Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 20- ADUH, JATUH CINTA RUPANYA

 Suasana sepi seketika. Hanya muzik ringan dimainkan. Encik Halil, tuan punya Cempaka Bistro sudah lama hilang di bilik yang lain. Amir Asyraf sedang mengagumi atuk dan neneknya. Sementara atuk dan nenek sedang membiarkan cucunya melayan fikiran.

“Boleh atuk tanya Amir satu perkara?” Akhirnya Atuk Jay memecah sepi.

Angguk tapi tidak menoleh.

“Atuk tengok Amir banyak berubah selepas balik dari PLKN. Amir dah tak seceria dulu. Siapa yang sakitkan hati Amir, biar Atuk tumbuk muka dia,” kata Atuk Jay sambil berpura-pura marah.

Amir Asyraf ketawa.

“Cakap je dengan nenek. Biar nenek pelangkong kepala dia dengan kasut nenek ni.” Nek Ros pula menyampuk sambil mengangkat kasutnya yang bertumit rata itu.

Ketawa Amir Asyraf semakin panjang. Namun dia masih tidak menjawap soalan yang ditanya. Dia buat muka selamba. Mata Nek Ros dan Atuk Jay saling berpandangan.

“Jangan ketawa je. Cakap apa masalah Amir pada kami,” desak Atuk Jay.

“Kenapa atuk rasa Amir ada masaalah?” Amir Asyraf menoleh kepada atuknya.

“Sebab Amir tak macam biasa. Amir menjadi pendiam secara tiba-tiba. Amir berubah secara mendadak. Amir banyak termenung dan berkhayal. Kalau tak ada masalah, Amir tak macam ni,” jawab Atuk Jay.

Amir Asyraf terdiam. Dia tunduk merenung lantai. Tiba-tiba dia melihat gadis yang bernama Noor Hasmida sedang tersenyum-senyum kepadanya. Dia membalas senyuman itu. Wajahnya bertukar ceria.

“Tengok, dia dah angau dah. Dia berbalas senyum dengan lantai batu ni. Amir! Apa ni Mir!” Nek Ros menyergah sambil menepuk belakang Amir Asyraf.

“Tak ada apalah nek.”

“Kalau tak ada apa, kenapa Amir jadi macam ni?”

“Amir jatuh cinta pada siapa ni? Cuba cakap dengan nenek,” kata Nek Ros cuba berwajah serius, walaupun sebenarnya dia ingin ketawa melihat wajah polos Amir Asyraf.

“Mana ada nek,” sangkal Amir Asyraf lagi.

“Amir, nenek ni dah lama hidup. Dah banyak makan garam. Dan lalui bermacam dugaan. Sekilas ikan di air, nenek dah tahu jantan betinanya. Amir usah selindung dengan nenek.”

“Benar Mir. Apa salahnya Amir berkongsi rasa dengan kami. Mana tahu ada petua yang nak atuk turunkan kepada Amir. Petua memikat kekasih,” kata Atuk Jay sambil mengenyitkan mata nakalnya kepada Amir Asyraf.

“Atau nenek boleh berikan ilmu pengasih untuk Amir amalkan,” kata Nek Ros pula.

Senyum Amir Asyraf melebar dengan hati berbunga riang. Dia bahagia dengan sikap prihatin atuk dan neneknya. Tapi, benarkah dia sedang jatuh cinta?

“Atuk, nenek... Amir sebenarnya sedang keliru dengan perasaan Amir ni,” kata Amir Asyraf memulakan kata. Dia berhenti menelan air liur. Ketika itu Atuk Jay sedar betapa susahnya Amir Asyraf untuk bercerita. Dia menghulurkan sebotol kecil air mineral. Dia mahu cucunya bertenang.

“Apa yang Amir rasa?” tanya Nek Ros pula.

“Amir rasa gelisah. Amir asyik terbayangkan wajah dia. Amir asyik mimpikan dia...” kata Amir Asyraf, perlahan.

“Itu maknanya Amir dah jatuh cinta. Siapa gadis itu? Dia tahu Amir jatuh hati pada dia?” tanya Atuk Jay pula.

Geleng.

“Kalau macam tu, Amir kena terus terang dengan dia.”

“Amir takut nek. Amir malu kalau dia tak terima.”

“Amir tak boleh mengalah sebelum cuba. Amir mesti cuba. Siapa namanya? Di mana rumahnya?” desak Atuk Jay bersungguh-sungguh.

“Namanya Noor Hasmida. Amir jumpa dia masa latihan PLKN hari tu. Dia tinggal di JB ni juga. Tadi masa makan, Amir nampak dia dan keluarganya duduk di meja hadapan kita.”

“Kenapa Amir tak tegur?”

“Amir malu atuk. Masa di sana pun Amir tak pernah bercakap dengan dia.”

“Kenapa Amir tak cuba tegur dia dan berbual-bual dengan dia masa di sana?” tanya Atuk Jay lagi. Dia tidak pernah menduga kalau cucunya begitu pemalu orangnya. Selama ini, dia tahu Amir Asyraf seorang yang periang dan lasak.

“Dia tu adik kepada jurulatih kami Encik Mohd Rozi. Abangnya sangat garang. Amir tak berani, tuk.” Amir Asyraf berkata tulus. Memang dia takut. Itulah yang dia rasa setiap kali hatinya rasa ingin menegur Noor Hasmida.

Nek Ros hanya senyum mendengar cerita yang keluar dari mulut cucunya. Atuk Jay juga tersenyum. Mereka terdiam lama. Resah Amir Asyraf dibiarkan seketika.

“Amir tahu alamatnya?” tanya Nek Ros tidak lama kemudian.

“Nenek nak buat apa?” Dengan cepat Amir Asyraf menoleh ke arah Nek Ros.

“Nak repot polis.”

“Tapi kenapa? Apa salah dia?” Wajah Amir Asyraf berubah bimbang. Nek Ros sengaja membuang pandangannya ke arah lain. Bibirnya masih menguntum senyum. Sikapnya selamba sahaja.

“Dia pencuri. Dia dah curi hati cucu nenek. Dia kena terima balasannya. Nenek tak suka kalau orang curi hati cucu nenek. Dia pencuri” Nek Ros sengaja menguatkan suaranya.

“Nek, jangan over sangat bolehk tak?” Amir Asyraf tersenyum. Gurauan neneknya itu menyenangkan hatinya.

“Amir, betul apa. Pencuri mesti dihukum.”

“Tapi dia tak tahu pun dia dah curi hati Amir. Mungkin Amir ni syok sendiri. Kan tuk?” tanya Amir Asyraf kepada Atuk Jay.

Atuk Jay ketawa kecil.

“Jom kita cuba cari jawapannya,” kata Atuk Jay pula.

“Jawapan apa pula ni?” Sekali lagi wajah Amir Asyraf berkerut.

“Samada Amir syok sendiri atau Amir bertepuk sebelah tangan atau diapun memang sukakan Amir.”

“Atuk! Amir tak naklah! Amir malu. Eee...”

Ketawa Atuk Jay dan Nek Ros berdekah kuat melihat wajah Amir Asyraf yang mula berubah merah padam.

“Kalau Amir tak nak, Amir kena bertenang. Jangan tunjukkan sangat yang Amir tu sedang gelisah cinta. Amir nanti akan buat semua orang bimbang. Adat bercinta memanglah macam tu. Menanggung rindu tu, perkara biasa je,” kata Atuk Jay. Kali ini dia menepuk bahu Amir Asyraf dengan penuh kasih sayang.

Amir Asyraf menarik nafas lega. Dia kemudiannya tersenyum senang. Tiba-tiba dadanya rasa ringan.

“Mir, siapa nama gadis itu?” tanya Nek Ros ingin tahu.

“Biarlah menjadi rahsia,” jawab Amir Asyraf, selamba. Nek Ros mencubit bahunya. Atuk Jay pula menggeletek pinggangnya. Bilik itu tidak lagi riuh dengan suara nyanyian tetapi meriah dengan gurauan dan gelak tawa.

Ternyata, wajah Amir Asyraf yang muram bertukar ceria. Walau dalam hatinya tetap ada wajah manis Noor Hasmida, namun semuanya mula ringan dan tidak membebani fikirannya.

“Mir, Amir masih muda. Dugaan dan rintangan masih banyak yang perlu dilalui. Jangan mudah mengalah. Cinta itu anugerah ALLAH. Begitu juga jodoh pertemuan. Semuanya di tangan takdir.”

“Terima kasih kerana atuk dan nenek faham perasaan Amir.”

“Kami pun pernah muda. Kami dah lalui semua ini,” balas Nek Ros.

“Atuk, boleh Amir tanya atuk satu perkara? Masa atuk bercinta dengan nenek, pernah tak atuk penasaran akibat rindu?” tanya Amir Asyraf.

Atuk Jay tidak segera menjawab. Sebaliknya dia menoleh kepada Nek Ros untuk mencari-cari jawapan yang akan diberikan.

“Amir tanya dengan nenek. Atuk malu nak cakap,” kata Atuk Jay sambil tersengih-sengih.

“Nenek pun malu nak cakap,” jawab Nek Ros pula. Dia menutup mukanya dengan tapak tangan. Dia tersenyum kemudian mengilai perlahan.

“Nek, ceritalah. Amir nak sangat dengar kisah cinta orang dulu-dulu. Orang sekarang kalau rindu, akan telefon. Ataupun hantar e-mail. Atau wassup. Atau skype. Nenek dan atuk, macam mana?” tanya Amir Asyraf bersungguh-sungguh ingin tahu.

“Atuk kalau rindu, dia akan jalan depan rumah nenek berulang-ulang kali sampai dapat tengok muka nenek. Dia akan bunyikan loceng basikal atau dia akan menyanyi kuat-kuat. Kalau tak jumpa juga, dia akan beranikan diri dan berteriak: Ros! Aku rindu padamu!”

“Ada sekali tu, bukan Si Ros yang keluar tapi ayahnya daa...” kata Atuk Jay dengan ketawa panjang disambut dengan ketawa Nek Ros dan Amir Asyraf.

“Nenek pula, kalau rindu macam mana?” Amir Asyraf mengalihkan soalan.

“Nenek kalau rindu, akan menangis berguling-guling. Kemudian tunggu atuk tepi sungai. Bila dia lalu di situ nenek akan baling dia dengan selut merah, bedebuk! Kalau nenek tunggu tapi dia tak lalu di situ, nenek akan pergi rumah dia dan jerit: Hei si gigi emas!” ujar Nek Ros dengan ketawa mengekek. Sungguh manis kenangan itu. Sungguh hebat penangan rindu!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.