Home Novel Cinta With All My Heart
Bab 13 : Hatiku

                                                                           BAB 13


    Aku kini berada di hadapan rumah banglo dua tingkat milik Umi, masih teragak-agak untuk masuk ke dalam. Setelah agak lama berdiri di hadapan pintu pagar akhirnya aku membuka langkahku untuk masuk ke dalam rumah Umiku.

    "Assalamualaikum" ucapku sebelum melangkah masuk.

    Kedengaran suara Umi dan juga suara seorang wanita yang tidak aku kenali berceloteh sehingga kehadiranku tidak mereka sedari. Jantungku mula berdegup hebat. Sebaik sahaja aku tiba di ruang tamu, aku melihat seraut wajah yang tidak aku kenali. Pandangan kami bertembung. Hatiku tiba-tiba resah. Wajahnya seperti pernah aku lihat dan pandagan mata itu sungguh tajam. Kaki aku terhenti melangkah dengan sendirinya apabila dilemparkan pandangan sebegitu.

    "Ira, duduklah. Ini Azura. Zura, ini Syafira Arissa, anak angkat Umi dan juga menantu Umi" Umi memperkenalkan kami berdua. Perlahan-lahan aku melangkah mendekatinya dengan hati yang tidak tenang. Aku menghulurkan tangan untuk bersalam dan dia bangun dari sofa dan menyambut tanganku.

    "Inilah Syafira ya? Panggil je Akak, Kak Zura. Akak minta maaf sebab kami langsungkan perkahwinan kami sebelum Ira sebab Adam tu tak sabar sangat. Akak minta maaf ya" ujarnya bersama senyuman namun hatiku tersentap. 

     Apa maksud ayatnya itu? Adam tidak sabar? Adam tidak sanggup untuk berkahwin denganku jadi dia mengikat hubungan mereka terlebih dahulu agar aku memegang status isteri kedua. Begitukah maksudnya?

    "Tak mengapa akak, ini semua takdir Allah yang Maha Esa, saya terima dengan Redha. InsyaAllah ada hikmahnya"jawabku tenang. Dia bagaikan kehilangan kata namun senyuman masih dikuntumkan.

    "Zura, jangan berdiri lama-lama tak bagus untuk kandungan" aku terkaku mendengar bait-bait yang Umi tuturkan.

    "Kak Zura mengandung?"soalku bagaikan tidak percaya.

    "Baru dua minggu" jawabnya sambil memegang perutnya dengan senyuman yang sukar untuk aku tafsirkan maknanya. Hatiku bagaikan dirobek-robek. Berita yang baru aku terima sungguh menyakitkan hatiku biarpun aku tahu aku tidak sepatutnya mempunyai perasaan sedemikian. Astagfirullahalazim, aku memperbanyakkan istigfar. Cahaya mata adalah anugerah yang paling terindah di dalam hidup seorang wanita, aku sepatutnya tumpang gembira.

    "Alhamdulillah, akak kena jaga kandungan akak baik-baik. Duduklah akak" ujarku sambil memegang tangan dan mendudukkannya di sofa.

    "Terima kasih Ira. Abang Adam pun bukan main gembira lagi. Dia asyik marah-marah je dekat akak kalau akak buat apa-apa kerja" ujarnya lagi. Aku hanya tersenyum biarpun hatiku bagaikan ditusuk sembilu bertubi-tubi dengan setiap kata-katanya.

    "Ira, jom tolong Umi masak. Azura dengan cucu Umi dah lapar tu" ajak Umi kepadaku dan dia mula melangkah menuju ke arah dapur . Aku hanya mengangguk. Sebelum aku membontoti langkah Umi, aku sempat melemparkan senyuman kepada Kak Azura namun senyumanku dibalas dengan jelingan yang tajam. Terkesima aku seketika. Kak Azura benci kepadaku kah?

    "Ya Allah, Umi bersyukur sangat Azura dah mengandung. Lama Umi tunggu untuk menimang cucu"ujar Umi dengan senyuman lebar. Aku turut sama melemparkan senyuman biarpun hatiku menangis. Adakah Umi terlupa aku juga isteri kepada Adam dan juga menantunya? Diriku terasa bagaikan tidak diperlukan lagi.

    "Alya tetap tidak suka dekat Kak Zura!"bantah Alya yang muncul tiba-tiba entah dari mana. Kami berdua terkejut. Alya datang ke arah kami dan dia memegang erat tanganku. Sedikit kekuatan bagaikan mengalir ke dalam tubuhku melalui sentuhan itu.

    "Alya, kenapa cakap macam tu? Azura tu isteri Adam, kakak Ipar Alya"marah Umi.

    "Bagi Alya, kakak ipar Alya hanyalah Kak Ira. Alya tak perlukan perempuan lain untuk menggantikan tempat Kak Ira"tegas Alya. Wajah Umi berubah.

    "Alya!" Umi mula meninggikan suara. Aku pantas menenangkan mereka berdua.

    "Alya, jangan macam ni. Walau apapun, Kak Azura dah jadi kakak Ipar Alya. Alya kena terima tu"pujuk aku. Umi kelihatan sedikit tenang apabila aku membelanya. Alya mencebikkan bibir menandakan dia masih tidak bersetuju.

    "Umi nak tengok Azura. Ira dengan Alya tolong masakkan makanan tengahari"arah Umi dan berlalu keluar dari ruang dapur. Aku hanya memandang langkah Umi dengan pandangan yang sayu. Kini, aku dipinggirkan. Tidak mengapalah, Umi tengah gembira sekarang. Kegembiraan Umi kebahagiaan aku juga.

    "Akak jangan sedih ya. Ira sentiasa bersama akak"ujarnya lalu memeluk erat tubuhku. Aku menarik nafas panjang sebelum mengangguk perlahan.

    "Akak jangan terlalu rapat dengan Kak Azura ya akak. Jangan beri kepercayaan kepada dia" Alya berkata dengan serius. Aku tersentak.

    "Kenapa Alya?"

    "I have a bad feeling about her. Akak ingat tak masa akak hampir kena langgar dekat pasar hari tu?"soal Alya. Aku mengangguk. Dahiku berkerut dengan soalan Alya. Kenapa dengan peristiwa itu? Apa kaitannya dengan Kak Azura?

    "It was her on that car" jawab Alya dengan wajah yang serius menunjukkan dia tidak berbohong.

    Aku terkejut besar. Betulkan itu dia? Aku cuba mengingat kembali wajah seorang perempuan yang berada di sebelah kerusi penumpang di bahagian depan sebuah kereta yang hampir melanggarku tempoh hari. Hatiku berdegup kencang. Memang dia! Aku tidak mampu mengecam wajahnya tadi kerana kali ini dia memakai tudung biasa tidak seperti dulu yang menampakkan separuh rambutnya. Perasaan takut mula menguasai diri. Kak Azura ingin mencederakan aku kah?

    "Mungkin kebetulan je Alya"jawabku cuba untuk menenangkan Alya biarpun hatiku sendiri dihuni perasaan gelisah.

    "Apa pun terjadi, akak jangan terlalu rapat dengan dia dan jangan percaya apa-apa yang dia katakan. Alya takut dia menyimpan agenda dia untuk mencederakan akak" ujarnya dengan nada tegas. Tidak pernah aku melihat Alya setegas dan serisau ini sebelumnya kerana Alya seorang gadis yang ceria.

    "Yalah, Alya jangan risau. Perasaan Alya je tu" ujarku sambil menguntumkan senyuman agar Alya tidak terlalu risau diri aku. Aku juga tidak mahu bersangka buruk kerana kejadian yang berlaku mungkin hanya satu kebetulan ataupun wanita yang kami lihat ketika kejadian dulu ialah wanita lain.

    Tidak beberapa lama kemudian, kedengaran deruman kereta di perkarangan rumah menandakan Adam kini sudah pulang. Mengenangkan Adam pulang untuk bertemu dengan Azura sahaja semakin membuatkan hati ku terluka. Airmata yang ingin mengalir kutahan sehabis dayaku. Aku tidak keluar untuk menyambutnya tumpuan aku hanya kepada lauk pauk yang sedang aku dan Alya uruskan. Umi kembali ke dapur, katanya ingin masak gulai ayam kerana Kak Azura mengidam untuk merasa masakan Umi. Sekali lagi aku diketepikan namun aku cuba memujuk hati, seorang wanita yang mengandung amat memerlukan perhatian penuh dari keluarga terutama sekali suami.

    Sejam kemudian segala lauk pauk sudah sedia terhidang, aku diarahkan Umi untuk memanggil Adam dan Kak Azura makan bersama. Dengan hati yang berat aku melangkah ke ruang tamu, ku kuatkan hati untuk bersedia melihat adegan mesra mereka berdua. Membayangkan adegan-adegan mesra mereka sahaja sudah melemahkan semangatku. Ya Allah, berikan hamba-Mu ini kekuatan. Hampir sahaja tiba di ruang tamu, kedengaran mereka berbual. Aku menarik nafas panjang sebelum sekali lagi memulakan langkah.

    "Kenapa you bagitau Umi tentang kandungan ni? Kenapa you datang tiba-tiba tanpa memberitahu I terlebih dulu?" soal Adam bertubi-tubi. Kakiku terhenti melangkah dengan sendiri.

    "I tak sengaja, tadi I mual, Umi you nampak. Lepas tu dia tanya, takkan I nak tipu pula. Isaja datang awal sebab teringin nak jumpa dengan Umi"jawab Kak Zura seakan-akan membela diri. Aku kehairanan. I? You? Macam tiada kemesraan dalam perbualan mereka dan perbahasaan diri mereka masing-masing. Sungguh aneh. Kedengaran Adam mengeluh panjang.

    "Kenapa you beritahu Umi yang kandungan you baru dua minggu sedangkan you tahu hal yang sebenarnya kan?"Adam kedengaran sedikit tertekan.

    "You jangan risau. I akan uruskan semuanya yang penting sekarang kita raikan hari ini. Umi you pun gembira takkan you nak rosakkan kegembiraan dia kan?" Kak Zura berkata dengan tenang dan Adam hanya terdiam. Aku dapat merasakan ada sesuatu yang disembunyikan mereka. Setelah melihat keadaan semakin tenang aku keluar dari tempat persembunyianku.

    "Abang, Kak Zura, jom makan. Makanan dah sedia" ujarku. Aku langsung tidak memandang ke arah Adam biarpun aku tahu pandangannya hanya tertumpu ke arahku.

    "I...Ira pun ada de...dekat sini?"soalnya tergagap-gagap.

    "Umi call tadi suruh balik"jawabku pendek, pandanganku di arahkan ke tempat lain. Aku bimbang airmata akan tumpah jika pandangan aku bertembung dengannya.

    "Jom, sayang!" dengan ceria Kak Azura memaut lengan Adam dan membawanya ke dapur. Raut wajahku kawal sedaya upaya. Sabar Ira, kau tidak boleh lemah. Memang inilah kenyataan hidup kau yang sebenarnya, kau harus terima dengan redha dan berlapang dada. InsyaAllah, setiap kejadian yang berlaku ada hikmahnya. Aku mengeluh panjang sebelum menuruti langkah mereka.

    "Umi, mana tomato dan kobis goreng Kak Ira?"soal Alya. Aku juga turut mencari sayuran yang baru aku goreng sebentar tadi. Sejak aku kecil sehingga kini, kedua-dua sayur itu tidak boleh dipisahkan dariku. Setiap kali aku makan, kedua-dua sayur mesti menjadi salah satu hidangan di meja makan.

    "Umi tak keluarkan. Ada dekat dapur, Zura cakap dia mual bila nampak sayur tu. Tak apa kan Ira tak makan sayur tu untuk tengahari ni" ujar Umi. Aku terkesima. Perasaan sedih mula menguasai diri. Aku memandang Kak Azura dan Adam yang duduk bersebelahan. Pandangan mata aku dan Adam bertembung namun segera aku larikan.

    "Kalau macam tu tak apalah Umi" ujarku dengan sayu.

    "Mana boleh, Umi pun tahu kan Kak Ira tak lalu makan tanpa sayur tu" bantah Alya yang berada di sebelahku.

    "Umi tahu, tapi kesian dekat Zura. Ataupun Ira boleh makan dekat dapur sebab Zura alah dengan tomato dan kobis goreng tu. Umi tak nak kandungan dia terjejas" cadangan Umi membuatkan hatiku semakin parah. Aku disuruh makan ditempat yang lain. Hina sangatkah diriku ini? Jikalau arwah Ibu dan Ayah masih ada pasti aku tidak dilayan sebegini.

    "Umi!" serentak Adam dan Alya memprotes kata-kata Umi namun hati yang sudah terluka ini tidak mungkin sembuh dengan pantas.

    "Alya, pergi ambilkan sayur goreng tu. Zura, I tengok you okey je makan sayur tu dekat rumah, takkan sekarang tiba-tiba tak boleh."Adam tidak berpuas hati. Alya segera bangun dari tempat duduknya dan bersedia untuk melangkah ke dapur.

    "Aduh! Sakitnya kepala ni" Kak Zura tiba-tiba memicit kepalanya dan tangannya memaut bahu Adam.

    "Zura okey tak ni? Umi dah cakap, perempuan mengandung tidak boleh diberi tekanan! Alya duduk!" akhirnya Umi menaikkan suara kepada Alya namun aku merasakan semua itu diarahkan kepadaku. Adam kulihat mengusap lembut ubun-ubun Kak Zura dan dia memeriksa nadi Kak Zura dengan penuh perhatian. Pandangannya yang sebelum ini hanya kepadaku kini beralih arah kepada Kak Zura.

    "Tak apalah Alya. Akak okey je" aku mencapai tangan Alya dan mendudukkan dia kembali. Hatiku kini sudah tidak mampu untuk menerima apa-apa lagi kerana sudah terlalu penuh terisi dengan kedukaan. Tidak mampu tertanggung lagi ku rasa.

    Setelah keadaan Kak Zura stabil barulah kami menyambung makan. Sesuap nasi yang aku kunyah terasa amat payah untuk ditelan apatah lagi melihat Adam menyuapi makanan ke mulut Kak Zura kerana katanya dia teringin untuk merasa nasi yang disuap suami kesayangannya. Airmata mula bergenang di tubir mata. Wajahku ditundukkan agar tiada siapa yang dapat melihat airmataku. Ya Allah, sedihnya kurasa, hanya diri-Mu yang mengerti perasaan ini.

    Tiba-tiba telefonku berdering nyaring. Nombor yang tidak aku kenali tertera disitu namun aku segera menjawab panggilan itu. Walau siapapun yang menelefonku, aku sangat berterima kasih kerana panggilan ini menyelamatkan aku dari terus hanyut ke dalam kesedihan yang melemahkan aku ini.

    "Assalamualaikum, siapa ni?"soal aku.

    "Waalaikumussalam. Is this Syafira Arissa?"soal satu suara. Aku kehairanan, siapa pula ni?

    "Yes, I am"jawabku.

    "Syafira, naya, Kim Jae Hyuk. Eodi isseo? Nan Maleishia isseo jigeumun (Syafira, ni saya, Kim Jae Hyuk. Awak ada di mana? Sekarang saya berada di Malaysia)" aku terkesima. Jae Hyuk? Biar betul? Jae Hyuk merupakan salah seorang kawan sekelas yang agak rapat denganku ketika aku berada di Korea dulu.

    "Yaa, Jae Hyuk-a wae yeogi isseoyo? Eoremaniya jeongmal ( Hei, Jae Hyuk, kenapa boleh ada disini? Sungguh lama kita tak berjumpa)" dengan ceria aku menjawab dan aku sedar pandangan mereka berempat kini terarah kepadaku.

    Aku sungguh tidak sangka Jae Hyuk akan ke Malaysia. Apa yang istimewa tentang Jae Hyuk, dia merupakan satu-satunya pelajar korea yang beragama Islam di dalam kelas aku dulu. Itu yang menyebabkan aku tidak gusar untuk bersahabat dengannya kerana segala batas amat dijaga olehnya. Kadang-kadang lebih bagus dari orang Islam di Malaysia sendiri.

    Hampir lima minit aku berbual dengannya. Hatiku sedikit terubat dengan panggilan telefon darinya. Katanya lagi dia sedang mengadakan lawatan ke Malaysia di atas urusan kerja. Kedengarannya dia amat suka dengan Malaysia. Hai, nampaknya kahwin dengan orang Malaysia lah engkau Jae Hyuk.

    "Siapa yang telefon?"soal Adam tiba-tiba. Aku memandangnya. Segala keceriaan aku hilang serta merta. Kini aku kembali ke alam nyata.

    "Kawan dari Korea"jawabku.

    "Lelaki ke perempuan?"soalnya lagi. Penyibuk betullah dia ni.

    "Lelaki" ringkas aku membalas. Raut wajahnya kelihatan tegang.

    "Umi, Alya, Ira pergi dulu, ada kerja yang hendak di uruskan"jawab aku lantas bangun dari kerusi. 

    Aku menonong keluar dari ruang makan setelah mencuci tanganku. Aku langsung tidak bersalam dengan Umi atau Adam. Biarpun aku tahu perbuatan aku itu salah, namun hati yang sudah hancur ini membenarkan semua itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Adeeba Eryna