Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 025

Akmal membuka peti pesanan ringkas di telefon bimbitnya, melihat semula mesej yang dihantar ke telefon bimbit buatan dari negara China kegemarannya itu. Disebabkan itu, Akmal terasa kesakitan pada mata dan leher disebabkan tekanan yang ditimpa, bukan oleh sesiapa tetapi dirinya sendiri. Dia sendiri yang mahu menolong. Dia sendiri yang ingin membantu. Padanlah muka Akmal.

            Perut Akmal membunyikan lagu techno secara senyap menyebabkan dia menekan-nekan perutnya berulangkali. Kelaparan yang teramat sangat. Melihatkan Jamal yang sedang tidur nyenyak sambil mengeluarkan air liur, Akmal tidak sanggup untuk membangunkan sahabatnya itu semata-mata demi kemahuan nafsu perutnya. Kali ini, Akmal mahukan makanan yang ringan sahaja seperti mi goreng, mihun goreng atau seumpamanya. Oleh itu, restoran mamak bukanlah pilihannya malam ini kerana makanan bergoreng buatan mamak agak tidak mengenai selera tekak Akmal. Jam pula menunjukkan waktu 11:30 malam. Harap-harap masih ada kedai-kedai Melayu yang masih beroperasi.

            Mujurlah Restoran Mak Jah masih beroperasi. Seperti yang dijangkakan, pelanggan di restoran itu tidaklah dikerumuni ramai kerana kebanyakan orang yang masih aktif di waktu malam ini lebih gemar melepak bersama segelas air minuman di restoran mamak. Namun tidak bagi Akmal, tujuannya semata-mata untuk mengisi perut dengan isian yang tidak terlalu berat.

            Akmal melangkah ke dalam kedai sambil mencari-cari di manakah letaknya televisyen di kedai itu. Sebaik sahaja dia mengenalpasti lokasi perlabuhan punggungnya, Akmal terserempak dengan sekujur tubuh di sudut jauh dari lokasi televisyen itu digantungkan yang tidak asing baginya. Serba-salah memilih di antara dua pilihan, akhirnya Akmal memilih lokasi kenalan tersebut sedang beristirehat.

            “Boleh duduk sini?” tegur Akmal kepada Nur, berdebar takut-takut hasratnya ditolak.

            Nur membalas dengan pandangan yang tajam, melihat ke arah Akmal dari kepala sehingga ke kaki lalu menganggukkan kepala sebagai tanda membenarkan Akmal untuk duduk di mejanya.

            “Dah habis makan ke?” soal Akmal,mencuba untuk bersikap mesra melihatkan tiada pinggan atau gelas di hadapanNur.

            “Belum. Baru sampai. Order pun belum”, balas Nur bersahaja seolah-olah tidak sudi untuk menjawab soalan Akmal.

            Akmal membelek-belek menu yang kelihatan usang itu. Terlalu banyak menu mi dan mihun yang diletakkan. Pada pendapat Akmal, selalunya pasti akan ada satu keistimewaan di setiap restoran dan kedai makan yang menjadi pencetus empunya diri untuk memulakan perniagaan berasaskan makanan.

            “Apa yang sedap kat sini, hah?” Akmal bermonolog sendirian sambil merenung menu itu. Ternyata berbeza dengan menu yang dipaparkan pada waktu makan tengahari tadi.

            “Kat sini sedap nasi goreng paprik. Penuh lauk”, balas Nur yang sedang khusyuk melihat warta berita tengah malam.

            Berkerut dahi Akmal. Dia berhajat untuk mengambil makanan yang ringan-ringan sahaja. Tidak disangka pula Nur mengesyorkan hidangan nasi untuknya. Mahu tidak mahu terpaksa juga dipesan makanan tersebut untuk menjaga hati gadis itu.

            “Lewat makan Nur. Tak takut gemuk ke?” seloroh Akmal.

            “Saya dah dua tahun makan malam macam ni. Makin kurus ada lah”, balas Nur sinis.

            Terkedu Akmal mendengarkan jawapan daripada Nur. Mungkin disebabkan kadar metabolisma Nur yang mencernakan makanan lebih cepat berbanding orang biasa. Buktinya, berat badan Akmal semakin naik disebabkan oleh tabiat pemakanan seperti itu.

            “Selalu Nur lepak kat sini?” tanya Akmal lagi dengan perasaan ingin tahu.

            “Bukan lepak. Selalu makan saja kat sini. Lepas makan, baliklah.”

            Setiap jawapan Nur memang menguji kesabaran pendengarnya. Rasa menyampah akan hadir jika seseorang itu tidak senang mendengar balasan daripadanya. Sebaliknya, Akmal semakin tersenyum kerana inilah kali pertama dia dapat berbual-bual secara peribadi selain daripada urusan perniagaan. Masih tidak pasti apakah kata ganti diri yang akan digunakan oleh Akmal. Adakah ‘aku’, ‘saya’, ‘orang’ atau membahasakan diri dengan namanya terus.

            “Tak ada study group hari ni? Macam baru balik kuliah saja”, Akmal menduga.

            “Saya tak ada group study. Study sendiri kat library lagi best. Tak ada orang kacau.”

            “Saya tak boleh belajar seorang sebab saya lambat pick-up. Kurang cekap untuk menghafal. Kalau orang lain ajarkan lebih senang saya simpan dalam memori otak saya”, kata Akmal, memilih untuk menggunakan kata ganti diri ‘saya’.

            Tiba-tiba pelayan menghidangkan makanan di atas meja mereka dari arah belakang. Perbualan mereka terputus tatkala melihatkan makanan yang dihidangkan satu per satu. Terkejut Akmal melihatkan lauk paprik yang penuh dengan sotong dan potongan ayam bersama tiga ekor udang bersaiz sederhana. Tidak berkelip mata Akmal melihatkan makanan yang dipesannya.

            “Mak aih! Macam bukit!”, bisik Akmal di dalam hati.

            Akmal menjeling ke arah makanan yang dipesan oleh Nur. Ianya adalah sepinggan maggie goreng. Satu renungan tajam telah diberikan tepat ke arah Nur seolah-olah dirinya telah dipermainkan oleh gadis itu.

            “Apa?!” bentak Nur kepada Akmal sebagai tindakbalas lirikan Akmal yang tajam itu.

            Akmal lantas melarikan pandangan matanya ke arah pinggan nasinya kembali. Takut-takut jika Nur akan kembali menjauhkan diri daripadanya.

            “Sedapnya!” bisik Akmal lagi apabila sesudu nasi yang dibasahi kuah paprik menyentuh lidahnya.

            “Sedap kan!”, kata Nur dengan nada seolah-olah menyindir Akmal yang mempertikaikan makanan yang disyorkannya. Nur tersenyum sehingga menampakkan giginya yang putih. Langsung terus dilupakan perasaan curiganya tadi terhadap Nur melihatkan kemanisan gadis itu ketika sedang tersenyum.
Previous: Ep. 024
Next: Ep. 026

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree