Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 1- NYANYIAN NENEK

CUTI sekolah tiba lagi. Rumah Nek Ros mula riuh rendah dengan hilai tawa cucu-cucunya. Lima orang cucunya sudah datang berkumpul menghabiskan cuti.Anak-anak Darwis tiga orang. Anak-anak Nurlisa dua orang. Hanya anak-anak Ezani yang tidak ada kerana mereka masih kecil dan berada jauh di Kuching.

Nek Ros cukup gembira. Dulu semasa anak-anaknya Nurlisa, Darwis dan Ezani masih kecil, rumahnya meriah dengan suara mereka. Kini rumah itu meriah pula dengan suara anak-anak mereka iaitu cucu-cucunya.

Alhamdulillah, syukur kerana ALLAH panjangkan usianya untuk menikmati kasih sayang dan kemesraan anak cucunya.

“Dah malam! Semua dah solat isyak?” tanya Nek Ros kepada cucu-cucunya Haziq dan Ainun Najwa yang leka bermain game di ruang tamu sebelah kiri.

“Semua dah gosok gigi?”

“Dah!” sambut Haziq dan Ainun Najwa tanpa menoleh. Mata mereka masih tertumpu di kaca putih. Tangannya mereka pula masih ligat menekan punat untuk menggerakkan permainan yang sedang mereka pegang.

Nek Ros berjalan ke tingkat atas. Dia sempat menjeling kepada Siti Aqila dan Hana Humaira yang leka membaca majalah dan komik di ruang membaca.

“Qila dan Hana dah solat?”

“Dah nek,” jawab kedua-duanya, juga tanpa menoleh.

“Panasnya malam ni. Nenek nak mandi sekejap. Kalau tak, tak dapat tidur nanti,” kata Nek Ros sambil masuk ke bilik air. Seperti biasa, sebelum mandi dia akan menggosok gigi. Sambil menggosok gigi, dia menyanyi lagu Penawar Rindu dengan begitu lunak mendayu. Langsung tidak pelat. Langsung tidak kedengaran seperti orang sedang menggosok gigi.

Penawar rindu, padamu seorang.

Mengapa selalu, merindumu dikau jauh..

“Heh, sedap juga suara nenek ek?” kata Siti Aqila yang tekun membelek majalah remaja kepada adiknya Hana Humaira.

Hana Humaira mengangguk namun matanya masih menatap komik kegemarannya.

“Nek, buat apa tu?” tiba-tiba Hana Humaira bertanya dengan santai.

“Gosok gigi.”

“Kata nak mandi?” tanya Siti Aqila pula.

“Gosok gigi dulu sebelum mandi.Kan atuk ajar macam tu? Tak caya? Gi tanya atuk!” balas Nek Ros dari dalam bilik air.

“Sekarang nenek tengah gosok gigi?” tanya Siti Aqila dengan ragu-ragu dan kurang percaya.

“Yalah, habis kamu ingat nenek sedang makan donat dalam bilik air ni?”
Siti Aqila termangu-mangu hairan. Macam mana nenek menyanyi begitu bagus sedangkan dia sedang menggosok gigi?

“Eh, Hana. Kau tahu ilmu apa yang nenek pakai tak?” Siti Aqila mencuit bahu Hana Humaira.

“Ilmu apa? Ilmu hitam?” Hana Humaira menoleh.

“Kau tak hairankah, nenek tengah gosok gigi sambil menyanyi dengan bagus.Tak pelat dan tak rosak pun lagu tu!?”

Hana Humaira ikut termenung. Dia menggaru kepala dan cuba mencari teori.

Tidak lama, Nek Ros keluar dari bilik mandi.

“Nek, nenek ada bela hantu raya ke? Kata kawan Qila, hantu raya tu boleh tolong kita buat kerja.Dia akan menyerupai tuan dia. Betul ke nek ada bela?” tanya Siti Aqila tanpa menunggu lama.

Kali ini giliran Nek Ros pula terteleng-teleng hairan. Dia kurang faham dengan maksud kata-kata cucunya itu.

“Apa maksud Qila?”

“Nenek menyanyi begitu sedap.Tapi masa tu, nenek sedang gosok gigi. Macam mana tu?”

Nek Ros menyeringai seketika. Kemudian dia ketawa terbahak-bahak. Kedua-dua cucunya saling berpandangan. Wajah mereka semakin di selubung keliru.

“Nenek! janganlah ketawa. Jawablah betul-betul!” kata Hana Humaira, separuh merengek.
Nek Ros tidak menjawab. Sebaliknya dia menganga mulutnya dan menolak gigi yang ada di dalam mulut menggunakan lidahnya. Sepasang gigi diletakan di atas telapak tangan dan dia menyanyi-nyanyi: Penawar rindu..padamu seorang. Mengapa selalu dikau pergi jauh dariku.

“Mama! tolong!” Siti Aqila menjerit dan lari lintang pukang ke arah dapur di mana mamanya tengah mengemas pinggan mangkuk selepas makan malam.

“Qila, yang terjerit-jerit ni kenapa?”

“Nenek tu mama!” tunjuk Siti Aqila ke arah Nek Ros yang keluar dari bilik air.

“Nenek buat apa?” tanya Marni sambil menoleh kepada anak gadisnya.

“Nenek keluarkan gigi dia !Qila geli mama.”

Marni ketawa mengekek. Ketika dia menoleh kepada Nek Ros, dia rasa kelakar melihat gelagat mertuanya itu.

Siti Aqila masuk ke bilik. Hajatnya untuk terus membaca majalah terbantut. Matanya terbayang-bayang gigi palsu Nek Ros yang diletakkan di telapak tangannya tadi.

“Kak Ain buat apa tu?” tanya Siti Aqila kepada sepupunya Qurattu’Ain yang dilihat asyik melayari internet.

“Akak sedang cari bahan untuk assignment akak,” jawab Qurattu’Ain tanpa menoleh.

“Kalau macam tu, Qila tidur dengan neneklah.Tak nak kacau akak buat kerja.”

Qurattu’Ain angguk perlahan. Matanya belum beralih dari skrin. Ada bahan penting yang perlu dicarinya untuk disisipkan dalam tugasan kerja yang sedang disiapkan.

“Nek, buat apa?”

“Melayan mata.”

Siti Aqila bingung seketika.Dia renung wajah Nek Ros yang leka membaca.

“Macam mana nenek melayan mata?” Kali ini Siti Aqila tidak mahu diamkan diri. Dia berbaring di katil bujang sebelah katil Nek Ros. Memang katil itu sengaja diletakkan di situ untuk memberi peluang cucu-cucu tidur dengannya.

“Inilah, nenek baca buku. Nenek mengaji. Atau kadang-kadang nenek menonton tv. Ataupun nenek tidur… itu juga dikira melayan mata,” jawab Nek Ros sambil mengerdipkan mata kepada Siti Aqila.

“Nek, Qila nak tidur dengan nenek malam ni boleh?”

“Kak Ain?”

“Dia nak buat kerja.Tentu sampai jauh malam dia tak tutup lampu. Qila tak nak ganggu dia.” Nek Ros angguk, tanda mengizinkan. Dia menyambung bacaannya.

“Nenek baca buku apa?”

“Ni!” Nek Ros menunjukkan kulit buku yang ada di tangannya.

“Novel?” Mata Siti Aqila terbuka luas. Dia rasa hairan melihat neneknya yang tidak jemu-jemu membaca novel. Tidak lamaSiti Aqila menguap beberapa kali dengan mulut yang ternganga luas. Matanya merah kerana menahan rasa mengantuk.

“Kalau ngantuk, tidurlah. Nenek nak habiskan sikit lagi ni,” kata Nek Ros sambil menoleh dengan senyum nipis.

“Mana ada Qila mengantuk?”

“Kalau tak mengantuk, kenapa menguap?”

Siti Aqila tersenyum. Tidak lama dia tersangap lagi. Kali ini dia menutup mulutnya dengan kedua telapak tangan. Lalu dia bangun dan menggeliat. Kemudian dia melangkah naik ke katil. Namun sebelum sempat dia menarik selimut, Nek Ros mula berpantun.

Ikan sepat digoreng garing

Untuk dimakan bersama ulam

Sebelum tidur pergilah kencing

Supaya tidak kencing di tilam.

“Nenek ni…” rengek Siti Aqila manja.

“Yalah, kalau nenek tak ingatkan Qila selalu lupa. Kalau dah kencing kat tilam, nenek juga yang kena basuh. Kalau kencing tu harum tak apa. Hancing macam kencing kuda!” kata Nek Ros sambil ketawa mengekek.

“Nek, Qila ni dah besarlah. Dah 13 tahun.Mana ada Qila kencing kat tilam lagi!”

“Sebab Qila dah besarlah, nenek ingatkan. Kalau Qila masih kecil, nenek akan pakaikan pampers!” balas Nek Ros dengan cepat.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.