Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 4 ( Bhg 2)

Sampai di rumah, Nek Ros segera masuk ke dalam dengan tergesa-gesa.

“Nek, kenapa tergesa-gesa ni? Nenek nak terkucil ke?” tanya Siti Aqila yang ada di ruang tamu. Dia ketawa kecil.

“Mana dia?” Mata Nek Ros melilau, mencari.

“Siapa nek?”

“Mak long kamu.”

“Oh! Dia ada kat dapur dengan mama. Sedang sembang-sembang artis,” jawab Siti Aqila dengan senyum.

Nek Ros segera ke dapur. Namun sebelum sempat kakinya memijak lantai dapur, telinganya sempat mendengar sembang artis yang dikatakan oleh Siti Aqila tadi.

“Mak tu dah rindukan ayah. Kak long tak telefon ayah?” tanya Marni.

“Ada.”

“Apa kata ayah? Sihatkah dia?”

“Ayah kurang sihat. Dah seminggu dia demam dan batuk,” jawab Nurlisa, ikut batuk kemudian bersin berkali-kali.

Hati Nek Ros berdebar. Cerita yang didengar dari mulut anaknya itu menggugat hatinya. Dia membetulkan diri. Tidak mahu anak menantunya mengesan rasa bimbang yang mula mendesah di jiwa.

“Assalamualaikum!” ucap Nek Ros, dengan suara mesra ramah.

Nurlisa dan Marni menoleh. Serta merta Nurlisa bersalam dan memeluk Nek Ros.

“Dah pergi klinik ke ni?” tanya Nek Ros. Tangannya diletakkan ke dahi Nurlisa. Kemudian dia mencium-cium pipi Nurlisa seperti biasa. Dia melayan Nurlisa seolah-olah Nurlisa masih anak kecil. Hanya dia tidak kuat untuk mendukung Nurlisa. Kalau tidak pasti dia akan mendukung anak perempuan tunggalnya itu.

“Dah mak. Ini yang doktor beri cuti sakit. Lagipun dah lama Nur tak sakitkan? Sekali-sekala demam ni rasa macam tak larat.”

“Kalau macam tu, tinggal saja di sini sehari dua. Minta izin dari Arman. Terlanjur Ain pun masih bercuti,” kata Nek Ros.

“Niatnya macam tu mak. Abang Arman pun dah beri izin. Sekarang ada hal sikit mak. Jadi Nur datang nak bawa Ain dan Haziq balik.”

“Kenapa? Ain kata cutinya ada seminggu lagi. Haziq pula ada dua minggu lagi kan?”

Nurlisa memandang kepada adik iparnya Marni. Dia seperti mencari sedikit semangat dan sokongan.

“Mak, ayah tak sihat. Kak long nak melawat ayah,” kata Marni. Mata mereka tertumpu kepada Nek Ros. Mereka menanti reaksi. Namun Nek Ros hanya tunduk dan diam membatu.

“Mak nak ikut tak?” Nurlisa pula cuba menduga.

“Kamu sajalah pergi,” jawab Nek Ros perlahan. Dia menahan lara. Dia menunda getar hati.

“Kalau macam tu, Ain dan Haziq kena balik temankan Amir sebab dia tak nak tinggalkan kelas tuisyennya,” balas Nurlisa, sedikit kecewa.

Nek Ros angguk. Dia faham duduk perkara. Getar hatinya semakin tidak mampu ditunda.

“Mak nak mandi dulu. Nak buat solat sunat duha. Kamu semua dah buat? Solat sunat duha ni pintu ketenangan jiwa dan pintu rezeki. Setiap kali kita solat, kita sudah bersedekah kepada tulang temulang yang ada dalam tubuh kita,” kata Nek Ros. Dia melangkah meninggalkan ruang dapur itu dengan tergesa-gesa. Dia seperti sedang melarikan sesuatu. Perasaannya. Getar rindunya.

Marni dan Nurlisa menghantar langkah Nek Ros dengan mata simpati.

“Mak cuba berbohong pada hatinya,” kata Marni perlahan.

“Mak juga cuba sembunyikan perasaannya dari kita. Namun, kak long tahu perasaan mak. Kak long ni anak dia. Dia tak boleh nak tipu kak long,” balas Nurlisa pula.

“Kalau macam tu, kak long buatlah sesuatu. Kita tak boleh biarkan mak macam tu.”

“Itulah juga yang Ezani minta kak long buat. Kami dah berbincang panjang. Dia minta kak long dan abang long jumpa ayah.”

Marni dan Nurlisa keluar ke ruang tamu.

“Ain, kenapa ni?” tanya Nurlisa ketika melihat Ain berbaring dengan lesu.

“Letih jogging agaknya,” kata Marni sambil duduk di sebelah Ain.

Joggingnya sekejap je mak ngah. Yang lama tu, kami pergi bersarapan. Dah terlebih makanlah ni... ” Ain mengeluh berat.

“Tu la makan tak ingat dunia. Makan ikut nafsu bukan ikut akal. Orang makan untuk hidup, awak hidup untuk makan,” leter Nurlisa kepada Qurrattu’Ain anak sulungnya.

“Nenek tu, ajak makan nasi lemak istimewa. Ain pula dah lama tak makan nasi lemak. Selera semacamlah.”

“Sedap sangat ke Ain? Kat restoren mana?” tanya Marni dengan senyum melihat keadaan Ain yang termengah.

“Bukan restoren tapi warung. Warung Wak Kentut,” jawab Ain dengan ketawa. Marni dan Nurlisa ikut ketawa. Tidak lama, mereka mendengar suara Nek Ros membacakan surah al-Waqiah dengan alunan harakat dan tajwid yang baik.


Previous: Bab 4 ( Bhg 1)
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.