Home Novel Cinta With All My Heart
Bab 23 : Oh, Outlet

                                                                BAB 23


    Subuh pagi itu aku dikejutkan Adam dan kami solat subuh bersama sebelum mengemaskan barang-barang dan bersiap-sedia untuk bertolak ke Pulau Jeju. Kami akan bertolak ke Gimpo airport dan menaiki penerbangan dari sana ke Pulau Jeju. Sedang aku dan Adam menunggu bas untuk ke sana, aku terimbau kenangan semalam.

    Aku menyumbat segala kebab dan kentang bakar secepat mungkin ke dalam mulut. Semakin lama duduk berdua dengannya, semakin takut aku dibuatnya. Aku langsung tidak memandang wajahnya setelah apa yang dia lakukan tadi. Memanglah aku seronok tengok adegan-adegan sebegitu di dalam drama-drama korea, tetapi apabila terjadi kepada diri sendiri, sesak nafas dibuatnya.

    "Makan tu pelan-pelan. Kalau sayang tercekik abang juga yang susah" aku tersentak.

    Mendengar suaranya saja sudah membuat aku seram sejuk. Perasan pula dia apa yang aku sedang lakukan. Apa yang aku tahu dari tadi lagi pandangan matanya hanya tertumpu pada televisyen di hadapan kami. Tanpa membalas kata-katanya aku menghabiskan makanan dan segera menggosok gigi lalu terus melompat ke atas katil. Sambil menyelubungkan seluruh tubuhku, aku berdoa agar aku selamat. Ya, Allah, aku tidak bersedia lagi.

    "Takut benar dekat abang. Tak pe, satu hari nanti, Ira sendiri yang akan datang kepada abang" katanya sambil tergelak kecil. Aku hanya menelan liur di dalam selimut. Apa yang dia maksudkan pun aku tidak tahu. Ah, lantakla, yang penting buat masa ni aku masih selamat.

    Aku mengeluh mengingatkan peristiwa semalam. Hari pertama sudah berlalu, lagi empat hari aku akan berada di sini. Terasa sayu pula mengingatkan yang aku akan pulang ke Malaysia dalam masa yang terdekat.

    Akhirnya, tepat pukul sepuluh pagi, kami tiba di Gimpo Airport. Penerbangan kami tercatat tepat pukul satu petang. Masih ada beberapa jam masa terluang jadi aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di Lotte Mall.

    "Awak kita pergi jalan-jalan ke sana sekejap nak tak?" ajakku dengan teruja. Bangunan Lotte Mall sudah tersergam indah di mataku.

    "Boleh, hati-hati kenderaan banyak tu. Tunggu abang, kita pergi sama-sama" katanya dari belakang.

    Aku tidak memperdulikan kata-katanya. Dia ingat aku budak-budak ke apa? Aku dah besarlah, umur dah nak masuk dua puluh tiga dah pun, takkan melintas jalan tak pandai? Geram betul.

    Aku mempercepatkan langkah menuju ke laluan pejalan kaki yang tersedia. Apabila melihat lampu isyarat pejalan kaki bertukar hijau, aku segera melangkah. Tidak aku sangka, ada sebuah kereta laju memecut dari jauh dan tidak sempat berhenti di garisan yang sepatutnya. Aku tergamam melihat kereta itu memecut ke arahku. Orang-orang disekeliling turut menjerit kerana terkejut manakala aku bagaikan terpaku di situ.

    "Ira!" satu suara hadir dari belakang dan menarik tanganku seraya tubuhku ke pangkuannya. Aku memejamkan mata dengan rapat. Hatiku bagaikan berhenti berdenyut. Ya Allah, aku masih hidupkah?

    "Ira? Ira tak apa-apa?"soal satu suara garau, kedua-dua belah tangannya memegang pipiku dengan kemas. Matanya tepat memandang ke wajahku. Dia juga kelihatan amat risau. Beberapa saat kemudian aku mulai kembali ke alam nyata.

    "Saya okey" jawabku dengan ringkas.Hatiku yang lemah kerana terkejut ini cuba ku kuatkan kembali. Syukur dia ada kalau tidak belum tentu aku masih bernyawa pada waktu ini.

    "Abang dah cakap tadi. Hati-hati. Tengok apa dah jadi!" Marahnya sambil mencubit pipiku dengan kuat. Aku mengaduh kesakitan.

    "Sakitlah awak. Saya tahu, saya yang salah"jawabku sambil menggosok pipiku. Pak cik ni boleh tahan dia punya cubitan.

    "Meoshissoyo(hebatnya)" kedengaran beberapa orang yang melihat kejadian tadi berkata demikian. Ada juga yang bertepuk tangan. Aku mula tersipu-sipu. Mereka ingat kami berlakon drama agaknya.

    "Neomu chalsangyeoyo( sangat kacaknya)" beberapa pelajar sekolah menengah berkata sesama mereka. Ish budak ni, aku tahula suami aku ni handsome, tak payahlah nak pandang-pandang sangat.

    "Jomlah awak, malu la. Diorang pandang" aku segera mengajaknya pergi dari situ.

    "Diorang cakap apa?"soalnya kepada aku.

    "Er...entah" Lebih baik dia tidak tahu, nanti ada yang kembang setaman.

    "Jomlah kita pergi" ujarnya sambil memegang tanganku dengan erat. Mungkin dia perasan wajahku mula merah menahan malu apabila menjadi perhatian penduduk korea ini.

    Disebabkan peristiwa tadi, kemana sahaja aku ingin pergi pasti Adam akan turut sama berada denganku. Tidak di biarkan aku keseorangan. Rimas aku apabila tangannya tidak reti hendak diam. Sekejap dia memegang tanganku, kemudian pinggangku. Ingin sahaja aku menghalang namun apabila diingatkan peristiwa tadi, aku tidak jadi menghalang. Nampak tak betapa besarnya kuasa suami terhadap isteri? Aku baru sahaja tidak mendengar perintahnya supaya menunggu dia sebelum melintas jalan, Allah SWT dah bagi peringatan secara tunai. Lepas ini, tidak berani lagi untuk aku mengingkarinya. Serik.

     Kami melangkah masuk ke pusat membeli belah ini dengan pegangan tangannya masih erat di pergelangan tanganku. Perlahan-lahan aku cuba merungkainya.

    "Awak pergilah tengok barang-barang dekat sana. Saya hendak beli barang sikit" kataku sambil cuba melepaskan pegangan tangan sasanya dari lenganku.

    "Kita pergi sama-sama lah"ujarnya. Aku tersentak. Ish, dia ni, aku hendak beli pakaian wanita la. Tak payah la ikut sama.

    "Tak apalah, saya pergi sekejap je, lima belas minit kemudian kita jumpa dekat sini balik" ujar aku cuba meyakinkan dia. Akhirnya dia bersetuju.

    

    Aku segera bergerak ke arah outlet yang menjual pakaian dalam wanita. Entah bagaimana aku boleh tertinggal pakaian yang telah aku susun kemas sebelum bertolak ke KLIA. Terpaksalah aku membeli beberapa helai yang baru kerana bekalan yang ada tidak mencukupi.

    Aku membelek satu persatu pakaian dalam yang terjual di situ. Pelbagai warna dan corak yang dipamerkan. Keliru juga untuk aku memilihnya.

    "Ambillah yang tu, lawa abang tengok"satu suara kedengaran dari belakang.

    "Ommaya!(Oh, mak!)" aku melatah kerana terkejut. Pakaian dalam yang aku pegang entah kemana tercampak. Bila masa pula dia ada di sini? Dia mengekori akukah? Muka aku mulai merah menahan malu.

    "Apa awak buat kat sini, tempat ni hanya untuk perempuanlah!"marah aku namun suara masih aku perlahankan takut-takut ada pelanggan yang terganggu.

    "Abang masuk tadi okey je, perempuan yang jaga dekat depan outlet tu siap alu-alukan lagi" bidasnya. Aku mengetap bibir. Nasib baik dia buat perangai dekat negara orang, kalau dekat Malaysia tak tahulah aku hendak letak muka dekat mana.

    "Dahlah, pergila tempat lain, saya nak cari barang saya" aku segera menghalaunya.

    "Biar abang tolong sama" ujarnya lalu turut sama mencari pakaian dalam untukku. Ya Allah, muka aku ni dah macam udang kena bakar rasanya.

    "Awak, karang saya mengamuk baru tahu. Pergi tempat lain,cepat!"arah aku dengan tegas.

    Petugas yang bertugas di bahagian outlet itu mula tersengih-sengih melihat aku dan Adam bergaduh. Tak payah gembira sangat lah adik, hati akak tengah terbakar sekarang ni. Setelah beberapa minit berperang dengannya, dia akhirnya menurut kata-kataku. Aku menghela nafas lega. Aku harus segera menyelesaikan urusanku dan pergi dari sini. Memalukan betul!

    "Sayang, abang nak belikan sayang yang ni satu" dia muncul lagi sambil tersengih.Aku menepuk dahi, dia ni memang degil betullah! Aku memandang pakaian yang dipegang di tangan kanannya. Terbeliak mata aku memandang pakaian yang berwarna merah hati itu. Subhanallah, night dress yang sungguh seksi! Nasib baik tak sakit jantung aku dibuatnya.

    "Tak mungkin saya pakai. Pergi letak balik!"semakin lama semakin panas aku rasa melayan perangai suami aku ni. Lebih daripada budak-budak!

    "Abang dah buat keputusan, abang hadiahkan ini untuk sayang. Jangan lupa pakai tau" katanya dengan selamba sebelum mencapai pakaian dalam yang aku pilih dan baju tidur yang dipilihnya lalu dibawa ke kaunter pembayaran.Aku tergamam.

    Ah, kepalaku. Pening. Migrain aku dibuatnya. Sakit hati, sakit jiwa, sakit raga, semua ada! Geramnya aku! Melihatkan senyuman nakal pekerja dan pelanggan di situ sahaja sudah membuatkan aku bagaikan ingin menyorokkan muka. Nasib baik semua yang ada di outlet ini perempuan kalau ada lelaki memang kena penumbuklah si Adam tu.

    Kedua-dua belah kakiku kini telah mendarat di tanah Pulau Jeju yang merupakan salah satu tempat yang paling popular di Korea. Malah, bagi penduduk Korea sendiri, mereka sangat teruja jika dapat menjejakkan kaki ke sini. Kami berdua menunggu kedatangan Jung Hwa di ruang menunggu yang disediakan di lapangan terbang Antarabangsa Jeju ini. Sambil itu kami berdua melihat peta dan tempat-tempat menarik yang disyorkan di sini.

    Setelah Jung Hwa menjemput kami berdua semalam, dia terus kembali ke Pulau Jeju untuk menguruskan penginapan kami dan juga beberapa kerjanya yang terbengkalai. Katanya, dia sedang menjalankan kajian untuk menaiktaraf elektrik di kawasan kampung di Pulau Jeju ini. Almaklumlah, dia juga jurutera elektrik seperti aku.

    "Mianhae, neujosso. (maaf, saya lambat) How was your first day?" soalnya kepada aku dan Adam sewaktu kami berada di dalam keretanya.

    "It was great. Thanks for helping us" balas Adam kepadanya. Mereka saling berbalas senyuman.

    Aku pula hanya diam. Malas hendak masuk campur dalam perbualan mereka tambahan pula mereka berdua macam seronok dapat berbual bersama. Si Adam ni pun, tak payahlah senyum lebih-lebih sangat. Karang Jung Hwa ni jatuh hati, parah jadinya.

    "Sayang senyap je. Pening ke?"soalnya kepadaku.

    Aku hanya menggeleng. Bukan sakit kepala, sakit hati! Baru aku perasan, aku ni kuat cemburu juga. Ya Allah, aku terlalu ikutkan hati padahal Jung Hwa tu rakan karib aku sendiri. Kalaulah Jung Hwa tahu apa yang aku fikirkan, mati aku dibelasahnya.


    Setengah jam kemudian, kami tiba di rumah tumpangan yang dimaksudkan. MasyaAllah, sungguh indah dan nampak versi rumah kampung yang cuba diketengahkan oleh rumah tumpangan ini. Aku segera masuk ke dalam rumah yang diperbuat dari kayu itu. Teruja aku dibuatnya apabila melihat suasana rumah tumpangan itu.

    Rumah ini direka seperti chalet dimana setiap rumah dilengkapi dengan dapur, bilik air, tempat tidur dan ruang istirehat. Kami diberi sebuah rumah VIP yang mana kawasannya lagi indah dan juga dilengkapi sebuah kolam ikan yang seperti di dalam drama tradisional korea. Aku berterima kasih kepada Jung Hwa dan ibunya yang telah bersusah payah membantu kami. Malah, apa yang mengejutkan kami, bayaran sewa selama empat hari langsung tidak dikenakan untuk kami berdua. Kata Jung Hwa, ini hadiah pernikahan kami dari mereka sekeluarga. Sungguh terharu aku dibuatnya. InsyaAllah aku akan melawat ibu Jung Hwa sebelum pulang ke Malaysia. Rindu juga aku kepada ibu angkat aku sewaktu aku belajar di sini dulu.

    "Patutlah Ira tak pernah balik Malaysia selama lima tahun Ira belajar di sini. Ira punya ramai kawan-kawan yang baik di sisi Ira"katanya sewaktu aku sedang bersiar-siar di kawasan hadapan rumah tumpangan kami. Aku berpaling ke belakang dan memandangnya.

    "Alhamdulillah, Allah kirim insan-insan yang berhati mulia untuk membantu saya sepanjang lima tahun saya berada di Korea"jawabku dengan senyuman.

    "Selama lima tahun Ira disini tak pernah terlintaskah di hati Ira akan diri abang? Tidak teringatkah Ira kepada abang yang berada di Malaysia ketika itu?"soalnya lagi. Kali ini dengan nada yang sayu. Aku juga turut tersentuh.

    "Bohonglah jika saya tidak ingat kepada awak. Awak cinta pertama dan juga cinta terakhir saya jika jodoh kita berkekalan. Saya selalu mendoakan kebahagian awak sekeluarga biarpun kita berjauhan. Kerana itu juga saya sangat terluka bila awak menduakan saya. Saya tahu awak ada alasan tersendiri mengapa awak memilih Kak Zura daripada saya. Mungkin awak cintakan dia lebih daripada awak sayangkan saya. Semua persoalan itu selalu bermain di minda saya. Tapi apakan daya, kita dekat tapi terdapat pelbagai halangan yang menjauhkan kita" luah hati aku. 

    Aku sendiri terkejut dengan luahan perasaan aku kepadanya. Mungkin kerana aku tersentuh dengan segala tingkahnya kepadaku selama beberapa hari ini. Selesai berkata aku memalingkan tubuhku ke belakang. Sebak pula rasa hati ini. Aku mula berkira-kira ingin melangkah pergi namun satu pelukan hangat dari belakang menghalang langkahku.

    "Abang mohon Ira percayakan abang. Satu hari nanti Ira akan faham semuanya. Abang sungguh tidak sangka selama ini Ira punya perasaan kepada abang seperti mana abang. Abang tahu ini semua salah abang. Jika abang bertindak dengan lebih bijak dulu, mungkin Ira tidak akan menyambung pelajaran di Korea dan mungkin juga sekarang kita sedang bahagia . I was trying to protect you. Abang tak nak Salina lukakan Ira tetapi sebaliknya abang sendiri yang mencipta parut di hati Ira. Abang minta maaf" ujarnya dengan nada yang sedih.

    Aku tersentuh dengan luahan hatinya. Seperti yang aku sangka, Adam bertindak demikian untuk melindungi aku dari Kak Salina. Dia tak nak aku terluka. Jika itu niatnya aku mengerti, cuma tentang Kak Zura aku belum pasti. Mungkin aku perlu menaruh kepercayaanku seperti mana yang Adam inginkan.

    "Percayalah, cinta abang hanya untuk Ira" sekali lagi dia menegaskan perasaan hatinya.

    Aku menikmati masa indah kami dengan penuh kesyukuran, jika di Malaysia mungkin agak sukar untuk kami bersama seperti ini memandangkan pelbagai halangan yang tersedia di hadapan kami, Kak Zura, Umi dan juga masa yang amat mencemburui kami berdua. Semoga jodoh kami berkekalan.


    Petang itu, aku memasak beberapa jenis makanan untuk kami berdua di dapur yang tersedia. Aku terharu apabila melihat sayur serta bahan basah tersedia di dalam peti ais antaranya, telur, sotong, udang ketam dan ikan. Kesemuanya hidupan laut. Jung Hwa telah bersusah payah untuk aku dan Adam. Masih ingat dia akan cara hidup orang Islam yang tidak membenarkan makanan yang tidak halal . Disini agak susah untuk mendapatkan daging dan ayam yang halal melainkan jika disembelih sendiri.

    Selepas solat asar, mengikut perancangannya kami akan ke Hallim park yang hanya mengambil masa lebih kurang dua puluh minit dari tempat kami menginap. Kami menikmati makanan masakan korea yang sememangnya aku mahir iaitu maeuntang. Maeuntangmerupakan sejenis sup pedas yang kebiasaannya menggunakan hidupan laut sebagai bahan utama seperti ikan.

    Memandangkan segala perkakas yang diperlukan seperti kochujang(pes cili) dan kochu karo(serbuk cili) disediakan di dalam rumah ini aku mampu memasak masakan korea dengan mudah. Kedua-dua bahan di atas amat sukar diperolehi di Malaysia melainkan di pasar raya besar. Bagi masyarakat korea, kochujang amat penting dari segi penyediaan makanan malah ada yang mempunyai rahsia yang tersendiri bagaimana menghasilkan kochujang yang enak.

    "Ira tak pernah cakap dengan abang yang Ira pandai masak masakan korea"ujarnya sewaktu kami makan bersama di meja kecil yang disediakan. Kami duduk bersila di lantai seperti masyarakat korea dahulu kala. Sungguh nostalgik aku rasakan.

    "Awak tak pernah tanya"jawabku dengan selamba.

    "Ira ni kan, cuba jawab elok-elok, karang abang buat scenesemalam baru tahu. Kalau kali kedua tak ada indirect dah, directly abang buat"ugutnya. Aku terus terduduk tegak. Takut oi...

    "Yelah, yelah. Ira pernah masak kat rumah Umi tapi sekali je sebab barang-barang yang diperlukan susah hendak dapat di Malaysia. Lagipun, saya tak rasa awak suka makanan korea kan?"soalku kembali.

    "Kalau Ira yang masak, batu dan kayu pun abang makan"jawabnya dengan sambil tersengih. Aku menjeling, ye lah tu. Aku masak kayu dan batu betul-betul baru tahu!

    "Nanti kita ke Hallim Park kan? Awak okey tak?"soalku.

    "Boleh je. Kita ada kenderaan hendak ke sana ke?"soalnya kembali.

    "Ada, Jung Hwa pinjamkan kereta dia kepada kita" kataku kepadanya. Dia hanya mengangguk namun pandangannya masih tidak lepas dari wajahku.

    "Kenapa awak pandang macam tu?"soal aku.

    "Sebab sayang lawa sangat hari ini. Tambah-tambah lagi rambut sayang yang lebat tu. So beautiful. Abang bersyukur sebab Ira menutup aurat dengan sempurna. Segala perhiasan Ira hanya untuk pandangan abang. Tak seperti orang-orang disini, semua hendak ditayangkan. Dah tiada keistimewaan bagi suami mereka nanti" ujarnya dengan panjang lebar.

    Aku tersenyum malu. Benar kata naqibah aku dulu. Suami kita akan lebih menghargai jika kita menutup aurat dan menjaga pergaulan dengan sempurna sempurna. Menurutnya lagi seorang suami akan merasa sangat bahagia biarpun hanya dapat memegang tangan isteri yang sah menjadi miliknya. Sebab itulah kita sebagai muslimah kena mejaga diri dan melatih diri untuk menjadi mahal agar nikmatnya ada apabila masa yang menghalalkan apa yang haram itu tiba.

    "Tapi kalau sayang pakai baju yang abang belikan untuk sayang tadi lagi cantik"katanya sambil tersengih.

    Terus senyumanku mati. Mengada-ngada! Tak mungkin aku pakai baju yang sudah bukan seperti baju itu. Terdedah yang melampau! Memanglah wajib wanita berhias untuk suami tetapi untuk memakai baju yang sedemikian belum sampai seru lagi. Tunggulah bila aku dah bersedia. Aduhai, meremang bulu roma aku dibuatnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Adeeba Eryna