Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 17- SIASATAN TERPIMPIN

Sudah beberapa bulan Amir Asyraf balik dari PLKN. Namun ada perubahan besar pada wajah dan sikapnya. Sikap bertanggungjawabnya meningkat tetapi dia menjadi begitu pendiam dan pemurung.

“Ayah, cucu atuk tu angau semacam je!” kata Nurlisa.

“Nape pulak?” tanya Atuk Jay.

“Entahlah. Sejak balik dari PLKN, dia banyak berubah. Pendiam dan pemurung. Ditanya apa masalah, katanya tak ada. Tapi siang malam, dia murung. Ayah dan mak cubalah tanya.”

“Ayah kamu pakar dalam urusan ni. Lagipun ini urusan orang lelaki. Cubalah awak pergi tanya dia,” kata Nek Ros.

Atuk Jay angguk perlahan.

“Esok, ayah akan ke rumah kamu,” putus Atuk Jay.

“Jangan ayah. Kalau ayah datang, dia tentu ingat Nur dah mengadu dengan ayah. Lebih baik ayah telefon dia dan ajak dia keluar atau suruh dia datang jumpa ayah,” ujar Nurlisa dengan cepat.

Nek Ros angguk setuju. Atuk Jay pun angguk juga.

“Kita bawa dia pergi makan,” usul Atuk Jay kepada Nek Ros.

“Ish! Asyik agenda makan je. Buatlah aktiviti lain atuk oi!” sergah Nek Ros dengan mesra.

“Apa cadangan nenek?” Atuk Jay menoleh. Matanya sengaja dikerdipkan sambil bibirnya menguntum senyum.

“Kita ajak dia pergi karaoke,” kata Nek Ros selamba.

“Mak!” kata Nurlisa separuh menjerit. Matanya melorot keliru ke arah ibunya.

“Apa salahnya. Dia tu suka menyanyi. Kita dengar apa lagu yang dia nak nyanyi. Baru kita tahu apa masalah yang sedang ditanggungnya. Ini namanya siasatan terpimpin!” balas Nek Ros pula.

“Siasatan terpimpin? Ha! Ha! Ha!” Atuk Jay ketawa terbahak-bahak.

Nurlisa ikut ketawa. Cara ibunya bercakap, seperti gaya Allahyarham P.Ramlee.

“Habis kalau dia nyanyi lagu Selimut Putih, macam mana?” tanya Atuk Jay selepas ketawanya usai.

“Abang, saya kenal cucu saya tu.”

“Abang pun kenal. Namanya Amir Asyraf bin Arman,” balas Atuk Jay, selamba.

Nek Ros membalingkan sebuah majalah yang ada di atas meja. Atuk Jay mengelak.

“Loyar buruk!”

“Sebab abang nak jadi loyar tak dapat. Biarlah abang jadi yang buruk. Ros jadi loyar baru.”

Ketawa tiga beranak pecah berderai di ruang tamu itu. Gemanya mesra menerawang ke sekitar ruang.

Selepas Nurlisa tinggalkan mereka, Atuk Jay menelefon Amir Asyraf. Perbualannya sekejap sahaja, sekadar mengajak cucunya itu keluar. Temujanji dibuat selepas solat isyak.

“Dia setuju nak keluar dengan kita?” tanya Nek Ros ketika Atuk Jay meletakkan gagang.

“Nampaknya tak ada bantahan. Dia akan datang ke sini.”

Nek Ros rasa lega. Dia berharap semuanya akan berjalan dengan baik seperti yang dirancang. Sedang mereka termenung, tiba-tiba telefon di atas meja berdering. Nek Ros segera bangun.

“Assalamualaikum mak!” Suara Ezani, anak bongsunya ceria di hujung talian.

“Waalaikummussalam. Anak mak sihat ke? Menantu mak? Cucu-cucu mak?” Nek Ros menjawab dengan senyum senang. Matanya dikerdipkan ke arah Atuk Jay dengan mimik mulut menyebut nama Ezani.

“Mak, tanyalah satu per satu. Macam mana adik nak jawab kalau mak tanya bertubi-tubi macam ni?”

Ketawa Nek Ros pecah. Perkataan ‘adik’ terasa melucukan. Sudah lama Ezani tidak membahasakan dirinya begitu. Sejak berkahwin, dia terlupa akan nama manjanya.

“Adik, adik jawaplah bertubi-tubi juga,” kata Nek Ros dengan ketawa.

Suara Ezani segar dan mesra dengan ketawanya. Hati Nek Ros semakin kembang, gembira.

“Mak, adik telefon ni sebab ada hal nak cakap dengan mak.”

“Ya. Silakan cakap. Mak akan dengar.”

“Adik nak balik minggu depan.”

“Bercuti? Berapa lama?”

“Selama-lamanya.”

Nek Ros terdiam. Dia termenung seketika, berfikir.

“Maknanya?” Akhirnya Nek Ros bertanya selepas sangsi dengan jawapan hatinya.

“Maknayanya adik akan berpindah balik ke Semenanjung. Sireh akan pulang ke gagang. Keris akan pulang ke sarungnya. Seluang akan pulang ke lubuknya!”

“Ya ALLAH! Benarkah dik?” Mata Nek Ros terbeliak, besar. Atuk Jay mendekat dan ingin berkongsi cerita.

“Anak kita dapat tukar balik ke sini bang!” kata Nek Ros ketika Atuk Jay berdiri di hadapannya.

“Alhamdulillah.” Itu ucapan Atuk Jay dengan senyum gembira.

“Mak, kami ada permintaan dari mak dan ayah,” kata Ezani lagi.

“Mintalah apapun, mak akan tunaikan. Asalkan adik balik tinggal di sini. Asal adik dah tak pergi jauh lagi,” jawab Nek Ros pula.

“Adik nak mak dan ayah datang ke sini sebelum kami balik ke Semenanjung. Sejak adik posting ke Kuching, mak tak pernah datang ke sini. Kalau bukan sekarang, tentu mak tak ada peluang nak melancong ke sini lagi,” kata Ezani bersungguh-sungguh.

“Mak kena tanya ayah dulu. Kalau ayah kata boleh, mak pergi.”

“Ayah pun kena datang bersama. Mak ingat adik ajak mak sorang je? Adik nak mak dan ayah datang dan berbulan madu di sini.”

“Bulan madu? Ish! Jangan nak merepeklah!”

“Mak, ini benar. Dah lama mak tak berjalan-jalan makan angin dengan ayah. Berdua-duan...”

Nek Ros terdiam. Dia merenung wajah Atuk Jay di hadapannya. Lelaki itu mengenyitkan mata. Dia tersipu malu. Kemudian bibirnya menguntum senyuman. Segar dan bahagia.

“Mak, kenapa diam. Mana ayah?”

Ketika itu Atuk Jay menarik tangan Nek Ros dan mengucupnya lembut. Hati Nek Ros tersentuh dan berdebar.

“A... ayah...” Tiba-tiba Nek Ros gementar.

“Mak? Kenapa dengan ayah? Mak okey tak?” Suara Ezani mula cemas.

“Mak tak apa-apa. Mak okey. Cuma...”

“Cuma apa mak? Kalau mak tak nak datang, tak apalah. Adik batalkan tiket penerbangan mak dan ayah.”

“Dik! Jangan. Mak akan pergi. Mak akan pergi. Mak dan ayah akan pergi,” balas Nek Ros dengan cepat.

“Kita nak ke mana?” bisik Atuk Jay ke telinga Nek Ros.

“Baiklah. Nanti adik kirimkan tiket. Mak, adik rindu mak. Tak sabar nak jumpa mak,” kata Ezani. Hati Nek Ros tersentuh lagi. Kata-kata Ezani dirasakan amat polos. Kemanjaannya belum hilang walaupun sudah menjadi ayah kepada dua anak.

“Mak pun rindukan adik. Syukurlah, adik dah dapat pindah balik. Tak adalah mak nak menanggung rindu lagi.”

Ezani menutup bicara dengan ucapan salam. Nek Ros meletakkan gagang. Senyumnya menguntum senang.

“Adik nak kita ke Kuching sebelum dia pindah balik ke sini. Adik nak kita pergi berbulan madu. Dia nak kita berdua-duan... ” Nek Ros mengulangi bicara anaknya. Hatinya girang.

Atuk Jay menyengih. Mindanya ikut segar. Dia terbayang detik indah berdua-duan dengan Nek Ros.

“Awak... awak memang cantik dari dulu hingga sekarang,” kata Atuk Jay sambil menatap mata Nek Ros yang berkelip malu.

“Awak memang mengada-ngada!” Cubit Nek Ros, manja. Atuk Jay membalas cubitan itu. Kedua-dua pipi Nek Ros dicubit dengan penuh kasih sayang. Ketawa mereka berderai bahagia.

“Dah, kita perlu bersiap untuk misi kita malam ni,” kata Atuk Jay.

“Misi apa?” Nek Ros termangu-mangu.

“Awak yang syorkan. Sekarang, awak yang lupa. Misi siasatan terpimpin tu!” Atuk Jay senyum sambil mengangkat ibu jari.

Nek Ros menepuk dahi. Cerita riang yang dibawakan oleh Ezani membuatkan dia terlupa kepada misi yang mereka rancang.

Suara azan maghrib bergema. Ketawa mereka senyap. Mereka tunduk menjawap azan. Rasa cinta kepada ALLAH melimpah ruah dari hati yang kudus.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.