Home Novel Komedi/Romantik Komedi NENEK ROCK
Bab 22- BIARLAH LALAT ITU PENING

BIARLAH LALAT ITU PENING.

Pesawat itu mendarat dengan selamat. Atuk Jay mengucap syukur. Namun ketika menoleh ke sebelah, dia melihat Nek Ros masih terlintuk lemah. Selepas semua penumpang turun, baru dia dipimpin turun oleh Atuk Jay.

“Mak cik, kenapa ni?” tanya seorang pramugari yang sama-sama turun dari kapal terbang itu.

“Dia pening sikit,” jawab Atuk Jay mewakili Nek Ros yang masih berjalan sambil pejam mata.

“Nak saya ambil kerusi roda?”

“Eh, tak payah. Sikit je ni. Kejap lagi kepala mak cik ni baiklah,” jawab Nek Ros dengan cepat. Dia membuka mata dan tersenyum ke arah pramugari yang manis dan baik hati itu.

Selepes berpuas hati dengan jawapan Nek Ros, pramugari itu berjalan meninggalkan mereka. Nek Ros memejamkan matanya semula. Dia rasa mual. Lebih baik berjalan sambil pejam mata daripada dia termuntah di lantai yang bersih dan cantik itu.

“Awak, kita ni dah sampai ke bumi bukan lagi di langit. Kaki kita dah sampai ke tanah ni. Janganlah pejam lagi. Buka mata besar-besar. Tengoklah Bandar Kuching yang cantik ni,” kata Atuk Jay.

Nek Ros cuba buka mata. Namun hanya seketika, dia kembali menutup matanya. Dia rasa dunia ini berpusing ligat dan lantai yang dipijak bergerak-gerak.

“Tak bolehlah awak. Kita rasa macam melayang-layang ni. Takut pula termuntah kat lantai ni. Adui, kenapa jadi macam ni?”

Atuk Jay merenung wajah isterinya yang nampak pucat dan lesu. Dari dalam beg sandangnya, dikeluarkan cermin mata hitam.

“Kalau macam tu, awak tutuplah mata. Nah pakai cermin mata hitam ni.”

“Untuk apa? Bukannya panas pun tempat ni,” rungut Nek Ros, keberatan.

“Supaya orang tak nampak awak berjalan dalam pejam.”

“Nanti orang kata kita buta pulak?”

“Lebih baik orang kata awak buta daripada orang hairan kenapa awak berjalan dengan mata pejam,” Atuk Jay ketawa perlahan. Dia bimbang kalau Nek Ros merajuk dengan kata-katanya itu.

Dengan senyum, Nek Ros merelakan untuk dipakaikan cermin mata hitam itu.

“Saya rasa, baik kita duduk dan berehat dulu sebentar. Biarkan pening awak tu hilang,” kata Atuk Jay memimpin tangan Nek Ros ke arah tempat duduk di ruang menunggu.

Selepas duduk dengan selesa, sekali lagi Atuk Jay keluarkan minyak angin. Dia menyapu di belakang leher, di dahi dan di leher Nek Ros.

“Terima kasih awak. Kalau awak tak ada, tak tahulah macam mana nasib kita,” kata Nek Ros, masih belum mampu membuka mata.

“Kalau kita tak ada, tentu awak dah kena bawa lari dek kapal terbang tu!” gurau Atuk Jay.

Nek Ros tersenyum.

“Kita malu dengan awak.”

“Kenapa pula?”

“Yalah, kita ni kuno sangat. Naik kapal terbang pun mabuk. Kesian awak kan? Tentu awak malu dengan orang. Tentu orang pandang awak dan senyum-senyum perli.”

“Ish, awak merepekalah. Tak ada orang yang senyum perli. Semuanya senyum dan angkat ibu jari. Saya bangga jadi suami awak hari ni,” balas Atuk Jay dengan senyum, tulus.

“Kenapa pula?”

“Sebab orang semua pandang saya dengan senyum puji. Seolah-olah saya ni suami mithali, gitu.”

“Mithali tak apa. Jangan misai Ali,” gurau Nek Ros.

“Sampai hati awak...” Atuk Jay berpura-pura merajuk.

Nek Ros mendengar suara rajuk itu dengan ketawa perlahan.

“Kita bergurau je. Awak memang suami mithali. Dari muda sampai ke tua macam ni, awak tetap tak jemu jaga kita. Kita bangga dengan kasih sayang awak,” kata Nek Ros.

“Kita kan sayang awak sampai hujung nyawa,” bisik Atuk Jay ke telinga Nek Ros. Tangannya masih memicit kepala Nek Ros.

Nek Ros rasa bahagia dan terbuai dengan kata-kata Atuk Jay itu. Kata-kata itu didengarnya dari muda hingga kini. Dia rasa amat dihargai.

Selepas lima minit berlalu, Nek Ros mula rasa segar. Dia mampu membuka matanya tanpa rasa mual.

“Macam mana? Rasa nak muntah lagi?”

“Rasa macam okey sikit. Budak-budak tu dah sampai ke belum?”

“Mungkin dah lah tu. Kita masih kat dalam ni, mana nak nampak,” kata Atuk Jay.

“Marilah. Tak sabar saya nak jumpa cucu-cucu kita tu,” ajak Nek Ros sambil bangun dan cuba membetulkan dirinya.

“Kalau awak rasa tak boleh jalan, biar kita pergi cari kerusi roda.”

“Ish, awak nak buat kita macam
orang sakit tenat sangat sampai nak tolak dengan kerusi roda? Kita masih kuatlah. Tengok, tulang-tulang kita masih kuat,” jawab Nek Ros sambil menunjukkan lengannya.

Atuk Jay ketawa. Sebenarnya dia ingin ketawa sekuat-kuatnya seperti di rumah. Tetapi melihat ada orang lalu-lalang dan memandang ke arah mereka, dia matikan hasrat.

Masuk saja di balai ketibaan, mereka disambut oleh Ezani, ieterinya Noor Hazuar dan dua anak mereka. Mereka berpelukan melepaskan rindu.

“Menantu mak nak berikan mak cucu lagi ya,” kata Nek Ros menyentuh perut Noor Hazuar.

“Yalah mak. Kata mak tak cukup cucu,” balas Noor Hazuar dengan ketawa kecil.

“Mak kamu memang sukakan kanak-kanak. Ayah suruh dia beranak lagi, dia tak mahu,” sampuk Atuk Jay.

Nek Ros segera mencubit bahu Atuk Jay. Dengan ketawa mesra, Atuk Jay mengaduh.

“Nenek, jangan gaduh. Nanti ALLAH tak sayang.” Tiba-tiba cucunya mereka menegur. Nek Ros menoleh ke arah suara itu. Anak sulung Ezani tercegat dengan muka serius dan marah.

“Wah, cucu nenek dah besar ya. Dah pandai cakap,” kata Nek Ros Dia segera menarik tubuh kecil itu ke dalam pelukannya.

“Abam memang dah besar. Abam dah sekolah makan, nek,” kata Fauzan Azim yang berusia 5 tahun. Dia membahasakan dirinya abam sejak dia pandai bercakap kerana tidak pandai menyebut abang. Akhirnya panggilan itu melekat sampai ke besar.

“Yalah nenek lupa abam dah besar. Mari, nenek cuba dukung abam. Alamak, nenek tak kuatlah nak dukung abam,” kata Nek Ros. Dia cuba mengangkat memang t

“Biar atuk yang dukung abam,” kata Atuk Jay selepas melihat anak itu menarik muka masam.

“Yeah! Atuk memang kuat macam automan,” kata Fauzan Azim dengan ketawa.

“Abam, bukan automan. Ultraman.” Noor Hazuar cuba membetulkan.

Fauzan Azim menyengih kerana ditegur kesalahan sebutannya. Namun dia tetap juga menyebut perkataan yang sama. Akhirnya mereka semua hanya ketawa mendengar kepelatannya itu.

“Kenapa lambat keluar ayah?” tanya Ezani, menukar topik.

“Mak kamu ni. Dia buat hal dengan kapal terbang tu,” jawab Atuk Jay, selamba.

“Mak? Ada apa ni?” Ezani menoleh pula kepada emaknya. Dia meneliti wajah lemah Nek Ros.

“Mak kan orang kampung. Mana pernah naik kapal terbang. Dengar enjin di langit saja, hati mak dah tak tentu arah. Hari ni, kena naik burung besi tu. Aduh, mabuk semacam,” jawab Nek Ros.

“Dulu mak pernah naik masa pergi umrah. Tak apa-apapun. Sekarang, kenapa mabuk pulak?” tanya Ezani dengan belas melihat wajah emaknya yang masih lemah.

“Ezani, itu dulu. Masa tu enjin mak kau ni baru lagi. Sekarang, enjin dah lama. Kalau kereta dah nak kena tukar enjin,” kata Atuk Jay dengan ketawa kecil.

“Yalah, mak dah tua. Sebab tu ayah kau pun dah nak cari mak baru,” balas Nek Ros, dengan nada merajuk.

“Aik? Ke situ pulak dia. Mana ada abang nak buat macam tu?” Atuk Jay segera menoleh. Dia rasa tersentuh hati dengan kata-kata itu. Wajahnya yang ceria tiba-tiba menjadi keruh dan serius.

“Atuk marah ke? Nenek gurau je. Takkan itu pun nak marah. Maaflah,” kata Nek Ros. Dengan cepat dia menarik tangan Atuk Jay dan menciumnya.

“Lain kali jangan bergurau macam tu, kita tak suka. Awak tahu kita sayang awak macam mana kan?” balas Atuk Jay sambil menarik tubuh Nek Ros ke sisinya.

“Dahlah. Mari kita balik. Lama-lama kat sini, pening lalat mak datang lagi,” kata Nek Ros.

“Nek, biarlah lalat tu pening. Nanti dia tak kacau kita,” sampuk Fauzan Azim dengan petah. Mereka semua berpandangan. Lalu ketawa mereka pecah berderai.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.