Home Novel Cinta With All My Heart
Bab 20 : Rela ku Pujuk

                                                             BAB 20


    Perlahan-lahan aku membuka mata, suasana yang aneh kelihatan di pandangan ku. Terasa ada satu tangan yang membelai lembut kepalaku. Aku mendongak memandang siapa yang berbuat demikian. Wajah orang yang telah melukakan hatiku jelas kelihatan. Aku segera memalingkan wajah ke arah lain. Tangannya juga kutepis perlahan kerana tubuhku masih lemah. Tidak banyak pergerakan yang mampu aku lakukan. Aku cuba bangun dari katil.

    "Sayang nak kemana ni?"soalnya dengan lembut namun semua itu tidak lagi bermakna bagiku.

    "Saya nak balik" tegas aku berkata.

    Tiub yang membekalkan aku air ke dalam badan juga turut aku cabut sebegitu sahaja sehingga meyebabkan darah mengalir keluar dari tanganku. Semua itu tidak ku kisah, yang penting aku tidak mahu melihat mukanya pada waktu ini.

    "Ira! Kenapa buat macam ni?" soal dia terkejut dengan tindakanku yang drastik itu. Aku mula mahu turun dari katil namun dia menghalang.

    "Lepaskan saya!" marah aku sambil meronta-ronta untuk melepaskan diri.

    Dia memeluk kemas tubuhku. Aku menolaknya, aku memukulnya dan banyak lagi aku lakukan untuk melepaskan diri namun dia langsung tidak melepaskan pelukannya .

    "Abang nak Ira bertenang, tubuh Ira masih belum sembuh sepenuhnya" katanya kepadaku namun aku tidak memperdulikan nasihatnya itu .

    Malah semakin kuat aku meronta-ronta untuk melepaskan diri darinya sehingga nafasku tercungap-cungap kepenatan. Akhirnya kudratku hilang dan aku kembali terkulai layu dalam pelukannya. Mungkin kerana kesan ubat yang masih belum hilang yang membuatkan aku rasa sangat mengantuk dan kudratku yang menjadi sangat terhad.


    Cahaya matahari yang masuk ke dalam bilik itu membuatkan aku tersedar dari lena. Sebaik sahaja mataku buka, ku pandang kiri dan kanan, kelibat Adam tidak kelihatan. Aku sedikit lega. Serta merta aku teringatkan peristiwa tadi. Tangan ku juga sudah dirawat. Menyesal juga aku bertindak demikian namun aku tidak dapat mengawal diri sebentar tadi. Apatah lagi memandang wajahnya.

    "Akak dah sedar?"tegur satu suara. Aku mencari-cari arah suara itu. Alya rupanya. Aku tidak perasan akan kehadirannya tadi. Senyuman aku lemparkan kepadanya.

    "Akak dah rasa sihat sikit? Akak tidak sedarkan diri selama tiga hari. Abang cakap akak demam panas dan juga stress yang melampau. Bimbang sangat dia pada akak. 24 jam dia tunggu akak kat sini" kata Alya kepadaku namun semua itu tidak dapat mengubat hati aku yang terluka ini.

    "Tiga hari? Ya Allah, lamanya" jawab aku dengan terkejut.

    "Akak jangan risau, Abang dah uruskan cuti sakit akak. Kawan-kawan akak pun ada datang tadi. Tetapi Jaehyuk abang tak bagi masuk sebab nak jaga aurat akak. Diorang bincang apa entah kat luar. Lama jugak" terang Alya kepadaku dengan panjang lebar.

    Aku hanya mendengar tanpa reaksi. Suka hati merekalah, buat apa sahaja yang dia suka, aku sudah penat melayan kerenahnya yang cemburu buta itu. Yang aku pasti, aku langsung tidak penting baginya. Kalau aku penting dan punya makna dalam hidupnya, aku tidak akan diperlakukan sebegitu rupa dihadapan Kak Zura.

    "Bila akak boleh keluar hospital?"soalku cuba mengalihkan fikiranku dari terus mengingatinya.

    "Kata Abang, esok ataupun lusa. Kes akak pun jarang la. Kena hospitalised sampai tiga empat hari. Tu yang abang bimbang sangat."kata Alya lagi. Aku hanya diam. Lagi-lagi dia yang disebut. Aku mengeluh panjang sebelum menyambung kata.

    "Akak tolong akak kemas. Akak nak balik sekarang"tegas aku berkata.

    "Akak dah okey ke ni? Serius nak balik sekarang?" katanya dengan terkejut. Aku hanya mengangguk sambil bangun dari katil.

    "Akak tunggu sekejap, Alya pergi bagitau abang" dengan pantas dia berlalu meninggalkan aku sebelum sempat aku melarangnya memberitahu Adam.

    Ah, lantaklah yang penting aku hendak pulang ke rumah, sesak aku rasa berada di sini apatah lagi memandang wajah Adam. Aku menyelongkar barang-barang aku di dalam almari dan memasukkan ke di dalam beg pakaianku. Aku juga merasakan tenagaku kembali kuat. Mungkin kerana aku telah berehat panjang.

     Setelah aku siap menukar pakaian dan memakai tudung aku membimbit beg pakaian dan bersedia untuk menarik tombol pintu bilik. Sewaktu aku ingin menarik tombol pintu, pintu bilik itu dibuka dari luar. Terkejut aku seketika.

    "Ira nak ke mana ni?"soalnya sambil memandang tepat ke mataku. Pandangan aku alihkan serta merta.

    "Balik" jawabku ringkas.

    "Alya, keluarkan kereta abang dan tunggu dekat depan hospital"arah Adam kepada Alya.

    "Okey, kunci?" pinta Alya dan Adam menyerahkan kunci kereta.

    Sebaik kelibat Alya hilang, pandangannya terus dihalakan kepadaku. Aku tidak memperdulikannya, aku segera meneruskan langkah. Sebelum sempat aku keluar dari bilik itu dia menarik tangan aku. Terpelanting ke belakang sedikit aku dibuatnya. Aku segera menyentap kembali tanganku.

    "Awak nak apa?"soalku dengan berang.

    "Biar abang periksa dulu kesihatan Ira lepas tu baru abang hantar Ira balik rumah. Kalau tak abang tak benarkan Ira balik, sebagai doktor dan juga suami"tegas dia berkata.

    Aku hanya mengeluh. Terpaksa juga aku mengikut arahannya. Dia memeriksa tekanan darah, denyutan jantung dan suhu badanku. Sungguh serius raut wajahnya. Aku pula diam tanpa sepatah kata, hanya membiarkan segala tindakannya. Lima belas minit kemudian dia bangun dari tempat duduknya dan membawa beg pakaianku bersamanya.

    "Jom, abang hantar balik. Ira dah okay cuma kena banyakkan berehat. Emosi Ira tidak stabil" dia berkata kepadaku.

    Aku hanya mengekori dari belakang malas untuk berjalan seiring dengannya. Biar dia tahu hati aku yang sakit ini bukan boleh diubat sesenang itu. Sepanjang perjalanan pulang kami, aku dan dia hanya membisu, tiada kata yang mengisi masa kami. Aku hanya memandang ke luar tingkap dan dia hanya menumpukan perhatiannya pada pemanduannya.

    Sebaik sahaja tiba dirumah, aku segera bergerak ke bilikku, langsung tidak memperdulikan kehadirannya. Rajuk dan sakit hati ku bawa bersama.

    Aku tersedar dari tidur sebaik sahaja azan asar kedengaran. Astargfirullah, kerja aku memang tidur je la tiga empat hari ni. Aduhai...Aku segera bangun dari tidur dan menuju ke bilik air. Aku mengambil wuduk untuk menunaikan solat Asar. Dalam pemikiranku pelbagai aktiviti sudah ku rancang untuk mencergaskan balik tubuh yang semakin lemah ini.

    Selesai aku menunaikan solat dan membaca beberapa helai Qalam Allah, aku menuju ke dapur. Perut yang lapar ini sudah mendendangkan pelbagai jenis lagu balada, pop, rock pun ada. Aku mengeluarkan udang dan sayur dari peti ais. Menu untuk makan tengahari yang sudah mungkin aku kira sebagai makan malam hari ini ialah sambal udang, sayur goreng dan sup ayam.

    Mungkin kerana aku terlalu stress, aku hanya ingin makan sahaja. Mungkin juga dengan cara ini stress aku akan sedikit berkurangan. Kini semuanya siap dihidangkan di hadapanku. Cuma aku sedang menunggu nasi yang masih belum masak. Sambil itu aku bergerak ke ruang tamu untuk mengemas kawasan itu yang hampir empat hari aku tinggalkan tidak berkemas. Pasti habuk dan debu menyelubungi kawasan itu.

    Sebaik sahaja tiba di ruang tamu, aku lihat Adam sedang enak baring di atas sofa. Dia juga nyenyak tidur. Eh, dia ni aku yang sakit ke dia? Wajahnya kelihatan sangat penat. Mungkin betul kata Alya, Adam tidak tidur kerana menjaga aku di hospital. Sedikit perasaan simpati hadir di dalam hatiku. Namun segera aku usir. Kenapalah aku ni baik sangat? Senang je maafkan orang...huhu...

    "Awak bangun solat" sedikit kuat nada aku gunakan supaya dia tersedar dari tidur.

    Dia tersedar dan bangun dari sofa dengan keadaan mamai. Dia melihat aku yang berada dihadapannya. Lantas dia menerpa dan meletakkan tangannya di dahiku. Mungkin ingin memeriksa suhu badanku. Aku tergamam seketika namun aku pantas mengelak. Reaksi tidak selesa sengaja aku pamerkan agar dia tidak menyentuh tubuhku sesuka hatinya. Namun dia sengaja buat-buat tidak perasan akan tindak balasku.

    "Abang solat dulu" katanya dan berlalu menaiki tangga.

    Aku pula kembali ke dapur. Terpaksa menyediakan nasi dan minuman untuknya juga. Sangka aku dia kembali ke hospital rupanya dia berada di dalam rumah ini juga. Kenapa kembali ke rumah ini? Pergilah ke rumah Kak Zura. Nak pindah terus pun boleh, aku tak kisah! Sakit hati aku turutkan. Jika tidak menjadi dosa sudah lama aku melarikan diri.

    Tapi apakan daya, sebagai isteri dan hamba Allah SWT, aku masih punya iman. Aku tidak boleh mengikutkan kata hati yang hanya akan menghancurkan diri. Biar susah di dunia agar senang di akhirat sana. InsyaAllah.

    Kami makan bersama namun aku di hujung kiri dan dia di hujung kanan meja. Kami hanya senyap tanpa bicara. Aku tahu pandangannya hanya kepadaku namun aku tidak menghiraukan pandangannya. Hairan juga kenapa dia tidak memujuk aku. Atau mungkin dia sudah tidak peduli akan aku. Ah, suka hatilah. Aku malas ambik tahu lagi.

    Selesai makan aku menyibukkan diri dengan tugasan di dapur, Adam aku langsung tidak ambil peduli. Mungkin sedang seronok berbual dengan Kak Zura ataupun mungkin juga sedang bersiap-siap ingin ke rumah isteri kesayangannya itu. Aku kembali ke meja makan untuk mengemas kawasan itu. Namun aku terperanjat apabila melihat sejambak bunga ros merah dan satu kad ucapan di atas meja itu.

Buat isteri abang tersayang,

Abang pohon seribu kemaafan di atas kekhilafan yang abang lakukan. Biar apa pun hukuman dari Ira, abang terima dengan rela namun jangan buang abang dari hidup Ira. Abang sangat-sangat memerlukan Ira di dalam hidup ini.

    Itulah yang tertulis di kad ucapan itu. Kali ini cara ini pula yang dia gunakan? Mentang-mentang bunga ros merupakan bunga kesukaanku jadi dia fikir aku akan tunduk dengan pujuk rayunya? Tidak mungkin! Tidak sesenang itu setelah hati aku mula kubuka sepenuhnya untuk dia, dengan mudah dia menghancurkan harapanku.

    Dia merupkan insan yang kuharap sebagai pelindung dan orang yang akan memahami dan mempercayai aku biarpun seribu insan yang menentang. Namun sebaliknya aku terima. Tidak mudah untuk aku membuka kembali hati yang telah terluka ini. Kad ditangan ingin sahaja aku lempar ke tong sampah namun memandangkan kad itu sungguh comel aku tidak jadi untuk membuangnya. Biarlah aku simpan buat sementara waktu.

    Malam itu setelah selesai solat isyak aku turun ke dapur bagi menyediakan minuman panas dan juga mungkin sekeping pizza sebagai alas perut. Pizza buatan sendiri itu mengambil masa tiga puluh minit sahaja untuk disiapkan. Sungguh mudah dan sedap.

    "Bau apa sedap ni?" soal satu suara dari arah belakangku.

    Aku sedikit tersentak. Aku dah cakap pak cik ni memang suka datang mengejut! Nasib baik aku dah praktiskan diri kalau tidak ada yang sakit jantung lagi. Soalannya tidak ku jawab, hanya menumpukan hidangan pizza yang sedang aku alihkan ke pinggan biasa,

    "Ira marahkan abang lagi?"soalnya tiba-tiba dengan nada yang sayu. Aku hanya diam, terasa sangat malas ingin menjawab pertanyaannya.

    "Abang tahu abang salah, abang terlalu ikutkan perasaan. Abang sendiri dah berjumpa dengan Jaehyuk, dia dah terangkan segala-galanya. Abang terlalu mudah percaya kata-kata Azura. Abang minta maaf sangat-sangat" jelasnya.

    Telingaku bagaikan berdesing apabila mendengar nama Kak Zura bermain dibibirnya. Serta-merta kenangan pahit tempoh hari bermain diminda. Perasaan sebak mula menguasai diri. Pinggan di tangan aku letak di tepi oven. Aku segera ingin melarikan diri ke bilik namun dia menghalang laluanku dengan tubuhnya.

    "Tolong jangan larikan diri. Abang nak dengar segala luahan hati Ira. Jangan simpan. Abang tak nak nanti kesihatan Ira terjejas lagi" pintanya kepadaku. Aku mengetap bibir geram.

    "Tepi, saya nak lalu" kataku tanpa memandangnya.

    Luahan hati? Tidak mampukah dia membaca hati aku yang sudah dia lukakan? Adakah itu pun perlu aku ungkapkan dengan kata-kata?

    Aku menanti tindak balas darinya namun dia langsung tidak berganjak malah tangannya mencapai kedua-dua belah tanganku dengan lembut.

    Aku pantas menarik kembali tanganku. Wajahnya penuh kecewa namun aku tetap mengeraskan hati. Aku tahu aku seharusnya memaafkan dia kerana itulah ajaran Islam yang sebenar sentiasa memberi maaf kepada insan lain. Namun aku memerlukan masa untuk melupakan perbuatannya kepadaku.

    Aku lantas memboloskan diri darinya dan dia hanya membenarkan aku pergi darinya dengan pandangan yang sukar untuk aku tafsirkan. Kelihatan agak sedih dan kecewa. Ah, jika hendak dibandingkan dengan luka yang aku terima, itu semua masih tidak mencukupi. Biar dia rasakan, aku harus memberi pengajaran agar aku tidak diperlakukan sewenang-wenangnya lagi.

    Aku akan memaafkannya cuma aku ingin melihat sejauh mana usaha yang dia cuba lakukan dan sejauh mana dia menyesal kerana memperlakukan aku sebegitu rupa bahkan dihadapan Kak Zura lagi. Aku tidak pasti samada dia benar-benar mencintai aku kerana pada pandanganku dia lebih percayakan Kak Zura daripada aku. Bukankah itu bermakna yang dia juga turut mencintai Kak Zura? Atau akukah yang salah tafsiran?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Adeeba Eryna