Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 10

KOTAK CINTA ATUK

Atuk Jay bersiap-siap untuk balik. Semua pakaian dan barang-barangnya dimasukkan ke dalam sebuah beg. Tidak sabar dia ingin balik ke rumahnya. Selain rindukan belaian kasih sayang Nek Ros, dia juga merindui Kudin dan Temah. Kalau Awang ada, dia juga akan rindukan Awang. Apa boleh buat, Awang sudah mati akibat jerat asmaranya.

“Atuk nak balik hari ni juga?” tanya Amir Asyraf yang memerhati dari tadi.

Angguk.

“Tapi, atuk demam. Semalam atuk dah hampir jatuh kat bilik air kerana pening. Macam mana nanti kalau atuk jatuh lagi?”

“Atuk dah baik. Atuk dah sihat. Atuk dah dapat penawar sakit atuk. Tengok senyuman nenek kamu, atuk rasa kalau mati pun boleh hidup semula!” Atuk Jay menarik tangan Nek Ros dan meletakkan di dadanya.

Nek Ros rasa bahagia. Kebahagiaan yang dirasai sejak muda, kini dirasai tanpa berubah. Sudah begitu lama. Sejak bercinta, berkahwin hingga beranak dan bercucu, perasaan itu tetap sama.

“Kalau macam tu, biar Amir hantar barang-barang ni. Macam mana atuk nak naik motor dengan beg besar ni.”

“Memang atuk nak suruh Amir atau mama Amir yang hantar pun! Sebab atuk dan nenek nak meronda dan pergi makan dulu,” kata Atuk Jay sambil mengenyit mata kepada Nek Ros.

“Amir dah agak dah.”

“Apa yang Amir agak?” tanya Nek Ros pula.

“Atuk mesti nak ronda sekeliling bandar. Atuk mesti nak berasmaradana dengan nenek kat Tasik Merdeka tu. Sekarang dah ada sampan kolek. Bolehlah atuk dan nenek berkayuh sambil nyanyi lagu Sanggam. Ush! Mesti meriah punya!” Amir mengangkat ibu jari dengan ketawa. Atuk Jay dan Nek Ros ikut ketawa.

“Jom kita!” ajak Atuk Jay ketika ketawanya usai.

“Tapi bang, Ros tak bawakan abang topi keledar. Mana boleh naik motor?” Nek Ros menjeling manja.

“Oho... pasal tu nek jangan risau. Amir boleh pinjamkan topi keledar Amir.” Amir Asyraf segera bangun dan berjalan ke biliknya. Tidak lama, dia keluar dengan topi keledar di tangannya.

“Nah, khusus untuk papa rock!” hulur Amir Asyraf.

Atuk Jay terus memakai topi itu.

“Terima kasih bro! Itu sebab wa sayang lu sangat-sangat,” kata Atuk Jay sambil menepuk bahu Amir.

“Eh! Tadi lu kata lu sayang wa. Sekarang lu kata lu sayang Amir pulak?” Nek Ros berpura-pura merajuk.

“Adui..amoi laling. Lu jangan cemburu sama ini Amir. Wa sayang lu separuh mati. Wa sayang ini budak sikit saja,” jawab Atuk Jay dengan ketawanya yang berdekah-dekah.

Amir Asyraf tidak berkecil hati. Dia ikut ketawa berdekah. Dia tahu apa yang ada dalam hati lelaki itu. Sudah lama dia merasai kehangatan kasih sayang lelaki itu.

“Wa caya lu bro! Jom kita. Tak usah layan budak busuk ni lama-lama. He! He!” Nek Ros mengenyit mata kepada Amir Asyraf dan menarik tangan Atuk Jay.

Ketawa Amir Asyraf semakin berderai. Dia melihat langkah kedua-duanya dengan mata senang. Wajah muram neneknya telah hilang. Begitu juga dengan wajah sedih atuknya tiada lagi. Mungkin lepas ini, dia tidak mendengar lagi atuknya berkata : Atuk rindu nenek!

“Atuk! Jangan lupa hantar Amir nanti!” Laung Amir Asyraf ketika enjin motor sudah dihidupkan.

“Ke mana?”Atuk Jay berpaling.

“Amir nak pergi PLKN! Minggu depan. Amir tak akan pergi kalau atuk tak hantar!”

Atuk Jay mengangkat ibu jari tanda setuju. Tidak lama motor itu melunjur laju meninggalkan halaman rumah Nurlisa itu.

Amir Asyraf sempat menjeling, tangan Nek Ros melilit pinggang Atuk Jay dengan mesra. Senyum senangnya menguntum lagi. Dia suka pada kemesraan atuk dan neneknya. Dia selalu berharap akan dapat melihat kemanisan cinta mereka hingga hujung nyawa. Yang sudah berlaku, biarlah berlalu. Namun, kadang-kadang dia teringin untuk tahu kenapa atuknya merajuk? Besar sangatkah kesalahan neneknya hingga atuk sanggup larikan diri ke rumah pak usunya di Kuching?

“Kita nak ke mana?” tanya Nek Ros ke telinga Atuk Jay. Suaranya berdesir melawan desiran angin .

“Abang lapar. Kita pergi makan di tempat biasa. Dah lama tak makan nasi lemak ayam rock!” balas Atuk Jay, sedikit menjerit sebagai melawan pusaran angin.

“Warung Ibrahim Jali di Kempas?”

“Kat mana lagi yang jual ayam rock yang sedap selain di situ.”

Nek Ros diam bersetuju. Selain Warung Wak Kentut di Senai, di situlah salah satu tempat mereka mengisi perut. Kadang-kadang duduk melepak dan membaca akhbar.

Atuk Jay akan bertemu dengan ramai kawannya di warung itu. Semuanya yang sebaya dia. Warga pencen dari sebuah jabatan kerajaan. Kalau bertemu, cerita biasa orang pencen ialah mengenang kisah semasa mereka bekerja. Kalau jumpa kawan yang agak rapat, mereka akan bercerita tentang anak cucu.

Ayam rock! Kenapalah ayam itu diberikan nama itu. Apa sebenarnya ayam rock itu? Awal-awal dulu, Nek Ros juga berfikir begitu. Sering tertanya-tanya. Namun selepas sekali pergi ke situ, baru dia tahu rupa dan rasa ayam rock itu.

Ia sebenarnya hanya ayam bakar. Yang lainnya, dia dibakar dengan salutan berbagai rempah. Baunya, memang semerbak.

“Kenapa ia dipanggil macam tu?” tanyanya kepada tuan punya kedai itu, Ibrahim Jali.

“Saja je nak meriahkan dunia rock tanah air. Dah awak berdua digelar nenek dan atuk rock, apa salahnya ayam bakar saya pun diberi gelaran begitu. Yang penting, ayam saya semakin laris sejak dimartabatkan rock!” jawab Ibrahim Jali dengan ketawa.

“Dah sampai. Tak ramai orang hari ni,” kata Atuk Jay sambil memberhentikan motornya betul-betul di hadapan warung itu. Nek Ros segera turun dan membuka topi keledar.

“Dah tengah hari bang. Dah habis waktu bersarapan.”

Mereka berjalan ke arah sebuah meja.

“Abang Jais! Lamanya abang menghilang. Abang ke mana?” tanya Ibrahim Jali keluar dari dalam dan bersalaman dengan Atuk Jay.

“Abang bercuti,” jawab Atuk Jay dengan ketawa.

Ibrahim Jali ikut ketawa.

“Abang nak makan apa ni? Kak Ros?” Ibrahim Jali menoleh kepada Nek Ros pula.

“Macam biasa. Nasi lemak ayam rock. Kopi O janda.”

“Kopi O janda tak ada bang. Yang ada kat sini semua bini orang. Ha! Ha! Ha!” balas Ibrahim Jali, sekali lagi ketawa.

Sementara menunggu pesanan makanan mereka sampai, Atuk Jay tidak putus-putus merenung wajah Nek Ros.

“Kenapa awak tenung kita macam tu?” tanya Nek Ros dengan gaya manja.

“Tak bolehkah kita nak tenung awak?”

“Kita malu tau!” balas Nek Ros sambil menutup mukanya. Ketika itu, mata Atuk Jay terpaku seketika. Jemari Nek Ros yang panjang meruncing itu menarik pandangan matanya. Jemari itu juga tiba-tiba menggetarkan hatinya.

“Abang, nah ini dia nasi lemak ayam rock yang abang pesan. Ini pula kopi O janda. Jemputlah abang dan akak makan. Harap tetap rock!” kata Ibrahim Jali dengan ketawa.

Atuk Jay hanya merenung hidangan di hadapannya dengan mata hambar. Seleranya pudar.

“Abang, makanlah. Tadi kata lapar. Kenapa renung saja ayam yang rock sangat tu?” gurau Nek Ros dengan ketawa kecil. Namun ketawanya segera terhenti apabila melihat wajah Atuk Jay serius dan dia langsung tidak memberikan apa-apa reaksi.

“Abang, kenapa ni? Tak ada angin. Tak ada ribut. Tiba-tiba nak hujan?”

Atuk Jay menoleh perlahan.

“Dahlah, makan cepat. Nanti sejuk tak sedap.”

“Tapi kenapa? Abang belum jawap soalan saya,” kata Nek Ros dengan cuak.

“Kita bincang di rumah. Makan dulu. Nanti tak rock ayam ni,” balas Atuk Jay cuba melawak. Ketika itu Nek Ros pula terdiam dan seleranya tumpul

“Makanlah. Kenapa tak nak makan pula?” Atuk Jay sudah mula mengunyah.

Untuk tidak membuatkan Atuk Jay kecil hati, dia paksa seleranya untuk mengunyah nasi lemak itu. Ayam rock akhirnya tidak rock lagi!

Sepanjang perjalanan pula ke rumah, mereka hanya ditemani enjin Harley Davidson yang menderu lembut. Sepatah kata pun tidak keluar dari bibir Atuk Jay. Nek Ros menjadi khuatir untuk bergurau dan menegurnya. Lalu dia ikut diam, mengelamun di belakang suaminya yang tiba-tiba menjadi bisu. Apakah dia akan menyambung sengketa?

Sampai di rumah, Atuk Jay terus menarik Nek Ros ke bilik. Lintang pukang Nek Ros mengikuti langkah Atuk Jay. Selepas pintu bilik dibuka, Atuk Jay duduk di birai katil dan memberi isyarat agar Nek Ros duduk di sebelahnya.

“Abang, kenapa ni? Tadi baru saja minta maaf, sekarang dah mula lagi ke?” tanya Nek Ros dengan senyum sinis.

“Ros kena jawab dengan jujur. Abang tak nak Ros bohong.”

“Abang, cuba terus terang saja. Saya tak fahamlah bang.” Nek Ros semakin keliru. Wajah lelaki itu yang tadinya ceria dan gembira, tiba-tiba berubah masam dan muram. Dia mencari kesilapan. Rasanya tidak ada.

Atuk Jay menarik tangan Nek Ros.

“Mana cincin yang abang berikan? Kenapa jari Ros dah kosong macam ni?” Atuk Jay menunjukkan jari Nek Ros yang langsung tidak bercincin!

“Oh! Ini yang buat abang marah sangat ya!”

“Ros tak pernah buka cincin tu dari jari Ros. Ros pun dah janji nak pakai sampai mati. Mana semua janji Ros tu? Ros dah benci abang ke?”

“Apa abang merepek ni? Ros tak pernah benci abang. Cincin tu Ros buka sebab selama abang tak ada, Ros sangat rindukan abang. Setiap kali Ros tengok cincin tu, air mata Ros keluar. Ros tak sanggup nak tanggung detik sedih dan rindu tu,” jelas Nek Ros sambil menarik tangan Atuk Jay dan dikucup lembut.

Atuk Jay rasa lega. Dia menarik tubuh Nek Ros ke dalam pelukannya. Seluruh rasa cintanya luruh luhur.

“Habis mana cincin tu?”

Nek Ros bangun dan mengambil kotak kecil di atas almari solek. Kemudian dia menyerahkan kotak itu kepada Atuk Jay.

“Nah, ini dia kotak cinta atuk. Nenek tak buang pun cincin tu sebab nenek tahu, atuk sangat sayangkan cincin tu. Cincin tu adalah g... ” Nek Ros terhenti. Tidak sanggup untuk diluahkan perkataan itu kerana bimbang Atuk Jay akan marah.

Atuk Jay mengeluarkan cincin dari dalam kotak itu. Nek Ros pula menghulurkan jarinya.

“Awak, saya sangat sayangkan awak. Jangan pisahkan lagi jari dan cincin ni. Saya tak dapat hidup tanpa awak. Awak janji ya?” Atuk bersungguh-sungguh. Nek Ros angguk dan tersengih-sengih. Perkataan awak yang menggantikan perkataan abang itu dirasakan sangat lucu dan polos!


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.