Home Novel Cinta With All My Heart
Bab 6 : Aku Pasrah

                                                                          BAB 6

    Dua pasang jubah berwarna putih dan hijau lumut yang tergantung di dinding bilik kutatap dengan lembut. Sesekali aku mengeluh dan sesekali aku tersenyum, keliru dengan perasaan yang berombak hebat didadaku. Agaknya begini perasaan insan yang akan membina masjid, sekejap gembira,sekejap berduka. Dalam masa seminggu sahaja lagi aku akan bernikah dengan abang angkatku yang dulu hanya aku kenali sebagai doktor yang merawat aku ketika aku terlibat dalam kemalangan ngeri. Kemalangan itu juga menyebabkan arwah ayah dan ibuku meninggal di tempat kejadian. Beberapa hari lepas aku sempat pulang ke Tanah Merah, Kelantan bagi menziarahi tempat persemadian kedua-dua orang tuaku yang amat aku cintai. Belaian dan sentuhan meraka masih kekal dalam memori yang aku simpan seerat-eratnya di dalam jiwaku. Biarpun sudah hampir enam tahun mereka pergi meninggalkan aku namun doa buat mereka setia aku kirimkan setiap hari selepas solat.

    Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Apabila mati seseorang manusia itu, akan terputus daripadanya segala amalannya kecuali tiga perkara; iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”(Hadis Riwayat Muslim). InsyaAllah, mereka akan ditempatkan dalam kalangan mereka yang soleh.

    Setiap hari aku akan diberi kuliah percuma oleh Umi tentang cara-cara menjadi isteri yang solehah dan aku amat bersyukur memperoleh Umi sebagai pengganti Ibu yang amat menyayangiku. Ini juga merupakan salah satu rahmat-Nya kepada aku, hambanya. Aku dan Abang Adam juga mengikut saranan Umi agar tidak berjumpa atau berhubung dalam masa dua bulan ini, bimbang kami khilaf dan melakukan dosa. Nauzubillah!

    Sedang aku sibuk melayan perasaan tiba-tiba satu mesej masuk ke talian Whats Appsku. Lantas aku segera membukanya. Gambar yang dihantar oleh insan yang tidak ku kenali bagaikan meragut degupan jantungku buat seketika. Ya, Allah! Apakah maksud gambar yang aku terima ini? Tanpa sedar air mata mengalir menuruni kedua-dua belah pipiku. Gambar yang memaparkan gambar Abang Adam memakai baju melayu berwarna putih dan disebelahnya kelihatan seorang wanita yang turut memakai baju kurung berwarna yang sama. Sepertinya mereka berada dalam majlis akad nikah dan aku yakin watak utama adalah mereka berdua. Abang Adam telah bernikah? Dengan siapa? Siapa pula aku bagi dia?

    Aku cuba bertenang walaupun tangan aku menggeletar menahan rasa terkejut yang tidak mampu untukku ungkapkan dengan kata-kata. Jam menunjukkan pukul sepuluh malam. Hampir setengah jam berlalu sejak aku menerima mesej dari insan yang tidak aku kenali. Telefon touchscreenku masih berada dalam genggaman, hilang kudratku buat masa ini. Aku hanya kaku, tidak tahu apa yang harus aku lakukan.

    Akhirnya, setelah aku berjaya mengumpulkan tenaga dan semangatku, aku memhantar mesej itu kepada Abang Adam. Mesej ini juga merupakan komunikasi aku yang pertama dengannya setelah aku pulang dari Korea tiga bulan yang lalu.

Assalamualaikum, abang. Maaf kalau mesej ini menganggu abang kalau abang sedang sibuk dalam urusan kerja. Harap abang boleh jelaskan gambar ini kepada Ira.

    Beberapa minit kemudian, mesej dari Abang Adam masuk ke dalam inbox chatku. Perasaan semakin gundah. Aku mengharapkan jawapan Abang Adam bukan seperti yang aku fikirkan sejak aku menatap gambar itu. Jejariku menyentuh mesej yang dihantar oleh Abang Adam.

Esok abang balik. Kita bincang.

    Hanya itu yang dihantar kepadaku. Aku mula merasakan apa yang aku fikirkan adalah benar. Buat sekelian kalinya, air mataku mengalir kembali. Perlahan-lahan aku melangkah ke bilik air dengan hati yang galau. Solat sunat taubat dan witir akan aku dirikan bagi menghilangkan kesedihan hati yang tidak tertanggung rasanya. Hanya pada Dia mampu aku mengadu rasa hatiku dan InsyaAllah, Dia akan memberi aku jalan penyelesaianya.

    Setelah selesai membaca surah Al-Mulk, aku memanjatkan zikir kepada-Nya, tiba-tiba pintu bilikku diketuk dengan agak kuat. Aku segera bangun dari tikar sejadah dan membuka pintu bilikku. Kelihatan wajah Umi basah dengan air mata.

    "Umi, kenapa ni?"soal aku dengan agak terperanjat. Umi memeluk aku dengan erat.

    "Ira ada terima gambar majlis akad nikah Adam kan?"soal Umi dengan lirih. Aku terdiam. Mungkin Umi juga turut menerima gambar itu. Aku memandang muka Umi dan mengangguk sayu.

    "Ya, Allah. Kenapa Adam sanggup buat Ira dan Umi macam ni?" Umi tersedu-sedan menahan tangis. Aku segera memapah Umi dan mendudukkan dia di katilku.

    "Umi, kita hanya mampu bersabar. Mungkin ada sebab Abang Adam buat begitu. Lagipun Abang Adam cakap dia akan balik ke rumah esok dan akan terangkan apa yang sebenarnya berlaku" Aku cuba memujuk Umi. Lebih tepat lagi pujuk aku kepada diriku sendiri.

    "Ira, walau apapun yang terjadi, Umi tetap mahukan Ira sebagai menantu Umi" rintih Umi lagi. Aku terdiam. Relakah aku bermadu? Atau lebih tepat lagi menjadi perosak rumah tangga orang walaupun aku sendiri tidak pasti aku yang bakal menjadi perosak atau aku yang menjadi mangsa. Begitu tegar Abang Adam dan perempuan itu melakukan hal ini sedangkan majlis pernikahan aku dan Abang Adam hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Kad-kad jemputan juga telah diedarkan, agak susah untuk aku membatalkan majlis pernikahan kami kelak.

    Keesokkan harinya, tepat pukul tujuh pagi aku keluar dari rumah menuju ke UITM Puncak Alam bagi menghadiri Daurah Hadis Nawawi yang disampaikan oleh Ustaz ternama yang dianjurkan oleh pihak universiti. Aku menghadiri majlis itu bersama-sama adik-adik usrahku, Fatin, Eliya , Aida dan Nadia. Mereka berempat merupakan pelajar asasi sains di universiti itu dan mereka juga yang telah mendaftarkan namaku untuk majlis Ilmu itu. Jazakillahukhairan aku ucapkan kepada mereka. Masalah aku dan Abang Adam, aku lupakan buat masa ini. Kehadiran aku ke majlis Ilmu ini juga salah satu cara aku mengubat dukaku. Sejak dulu lagi aku akan ke masjid atau majlis-majlis Ilmu seperti ini jika aku dalam keadaan sedih kerana bagiku cara ini adalah terapi yang terbaik.

    Tersenyum aku mengingatkan kejadian pagi tadi. Umi betul-betul menghalang aku keluar dari rumah. Umi fikir aku akan melarikan diri dari rumah selepas apa yang berlaku semalam. Selepas diterangkan barulah Umi membenarkan aku keluar. Umi, Umi...

    Setelah majlis Daurah tamat, aku membawa adik-adik aku makan di kawasan berhampiran. Seronok mendengar mereka berceloteh.

    "Kak Ira, minggu depan akak kahwin kan?"soal Eliya dengan ceria. Aku tersenyum. Entahkan jadi, entahkan tidak.

    "InsyaAllah, korang semua jangan lupa datang pula ye"balas aku dengan senyuman manis. Dalam hati bagai kaca dihempas ke lantai.

    "InsyaAllah. Kakak tak rasa muda lagi ke? Umur akak baru 23 tapi dah nak kahwin" soal Nadia pula.

    "Kahwin awal itu sunnah Rasulullah s.a.w. Akak terima sahaja apa yang Allah tentukan kepada akak samada bahagia atau derita. Jika bahagia, jangan lupa mengucapkan syukur. Jika derita jangan mengeluh dan sentiasa berusaha membaiki diri" jawabku panjang lebar.

    "Kak Ira ni memang hebatlah. Dah la lawa, bertudung labuh lagi. Patutlah Abang Adam akak terpikat. Hehe" kata Aida pula. Aku hanya tersenyum.

    Bercakap tentang Abang Adam, aku bagaikan melihat kelibat Abang Adam di bahagian muslimin ketika majlis itu hendak bermula. Adakah ilusi atau memang benar-benar dia? Mustahil, Abang Adam masih dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur mengikut perkiraan aku kerana dia selalu tiba pada waktu tengahari jika dia pulang ke rumah Umi.

    Aku mengerling jam tanganku. Tepat pukul 2.30 petang. Mungkin Abang Adam sudah tiba di rumah. Ah, biarkan dia. Biar dia jelaskan apa yang berlaku kepada Umi, aku merasa malas ingin bertemu dengannya. Bimbang tidak mempu mengawal emosiku nanti.

    Kami bergerak pulang dan sebelum keluar dari kereta Myvi yang dipanduku, Fatin sempat berpesan kepadaku.

    "Akak, nanti layan Abang Adam elok-elok. If you know what I mean, hehe..." aku terlopong. Kurang asam betul budak ni! Merah padam muka aku di buatnya. Aku mencebik ke arah mereka dan mereka hanya tergelak melihat reaksiku. Kelakarlah sangat...

    Sengaja aku membawa kereta dengan perlahan agar tiba lambat di rumah, perasaanku masih gundah gulana. Aku yakin hampir seratus peratus yang Abang Adam akan membatalkan majlis perkahwinan kami. Aku memang sudah tahu yang Abang Adam tidak menyintai aku dan dia hanya mengikut kehendak Umi. Hanya aku yang bertepuk sebelah tangan dan tidak sedar diri. Abang Adam seorang yang berkerjaya dan juga mempunyai rupa paras yang pasti menarik perhatian mana-mana wanita yang memandang dan aku bagaikan pipit yang cuba mendekati. Ah, pedulikan dia. Kumbang bukan seekor kalau seekor mati, datang lagi yang lain. Dengan geram aku bermadah seorang diri.

    Tiba-tiba perasaan sedih kembali menghuni hatiku. Kenapa Abang Adam sanggup melakukan hal sebegini kepadaku? Jika dia tidak cinta, berterus-terang, aku boleh menerima dengan hati yang terbuka. Kini aku rasa bagai maruahku dicampak begitu sahaja olehnya. Dia tidak fikir akan perasaan akukah?

    Sedang aku melayan perasaan, lagu Bintang Syurga nyanyian UNIC dan Raqib Majid berkumandang di IKIM Fm. Kuhayati liriknya satu persatu.

Biar darah jadi baja

biar tulangku menjadi tonggaknya

Islam tetap di puncak

biar imanku terus melonjak

Aku tegar aku rela

sekalipun aku dihenyak

Burung-burung hijau terbang

Roh ku tenang melayang

syurga firdausi menunggu ku datang

bidadari pun tersenyum

merindu cumbu harum

di saat cinta mekarku bercantum

Pergiku tak kembali

kerana memburu nikmat syurgawi

itulah yang hakiki

itu yang abadi

dan ku tidak mati

bahkan hidup dengan rezki dari Ilahi, Allah

Kejayaan (kejayaan)

kebahagiaan (kebahagiaan)

bintang syuhada yang dirindukan

Datang datanglah wahai syahid

dambaan mujahid

ku relakan sakit yang sedikit

Derita hanya sementara

biar aku nestapa

demi bahagia untuk selamanya

    MasyaAllah, lirik karya Ustaz Pahrol sungguh menyentuh perasaan. Aku jadi insaf, baru mendapat dugaan sekecil ini aku sudah cuak, saudara se-Islam aku di Gaza, Syria dan Mesir dugaan mereka teramatlah besar jika hendak dibandingkan dengan aku. Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Aku yakin itu!

    Aku tiba di rumah agak lewat namun aku telah bersedia sepenuhnya untuk berhadapan dengan Abang Adam dan mendengar segala kemungkinan yang bakal berlaku. Aku melangkah masuk perlahan-lahan dan aku dapat lihat Umi dan Abang Adam berada di ruang tamu. Masing-masing berwajah suram. Aku tersenyum, aku sudah dapat mengagak apa yang telah berlaku.

    "Assalamualaikum. Dah lama ke Abang Adam sampai? Maaflah, Ira ada daurah tadi" kataku dengan lembut dan tenang. Aku juga turut hairan dari mana ketenangan itu datang.

    "Waalaikumussalam. Baru saja sampai"jawabnya langsung tidak memandang ke arahku.

    "Umi dengan abang dah makan ke?"soal aku lagi sekadar berbasa-basi.

    "Maafkan abang"jawabnya tiba-tiba. Eh, aku tanya dah makan ke belum, kenapa minta maaf pulak? Aku hanya diam, menunggu dia menyambung kata.

    "Abang dah kawin dengan Azura. Semalam. "jawabnya dengan sugul. Umi pula kulihat menangis teresak-esak. Oh, Azura rupanya nama kakak ipar angkat aku. Lawa namanya.

    "Barakallah abang"ujarku dengan ceria yang semestinya dibuat-buat. Abang Adam mendongak memandangku dan Umi berhenti menangis serta merta. Er, aku salah cakap ke?

    "Ira tahu dari dulu lagi yang Abang Adam tak cintakan Ira so Ira setuju majlis kita dibatalkan" kali ini dengan serius aku berkata. Aku mahu membantu Abang Adam kerana aku tahu semestinya dia merasa serba-salah ingin mengungkapkan kata-kata itu kepadaku.

    "Abang tak setuju! Majlis kita tetap diteruskan!" lantang Abang Adam berkata. Aku terlopong. Abang Adam ni dah gila ke? Aku tidak mungkin akan berkahwin dengan suami orang dan merosakkan hidup perempuan lain!

    "Apa maksud abang?"soal aku masih dengan nada lembut biarpun amarah mula menguasai diri. Aku cuba bersabar dengan situasi yang meruncing sekarang ini.

    "Perkahwinan kita tetap diteruskan. Abang tidak akan tinggalkan tanggungjawab Abang" katanya dengan lebih tenang.

    "Oh, kalau pasal tu Abang jangan risau. Ira dah dapat beberapa tawaran kerja. Dari Korea pun ada. InsyaAllah, Ira boleh tanggung hidup Ira dan Ira boleh berdika..." kata aku lagi.

    "Abang tak setuju Ira balik ke Korea!"tegas dia memotong kata-kataku. Dia ni dah kenapa? Karang aku mengamuk memang habislah kau! Fuh, sabar, sabar Ira!

    "Perkahwinan kita tetap diteruskan" tambahnya lagi. Aku semakin hilang sabar.

    "Tidak! Ira tak akan kahwin dengan Abang!"aku juga berpegang pada pendirianku. Tidak mungkin aku setuju untuk berkahwin dengannya setelah apa yang dia lakukan. Mata kami masing-masing bertentang dengan tajam. Masing-masing tidak mahu mengalah.

    "Allah..."Umi tiba-tiba memegang dadanya. Wajahnya bertukar pucat dan dahinya berkerut menahan sakit. Aku dan Abang Adam tersentak.

    "Umi!!!" jerit kami serentak. Aku segera membantu Umi yang berada di sebelahku. Abang Adam pula segera mengeluarkan segala peralatan perubatannya dan sedaya-upaya membantu Umi yang dalam kesakitan yang amat. Aku berdoa tanpa henti di dalam hati, janganlah Kau ambil nyawa Umiku, Ya Allah. Aku masih memerlukan dia.

    "Abang ikut Ira ke luar rumah sekejap"pinta aku setelah keaadan semakin tenang. Umi sedang nyenyak lena di sofa, kami tidak membawa Umi ke katil kerana mahu tubuh Umi stabil dahulu sebelum berbuat demikian. Kata Abang Umi hanya menerima serangan jantung yang kecil. Tidak mengancam nyawa tetapi harus berhati-hati supaya Umi tidak mengalaminya buat kali kedua dan jika itu berlaku mungkin serangan kedua boleh menyebabkan nyawanya terancam.

    Aku duduk di kerusi berhampiran kolam kecil manakala Abang Adam berdiri di tepi pagar. Aku sengaja menjarakkan diri kerana tidak mahu dipandang serong oleh jiran tetangga dan seterusnya menimbulkan fitnah.

    "Kenapa Abang mahu teruskan perkahwinan kita sedangkan Abang tidak mencintai Ira. Abang tak kesian dekat Kak Azura ke? Abang baru sahaja kahwin dengan dia. Abang tak kesian dekat Ira? Ira tak nak menjadi isteri kedua"serang aku bertubi-tubi namun masih menggunakan nada yang sopan.

    "Mana Ira tahu yang Abang tidak cintakan Ira? Pasal Kak Azura, Ira jangan risau. Dia izinkan" dengan senang dia menjawab. Nan micheobeorilgetta!(Aku boleh jadi gila!) Dia memang mencabar kesabaran aku.

    "Begitu senang abang menjawab. Abang langsung tidak fikirkan perasaan Ira. Perasaan Ira yang Abang telah lukakan. Abang tahu tak betapa sakitnya hati ini? Walau Ira senyum, hati Ira menangis. Walau Ira ceria, jiwa Ira terluka and you didn't even care" aku mula sebak.

    Mataku mula berkaca menahan tangis. Dia memandang wajahku dengan sugul. Perlahan-lahan dia meraup wajah dan berpaling membelakangkan aku. Lama dia diam. Aku menyapu air mata yang kini turun tanpa rela. Setelah beberapa ketika dia kembali berpaling memusingkan badannya ke arah aku. Matanya kulihat merah. Mengapa ya? Sakitkah dia?

    "Abang akan tetap teruskan majlis kita"

    "Tapi..."aku cuba memotong tapi dia lebih pantas memintas.

    "Ira tak kesiankan Umi? Umi nak sangat kita bersatu dan ingat penyakit jantung Umi boleh menyerang dengan lebih teruk jika Umi menerima kejutan buat kali kedua"katanya dengan tiba-tiba.

    Air liur yang kutelan terasa pahit. Fikiran aku menerawang kepada Umi yang sedang berehat di ruang tamu. Jasa Umi begitu besar kepadaku. Umi menerima aku tatkala tiada yang menghulurkan bantuan dan menyayangi aku seperti anak kandungnya sendiri ketika aku hilang tempat bergantung. Ya Allah, apa yang harus aku lakukan? Perlukah aku perjudikan seluruh hidupku ditangan Abang Adam yang telah banyak melukakan hatiku?

    "Baiklah, Ira setuju. Tetapi dengan satu syarat, saya harap awk hormat privasi saya dan tidak menyentuh saya tanpa kerelaan sebab perkahwinan kita mungkin bersifat sementara. Saya juga sudah hilang hormat saya terhadap awak. Kita tak mungkin jadi seperti dulu" kataku dengan pasrah. Dia kelihatan terkejut mendengar kata-kataku terutama sekali apabila aku menggunakan perkataan 'saya' dan 'awak' menggantikan 'Ira' dan 'Abang'. Selesai berkata aku lantas masuk ke dalam rumah. Tidak betah untuk aku berlama-lama disitu, bimbang semakin banyak airmataku gugur.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Adeeba Eryna