Home Novel Cinta With All My Heart
Bab 19 : Hurt

                                                                       BAB 19


    Aku tersedar dari tidur apabila kedengaran satu suara sedang berbual di beranda rumah. Bait - bait kata yang diucapkan biarpun perlahan namun aku dapat memahaminya.

    "Ya, Umi. Dengan Ira dekat rumah Opah" Oh, Adam berbual dengan Umi di telefon bimbit rupanya.

    "Azura? Ada dekat rumah la" Nama Kak Zura pula yang keluar dari bibirnya. Aku mulai gundah.

    "Balik sekarang? Umi, Adam tengah bercuti dengan Ira... Ya, Adam tahu Azura mengandung tapi..." Adam kehilangan kata-kata.

    Aku pasti Umi menyuruh Adam pulang ke rumah Kak Zura kerana bimbang akan kandungan menantunya itu. Jauh di sudut hati, aku terguris lagi.

    "Umi, Azura tak apa-apa, Umi jangan lah risau sangat. Lagipun Adam dengan Ira juga perlu habiskan masa bersama" Adam ku dengar cuba memujuk Umi namun aku pasti Umi tetap dengan pendiriannya.

    "Ya, Umi. Adam faham" lemah sahaja kedengaran suaranya. Konklusinya sudah dapat ku teka.

    Aku segera bangun dari pembaringanku dan melangkah menuju bilik air memandangkan waktu asar hampir tiba. Sewaktu aku ingin melangkah ke dapur, Adam juga turut melangkah masuk ke ruang tamu. Pandangan kami bertembung. Serta merta wajahnya berubah, matanya juga kelihatan sedih.

    "Ira..."belum sempat dia menghabiskan kata-kata, aku segera memintas.

    "Saya dah dengar. Kita kena balik sekarang kan? Saya pergi solat dulu"ujar aku kemudiannya segera berlalu pergi. Aku tidak mahu mendengar kata pujuk darinya kerana aku tidak mahu diberi simpati. Aku juga bimbang hati aku semakin terluka.


    Aku memeluk Opah sewaktu kami mengucapkan kata-kata perpisahan, Opah juga turut kelihatan sedih seperti juga aku. Percutian yang dirancang selama tiga hari bertukar menjadi dua hari.

    "Opah minta maaf bagi pihak Kalsom. Ira jangan risau, Opah akan nasihatkan Umi Hariz tu. Buat masa ni Ira bertahan ya" Opah memujuk aku dengan lembut. Aku hanya mengangguk lemah. InsyaAllah, Umi akan kembali bersikap seperti dulu terhadap aku. Aku cuba berfikiran positif.

    Sepanjang perjalanan pulang ke Shah Alam, aku hanya diam, tiada mood ingin berbual bicara dengan Adam walaupun aku tahu Adam tidak bersalah dalam hal ini. Beberapa kali dia cuba menghidupkan suasana namun aku tidak menghiraukannya. Hatiku yang terluka ini kurawat sendiri agar tidak bertambah parah.

    Tepat pukul sepuluh malam, kami tiba di rumah Umi, aku hairan kenapa kami ke sini bukan terus pulang ke rumah kami sendiri. Hati aku mula tidak sedap. Umi ingin memarahi kamikah?

    Aku membontoti langkah Adam yang mula melangkah masuk ke dalam rumah Umi. Hatiku yang resah ini cuba untuk aku tenangkan. Sebaik sahaja aku tiba di ruang tamu, aku dan Adam terkesima melihat Umi dan Kak Azura duduk di sofa. Wajah kedua-duanya kelihatan tegang. Hatiku bertambah galau.

    "Ira, Adam. Duduk" arah Umi kepada kami. Aku dan Adam menurut patuh.

    "Ira, Umi faham yang kamu berdua masih dalam mood berbulan madu, tetapi Umi tak sangka yang Ira sanggup pengaruh Adam untuk tinggalkan Azura sendirian. Ira pun tahu Azura mengandung kan? Kalau apa-apa terjadi kepada kandungan dia macam mana?" Belum sempat aku bernafas, aku terus diserang dengan kata-kata yang sungguh tajam.

    Sungguh aku terkejut dengan tuduhan itu. Aku tidak pernah mempengaruhi atau memaksa Adam meninggalkan Kak Zura sendirian. Aku hanya menurut Adam pulang ke kampungnya. Aku langsung tidak tahu menahu akan perkara ini.

    "Umi, jangan salahkan Ira. Dia langsung tidak terlibat dalam perkara ini. Adam yang paksa dia ikut Adam pulang ke rumah Opah" bantah Adam.

    Aku hanya menunduk. Tidak tahu apa yang harus aku katakan. Kenapa Umi berubah sebegini sekali? Mana Umi yang membela dan menyayangi aku dulu?

    "Adam diam. Umi tengah bercakap dengan Syafira" nada Umi mulai tinggi.

    "Ira, Akak tak sangka Ira sanggup buat akak macam ni. Ira tak kesiankan akak ke? Anak dalam kandungan ni perlukan perhatian Adam" lirih suara Kak Azura berkata.

    Aku menjadi sebak. Kenapa aku yang di serang? Aku langsung tidak pernah berbuat seperti yang dikatakan itu. Malah aku juga pernah memberitahu Adam yang aku rela mengundur diri dari menjadi batu penghalang kebahagian mereka berdua. Aku tidak mungkin meminta Adam meninggalkan Azura sendirian.

    "Azura you jangan tuduh Ira yang bukan-bukan. You juga cakap yang you ke rumah kawan you untuk seminggukan? Kenapa hal ni tiba-tiba boleh timbul?" Adam menyerang Kak Azura.

    Dia terdiam tanpa kata dengan kata balas Adam. Sungguh aku tidak mengerti apa masalah mereka berdua tetapi tolong jangan libatkan aku. Aku langsung tidak tahu menahu akan hal ini.

    "Adam, jangan marah kepada Azura. Masalah sekarang adalah kamu berdua. Adam yang memilih untuk berpoligami jadi Adam harus bertanggungjawab dalam hal ini. Syafira, Umi nak Ira faham yang Adam bukan milik Ira seorang, Adam juga hak Azura dan bayi dalam kandungannya. Ira tidak boleh rampas hak itu" dengan panjang lebar Umi berkata.

    "Umi, Ira tidak pernah berniat begitu. Ira..." aku cuba membela diri namun kata-kataku dipintas Kak Azura.

    "Ira, akak terima mesej yang Ira hantar pada akak. Ira suruh akak undur diri dan minta cerai dari Adam kan? Maaf Ira, akak tak boleh bertindak demikian" sekali lagi aku terpana.

    Pandangan meraka semua terarah kepada aku. Demi Allah SWT aku tidak pernah menghantar mesej sebegitu rupa. Nombor telefon Kak Azura pun aku tidak tahu, jadi mana mungkin aku menghantar mesej kepadanya. Kenapa Kak Azura sanggup bertindak demikian? Benci sangatkah dia kepadaku?

    "Ira, betul ke apa yang Azura katakan itu? Ira, Umi tidak tahu apa lagi yang harus Umi katakan. Umi kecewa dengan Ira. Umi tau Ira cemburu kepada Azura tetapi bertindak sebegitu Umi tidak akan memaafkan Ira" keputusan Umi mengejutkan aku.

    "Umi, Zura, mesti ada salah faham. Adam yakin Ira tidak akan buat macam tu" Adam membela aku. Namun Umi kelihatan tidak mempercayai kami.

    "Umi, percayalah kepada Ira, Ira tidak pernah buat seperti itu. Ira tidak tahu mesej apa yang Kak Zura maksudkan. Nombor telefon Kak Azura pun Ira tidak tahu jadi tidak mungkin Ira buat begitu" aku turut cuba membela diriku.

    Air mata yang hampir menitis cuba aku tahan sekuat tenagaku. Aku memandang tepat ke dalam mata Umi memohon pengertiannya. Kami berempat terdiam buat seketika.

    "Assalamualaikum. Kenapa semua orang ada dekat sini?" soal Alya yang tiba-tiba muncul. Wajahnya kelihatan kehairanan apatah lagi melihat wajahku yang merah menahan tangis ini.

    "Ira balik dulu. Umi tak nak tengok muka Ira buat masa ini" tegas Umi berkata sakaligus mematikan segala harapan yang tersimpan. Aku bangun dari sofa dengan lemah. Adam turut bangun bersedia ingin mengikuti langkahku.

    "Adam tidur sini malam ni. Alya hantar Kak Ira balik rumah" kata-kata Umi semakin menusuk kalbuku.

    Perlahan-lahan airmataku mengalir. Nampaknya Umi sudah benci benar kepadaku. Ya Allah, jika ini ujian yang Kau berikan kepadaku, aku menerimanya dengan redha. Aku yakin akan ada hikmahnya.

    "Apa yang jadi sebenarnya Kak Ira?" soal Alya sewaktu dia menghantar aku pulang ke rumah. Aku mengeluh panjang.

    "Entahlah Alya, akak pun dah keliru dengan semua yang berlaku. Kak Zura cakap yang akak paksa Adam tinggalkan dia sendirian. Dia cakap akak hantar mesej minta dia berpisah dengan Adam. I didn't do all of that stuff. Akak pun tak tahu apa yang patut akak lakukan" luah aku kepadanya.

    "Ya, Allah. Jahatnya perangai Kak Zura tu. Alya dah cakap dia mesti ada agenda dia sendiri. Akak jangan risau, Alya akan cuba bantu segala yang terdaya. Alya tidak akan biarkan dia lakukan sesuka hati dekat Kak Ira" Wajah Alya kelihatan tegang.

    Alhamdulillah, aku bersyukur kerana Alya masih mempercayai aku. Sekurang-kurangnya aku masih mempunyai dia disisiku. Umi kini sudah tidak mempercayaiku malah kini Umi hanya menyayangi Kak Zura. Mungkin kerana Kak Zura membawa zuriat sulung keluarganya.

    Aku pula bagai melukut di tepi gantang, langsung tidak diperdulikan Umi. Namun aku tidak berdendam, jasa Umi terlalu besar jika nak dibandingkan luka hatiku ini. Umi telah memberi harapan dan jalan untuk aku meneruskan hidup. Aku tidak mungkin membenci Umi. Umi sudah ku anggap seperti Ibuku sendiri. Semoga Umi akan kembali menyayangiku. InsyaAllah...

    Malam itu tidurku tidak lena, memandangkan aku tahu yang malam itu Adam tidak akan pulang malah mungkin ketika ini dia sedang lena bertemankan Kak Zura disisi. Aduh, pedihnya hati ini, bagai ditusuk duri. Aku memusingkan badan ke kanan dan kiri namun masih belum dapat au melelapkan mata. Lantas aku bangun dari katil dan menuju ke bilik air. Wudhu' ku ambil dan bersedia untuk menunaikan solat sunat tahajjud. Semoga hati aku sedikit tenang.

    Keesokkan harinya aku ke pejabat seperti biasa biarpun sepatutnya aku bercuti hari ini. Namun disebabkan plan yang dirancang tidak menjadi, aku batalkan saja cuti yang telah aku pohon. Membazir pula tidak datang bekerja hari ini.

    "Kenapa muka nampak pucat je? Demam ke?" tegur Farhanim kepadaku.

    Aku hanya mengangguk. Tidak mampu untuk menjawab dengan lebih panjang memandangkan badan aku tidak berapa sihat. Pelbagai jenis dugaan yang aku terima minggu ini. Nafas ku tarik dengan panjang. Sejak aku memegang status isteri kepada Adam, pelbagai ujian yang aku terima. Namun apakan daya, mungkin ini takdir yang tertulis buatku. Aku harus menerimannya dengan redha.

    "Yak mogeosso(Dah makan ubat)?" soal Jaehyuk. Mungkin melihatkan keadaanku yang tidak bermaya itu.

    "Aniyo. Kwaenchana, nan keumbang joheul keoya(Tak. Tak apa, cepat je saya baik nanti)" aku cuba menyedapkan hatinya agar dia tidak terlalu risau.

    Kalau diikutkan hanya tinggal dua minggu sahaja lagi tempoh yang tinggal untuk Jaehyuk berkerja di syarikat ini, kemudian dia akan kembali ke Korea. Kami kemudian bergerak ke bilik mesyuarat untuk membincangkan tentang penghantaran komponen-komponen baru untuk membuat cip-cip mikroelektronik.

    Setelah hampir sejam meeting aku kembali ke tempat kerjaku. Kepala yang berdenyut-denyut ini makin bertambah pula pusingnya. Mahu makan ubat tiada bekalan pula. Ah, biarkan ajelah. Mungkin sekejap lagi akan hilang sakitnya.

    Sedang aku merehatkan diri, tiba-tiba satu mesej masuk melalui talian whats appsku. Aku segera membuka aplikasi itu. Dari Adam. Hatiku mulai ceria. Sekurang-kurangnya dia ingat juga kepadaku setelah semalaman dia langsung tidak menghubungiku.

Apa yang Ira dan Jaehyuk buat di Hotel tadi?

    Tanpa salam terus soalan itu diajukan kepadaku. Aku tersentak seketika. Memang betul aku dan Jaehyuk ada ke Hotel Angsana untuk bertemu dengan pembekal komponen elektronik, namun kami tidak pergi bersama, kami hanya bertemu di sana. Malah, jika dihintung, kami semua berlima termasuk wakil dari pihak pembekal seramai tiga orang.

    Hatiku mulai gundah. Aku bimbang Adam akan salah faham terhadap kami. Aku ada menelefonnya untuk meminta izin namun tidak berjawab panggilan itu. Disebabkan terlalu mengejar masa, aku terlupa untuk menghantar mesej kepadanya.

    Aku segera mendail nombor telefon Adam dengan harapan dia akan mendengar penjelasan aku. Puas ku cuba namun tidak ada yang menjawab. Ya Allah, janganlah kau biarkan aku di dalam keadaan tidak mendapat restu suamiku. Aku tidak berputus asa, mesej turut ku hantar.

Assalamualaikum, awak ada di mana? Saya nak jumpa untuk jelaskan semua ni. Awak salah faham.

    Tiada balasan darinya biarpun dia telah membaca mesej melalui talian whats app yang aku hantar

Awak, awak dah salah faham. Saya dengan Jaehyuk tiada apa-apa. Tolonglah, saya nak jumpa awak.

    Tiada balasan juga. Hatiku mula sebak. Belum aku sempat hatiku pulih dari peristiwa semalam, hari ini hatiku terluka lagi. Adakah Adam juga sudah turut membenciku? Punya siapakah lagi aku di sini?

    Ya Allah, aku tidak boleh bersikap demikian, aku harus berusaha. Biar apapun yang terjadi syurga aku terletak di tangan Adam, jika dia redha denganku maka InsyaAllah aku akan ditempatkan dikalangan orang yang baik di akhirat nanti. Jika tidak, nauzubillah. Tidak sanggup untuk aku membayangkan keadaan aku di akhirat sana nanti.

    Aku segera mencapai beg tanganku dan melangkah keluar dari pintu pejabat. Pesanan sempat aku tinggalkan buat Amira mengatakan yang aku punya urusan penting. Keretaku pandu menuju ke arah klinik Adam yang terletak di Setia Avenue.

    Klinik suamiku tersergam indah dihadapanku. Sungguh indah dekorasi dan hiasan dalamannya. Inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke klinik Adam setelah sekian lama ia didirikan. Bukan aku tidak mahu ke sini, namun aku agak alergik dengan bau klinik ataupun hospital. Baunya membuatkan kepalaku pening. Nasib baik Adam tidak membawa pulang bau itu bersama, jika tidak jenuh aku untuk menahannya.

    Aku melangkah masuk ke dalam klinik itu dengan hati yang gundah gulana. Aku bimbang Adam tidak mahu mendengar kata-kataku. Memikirkan kebarangkalian itu yang akan berlaku sudah cukup membuatkan aku sebak dan patah hati. Aku menarik nafas panjang. Tidak mengapa Syafira, sekurang-kurangnya aku mencuba.

    "Ya cik, boleh saya bantu?" soal seorang jururawat yang sedang bertugas di hadapan kaunter.

    "Saya nak jumpa doktor Adam" jawabku.

    "Boleh, sekejap ya, saya bagitahu beliau dahulu"kata jururawat itu.

    "Okey, cik boleh masuk" katanya kepadaku. Aku mengucapkan terima kasih sebelum meneruskan langkah.

    Kini, pejabat Adam berada dihadapanku. Aku menarik nafas sebelum memulas tombol pintu biliknya.

    "Assalamualaikum..." Aku tidak mampu menyambung kata kerana terlalu terkejut melihat Adam dan Kak Zura duduk berdua di sofa. Tergamam aku seketika.

    "Waalaikumussalam. Ada apa Ira datang sini?"soalnya dengan dingin. Hatiku tersentap dengan reaksinya. Rasa sebak mula menguasai diri. Sampai hati dia berbicara sebegitu, aku sudahla sakit, namun aku tetep menguatkan diriku untuk datang menemuinya. Sedikitpun dia tidak menghargai aku.

    "Saya nak jumpa awak, berdua je" kata aku merujuk kepada kehadiran Kak Zura disitu.

    "Abang sibuk sekarang. Lagipun Azura dah ada dekat sini" katanya dengan dingin. Sekali lagi aku tergamam dengan kata-katanya itu. 'Azura dah ada'? Maknanya dia tidak perlukan aku di sini? Atau aku sudah tidak diperlukan di dalam hidupnya?

    "Se...sekejap sahaja"rayuku dengan sebak. Setitis airmataku jatuh ke bumi. Pandangan sinis Kak Azura tidak aku hiraukan.

    "Takkan tak faham bahasa kot. Orang tak nak jumpa. Balikla" sindir Kak Azura.

    Hatiku bagaikan dicarik-carik, aku memandang Adam, pandangannya tidak terarah kepadaku. Mukanya juga kelihatan tegang. Mana cintanya kepadaku? Adakah semua kata-katanya sebelum ini satu pembohongan?

    "Awak..."aku memanggilnya dengan sayu.

    "Baliklah dulu. Abang tak nak tengok muka Ira buat sementara waktu ini"

    Nadanya lembut namun kata-katanya bagai membunuh hatiku. Hancur harapanku. Mengapa dia berubah sebegini rupa. Andai aku salah tidak mengapa jika aku diperlakukan sebegini rupa namun aku langsung tidak bersalah. Aku yakin aku sudah melakukan yang cukup terbaik untuk menjaga statusku sebagai isterinya. Namun masih tidak mencukupi barangkali.

    "Kalau macam tu tak apalah. Saya balik dulu. Assalamualaikum" kataku dengan suara yang serak.

    Airmataku mulai jatuh dengan lebatnya ke bumi. Perlahan-lahan aku melangkah keluar dari biliknya. Kepalaku yang semakin berdenyut dan bahang panas yang melanda diri tidak aku hiraukan.Apa yang aku fikirkan, aku mahu pulang ke rumah dengan cepat. Tidak betah untuk aku berlama-lama disini. Sewaktu aku melangkah menuju ke pintu keluar, aku terlanggar jururawat tadi yang dalam perjalanan ke tempat duduknya. Serta merta pandanganku gelap dan aku rebah ke lantai.

    "Cik, cik tak apa-apa ke? Doktor Adam!" Jururawat itu agak panik. Aku cuba bangun kembali namun tidak berjaya. Kudrat ku seakan-akan hilang.

    "Ya Allah, Ira!" dia menerpa ke arahku dan memegang tubuhku.

    "Panasnya!"dia berkata dengan suara yang agak cemas.

    Aku menolak lemah. Tidak mahu memandang wajahnya lagi. Cukup sudah dia melukakan hatiku, aku tidak mahu dia menambahnya lagi. Aku cuba berdiri namun sekali lagi pandanganku gelap dan aku rebah tetapi kali ini dia sempat meyambutku sebelum sempat aku terjelepuk ke lantai. Akhirnya aku di bawa ke alam mimpi yang indah di mana tiada siapa lagi yang akan melukakan hatiku.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Adeeba Eryna