Home Novel Cinta With All My Heart
Bab 2 : Memori

Bab 2 yang telah diedit dan diupdate, mohon maaf di atas masalah ini. Tunggu sambungannya ^^

                                                                          BAB 2

"Umi harap Syafira terima tawaran Umi. Tinggal dengan Umi. Umi tak sanggup nak biarkan Syafira tinggal seorang diri di sini. Ikut Umi balik Shah Alam ya? Abang Adam pun akan mula bertugas di KL tak lama lagi. " pujuk Hajah Kalsom dengan bersungguh-sungguh.

Aku kehilangan kata. Berpindah ke Shah Alam dengan orang yang aku tidak kenali? Bolehkah mereka dipercayai? Aku akan selamat bersama merekakah? Jika dilihat wajah Umi, Umi kelihatan seperti orang yang baik. Layanannya kepadaku juga persis layanan ibu. Rindunya aku pada ibuku. Perasaan sebak mula menguasai diriku.

"Tetapi, saya tidak punya apa-apa untuk saya bayar sebagai upahnya, keluarga saya bukan dari keluarga yang berada. Sekarang pun saya hanya sebatang kara. Saya..." Aku tidak mampu meneruskan kata-kata. Airmata yang hampir menitisku tahan sedaya-upaya. Aku menunduk.Tiba-tiba aku merasakan satu pelukan hangat hinggap ditubuh lemahku.

Abang Adam hanya diam dan memerhatikan aku dan Umi berbicara, wajahnya juga kelihatan sugul. Biarpun dia sangat sibuk menguruskan pesakitnya namun dia tetap melayan kerenahku sehingga aku rasakan yang aku amat penting baginya. Baik sungguh dia terhadapku.

"Ya, Allah Syafira, Umi tak mengharapkan upah atau apa-apa pun dari Syafira. Umi dah anggap Syafira macam anak Umi sendiri. Umi menyesal sangat sudah lama tak menjenguk Ibu dan Ayah Syafira. Umi mintak maaf. Umi sendiri tidak sempat bertemu mata dengan mereka. Syafira sekarang amanah Umi. Umi akan jaga Syafira sampai Umi mati. InsyaAllah."ujar Hajjah Kalsom sambil menyeka airmatanya yang mengalir perlahan.

" Kalau itu yang terbaik, saya ikutkan sahaja Umi." ujar ku dengan perlahan. Wajah Umi kupandang. Dia kelihatan sungguh gembira lantas dahiku dikucup lembut. Kali ini aku tidak dapat menahan perasaan sedihku. Aku menangis di dalam pelukan Umi. Umi mengosok perlahan belakangku sambil mengucapkan kata-kata semangat kepadaku. Beban yang aku pikul terasa agak ringan. Terima kasih Ya, Allah. Kau ambil kedua-dua orang tua ku tetapi Kau kirimkan Umi dan Doktor Adam kepadaku agar aku tidak kesorangan. Sememangnya Kau Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

"Ira, inilah rumah kita. Jom masuk."pamit Umi.

Perlahan-lahan aku melangkah masuk ke rumah banglo dua tingkat itu. Pada mulanya aku agak terpaku melihat betapa besarnya rumah Umi dan Doktor Adam. Jauh benar bezanya dengan rumahku. Selama seminggu proses pemindahan aku ke Kuala Lumpur, aku langsung tidak melihat kelibat Doktor Adam. Mungkin dia terlalu sibuk sampai tiada masa untuk membantu ibunya menguruskan aku. Tiba- tiba diri ini terasa kerdil. Mungkin juga dia tidak selesa dengan kehadiran aku yang tiba-tiba muncul dalam hidupnya. Hatiku mula dipagut resah. Aku hanya mengenali Umi tetapi tidak ahli keluarganya. Mungkin saja aku tidak dialu-alukan di dalam keluarga Umi. Apa yang harus aku lakukan jika itu berlaku? Keputusan SPM belum lagi keluar. Bolehkah aku meneruskan hidupku dengan berbekalkan keputusan SPMku?

"Kak Ira ke ni?"soal satu suara lunak. Aku mendongakkan kepala. Satu tubuh kecil molek berada dihadapanku.

"Er, ya, saya" aku menjawab perlahan. Mungkin inilah Alya Ellysa, adik kepada Doktor Adam. Lawa orangnya. Baru sahaja aku habis berkata, satu pelukan erat singgah ke tubuhku.

"Akak, apa khabar? Nama saya Alya Elysa, panggil sahaja saya Alya. Seronoknya Alya bila Umi cakap Kak Ira akan tinggal dengan kitaorang. Bestnya! Lepasni ada gengla. Asyik melayan kerenah abang Adam je. Tak best Langsung" ujar Alya dengan girang. Belum sempat aku menjawab, ada satu suara lain memintas.

"Haa...mengumpat abang sendiri ya? Ira, jangan dipedulikan budak ni. Bila dia buka je mulut, mesti tak boleh nak tutup. Asyik berbunyi je." Ujar Doktor Adam sambil menepuk bahu adiknya. Alia mengaduh kesakitan.

"Apa abang ni. Sakit tau! Umi, tengok abang ni"adu Alya. Umi kulihat mengelengkan kepala. Mungkin dah terbiasa dengan adegan itu. Aku tersenyum memerhatikan gelagat mereka berdua. Seronok juga bila mempunyai seorang abang. Sesekali, aku juga teringin memiliki ahli keluarga yang lain kerana aku anak tunggal dan kini hanya aku sebatang kara di dunia ini.

"Abang minta maaf ya Ira, abang tak sempat nak melawat Ira di Kelantan kerana abang sibuk menguruskan proses pemindahan abang ke Kuala Lumpur" ujar Doktor Adam memecahkan lamunanku.

"Tak mengapa Doktor Adam. Saya tau Doktor sibuk. Saya..."

"Eh, apa pulak Doktor. Sekarang Ira salah seorang adik abang.Abang nak Ira panggil Abang, Abang tau. Tak payah berdoktor bagai" tegurnya bersama senyuman manis. Terpesona aku seketika dengan senyuman itu.

"Er, baiklah..Ab..Abang"ujarku lagi.

"Beg tu biar abang yang bawa ke bilik."katanya lagi lantas mengambil beg pakaianku dari tanganku namun agak berhati-hati mungkin tidak mahu tersentuh tanganku. Walaupun kami akan tinggal bersama namun status bukan muhrim tidak akan berubah. Jadi, kami harus menjaganya.

"Tak menyusahkan Abang ke?"soalku resah.

"Laa...menyusahkan apanya. Tak ada susah-susah pun. Alya, ajak Ira tengok bilik dia"ujar Abang Adam lagi.

"A'ah la. Jom Kak Ira. Alya dengan Umi dah hias bilik akak lawa-lawa tau."ujar Alya dengan teruja sambil menarik tanganku menuju ke tingkat atas. Aku hanya menurut.

Siling bilikku pandang dengan renungan kosong. Hari ini aku mulai tinggal di rumah keluarga angkat yang telah bermurah hati ingin membantu aku meneruskan hidup yang kini mulai suram. Mereka sangat baik terhadapku namun aku tetap merindui Ibu dan Ayah. Walaupun sudah hampir sebulan mereka pergi meninggalkan aku, aku tetap menginginkan mereka kembali ke sisiku walaupun aku tahu ianya mustahil. Teringat lagi ketika aku melangkah ke kubur Ibu dan ayah bersama Umi. Langkahanku semakin lemah sebaik sahaja pusara Ibu dan Ayah berada di hadapan. Airmataku mengalir perlahan. Aku membelek surah Yasin yang ku bawa bersama. Sehelai demi sehelai ayat suci itu kubaca bersama Umi.

"Ayah, Ibu, Ira datang menziarah. Maaf, Ira terlewat. Ira rindu Ayah dengan Ibu"kataku usai membaca Yasin. Perlahan-lahan aku menyentuh perlahan tanah perkuburan yang masih merah. Aku sedaya upaya menahan air mataku dari terus mengalir. Nafasku tarik panjang, cuba untuk menenangkan diri.

"Ayah, Umi Kalsom telah bermurah hati mengajak Ira tinggal di rumahnya di Selangor. Ira akan jaga diri Ira baik-baik. Ira juga akan sentiasa mendoakan agar roh Ayah dan Ibu sentiasa tenang di sana" kataku lagi. Umi menepuk perlahan bahuku bagaikan memberi semangat.

'InsyaAllah, Ira akan selamat dan akan mengapai cita-cita Ira. Permegian Ibu dan Ayah tidak akan mematahkan semangat Ira' kataku lagi di dalam hati.

"Ira, Ira sudah Umi anggap sebagai anak Umi. Umi janji selagi Umi hidup, Umi tidak akan mensia-siakan hidup Ira. Redhalah dengan pemergian mereka. Setiap insan di dunia ini akan menemui ajal tidak kira lambat atau cepat" kata Umi sambil memelukku. Aku mengangguk perlahan. Airmata yang mengalir tanpa rela itu kuseka. Betul kata Umi. InsyaAllah, Ayah dan Ibu ditempatkan bersama orang-orang yang diredhai-Nya.

"Er, Ira, kita dah sampai" ucap seseorang.

Aku tersedar dari lamunan. Ya, Allah. Jauh aku mengelamun mengingatkan kisah silam. Keadaan sekeliling ku pandang. Rumah Umi masih tetap seperti dulu namun warnanya telah bertukar dari warna kuning ke warna putih. Rindu betul aku dengan rumah Umi. Rumah pun aku dah rindu sebegini belum lagi berjumpa dengan tuan rumahnya. Aku berpaling ke sebelah kiriku. Terperanjat aku bila melihat wajah Abang Adam begitu dekat denganku. Segera aku menjarakkan diri. Jantungku berdetak kencang. Wajahku berubah pucat. Ni apa kes ni?

"Ab..Abang minta maaf. Dari tadi lagi abang cuba panggil Ira tapi Ira hanya diam. Jadi abang cuba sedarkan Ira dari lamunan"terangnya agak kelam kabut. 'Kalau ya pun nak sedarkan aku, kuatkan je lah volume suara tu, tak payahlah nak dekat sangat dengan aku macam nak buat apa je' ngomel aku di dalam hati.

"Oh, sorry abang. Ira teringatkan kenangan lama so Ira tak sedar yang abang panggil Ira" ujarku dengan senyuman tetapi dalam hati mengutuk sepuas hati. Kemudian aku segera keluar dari kereta dan menuju ke bonet untuk mengambil barang-barangku.

"Eh, Ira biar abang yang angkatkan. Ira pergi masuk dalam jumpa dengan Umi. Umi tu dah rindu sangat dengan Ira"katanya sambil keluar dari tempat pemandu.

"Tak pe ke abang?"

"Tak da hal pun. Dah, pergi masuk"katanya dengan senyuman. Hatiku berdegup hebat. Melihat senyumannya sahaja mampu buat aku jadi begini. Aduh, aku masih menyintainyakah? Parah aku macam ni.

"Assalamualaikum, Umi"

Aku melangkah masuk ke dalam rumah banglo dua tingkat itu. Rasa hatiku yang teruja tidak dapatku kawal. Mana Umi? Mana Alya? Rindunya aku pada mereka berdua! Aku melilau-lilau di ruang tamu namun tiada kelibat sesiapa pun yang kelihatan. Mana mereka ni?

"Alya, nasi tu hidangkan cepat. Kak Ira kamu nak sampai dah"kedengaran satu suara dari dapur.

"Okey, Umi" girang Alya menjawab. Aku senyum meleret. Alia masih ceria seperti dulu. Perlahan-lahan aku bergerak ke arah dapur. Aku mengintai dari sebalik dinding. Umi dan Alia kelihatan sibuk menyediakan makan malam untuk aku. Bau masakan mereka tak mampu ku gambarkan. Sungguh menyelerakan. Kecur aku dibuatnya. Alia kulihat sedang berjalan keluar dari dapur sambil membawa mangkuk besar berisi nasi putih.Aku tersengih sambil merencanakan sesuatu.

"Alya!!!" sergah aku dari sebalik dinding.

"Mak!!!"Jerit Alia dek sergahanku. Pucat wajahnya. Aku ketawa geli hati. Reaksi wajah Alia memang melucukan. Kalau ikutkan hati mau aku bantai gelak sampai tergolek.

" Kak Ira!!!Umi, Kak Ira dah sampai!"jerit Alya kegirangan setelah rasa terkejutnya hilang. Dia memeluk aku dengan erat. Aku tersengih melihat gelagatnya. Umi turut keluar dari dapur. Aku segera mencium tangan dan memeluk Umi dengan erat. Umi membalas pelukanku.

"Ya Allah, Ira. Umi rindu sangat dengan Ira. Lima tahun Ira tinggalkan Umi. Baru hari ini Umi dapat bertemu kembali dengan Ira"usai berkata kedua-dua belah pipiku dikucupnya. Aku dapat melihat air mata gembira mengalir dari celahan mata Umi. Aku turut sebak.

"Maafkan Ira, Umi"hanya itu yang mampu aku ucapkan. Hanya aku dan Abang Adam sahaja yang tahu mengapa aku tidak pulang ke Malaysia selama lima tahun. Kami merahsiakan peristiwa itu dari pengetahuan semua orang. Aku juga sudah melupakan peristiwa itu. Tidak perlu diingat peristiwa yang menyakitkan hati itu. Namun,dari reaksi Abang Adam seketika tadi, aku yakin yang dia turut tidak selesa dengan kehadiranku kembali ke sisinya. Mungkin rasa bersalah atau dia sememangnya tidak menyukai kehadiranku disini.

"Ira sihat? Ya, Allah..dah kurus kering anak umi ni!"ujar Umi dengan terperanjat. Mungkin Umi baru perasan akan bentuk badanku yang sedikit berbeza berbanding dulu.

"Alhamdulillah, sihat Umi. Mana ada kurus kering Umi. Biasa aje"balasku menidakkan pandangan Umi.

"Kak Ira makin lawala. Kulit makin putih melepak. Mata maintain warna hazel macam dulu. Mesti akak ramai peminat dekat Korea kan?"giliran Alya pula mengusikku. Aku hanya tergelak.

"Banyakla Alya ni. Akak biasa-biasa je. Ira kurus sikit sebab rindu masakan Umi la ni"rengek aku pada Umi. Alya tergelak melihat kerenah aku yang manja itu. Umi menggeleng kepala dengan gelagat kami berdua. Nasib Umi lah dapat anak-anak yang manja ya Umi.

"Umi dah siapkan makan malam dah. Nanti Ira makan puas-puas. Ira mesti penatkan? Ira pergi naik atas dulu. Bersihkan diri, solat, kemudian kita makan malam sama-sama" arah Umi kepadaku.

"Wokey, Umi" kataku dengan girang.

Usai mendirikan solat maghrib, aku keluar dari bilik setelah selesai memakai tudung. Aurat aku dengan Abang Adam mesti dijaga. Kami tetap bukan muhrim walaupun kami telah lama hidup bersama. Perlahan-lahan aku menuruni tangga dan menuju ke meja makan. Pelbagai makanan telah tersedia di meja makan. Tidak lupa juga tomato dan kobis goreng. Makanan yang paling aku gemar. Dua sayur itu sangat penting. Setiap kali aku makan, sayur-sayuran itu wajib ada. Tak lengkap makananku tanpanya. Sejak aku kecil lagi, dua sayur itu merupakan kegemaranku malah arwah Ibu dan Ayah juga tidak pernah lupa menyediakan makanan itu.

"Wah, Umi, tomato dengan kobis goreng pun ada!" ujarku sambil memeluk bahu Umi dengan manja.

"Yalah. Anak Umi yang sorang ni takkan makan nasi kalau tak ada tomato dengan kobis kan?" jawab Umi sambil mencubit pipiku. Aku mengaduh kesakitan.

"Hehe, macam tau-tau je Umi ye"kataku sambil tersengih.

"Patutla Kak Ira putih melepak, kulit pun lawa. Ni mesti sebab suka makan tomato kan?"kata Alya pula.

"Mana ada. Kulit akak biasa-biasa je la. Alia pun putih apa"balasku.

"Dalam rumah ni, yang putih akak sorang je lepastu abang Adam. Tu pun Abang Adam dah makin gelap sikit. Entah dimana dia berjemur" selamba badak aje Alya mengutuk abangnya sendiri. Aku hanya tergelak. Baru sahaja aku ingin melabuhkan punggungku ke kerusi, Umi berkata.

"Ira, tolong panggilkan Adam. Cakap makanan dah siap" Aku hanya mengangguk. Sekali lagi aku melangkah ke tingkat atas. Biliknya merupakan bilik paling besar yang ada di rumah itu. Dulu bilik itu kepunyaan Umi namun sejak Umi kematian suami, bilik Itu menjadi bilik Abang Adam kerana kata Umi, dia tidak larat lagi untuk menggunakan tangga kerana masalah lututnya.

Perlahan-lahan aku mengetuk pintu bilik Abang Adam namun tiada jawapan. Aku buntu seketika. Takkan nak masuk bilik ni sesuka hati aje. Kalau dia marah macam mana? Ish, tak boleh,tak boleh. Mencari maut namanya. Ketuk je la lagi kot-kot dia buka. Lagi sekali pintu biliknya kuketuk namun kali ini dengan lebih kuat.

"Ya Alya, abang nak turun la ni, Abang tengah pakai..."Aku ternganga. Apa yang aku lihat ini?! Abang Adam hanya memakai seluar jeans tetapi bahagian atasnya tidak bertutup. Wajah aku mula berubah warna dan aku juga dapat melihat wajah Abang Adam yang kaget melihat aku sebaik sahaja pintu biliknya dibuka. Pantas dia menutup badannya dengan baju t-shirt yang dipegangnya.

"Er, Ira. Abang ingatkan Alya tadi. Ada apa Ira?" soal Abang Adam dengan tenang walaupun aku pasti yang dia turut terkejut.

"Um..Umi panggil makan" jawabku pendek lantas segera berlari turun ke bawah. Tidak betah aku berada lama disitu. Mukaku sudah hangat dan merah menyala. Tidak pernah lagi aku terlibat dalam insiden seperti ini dulu. Kenapa sekarang? Ish, merosakkan pandangan betulla.

"Abang tengok Ira makin kurus. Kalau dulu berisi dan comel aje"tegur Abang Adam sewaktu kami sedang menjamah makan malam. Aku mengangkat muka memandangnya. Comel? Macam salah je perkataan yang Abang Adam gunakan. Bukan debab, gemuk ataupun montel?

" Tak adalah abang, dulu saya gemuk, hodoh. Sekarang ni kurus sikit je" kata aku tanpa kusedari. Wajah Abang Adam berubah. Lantas dia menundukkan wajah. Pasti dia terasa hati dengan kata-kataku itu. Menyesal pula aku berkata tanpa berfikir panjang.

"Apa akak cakap macam tu? Siapa yang berani cakap macam tu dekat kakak kesayangan Alya? Habaq mai, biar Alya bantai dia cukup-cukup" celah Alya dengan wajah tidak puas hati.

" Tak ada siapalah, Alya. Akak sedar siapa diri akak, tak lawa macam orang lain tetapi akak tetap bersyukur diberikan sifat yang cukup" kataku merendah diri.

"Tak lawa akak cakap, akak tu ramai peminat, akak je yang tak layan. Ni dekat Korea mesti ada mamat korea yang terpikat kan? Umi dapat menantu orang Korea la nanti"kata Alya sambil memandang wajah Umi.

"Yelah, Korea ke Jepun ke Umi tak kisah asal anak-anak Umi bahagia"kata Umi sambil tersenyum. Aku hanya tersengih.

"Mana boleh! Abang tak benarkan!" Terperanjat kami bertiga dengan jerkahan Abang Adam. Dia kelihatan bangun dari tempat duduknya dan memandang wajahku dengan pandangan tajam. Terkesima aku seketika dan Umi kulihat mengurut dada kerana terkejut barangkali.

"Ab...Abang ni kenapa?"soal Alya ketakutan melihat abangnya naik angin tiba-tiba. Aku terdiam seribu bahasa. Tidak pernah lagi aku melihat Abang Adam naik angin dihadapanku.

"Er,Abang..."Abang Adam terdiam seketika bagaikan tersedar sesuatu. Dia kemudiannya duduk kembali sambil menundukkan wajah.

"Kenapa ni Adam. Marah tak tentu pasal. Kesian kat Ira. Tengok tu, dah pucat muka dia"tegur Umi pula. Kulihat Abang Adam mengangkat muka dan memandang aku dengan perasaan bersalah.

"Abang minta maaf Ira. Abang tak suka dengan idea Ira berkahwin dengan orang sana. Jauh, kalau nak kahwin, kahwin dengan orang dekat-dekat dahla ya"katanya. Aku terlopong. Ini lagi aneh. Kitaorang hanya bergurau tetapi dia ambil serius? Abang Adam ada masalah ke? Sejak petang tadi lagi perangai Abang Adam memang aneh.

"Abang sukakan Kak Ira ke?" soal Alya tiba-tiba. Aku tersedak mendengar soalan itu. Kenapa dengan mereka semua ni? Dahla ni hari pertama aku balik ke Malaysia sejak lima tahun. Aku dapat melihat Abang Adam memandang aku sekilas sebelum meneguk air oren yang berada di tangannya.

"Suka" jawabnya dengan tenang. Aku terpaku dengan jawapannya dan aku yakin Alya turut terkejut.

"Er, Umi, Ira dah kenyang dah. Ira ke bilik dulu ye. Banyak baju tak kemas lagi."kataku lantas bangun dari kerusi. Wajah Abang Adam langsung tidak kupandang. Perasaan marah membuak-buak di dada. Siapa dia untuk mempermainkan perasaan aku begini? Aku bukannya patung yang boleh dipermainkan sepuas hatinya. Kepala aku turut pusing dengan pengakuannya yang tiba-tiba itu. Minda aku tidak dapat menafsirkan apa yang sebenarnya dia inginkan.

"Yalah, Ira. Lepas kemas tu pergi berehat"kata Umi dengan lembut mungkin juga memahami apa yang aku rasai sekarang.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Adeeba Eryna