinggallah mereka berdua mengheret beg ke arah kaunter pelepasan.

“Awak,” bisik Nek Ros sambil mencuit bahu Atuk Jay.

“Kenapa ni?” Atuk Jay menoleh.

“Kita takutlah... ”

“Takut apa? Ini Lapangan Terbang. Tak ada hantu. Yang ada hanya kapal terbang,” kata Atuk Jay menarik tangan Nek Ros

“Sebab ada kapal terbanglah, kita takut,” kata Nek Ros dengan resah.

“Takut apa?” Atuk Jay mengulangi soalan.

“Takut kapal terbang. Kita gayat nak naik kapal terbang. Kita juga takut mabuk dan muntah, ” Nek Ros berbisik ke telinga Atuk Jay.

“Ish! Awak janganlah takut. Kita yang perkasa ni kan ada. Mari, jangan takut.” Atuk Jay mengenggam tangan Nek Ros dan memimpinnya berjalan ke arah kaunter pemeriksaan.

Pengumuman penerbangan untuk ke Kuching dibuat. Semua penumpang bersedia untuk menaiki pesawat. Hati Nek Ros semakin berdebar dan keluh kesah. Semua keberaniannya selama ini berkecai. Tiba-tiba dia menjadi sangat penakut. Perasaan rocknya bertukar menjadi inang dan zapin yang lemah gemalai. Aduh!

Dalam pesawat, Atuk Jay sengaja memberi peluang Nek Ros duduk di tepi tingkap.

“Awak duduk dekat tingkap. Nanti awak dapat tengok pemandangan yang cantik dari udara,” kata Atuk Jay.

Nek Ros tersengih-sengih sambil membetulkan duduk. Dia memerhati sekeliling. Macam ini rupanya keadaan dalam kapal terbang. Itu yang ada dalam hatinya.

Penerbangan akan bermula. Enjin kapal terbang pun sudah berdengung-dengung. Seorang pramugari sudah selesai menyampaikan taklimat ringkas keselamatan. Hati Nek Ros berdebar-debar. Jantungnya berdegup-degap. Rasa nak terkucil pun ada.

Kapal terbang mula meluncur. Nek Ros pejamkan mata. Tidak sanggup dia melihat bumi ditinggalkan dan kini dia sedang terapung di dada di langit.

“Meow meow kami datang!” kata Atuk Jay dengan riang.

Nek Ros diam. Masih pejamkan mata. Dadanya masih tidak reda dari debaran.

“Awak, bukalah mata. Tengok pemandangan bandar Johor Bahru yang cantik. Lihat awan yang memutih. Kita berada di celah awan. Tengoklah,” tunjuk Atuk Jay sambil memeluk bahu Nek Ros.

“Awak tolong tengok boleh? Kita tengah takut ni.”

“Nak takut apa. Kita ada di sebelah awak. Buka mata. Tengok di bawah sana. Nun, atap rumah kita, rumah Lakhsmi, rumah Nurlisa...” kata Atuk Jay dengan ketawa.

“Mana?” Nek Ros menjengah ke bawah. Dia mencari-cari bumbung rumah yang dikatakan Atuk Jay. Namun ketika itu, dia rasa seperti melihat semut yang sedang merayap di atas sebatang kayu. Tiba-tiba hatinya berbolak-balik. Dia rasa sangat gayat. Kepalanya semakin pening. Dia mula mual. Dengan cepat dia kembali pejamkan mata. Dia rasa seram sejuk dan berpeluh.

“Awak, kita nak muntah...” bisik Nek Ros, mendesah perlahan.

Atuk Jay menoleh. Dia melihat wajah Nek Ros yang mula pucat. Dari kocek seluarnya dikeluarkan sebotol minyak angin lalu ditenyehkan ke hidung Nek Ros.

“Tahan, jangan muntah. Nanti tak rock! Wa caya lu!” bisik Atuk Jay sambil mengurut belakang Nek Ros dengan penuh kasih sayang.

“Rock tak rock. Kita dah tak peduli. Kalau kita buka mata, mesti kita dah muntah!”

“Kalau macam tu, pejamlah. Meow, meow lu jangan muntah!" balas Atuk Jay, dengan rasa simpati. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.