Home Novel Cinta With All My Heart
Bab 25 : Shocked!

                                                               BAB 25


    Tepat pukul lapan pagi aku bangun dari tidur, setelah solat subuh aku tertidur kerana terlalu penat, fizikal dan mental. Fizikal kerana terlalu banyak berjalan. Mental pula kerana menahan perasaan diuji dengan perangai Doktor Adam Hariz yang semakin menjadi-jadi. Tension aku!

    Dengan mamai aku melangkah menuju ke bilik air yang dibina di dalam rumah tumpangan itu. Uniknya bilik air ini, ia diperbuat sepenuhnya berkonsepkan sauna yang mana menempatkan bath tub, shower, tempat duduk kayu dan tandas. Sungguh menarik.

    Aku menolak daun pintu yang diperbuat dari kayu sambil tangan kiriku memegang tuala. Bunyi sesuatu jatuh ke lantai menyebabkan mataku terbuka luas. Aku tercari-cari dari mana bunyi itu datang kemudian aku terpandangkan sebotol sabun mandi yang jatuh dihadapanku. Oh, botol shower cream rupanya, aku ingatkan apalah tadi. Eh, sekejap, dari mana pula datangnya botol ni? Aku mengalihkan pandangan dari lantai ke atas.

Ya, Allah!

    "Makkk!!"Aku menekup mata dengan kedua-dua belah mataku sebelum memecut meninggalkan bilik air setelah melihat satu pemandangan yang sungguh tidak ku sangka.

    Aku memasuki bilik tidur dan melompat masuk ke dalam futon kemudian aku menyelubungkan seluruh tubuhku dengan selimut. Oh tidak! Mataku sudah tidak suci lagi! Ya Allah, malunya, aku tidak tahu di mana harus ku campak muka ini.

    Macam mana dia boleh ada dalam tu? Kalau ya pun mandi, kuncilah pintu. Takkan tu pun tak tahu? Common sense kot! Macam mana ni? Susuk tubuhnya yang tidak berpakaian itu masih terbayang-bayang di ruang mata. Adam juga kelihatan amat terkejut melihat aku yang tiba-tiba berada di dalam bilik air itu. Wajahnya turut berubah pucat dan terpaku seperti aku.

    Puasku gosok mata berulang kali namun mataku masih membayangkan kejadian tadi. Ah sudah, apakah yang harus aku lakukan? Entah mengapa aku merasakan seperti kejadian ini wataknya tertukar. Kebiasaannya watak wanita yang memainkan peranan Adam dan watak lelaki membawa perananku namun semuanya terbalik. Ish, macam-macam yang berlaku kepada aku akhir-akhir ini dan semuanya memalukan. Aigoo, naega ottokhaeyaji?(Aduh, apa yang harus aku lakukan?)

    Setengah jam berlalu, aku masih berselubung di dalam selimut, langsung tidak mempunyai niat untuk keluar dari bilik ini. Adam juga tidak menjejakkan kaki ke sini, barangkali dia juga malu seperti aku. Tiba-tiba aku terasa kelakar, kalau betul dia malu memang dia buat lawak antarabangsa. Tahu malu juga dia, selama ini asyik aku yang diusik dan dikenakan, kini dirinya yang terkena. Padan muka, hahaha.

    Aku mengerling ke arah jam yang terletak di meja kecil di sebelah kanan dinding, sudah hampir pukul sembilan pagi, aku harus segera bersiap dan menyediakan sarapan pagi untuk kami berdua sebelum bergerak ke destinasi kami yang seterusnya. Mahu atau tidak aku terpaksa juga keluar dari kamar tidur ini.

    Kiri dan kananku pandang berulang kali, tiada kelibatnya kelihatan, aku segera menuju ke bilik air dan membersihkan diri. Usai membersihkan diri aku menunaikan solat sunat dhuha sebelum menuju ke dapur dan menyediakan makan tengahari kami. Menu utama sarapan pagi hari ini ialah kimchi bokkeum bap (Nasi goreng Kimchi) dan tea hijau. Biarpun aku sibuk menyediakan sarapan, fikiranku masih melekat pada peristiwa tadi. Bagaimana aku ingin berdepan dengannya nanti?


     Aku menuang air tea hijau ke dalam cawannya dan aku langsung tidak memandangnya yang berada di hadapanku. Selesai memasak aku segera menghidang sarapan kami ke atas meja yang tersedia dan dia melabuhkan punggung di kusyen kecil yang tersedia tanpa sempat aku panggil. Hairan juga aku, kemana dia menghilang sebentar tadi.

    Melihatkan tanganku yang terketar-ketar ketika menuangkan air ke cawan, dia segera memegang cawannya itu bimbang akan tumpah barangkali. Namun, dia langsung tidak bersuara, jika diikutkan perangainya sudah tentu dia akan mengusik dan mengenakan aku sepuas hatinya. Mungkin tepat perkiraanku tadi, dia malu! Tahu malu juga dia ni rupanya, aku ingatkan muka tembok. Ingin sahaja aku tergelak, namun aku tahan sedaya upayaku.

    Sewaktu aku menghulurkan sepinggan nasi goreng kimchi ke arahnya, mata kami bertentang dan dia segera mengalihkan pandangannya ke tempat lain wajahnya juga berubah merah. Ketawa sudah tidak mampu kutahan dan akhirnya aku hamburkan di hadapannya. Terbahak-bahak aku ketawa mengenangkan wajahnya sebentar tadi, sungguh comel.

    "Kenapa Ira gelak?"soalnya dengan wajah yang merah menahan malu.

    "Muka awak kelakar sangat"jawabku kemudian menyambung kembali ketawa yang tertangguh itu.

    Dia mempamerkan wajah yang tidak puas hati. Bibirnya juga mencebik geram kepadaku. Pertama kali aku melihat reaksinya sebegini. Ya Allah, kenapalah comel sangat pak cik ni?! Geram aku dibuatnya, rasa nak cubit-cubit je pipi dia.

    "Okey, okey, rileks sudah, saya dah lupa pun pasal tadi. Dah jangan malu-malu"ujarku bersama sengihan. Sambil itu aku menepuk-nepuk bahunya memberi sokongan.

    Kesian pula melihat dia yang seperti cacing kepanasan itu. Hmm...bila difikirkan balik, sungguh dalam scene ini, wataknya bertukar, aku terasa seperti memujuk perempuan pula. Hahaha...lawak sungguh!

    Akhirnya kami makan dengan tenang biarpun beberapa kali juga aku hampir tercekik menahan ketawa yang ingin pecah. Astaghfirullah, tak senonoh langsung aku ni.


    Tepat pukul sebelas pagi, kami tiba di destinasi kami untuk hari yang kedua di Pulau Jeju iaitu Cheonjeyeon Waterfall. Cheonjeyeon membawa pelbagai maksud di dalam konteks sejarah dan mitos tempat ini antaranya tempat 'penghubung langit dan darat' atau 'kolam dewa'. Terdapat juga mitos mengatakan di sini merupakan tempat tujuh dewi bermandi-manda sama seperti mitos-mitos di Malaysia.

    Aku menarik nafas dan menghidu udara segar disini, sungguh indah air terjun ini, namun air terjun-air terjun di Malaysia tidak kurang hebatnya cuma perlu di jaga kebersihan dan dipromosi dengan cara yang efektif, InsyaAllah, mungkin suatu hari nanti Malaysia juga bakal di kenali dengan keindahan air terjun dan alam semula jadi seperti Korea.

    Melihat alam yang sungguh indah ini membuatkan aku terlupa seketika akan masalah yang melanda diri. Masalah kerja dan rumah tangga aku tolak ke tepi. Aku mengerling memandang Adam, dia turut terleka melihat pemandangan air terjun yang berada dihadapan kami. Secara tidak sedar aku mencapai lengannya dan memeluk dengan erat sambil pandanganku masih kuarahkan ke hadapan kami. Dia terkejut dengan tindakanku namun hanya membiarkannya bersama senyuman di bibir. Kami berjalan seiringan, menikmati alam ciptaan-Nya sambil memateri cinta kami berdua disini. Sungguh indah!

    "Awak malu lagi pasal pagi tadi ke?"usik ku sambil tersengih. Dia membulatkan mata memandangku.

    "Mana ada abang malu!"marahnya sambil mencubit pipi aku geram. Aku terkekek-kekek ketawa melihat reaksinya. Tak malu konon, muka dah berubah merah dah pun. Aduhai, suami aku ni...

    Kami terus menikmati keindahan alam semula jadi ini tanpa sebarang kata, hanya pandangan mata dan sentuhan tangannya yang menghubungkan kami. Sungguh romantis!

    "Syafira Arissa?" kedengaran satu suara menegur.

    Aku dan Adam tersentak. Siapa pula la yang mengacau saat-saat romantik aku ni? Aku menoleh ke belakang. Aku terkaku melihat seraut wajah yang berada dihadapanku. Bibirku mula berubah pucat dan lidahku kelu. Bagaimanakah mana dia boleh berada di sini? Tidak pulang ke Malaysiakah dia?

    "Idham?"terkeluar namanya dari bibirku.

    Dia menguntumkan senyuman. Aku dan dia saling berpandangan. Pandangannya penuh sayu sehingga menyebabkan aku segera menundukkan pandanganku. Ya Allah, tidak aku duga, takdir-Mu menemukan kembali aku dengannya.

    Tiba-tiba aku terasa pegangan tanganku digengam kemas. Aku pantas mendongak ke atas, astaghfirullah, aku terlupa Adam berada disisiku. Wajahnya mula berubah riak. Pandangan mata kami bertembung dan pandangannya penuh dengan tanda tanya.

    "Syafira..."sekali lagi Idham bersuara memanggil namaku. Pandangan aku kembali terarah kepadanya.

    Apa yang harus aku lakukan? Sungguh aku mengharapkan yang dia tidak muncul lagi di hadapanku setelah aku menamatkan pengajiannku, tetapi apakan daya, bukan di Malaysia, tetapi di Korea juga kami bertemu kembali.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Adeeba Eryna