Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 19- ALAHAI CINCIN NENEK...

Dari restoren Atuk Jay terus memandu ke sebuah pusat karaoke milik seorang sahabatnya. Pusat itu bukanlah seperti pusat karaoke yang lain. Ia hanya sebuah kedai biasa yang hanya dikunjungi oleh kawan-kawan rapat bersama keluarga. Tidak ada bau rokok. Tidak ada unsur yang tidak sihat, apalagi arak.

Pemiliknya, Encik Halil tidak mengenakan bayaran tertentu. Boleh menyanyi berapa banyak lagu dengan sedikit sumbangan seikhlas hati.

“Wah, dah lama atuk dan nenek tak datang. Ingat dah lupa kawan-kawan di sini,” kata Encik Halil ketika menyambut ketibaan mereka.

“Mana boleh lupa. Inikan tempat kami bersantai. Awak apa khabar?” tanya Atuk Jay bersalaman dengan Encik Halil.

“Alhamdulillah, saya baik-baik je bang. Abang tu macam mana?”

“Abang pun sama. Setakat ni, masih boleh nak pusing-pusing bandar JB dengan nenek cun ni,” jawab Atuk Jay dengan ketawa.

“Eh, bukan nenek rock ke?” Encik Halil ikut ketawa bersekah-dekah.

“Rock dan cun,” jawab Atuk Jay di celah ketawanya yang girang. Amir Asyraf tersengih-sengih. Fikirannya masih terheret dengan pertemuan tidak sengaja dengan gadis di restoren tadi.

“Pandailah kau orang semua kutuk akak ya!” balas Nek Ros dengan senyum senang. Sebenarnya dia sudah terbiasa dengan usikan begitu. Yang datang ke situ semua kenalannya. Jadi sudah biasa sangat dengan tempat itu.

“Saya tak kutuk akak. Saya berkata benar. Tiada yang benar melainkan benar belaka. Akak adalah yang terhebat. Buktinya? Dalam usia akak enam siri, akak masih sihat dan rugged macam ni. Saya kagum dengan cara akak menjaga diri. Sumpah, saya berkata jujur,” kata Encik Halil bersungguh-sungguh.

“Jangan puji lebih-lebih. Terangkat-angkat nanti susah!” kata Atuk Jay, bergurau.

Dari senyum, Nek Ros terus ketawa berderai.

“Kami di sini dah lama rindukan suara nenek yang serak-serak itik tu. Jom kita mulakan.” Encik Hairi membawa mereka masuk ke sebuah bilik yang agak selesa. Ketika itu lampu dan muzik sudah sedia terpasang. Sebuah lagu instrumental juga sedang dimainkan.

“Amir nyanyi dulu,” suruh Nek Ros sambil menepuk belakang Amir Asyraf yang masih termangu-mangu.

“Atuklah dulu. Amir nak ambil mood dulu,” balas Amir Asyraf dengan senyuman.

“Wah! Ambil mood segala! Mesti penyanyi kita ni nak buat lontaran habis-habisan ni!” kata Atuk Jay, tersenyum senang. Dia berpaling kepada Nek Ros. Mereka berbalas senyuman.

“Biarlah nenek yang mula dulu. Dah lama nenek tak lontar suara. Dah lebih 6 bulan. Sejak...” Nek Ros terhenti dan menoleh kepada Atuk Jay. Mata mereka bertentang dalam rona yang redup pilu.

Tidak lama, lagu kegemaran Nek Ros mula diputarkan. Encik Halil memang sudah maklum akan lagu itu. Dia sudah menghafal lagu-lagu yang bakal dinyanyikan oleh pengunjung Cempaka Bistro miliknya itu.

Nek Ros mula mengalunkan suaranya melalui lagu Sembilu nyanyian Ella, Ratu Rock Malaysia.

Kelam malam, sepi melamar kerinduan

Tak terbatas ingatanku kepadamu

Dan pada siapa harus kuadukan..

Amir Asyraf diam mengikuti alunan muzik dan kelunakan suara Nek Ros. Gemersik lembut irama lagu itu membuat dia terbuai seketika. Dia menyandarkan diri ke sofa yang ada. Matanya dipejamkan. Bayangan wajah gadis di warung tadi menghantuinya. Tiba-tiba dia rasa rindu. Tiba-tiba dia rasa ingin bertemu dan berbual-bual dengan gadis itu.

‘Kenapalah tadi aku tak pergi tegur dia. Bodohnya aku...’ keluh hatinya.

Atuk Jay dan Nek Ros sudah bertukar-tukar lagu. Solo sudah. Berduet pun sudah. Lagu Melayu berbagai rentak sudah dinyanyikan. Duet lagu-lagu P.Ramlee dan Saloma pun sudah dilagukan. Pendeknya atuk dan nenek sudah penat dan kehabisan lagu.

“Mir, kami dah habis lagu. Takkan mood kamu tu tak muncul juga?” Atuk Jay meneguk air mineral untuk membasahkan tekaknya yang mula kering.

Amir Asyraf membetulkan duduknya. Dia menepis perasaan yang sedang merayap di hatinya. Tidak lama dia bangun untuk memilih lagu yang akan dinyanyikannya.

“Siasatan terpimpin akan bermula!” bisik Atuk Jay ke telinga Nek Ros. Bisikan itu membuatkan Nek Ros tersenyum. Dia menyandar dan cuba merehatkan diri dan bertenang.

Amir Asyraf mula menyanyi. Lagu yang dipilih semuanya irama lembut mendayu dengan lirik memuja kekasih.

Atuk Jay dan Nek Ros berpandangan.

“Tengah angau bercinta rupanya cucu kita,” bisik Nek Ros.

“Cinta monyet ke ni?” soal Atuk Jay pula.

“Nanti kita tanya lepas ni.”

Bunyi muzik yang bergema menyebabkan mereka tidak dapat berbual panjang. Mereka menunggu dan membiarkan Amir Asyraf leka dengan lagu-lagu yang dipilihnya. Ternyata Amir benar-benar sedang menghayati lagu-lagu yang didendangkannya.

Jam sudah 12.00 tengah malam.

“Dah tak nak menyanyi lagi ke atuk?” tanya Amir Asyraf, selepas selesai lagu yang dinyanyikannya.

“Atuk dah penat. Nak simpan sikit suara untuk azan di masjid pula,” jawab Atuk Jay, menyengih.

“Amir dah habis merintih?” tanya Nek Ros pula.

“Rintih apa? Amir kan hanya menyanyi.”

“Tapi nyanyian Amir menggambarkan perasaan hati Amir. Amir sedang jatuh cinta. Betul tak?” Nek Ros cuba menduga.

Amir Asyraf tunduk. Benarkah dia sedang jatuh cinta? Dia sendiri tidak pasti. Yang pasti dia gelisah sangat. Yang terbayang di matanya hanya wajah Nor Hasmida. Gadis itu ditemui semasa dia menjalani latihan di PLKN. Entah kenapa hatinya sangat berkenan dengan liuk-lintuk dan tutur kata gadis itu.

“Amir, janganlah malu-malu. Atuk tak marah kalau Amir memang dah jatuh cinta. Itu perkara biasa untuk insan yang sempurna. Cucu atuk dah 17 tahun. Dah memang logik untuk jatuh cinta. Kongsilah dengan kami,” kata Atuk Jay menepuk-nepuk belakang Amir, sebagai memberikan semangat.

Wajah Amir Asyraf semakin merah padam.

“Amir nak tahu umur berapa atuk jatuh cinta pada nenek? Sama baya Amir ni. Nenek yang lasak dan suka panjat pokok, buat atuk tertawan,” kata Atuk Jay mengenyitkan mata kepada Nek Ros.

“Nenek pula terpikat dengan atuk kerana rambut gondrong dan gigi emasnya,” balas Nek Ros pula.

“Hah? Atuk dulu pakai gigi emas?” Amir Asyraf mula ketawa. Di matanya terbayang kilauan emas kalau disuluh cahaya lampu.

“Kerana gigi itulah kami bercinta dan berkahwin. Cinta pertama kekal sampai kini,” kata Atuk Jay.

“Habis, mana gigi atuk tu?”

“Giginya masih ada. Emasnya je yang dah tak ada. Lepas kahwin, atuk buka dan berikan pada nenek sebagai tanda cinta.”

“Atuk? Biar betul. Eee... gelinya. Hadiah paling tak patut pernah Amir dengar. Teruknya atuk ni...” Ketawa Amir Asyraf terhenti. Wajahnya berubah. Tiba-tiba dia rasa geli geleman.

“Tak payah nak geli sangatlah Mir. Tukang emas tu sendiri tak geli pun.” Atuk Jay menyengih-nyengih. Nek Ros tersipu-sipu. Wajah cucu mereka menjadi tatapan mata nakal mereka.

“Atuk hantar ke kedai emas? Atuk jual gigi itu?” Sekali lagi wajah Amir Asyraf berselirat keliru. Aduh! Dia membayangkan wajah tukang emas yang dikatakan.

“Taklah. Atuk jadikan gigi itu sebagai tanda cinta atuk pada nenek.”

Amir Asyraf terdiam lama. Dia tunduk menelan air liur. Benarkah apa yang didengar. Bolehkah neneknya menerima gigi emas atuknya sebagai tanda cinta?

“Mir, tengok ni...” kata Nek Ros sambil menunjukkan sebentuk cincin yang tersarung cantik di jarinya.

Mata Amir Asyraf tertumpu kepada jari Nek Ros. Dia menoleh kepada Atuk Jay. Lelaki itu tersenyum dengan kerdipan mata.

“Inilah pengikat cinta kami yang atuk cakap tu,” sambung Nek Ros. Mata Amir Asyraf beralih kepada neneknya. Nek Ros pula mengerdipkan mata dengan sebuah senyuman.

Akhirnya, ketawa Amir Asyraf berdekah memecah ruang. Baru dia faham. Gigi emas atuknya dijadikan cincin yang terlekat manis di jari neneknya. Rahsia sebentuk cincin dalam sebuah kisah cinta, sangat menyenangkan hatinya.

“Sungguh manis kenangan cinta atuk dan nenek,” kata Amir Asyraf dengan senyuman senang.

“Cinta itu memang manis, Mir. Kalau kita pandai menghargainya. Bercinta tak salah asal kita pandai menjaganya,” kata Atuk Jay.

Amir Asyraf angguk perlahan. Jauh di sudut hatinya, dia rasa amat kagum dengan jalinan cinta Atuk Jay dan Nek Ros. Dari kecil, dia melihat kemesraan dan kasih sayang yang tidak pernah berbelah bagi. Dia menjeling ke arah cincin di jari neneknya. Dia tersenyum. Alahai cincin nenek!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.