Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 18- SIPUT SEDUT SIPUT KASIH

Selepas solat isyak, Nek Ros dan Atuk Jay turun ke ruang tamu menunggu Amir Asyraf. Sementara menunggu, Nek Ros ke dapur dan menyiapkan secawan kopi untuk Atuk Jay.

“Ros, jemput-jemput yang pemalas tu ada lagi? Kalau ada bawa keluar sekali. Abang nak buat dia jadi rajin sikit!” Laung Atuk Jay.

Nek Ros membuka tudung saji. Petang tadi, memang dia menggoreng jemput-jemput bawang dan sedikit udang kering yang dipanggil ‘jemput-jemput pemalas’ oleh Atuk Jay. Dia menatang dulang yang berisi secawan kopi dan sepiring jemput-jemput.

“Jemput minum kekasihku,” kata Nek Ros ketika meletakkan dulang itu di hadapan Atuk Jay.

“Terima kasih jiwaku.” Dengan spontan Atuk Jay menjawab. Ketika itu kedengaran deruan enjin motor kedengaran di luar rumah.

“Dah sampai hero abang.” Nek Ros bangun dan menghala ke pintu.

“Assalamualaikum nek!” sapa Amir Asyraf ketika pintu dibuka. Wajahnya ceria. Langsung tidak nampak perubahan yang dikatakan oleh Nurlisa.

Mereka berpelukan.

“Atuk dan nenek dah siap ke?”

“Dah. Tunggu Amir je. Kita nak naik apa? Mr Harley atau Cik Minah?” tanya Atuk Jay sambil mengunyah jemput-jemput.

“Cik Minah cuti hari ni. Mr Harley sakit gigi,” jawap Nek Ros selamba.

“Jadi kita nak naik apa?” Mata Atuk Jay melorot ke arah Nek Ros.

“Abang lupa pada buah hati abang tu?”

Atuk Jay termangu-mangu. Lalu dia segera teringat kepada Proton Wira warna kelabu yang ada di garaj. Kereta itu miliknya. Sebelum membeli motorsikal besar Harley Davidson, kereta itulah yang dipandunya ke tempat kerja dan ke mana sahaja. Namun, selepas ada motor dia jadi malas untuk memandu. Kereta itu hanya dihidupkan enjin setiap dua hari sekali.

“Encik Wira tu dah lama tak diajak berjalan-jalan bang. Takut nanti ia merajuk,” kata Nek Ros.

Atuk Jay angguk perlahan. Benar juga kata-kata isterinya itu. Apa salahnya sekali-sekala memandu kereta. Lagipun mereka bertiga. Kalau menunggang motor pun mesti kena dua buah motor.

“Amir tak nak rasa ke jemput-jemput pemalas ni?” Atuk Jay menghulurkan sebiji kepada Amir Asyraf.

Amir Asyraf mengangakan mulutnya untuk menyambut huluran itu. Dengan perlahan dia mengunyah sambil matanya meneliti tubuh nenek dari atas sampai ke hujung kaki.

“Apa yang Amir tengok ni?” tanya Nek Ros sambil membelek dirinya.

“Kita nak ke mana ni?”

“Eh, nak ke karaokelah. Kenapa?”

Amir Asyraf tersenyum. Hatinya tiba-tiba digaru lucu ketika matanya menyapu cara Nek Ros berpakaian.

“Nenek lawa kan Mir?” tanya Nek Ros ketika sedar akan erti senyuman Amir Asyaraf itu.

“Nek, memang nenek sangat lawa dan cun. Seluruh Malaya tak boleh nak lawan nenek. Tapi...” Amir Asyraf cuba menutup mulutnya dari ketawa.

“Amir! Ada yang tak kena ke ni?” Nek Ros semakin cuak melihat Amir yang menutup mulutnya.

“Nek, kita cuma nak pergi karoke dan makan-makan santai. Tapi baju nenek ni... macam kita nak pergi makan kenduri. Dah tak jadi santai kalau macam ni nek.” Amir Asyraf melepaskan ketawanya yang ditutup itu.

Nek Ros membelek dirinya sekali lagi. Dia rasa tidak ada salahnya berkebaya dan berkain songket sulaman Trengganu. Ini pakaian orang Melayu. Walaupun bukan pakaian kebangsaan Malaysia, tetapi ia pakaian kebanggaan orang Melayu sejak dahulu.

“Awak... salahkah kita pakai baju ni?” Nek Ros berpaling kepada Atuk Jay dan cuba mencari kepastian.

“Tak. Memang tak salah. Ini pakaian yang sopan. Tapi...” Atuk Jay ikut tersenyum.

“Ia tak kena pada tempat kan atuk?”

“Ya. Ya. Baju ini terlalu formal untuk majlis santai kita ni,” kata Atuk Jay, menyokong cucunya.

“Kenapa tadi abang tak cakap? Kenapa sekarang baru nak cakap?” Nek Ros menjeling manja.

“Kita takut dia merajuk. Kita takut dia tak jadi pergi...” jawab Atuk Jay berlagak polos.

Ketawa Amir Asyraf pecah lagi. Kali ini lebih kuat dan berderai. Ia disambut pula oleh ketawa Atuk Jay.

Nek Ros ikut ketawa.

Serentak itu dengan langkah cepat dia melangkah naik ke arah biliknya. Dia menukar pakaian. Selepas sepuluh minit, dia turun semula ke ruang tamu.

“Macam ini boleh?”

Atuk Jay dan Amir Asyraf menoleh. Nek Ros tersenyum. Dia melangkah gaya model sambil menggayakan bajunya.

“Wow! Ini Amir suka. Nenek macam ratu rock Malaya!” kata Amir Asyraf sambil mengangkat ibu jari.

“Atuk pun suka. Nenek memang rock!” Atuk Jay bangun dan mendekati Nek Ros sambil menarik tangannya. Nek Ros tersipu malu. Dia membelek pakaiannya. Seluar jeans dengan kemeja serta skaf yang menutupi kepalanya membuatkan dia tersenyum. Dia teringat masa mudanya yang lasak. Ketika anak-anak masih kecil, itulah pakaiannya. Dengan motor Honda Cup 70cc, dia berjaja kuih ke sekeliling taman. Semuanya demi membantu kewangan keluarga yang sentiasa tidak cukup.

“Nek, jomlah. Tak sabar nak keluar dengan nenek yang cute ni!” Amir Asyraf menarik tangan Nek Ros. Mereka berjalan ke pintu. Atuk Jay mengekori dengan senang hati. Dia senang dengan wajah ceria cucunya Amir.

Dari rumah, Atuk Jay memandu ke arah sebuah restoren.

“Kita nak makan dulu?” tanya Amir Asyraf.

“Yalah Amir. Kami belum makan. Nanti nak nyanyi pun tak ada tenaga. Amir dah makan ke?” tanya Nek Ros pula.

Geleng.

“Kalau macam tu, jom kita makan dulu. Atuk belanja siput sedut goreng belacan,” kata Atuk Jay sambil menepuk bahu Amir Asyraf.

Kereta yang dipandu diberhentikan di hadapan Restoren Ulam Raja. Mereka turun dan mencari tempat duduk. Tidak lama, seorang pelayan datang mengambil pesanan. Nek Ros dan Amir Asyraf membiarkan Atuk Jay membuat pesanan. Mereka hanya mengikut.

Mata Amir Asyraf tiba-tiba terpandang kelibat seorang gadis yang sedang makan Di meja yang bertentangan dengannya. Gadis itu kelihatan riang bersama keluarganya.

Hati Amir Asyraf bergetar. Dia tunduk menahan debaran.

Semangkuk besar siput sedut goreng belacan, sayur campur, telor dadar dan nasi putih bersama air sirap limau dihantar oleh pelayan. Bau belacan dari mangkuk yang berasap itu menerjah hidung mereka.

“Wah! Sedapnya Mir... ini makanan kegemaran Amir kan?” kata Nek Ros sambil menelan air liur. Atuk Jay juga begitu. Mereka segera membaca bismilah.

Tanpa menunggu lama, mereka terus menyedut isi siput dengan selera. Berdecit-decit bunyinya.

Namun Amir Asyraf hanya merenung siput yang berasap dalam mangkuk itu. Langsung dia tidak menyentuhnya. Langsung seleranya terbantut. Dalam fikirannya hanya ada gadis itu.

“Amir, kenapa tak makan?” tanya Nek Ros dengan hairan. Wajah Amir Asyraf direnung.

Amir Asyraf tersentak. Dia terpinga-pinga membetulkan dirinya. Dia angkat muka dan menjeling ke arah gadis yang sedang ceria ketawa itu.

“Makan cepat sebelum atuk dan nenek licinkan mangkuk ini,” tambah Atuk Jay pula. Mulutnya masih ligat menyedut siput di hadapannya. Satu per satu kulit siput diletakkan di dalam sebuah mangkuk kosong yang memang disediakan untuk meletakkan kulit siput yang sudah disedut.

Namun, wajah Amir Asyraf langsung tidak memberikan reaksi positif.

“Amir... kenapa potong selera atuk ni?” tanya Atuk Jay sambil menepuk bahu Amir Asyraf.

“Atuk, Amir tak ada selera. Atuk makanlah.”

“Amir, ini resepi kegemaran Amir. Kenapa pula tak ada selera. Kalau Amir tak nak makan, atuk pun tak ada selera jugalah.” Atuk Jay menarik sehelai tisu dan mengelap tangannya.

“Tuk, janganlah macam ni. Makanlah. Mari, Amir sedutkan untuk atuk.” Tiba-tiba Amir Asyraf rasa bersalah. Dia tidak mahu atuknya tidak makan kerana dia. Dengan cepat dia menyedut sebiji siput.

“Nah, Amir dah sedut untuk atuk,” kata Amir Asyraf sambil menyerahkan siput yang sudah disedut dan isinya yang terkeluar dari kulitnya.

“Amir makan dulu. Lepas tu baru atuk makan.”

Amir Asyraf akur. Dia tidak mahu engkar hingga atuknya merajuk. Rona ceria malam itu tidak mahu disurami. Dia menyedut sebiji lagi. Kali ini isi siput itu terus disuapkan ke mulut Atuk Jay. Kemudian disedutnya lagi dan kali ini isi siput itu disuapi pula ke mulut Nek Ros. Kedua-duanya akur menerima suapan itu dengan rasa terharu. Tidak lama mereka saling menyedut siput dan saling pula suap-menyuapi. Siput sedut mula menjadi pengikat kasih. Siput sedut siput kasih...



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.