Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 13

SIMPUL BIAWAK SIMPUL KASIH

Lepas makan malam, Nek Ros segera masuk ke bilik. Sudah lama tidak bergerak lasak seperti petang tadi. Walaupun hanya berlari di halaman dan bukan di padang, namun keletihan tetap terasa.

“Awak... awak dah nak tidur?” tanya Atuk Jay dengan gaya remaja.

“Kita penatlah wak...” balas Nek Ros pula, juga dengan gaya muda. Tanpa menunggu lama, dia terus menarik bantal dan berbaring.

Atuk Jay ketawa perlahan.

“Kenapa awak ketawakan kita ni?”

“Sebab kita suka tengok dia dalam gaya penat. Selalu kita tengok dia dalam keadaan cergas, macam lipas kudung.”

Nek Ros mencubit lengan Atuk Jay. Manja.

“Bang, esok pagi-pagi Ros nak keluar sekejap boleh?” Nek Ros kembali kepada situasi biasa, serius.

“Aik? Bukan ke setiap pagi kita keluar?” Atuk Jay merenung wajah Nek Ros dengan rasa hairan.

“Kali ni lain. Pagi esok Ros nak keluar berdating,” jawab Nek Ros selamba.

“Hah? Dengan siapa?”

“Dengan madu kita...”

Atuk Jay ketawa. Santai dan segar.

“Siapa?” tanya Atuk Jay.

“Pati. Esok hari nenek dan pati nak bergelandangan,” jawab Nek Ros sambil menguap.

“Hah? Lakhsmi? Ros ni mengigau ke betul ni?”

“Wa cakap betul la bro! Apa? Tak percaya?” Nek Ros merenung wajah Atuk Jay sambil mengenyitkan mata.

“Boleh ke Lakhsmi tu nak meronda dengan Ros yang ligat ni. Kaki dia tu...”

“Abang... dia yang ajak Ros. Dia yang minta Ros bawa dia keluar berjalan-jalan. Mungkin dia dah bosan dengan sari putihnya tu. Atau dia dah penat berkurung dalam bilik kenangannya tu,” potong Nek Ros sebelum ayat Atuk Jay dihabiskan.

“Anak-anaknya boleh benarkan ke?”

“Entahlah. Kita tengok esok macam mana.”

Atuk Jay termenung seketika. Rasa belasnya kepada Pati Lakhsmi mula muncul.

“Ros, abang kesian dengan dia tu. Esok, Ros bawa dia pergi farmasi dan belikan apa-apa pil suppliment untuk dia. Dia mengadu lutut dan kakinya sakit. Belikan dia vitamin yang ada glukosamine. Belikan juga susu yang kaya kalsium. Ambil duit abang dalam dompet tu,” kata Atuk Jay.

Nek Ros angguk perlahan. Matanya semakin kuyu. Dia hampir terlelap. Namun, tiba-tiba dia teringat sesuatu.

“Abang! Ros lupa nak cakap dengan abang satu perkara.”

“Apa dia?”

“Lakhsmi ada berikan kotak kecil berisi barang-barang kemas peninggalan Murthy untuk Ros simpan.”

Atuk Jay terkejut. Dia segera berpaling dan membetulkan duduknya. Dia menatap wajah isterinya dan mencari kepastian.

“Apa muslihatnya?”

“Muslihat apa? Ini bukan cerita Siti Muslihat!” jawab Nek Ros dengan gurauan untuk mengendurkan rasa terkejut Atuk Jay.

Atuk Jay tunduk. Gurauan itu tidak mampu membuat dia tersenyum, apa lagi ketawa.

“Ros, ini kes berat. Kita boleh dituduh melakukan jenayah.”

“Jenayah apanya. Bukannya Ros yang minta dan tipu daya dia. Dia yang minta tolong Ros simpankan. Katanya, kalau dia mati tolong jualkan barang-barang itu untuk biaya urusan pengkebumiannya. Dia tak percaya anak menantunya. Abang tahulah keadaan anak-anaknya tu. Sejak Murthy tak ada, semakin menjadi-jadi perangai mereka. Kalau boleh rumah itu pun nak dijual mereka,” terang Nek Ros panjang lebar.

Atuk Jay mengeluh. Hatinya masih kurang senang.

“Abang bimbang kalau anak-anaknya yang tuduh kita nanti.”

“Ros pun fikir begitu. Tapi, Lakhsmi kata dia tak ada sesiapa yang nak diamanahkan barang tu. Hanya Ros yang dia percaya.”

Suasana sepi. Mereka berdua termenung melayan fikiran sendiri.

“Apa kata kalau kita suruh dia buat surat akuan,” kata Atuk Jay.

“Perlukah bang?”

“Rasanya sangat perlu Ros. Sebab kalau apa-apa terjadi, kita boleh tunjukkan surat tu. Masa depan kita tak boleh nak jangka. Ini untuk perlindungan diri kita, Ros.” Atuk Jay berkata bersungguh-sungguh. Dia mahu Nek Ros faham tujuan surat itu.

“Baiklah, esok Ros cuba ajak Lakhsmi ke ofis Ali.”

“Ali mana pulak ni?” Atuk Jay beliakkan mata.

“Ali, yang kerja di Suruhanjaya Sumpah tu. Mungkin dia boleh taipkan surat resmi yang laku untuk dibawa ke mahkamah. Kalau setakat surat biasa, tak bermakna apa-apa. Tak laku.”

Atuk Jay termenung. Tidak lama dia tersenyum-senyum.

“Ni kenapa pula senyum-senyum ni?” tanya Nek Ros, hairan.

“Abang tak sangka, Ros lebih cekap undang-undang dari abang. Abang ingat, abang ni dah pandai. Rupanya Ros lagi pandai!”

Nek Ros ketawa kecil. Mengantuknya hilang.

“Ha! Baru lu tahu ya! Wa saja je tak nak tunjuk hebat!” gurau Nek Ros, menyeringai.

“Eksyen pulak tu!” Atuk Jay menggeletek pinggang Nek Ros. Ketawa Nek Ros bergema kuat. Dia kegelian. Namun tiba-tiba ketawa itu bertukar menjadi satu jeritan kesakitan.

“Aduh! Sakitnya bang! Aduh!”

“Kenapa Ros?”

“Betis Ros ni... aduh...” Nek Ros menggeliat kesakitan. Atuk Jay cuba menolong dengan cara mengurut dan menekan-nekan tapak kakinya.

“Sakitnya bang... ” Nek Ros mengerang. Air matanya tiba-tiba mengalir tanpa diminta. Dia menarik kakinya yang sedang diurut dan ditekan oleh Atuk Jay.

“Diamlah, abang tengah urut ni!”

“Nek, boleh baca buku cerita ni tak?” tiba-tiba Ainun Najwa masuk ke bilik. Di tangannya sebuah buku cerita bertajuk Puteri Ikan Emas. Namun ketika melihat Nek Ros sedang menangis dan Atuk Jay sedang menolongnya, dia tergaman.

“Atuk, kenapa dengan nenek?” tanya Ainun Najwa sedikit cemas. Dia nampak sangat gerun ketika melihat Nek Ros menggeliat kesakitan.

“Atuk, nenek sakit apa?” tanya Ainun Najwa sekali lagi.

“Simpul biawak,” jawab Atuk Jay tanpa menoleh. Perhatiannya tertumpu sepenuhnya kepada betis dan kaki Nek Ros yang keras kejang.

Ainun Najwa berlari keluar dari bilik itu. Dia terpekik-pekik memanggil mama dan papanya. Wajahnya cemas. Dia ketakutan.

“Kenapa ni Najwa?” Marni mendekati anaknya dan memeluk erat. Ketakutannya cuba dikongsi.

“Nenek...” Suaranya bergetar. Dia seperti ingin menangis.

“Kenapa dengan nenek?” Darwis pula meluru keluar dari bilik ketika terdengar perbualan anak isterinya. Matanya melorot ke arah Ainun Najwa.

“N... n...nenek kena gigit biawak!” jawab Ainun Najwa, tergagap. Dia

“Biawak! Mana ada biawak dalam rumah ni?” Darwis terus berlari ke bilik ibunya dengan hati curiga. Marni juga mengekorinya.

“Mak long! Mak long! Nenek sakit. Nenek kena gigit biawak!” Ainun Najwa mengetuk pintu bilik Nurlisa dengan suara nyaring. Nurlisa keluar. Dia merenung tajam ke arah Ainun Najwa. Namun dia tidak mahu bertanya lagi. Dia terus berlari ke bilik Nek Ros.

Ketika pintu bilik ditolak, kedengaran suara ketawa memenuhi bilik. Nurlisa hairan.

“Mak, mak tak apa-apa? Kaki mak kenapa?” tanya Nurlisa, cemas. Matanya terpandang tangan ayahnya yang masih memicit-micit kaki Nek Ros.

“Kaki mak kau simpul biawak. Kejang dan tegang semua uratnya,” jawab Atuk Jay dengan ketawa kecil. Ainun Najwa sudah membuat semua orang rasa bimbang.

“Kak long pun terkena juga dengan Najwa ya?” tanya Marni tersenyum-senyum. Nurlisa angguk sambil ketawa.

Tidak lama, mereka keluar dari bilik itu.

“Terima kasih, awak. Saya ni menyusahkan awak saja kan? Dari dulu, asyik simpul biawak saja.” Nek Ros kerdipkan mata dengan manja.

“Saya sayang awak! Simpul biawak ni adalah simpulan hati saya. Bila awak kena simpul biawak, saat itu saya tahu awak perlukan tangan saya untuk memicit. Kan?” balas Atuk Jay.

Nek Ros tersenyum malu. Memang lelaki itu amat berjasa kepadanya sejak berpuluh tahun. Ketika dia diserang simpul biawak, dia selalu ada untuk meleraikan simpul biawak itu!


Previous: Bab12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.