Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 23 -NENEK, I LOVE YOU!

Pagi itu selepas bersarapan, Nek Ros hanya berbaring sahaja. Sungguh lemah tubuh badannya. Kepalanya juga masih pening. Teruk sangat mabuknya kali ini. Mungkin sebab sudah lama tidak berjalan jauh.

Atuk Jay masih tidak jemu memicit kepala Nek Ros dengan tangan kirinya. Sementara tangan kanannya pula sibuk membelek dan membaca akhbar harian. Ada beberapa berita yang menarik minatnya.

Ruang tamu itu sepi. Hanya mereka berdua yang tinggal. Di luar rumah, kedengaran suara Ezani melayan dua anaknya bermain.

“Mak, kita ke klinik je. Mak perlukan rawatan ni,” kata Noor Hazuar, menantunya yang mesra dengan panggilan Wawa. Dia keluar dari bilik dan duduk di ruang tamu itu berhadapan dengan kedua-dua mertuanya.

“Tak payahlah Wawa. Mak tak apa-apa. Mak cuma pening je. Dah makan panadol tadi. Kejap lagi baiklah ni,” balas Nek Ros.

“Jangan-jangan awak ni mengandung tak?” gurau Atuk Jay.

Nek Ros celikkan mata. Dia kemudian mencubit tangan Atuk Jay yang sedang memicit kepalanya.

“Aduh, ada semut api kat sini. Sakitnya!” jerit Atuk jay dengan kuat.

Fauzan Azim muncul di muka pintu.

“Atuk, nape?” tanya Fauzan Azim dengan wajah cemas.

“Abam, nenek cubit atuk!” Atuk Jay segera menoleh ke arah Fauzan Azim. Dia berpura-pura kesakitan dan mengharapkan simpati cucunya itu.

“Nek, janganlah cubit atuk. Nanti atuk menangis. Abam tak ada gula-gula nak bagi atuk,” kata Fauzan Azim dengan wajah marah.

“Atuk yang kacau nenek dulu,” adu Nek Ros.

“Apa pasal atuk kacau nenek?” Soalan Fauzan Azim bertukar arah.

“Sebab atuk sayang nenek.” Atuk Jay tersenyum-senyum. Dia rasa seronok mengusik cucunya yang semakin pandai bercakap itu.

“Kalau atuk sayang nenek, cakaplah I love you. Macam papa selalu cakap pada mama,” balas Fauzan Azim dengan selamba.

Atuk Jay ketawa berdekah. Nek Ros ikut ketawa. Noor Hazuar tersipu malu.

“Kena cakap macam tu ke?” Atuk Jay sengaja menduga.

“Yalah. Papa selalu cakap mama macam tu. Cuba atuk cakap,” suruh Fauzan Azim.

“Nak cakap macam mana? Atuk tak pandailah....” Atuk Jay pura-pura merengek.

“Cakap macam ni: Nenek, I love you!” ajar Fauzan Azim, selamba dan serius.

“Nenek, I love you,” kata Atuk Jay sambil menarik tangan Nek Ros dan mengucupnya lembut.

“Ha, macam tulah. Dah, tak mahu gaduh-gaduh lagi. Abam nak pergi main dengan adik,” kata Fauzan Azim dengan ketawa. Dia meninggalkan ruang tamu yang masih dipenuhi suara ketawa mereka bertiga.

“Mak, betul mak tak nak pergi klinik ni?” tanya Noor Hazuar.

“Tak payahlah. Mak pening sikit je. Hilang mabuk ni hilanglah pening mak. Wawa pergilah buat kerja. Barang-barang dah siap kemas ke?”

“Dah mak. Sekarang tunggu lori datang ambil hantar ke kargo. Sementara tu, kita bolehlah jalan-jalan keliling Bandar Kuching ni. Mak dan ayah, rehatlah. Wawa siapkan makan tengah hari kita. Petang, mungkin abang nak bawa mak dan ayah keluar.”

“Biar mak ikut ke dapur,” kata Nek Ros cuba bangun. Tetapi dia terduduk semula.

“Tak apa mak. Mak rehat je. Biar Wawa yang masak,” balas Noor Hazuar.

Nek Ros duduk semula. Entah kenapa dia rasa seluruh bilik itu berpusing ligat.

“Rehat sajalah. Awak tak pulih lagi ni,” kata Atuk Jay tanpa menoleh. Matanya masih menatap berita yang ditulis di dada akhbar.

“Awak... kita ni dah tua ya?”

“Siapa kata kita tua?”Kali ini Atuk Jay menoleh. Wajah Nek Ros ditatap lama.

“Umur kita dah 65. Sekejapnya masa berlalu. Daripada muda, berkahwin, beranak dan sekarang kita dah bercucu. Mungkin saat kematian tu dah semakin hampir dengan kita,” kata Nek Ros, separuh berbisik.

“Ish! Apa awak merepek ni? Umur tu hanya angka. Kalau hati kita muda, kita akan tetap muda. Kalau hati kita penuh cinta, kita akan sentiasa ceria. Kalau jiwa kita penuh iman, kita akan aman,” tingkah Atuk Jay dengan kerdipan mata kasih.

“Tapi saya dah mula sakit. Ini mungkin isyarat awal yang ALLAH beri.”

“Awak cuma pening sikit sebab mabuk kapal terbang. Itu sahaja. Awak sihat. Percayalah,” tingkah Atuk Jay.

Nek Ros diam. Dia baringkan badan ke sofa dan cuba pejamkan mata untuk menghilangkan pening.

Atuk Jay merenung wajah Nek Ros. Hatinya rasa aman. Wajah Nek Ros yang tenang dan lembut itu sentiasa membuatkan hatinya bergetar rindu. Dari muda hingga ke tua, tak pernah surut rasa itu.

Hanya sekali, dia pernah terlalai. Entah di mana silapnya, dia terlanjur jatuh cinta kepada seorang gadis. Hampir dia terbabas mengahwini gadis itu. Namun, takdir tidak membenarkan dia menyakiti hati wanita yang bernama Rosminah itu.

“Ros ni tak ada apa-apa yang istimewa. Gadis itu cantik dan muda. Kalau abang nak kahwin dengan dia, pergilah. Ros tak halang.”

“Ros ikhlas?”

“Mana ada perempuan yang ikhlas menerima wanita lain sebagai rakan kongsi kasih suaminya. Tapi, Ros akan cuba memujuk hati.”

“Ros tak sakit hati?”

“Bohonglah kalau Ros tak sakit hati. Memang dah hancur berkecai-kecai hati ini. Dah lebur jadi debu semuanya.”

“Habis, kenapa Ros suruh abang kahwin dengan gadis itu. Kenapa Ros tak cuba halanag? Kenapa Ros tak mengamuk?”

“Sebab abang bukan budak-budak. Abang dah tua. Abang waras. Buat apa Ros nak halang kehendak abang? Kalau abang fikir, berkahwin lain itu boleh buat abang gembira apa lagi yang boleh Ros buat. Ros hanya perempuan yang lemah. ALLAH tak beri pada isteri untuk melawan hukum.”

Ya ALLAH! Betapa jahat perasaan cintanya ketika itu.

“Abang dah lukakan hati Ros. Maafkan abang. Ros adalah bidadari abang di dunia dan akhirat,” bisik Atuk Jay sambil menggenggam tangan Nek Ros. Tidak sanggup dia membayangkan perpisahan dengan Nek Ros. Cukuplah sekali dia merajuk dan meninggalkannya setahun lalu. Itupun, hanya kerana perkara yang sangat tidak logik untuk dia merajuk dan melarikan diri berbulan-bulan.

“Abang janji tak akan merajuk lagi. Abang janji tak akan lukakan Ros lagi...” bisiknya ke telinga Nek Ros.

“Awak? Ada apa ni?” Tiba-tiba Nek Ros tersentak dan merenung tepat ke wajah Atuk Jay.

“Tak ada apa-apa.”

“Habis, kenapa abang pegang tangan kita macam ni?”

“Abang takut dia terbang. Abang tak mahu kehilangan dia. Abang takut nak hidup sendirian tanpa dia,” jawab Atuk Jay, tulus.

Ezani masuk bersama Farhan Iman di atas dukungannya. Kemudian dia duduk di sebelah ibunya.

“Ayah, tadi Haji Azlan tanya ayah. Dia kata nak jumpa ayah sebelum ayah balik ke Semenanjung,” kata Ezani kepada Atuk Jay.

“Ayah pun memang nak jumpa dia. Ada bawa sedikit buah tangan untuk dia.”

“Siapa Haji Azlan tu?” tanya Nek Ros pula.

“Dia kawan abang selama merajuk hari tu. Dia tempat abang mencurahkan perasaan abang. Dia yang tahu erti sebuah rindu,” jawab Atuk Jay dengan senyuman.

“Mak tak tahu masa ayah rindukan mak,” sampuk Ezani pula.

“Syyy... jangan cerita. Nanti mak ketawakan ayah. Ayah malu,” tegah Atuk Jay. Dia memegang bahu Ezani dengan permintaan yang bersungguh-sungguh.

“Ada rahsia apa ni? Adik?” Nek Ros mendesak. Namun ketika itu, Ezani tidak berani untuk menceritakannya.

“Nak cerita ke tidak?” tanya Nek Ros sambil mencubit paha Atuk Jaya. Cubitan itu tidak dilepaskan.

“Aduh! Sakitnya!” jerit Atuk Jay.

Ketika itu juga Fauzan Azim masuk. Dia bercekak pinggang.

“Atuk dan nenek gaduh lagi? ALLAH tak suka orang suka gaduh!”

Dengan cepat Nek Ros melepaskan cubitannya.

“Taklah. Kami tak gaduh. Kami gurau-gurau je,” kata Nek Ros dengan ketawa perlahan.

“Cepat cakap I love you!” marah Fauzan Azim.

“Nenek, I love you!” kata Atuk Jay sambil mencium pipi Nek Ros.

Fauzan Azim ketawa mengekek. Wajahnya yang marah, mula ceria.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.