Home Novel Cinta With All My Heart
Prolog

  Prolog yang telah diedit dan diupdate kembali, mohon terus menanti sambungannya ^^                                 



                                                                      PROLOG

Aku melangkah keluar dari pintu ketibaan sambil melilau-lilau mencari kelibat Doktor Adam atau lagi sesuai ku kenalkan sebagai abang angkatku. Kepulanganku pasti dinantikan oleh keluargaku di sini. Rindu betul kepada mereka semua. Bagaimanakah keadaan mereka disini? Pemergianku ke Korea untuk menyambung pelajaranku dalam bidang kejuruteraan memang satu keputusan yang tidak diduga oleh mereka semua. Mereka semua terkejut dengan keputusan aku secara drastik itu namun apakan daya, rasa hati tetapku ikutkan jua.

KLIA pun dah berubah sebegini banyak, bagaimana dengan keluargaku? Aku harap mereka masih seperti dulu, dapat menerima aku seadanya. Dadaku cuba menahan getaran yang melanda diriku ini. Aku juga tidak sangka demi cinta aku sanggup membawa diriku sejauh itu. Mungkin dulu aku membuat keputusan dengan agak terburu-buru. Sebaik sahaja aku menerima tawaran JPA untuk menyambung pelajaran di Korea dalam bidang kejuruteraan Elektronik, tanpa berfikir panjang aku terus menerimanya. Keputusan itu juga kubuat tanpa mengambil kira pendapat Umi dan Abang Adam. Mungkin mereka terasa hati dengan keputusanku. Tetapi kini aku bersyukur dengan segala yang Allah SWT kurniakan. Aku berjaya lulus dengan cemerlang dan beberapa tawaran kerja sudah kuterima namun keputusan masih belum kubuat. Mungkin aku perlu meminta pendapat orang yang telah bersusah payah menjagaku sebelum membuat apa-apa keputusan. Aku tidak mahu dibilang anak yang tidak tahu berterima kasih. Sejak kematian orang tuaku enam tahun yang lalu, Umi dan Abang Adam yang telah menghulurkan tangan membantuku yang kehilangan tempat bergantung.

Bagaimanakah agaknya keadaan Abang Adam sekarang? sudah berkahwinkah? Kalau dikira-kira umurnya sudah pasti mencecah 31 tahun. Mungkin saja anaknya dah berderet-deret. Hatiku berdetak kencang. Memikirkan keadaan lelaki itu sahaja mampu membuatkan aku hilang arah begini. Masih cintakah aku kepada Abang Adam? Tidak! Rasa itu sudah ku buang jauh! Sejak peristiwa itu, aku sudah membuang rasa cinta aku kepadanya. Tetapi mengapa harus hatiku berdegup sebegini kencang? Lima tahun sudah berlalu, tak mungkin aku masih menagih cinta darinya. Mainan perasaan barangkali. Ah, lupakan semua itu. Aku akan memulakan hidup baru, semoga Allah membantuku ke jalan yang benar dan menemukan aku dengan jodoh yang terbaik buatku.

Kakiku melangkah perlahan ke arah satu kerusi yang disediakan untuk orang ramai duduk. Hatiku berdegup kencang. Itukah dia? Betul ke itu dia? Handsomenya dia...Ya Allah, apa aku merepek ni! Bertenang! Bertenang Ira! Alamak, kaki aku rasa kecut la pulak! Dia kelihatan sedang membaca sebuah buku. Sesekali dia mengerling ke arah jam, mungkin dia dah lama menunggu ketibaanku. Rupa parasnya masih seperti dulu cuma badannya kelihatan agak sasa, dah berminat nak jadi ahli bina badan agaknya dia ni. Hehe... Ya Allah, aku merepek lagi! Relaks! Okay, buat macam biasa aje! Cukuplah sekali kau dah memalukan diri kau dulu Ira,jangan nak buat hal lagi! Langkah demi langkahku atur, kini jarak yang memisahkan kami hanyalah 1 meter. Aku cuba meyakinkan diri untuk menegurnya.

"Assalamualaikum, Ab...Abang dah lama tunggu?"soalku dengan agak gagap. Wajahnya kupandang.

Abang Adam tersentak apabila dia mendengar suara aku menegurnya. Lantas, kepalanya didongak. Dia kelihatan terpaku seketika apabila melihat aku berada di hadapannya. Er, pelik sangat ke pakaian aku?

"Waalaikumussallam..Ma...maaf, saya tidak kenal saudari. Mungkin saudari salah orang." balas Adam. Matanya tidak lepas dari memandang aku.

'Aik, Abang Adam dah buang tabiat ke apa? Takkan dah tak kenal aku? Dahla bersaudari bagai, tak habis-habis dengan formaliti yang dia praktikkan apabila dia bersama pesakit'

Dia memandang aku dengan lebih teliti, agaknya Abang Adam berfikir dimana agaknya dia pernah berjumpa dengan dengan aku.

"Abang Adam...ini Syafira Arissa la. Adik angkat abang" ujar aku cuba meyakinkan dia. Mungkin dia dah lupa akan wajahku. Maklumlah, aku bukan orang penting baginya.

"Syafira? Ira?! Ya Allah,abang betul-betul tak cam Ira. Ira lain sangat.Abang...er abang..."

Buat seketika dia kehilangan kata-kata. Mungkin dia tidak menyangka aku akan berubah sebegini rupa. Dengan jubah dan shawl labuh berwarna merah jambu, aku akui aku memang sudah berubah. Jika dahulu aku tetap menutup aurat tetapi hanya biasa-biasa dan kini aku mahu auratku ditutup dengan lebih sempurna. Tidak lupa juga, tubuhku sedikit berbeza, jika dulu badanku agak berisi, kini aku sedikit langsing, bukan kerana aku berdiet tetapi terlalu sibuk menguruskan pelajaranku yang sememangnya course paling susah di Universitiku. Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik memang memerlukan subjek Fizik dan Matematik yang tinggi. Lelah juga aku dibuatnya tapi Alhamdulillah aku berjaya menjadi salah seorang graduasi yang berjaya dari Korea.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Adeeba Eryna