Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 5

CINTA AWANG YANG BUTA.

RUMAH Nek Ros kembali sepi. Cuti sekolah sudah berakhir. Semua cucu-cucunya sudah kembali ke rumah masing-masing. Tinggallah Nek Ros sendirian. Atuk Jay pun tiada. Lalu tiadalah sesiapa di rumah teres dua tingkat itu untuk dia berlawan cakap.

“Marilah ikut kami balik, mak,” ajak Marni menantunya ketika sedang mengemas barang-barang.

“Benar mak. Takkan mak nak duduk sorang-sorang. Ayah tak ada. Kami pun bimbang, mak,” kata Darwis anak lelaki pertamanya.

“Janganlah kau bimbang Wis. Mak masih kuat lagi. Lagipun, kalau mak ikut kamu macam mana dengan rumah ni. Kalau boleh mak tak nak tinggalkan rumah ni gelap,” jawab Nek Ros, tenang.

Darwis anaknya, tidak upaya memujuk. Marni menantunya, juga gagal.

“Nek, marilah ikut ke rumah kami. Qila janji akan picit nenek setiap malam,” pujuk cucunya Siti Aqila pula.

“Hana pun janji. Hana tak nak nakal. Hana akan picit kaki nenek juga,” kata Hana Humaira, anak kedua Darwis. Anak ketiganya Ainun Najwa, hanya tersengih-sengih.

Nek Ros tersenyum. Dia tahu anak menantu dan cucu-cucunya amat sayangkan dia. Dia juga begitu. Namun, belum masanya dia meninggalkan rumah itu. Pergi, bermakna dia keluar rumah tanpa izin suami. Hukumnya derhaka, dia menderhaka kepada Atuk Jay. Keluar dari rumah itu, bererti dia akan berjauhan dengan kenangan dan kasih sayangnya kepada lelaki itu.

“Mak, apakan daya kami kalau mak dah kata begitu. Kalau ada apa-apa, mak cepat-cepatlah callkami.” Darwis memeluk Nek Ros. Pelukan kasih sayang yang memang tidak pernah berkurangan.

Lalu tinggallah dia sendirian. Temannya kini hanya ikan-ikan belaannya dalam aquarium. Dulu ada Awang, yang dibela sejak kecil. Dia menemui Awang sedang merayau dalam keadaan basah kuyup di taman permainan.

Dia membawa Awang ke rumah, memandikan dan diletakkan dalam tempat peraduan yang berhias cantik. Semakin hari Awang semakin besar dan comel serta sangat manja. Setiap pagi Awang akan mengejutkan seisi rumah dengan tangisannya, minta dibukakan pintu untuk keluar ‘membuang’. Kalau lapar, ia akan menjilat-jilat kaki Nek Ros atau Atuk Jay. Kalau tidur, mesti ingin sentiasa berkepit. Biasanya akan tidur di tengah-tengah antara mereka.

“Awang, cubalah kau jauh sikit dari bini aku! Kau ni buat aku cemburu tau!” jerkah Atuk Jay, berpura-pura marah. Awang terteleng-teleng, seolah-olah melawan. Atuk Jay berpura-pura ingin menumbuknya. Bertempiaran Awang melarikan diri.

“Tahu pun kau takut dengan penumbuk jantan aku ya!” Atuk Jay ketawa berdekah. Nek Ros pula mengekek-ngekek. Saat itu sangat indah dan manis. Awang dianggap seolah-olah anak bongsu mereka. Makan, tidur dan berjalan-jalan ke taman permainan bersama-sama. Hanya kalau mereka bermotorsikal sahaja, Awang tidak dibawa kerana Awang agak penakut. Pernah sekali dibawa naik motor, Awang terjun dan terkencing-kencing!

Awang sangat baik. Ia suka memicit-micit kaki Nek Ros sebelum tidur. Ia juga suka mencium pipi Nek Ros. Pendeknya hubungan mereka sangat rapat. Langsung tidak ada batas penghalang.

Namun semuanya tidak lama. Selepas Awang mula membesar dan cukup umur, perangainya berubah. Dia menjadi ‘anak’ bujang yang miang dan tidak mendengar kata. Seharian kerjanya merayap ke rumah jiran. Kalau lapar baru balik ke rumah.

“Awang mana?”

“Entahlah bang. Sejak pagi hilang. Sarapan dalam mangkuk tu pun tak dimakan. Heran saya. Sejak akhir-akhir ni lain benar perangainya. Dah nak berbini gamaknya,” jawab Nek Ros.

“Huh! Nak kena budak ni! Merayap je dia. Kalau pun nak berbini, buatlah betul-betul. Ikut adat. Jangan nak main terjah je macam orang tak ada mak bapak!” leter Atuk Jay, dengan suara meninggi.

Nek Ros ketawa. Geli hatinya mendengar leteran Atuk Jay itu.

“Kenapa pula awak ketawa?” Atuk Jay terpinga-pinga. Dia menoleh ke arah Nek Ros dengan mata cuak.

“Abang berleterkan siapa?” tanya Nek Ros di celah tawanya.

“Siapa lagi, Awang tu lah... ”

“Awang tu mana tahu adat dan hukum. Awang tu bukan anak kita yang boleh kita atur hidupnya. Kalau ia dah jumpa pilihan hatinya, kita kena terima keputusannya.” Nek Ros cuba menyedarkan Atuk Jay mengenai sebuah kenyataan.

Atuk Jay mengeluh perlahan. Kemudian dia tersenyum-senyum.

“Jack dah cukup umur, bang. Biarlah dia berbini. Saya pun dah tak tahan dengan perangainya. Dah mula memancut merata-rata!”

“Awak kenal pilihannya tu?” tanya Atuk Jay, masih senyum.

“Kenal sangat tu tidaklah. Tapi pernah jumpa beberapa kali di taman.”

“Anak siapa?”

“Jill, anak Datuk Safuan. Banglo hujung sana tu!”

“Hah? Awang gilakan anak datuk? Ia sedar diri ke tidak tu? Ia tahu ke ia tu keturunan mana? Jill tu keturunan bangsawan. Ia pula hanya keturunan kampung! Anak terbuang yang tak tahu asal usul!” sergah Atuk Jay lagi.

Sekali lagi Nek Ros ketawa tetapi kali ini dia menutup mulutnya. Dia bimbang suara tawanya akan menyentuh hati Atuk Jay.

“Abang... sabarlah sikit. Abang ingat ini zaman cinta antara dua darjat? Zaman ini kahwin campur semakin digalakkan untuk mendapat keturunan yang comel. Saya dah bayangkan, anak-anak Awang yang comel...”

“Ish! Awak ni Ros. Suka sangat nak berangan-angan.”

“Saya tak berangan-angan bang. Saya tengah berharap.”

“Saya bimbang Awang hanya akan jadi bahan ejekan dan akhirnya dipukul mati oleh ‘keluarga’ Jill tu,” Atuk Jay meluahkan rasa bimbangnya.

Awang tetap dengan keputusannya. Setiap hari dia bertandang ke rumah Datuk Safuan. Setiap hari dia cuba berlagak romeo di luar tembok batu rumah hartawan itu. Dia tetap setia menanti Jill yang ada di dalam pagar.

Nek Ros pernah mengekori Awang dan cuba melihat gerak ‘percintaan’ kedua-duanya.

Jill akan datang ke tepi pagar. Awang akan menghulurkan tangannya dan Jill akan menyambutnya. Mereka bergurau senda. Jill melompat-lompat riang. Awang berpusing-pusing girang. Walaupun masing-masing terhalang oleh pagar besi dan tembok batu yang gah, cinta mereka tetap utuh.

Nek Ros pulang dengan senyum senang. Dia ikut gembira melihat Awang gembira dengan kekasih hatinya. Mudah-mudahan Awang akan bahagia dan mendapat anak-anak yang cantik dan comel.

Namun cinta Awang tidak sampai ke penghujung. Satu hari, petaka yang digeruni Atuk Jay benar-benar berlaku. Awang dibelasah sampai mati oleh pembantu rumah Datuk Safuan gara-gara memadu kasih dengan Jill!

Air mata Nek Ros menitik. Ketika itu dia tidak malu untuk menangis teresak-esak.

“Aku dah kata, dia bukan jodoh kau. Kau tu keturunan kucing kampung. Jill keturunan kucing Parsi. Mana padan. Mana serasi. Tapi kau degil. Kau ikutkan juga kata hati dan cinta buta kau tu! Sekarang, tengok apa jadi dengan kau Awang!” leter Atuk Jay ketika menanam jasad Awang yang berlumuran darah.


Previous: Bab 4 ( Bhg 2)
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.