Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 005

            “Mal, bangun! Maghrib ni.”

            Teguran Jamal seperti tsunami yang melanda tepian pantai ketikamana pelancong sedang berjemur seperti ikan masin. Serta-merta Akmal terjaga dari lena sambil merenung jam yang menunjukkan waktu.

            “Pukul 8 malam!” Akmal terkejut lantas bergegas mencapai tuala dan menuju ke bilik air di hujung koridor tingkat asrama itu.

            Beberapa ketika kemudian, Akmal menyandar pada dinding selepas menunaikan kewajiban seorang manusia bersyukur terhadap Penciptanya. Akmal lantas mencapai telefon bimbit lalu menulis beberapa nota berupa diari hariannya. Jamal sedikit teruja melihat kelakuan sahabatnya itu yang ternyata berlainan dari kebiasaannya.

            “Awatnya hang senyum sorang ni? Kongsi la”, rayu Jamal yang turut menyandar di dinding. Tiba-tiba sahaja slanga bahasa ibundanya terkeluar.

            “Kongsi apa?” balas Akmal, acuh tidak acuh.

            “Aku nampak kau macam ceria semacam je. Sama macam waktu kau cuba nak tackle Nurul dulu.”

            Terkedu Akmal selepas mendengar nama yang sudah lama tidak menjelma di benak. Lalu Akmal membetulkan labuhan punggungnya dan meletakkan telefon bimbit di kesamping.

            “Kau ni, Jayme. Aku dah lama lupakan peristiwa ngeri tu. Kau pakat sebut pula nama keramat tu lagi.”

            “Aku bukan apa. Kau suka pendam sorang-sorang. Tu pasal Nurul terlepas kat orang lain.”

            “Tolonglah cakap benda lain. Sekarang ni dia dah kahwin pun. Jangan ungkit cerita lama.”

            “Kalau kau cerita kat aku masa tu,mesti aku dapat tolong kau”, luah Jamal. “Aku rasa serba salah dengan kau sampai sekarang”, tambahnya lagi, nada sedih.

            “Alahai! Bukan jodoh aku. Nak buat macam mana.”

            “Kau kan tahu, kitorang sepupu. Bapa dia suruh aku cari calon untuk Nurul tu sebelum dia buat A-Level.”

            “Aku tahu. Masa tu kita bukan rapat sangat.” Akmal mencebikkan mukanya.

            “Sebab tu aku pernah berjanji pada diri sendiri akan tolong kau carikan calon isteri untuk kau kalau ada peluang.”

            “Wo, wow! Calon isteri? Jauh sangat tu kau melangkah. Baru episod satu je kau dah berangan happy ending pula. Aku baru susun strategi ni.”

            “Count me in! Aku boleh jadi pelakon tambahan”, borak Jamal dengan mendabik dada.

            Akmal tersenyum sahaja dengan nekadJamal itu. Ketika sedang rancak mereka berbual, bunyi azan Isyak berkumandang di udara. Dengan berbekalkan air wuduk yang masih ada, mereka mendirikan solat berjemaah bersama-sama.

 

Knok!Knok! Bunyi ketukan di pintu bilik mereka selepas sahaja mereka selesai bersolat. Dengan sejadah yang masih terbentang di lantai, Jamal meluru menuju ke muka pintu.Bimbang sekiranya Penyelia Asrama yang muncul, Akmal sempat menutup peralatan elektroniknya yang berada di atas katil dengan selimut dan bantal.

            “Assalamualaikum, Akmal ada?”, sapa tetamu itu.

            Wajah yang agak asing untuk mereka berdua. Wajah tetamu itu agak kehitaman namun terdapat lesung pipit di kiri pipinya. Tubuh yang sangat kurus dan ada bunyi dialek Pantai Timur dari suara sapaannya.

            “Ada. Jemput masuk”, pelawa Jamal dengan membuka pintu seluas-luasnya.

            “Saya datang atas recommend Abang Iqbal”, kata aluan tetamu itu sebelum memperkenalkan diri sambil berdiri.

            “Iqbal? Fakulti Pergigian tu ke?” Jamal menyampuk.

            “Duduklah. Atas lantai je sebab sofa tak sempat beli”, Akmal cuba berjenaka untuk mengenali watak tetamu itu.

            Tetamu itu sekadar tersenyum lalu bersila dengan tersipu-sipu. Perwatakan yang lembut itu segera ditangkap oleh Akmal dan Jamal.

            “Nama saya Ridwan. Panggil saya Wan sahaja”, tutur Ridwan dengan penuh tersusun dan nada yang merendah diri.

            “Apa yang saya boleh bantu?” kata Akmal secara terus dan ringkas.

            “Saya ada masalah sikit tapi dengar kata daripada Abang Iqbal, Abang Akmal boleh bantu.”

            ‘Abang’? Meremang bulu roma di leher Akmal dan Jamal mendengarkan gelaran tersebut. Agak jarang dia dipanggil abang meskipun oleh adiknya sendiri. Sedangkan Akmal juga jarang memanggil orang yang lebih tua daripadanya dengan gelaran itu.

            “Panggil saya Mal saja. Yang ni Jayme”, balas Akmal sambil mengkomersialkan nama ‘Jayme’ kepada masyarakat umum. Jamal mengangkat tangan kepada Ridwan kerana diperkenalkan oleh Akmal.

            “Saya terus terang kat sini. Saya berkenan kat seorang wanita ni...”, kata Ridwan sambil menunjukkan gambar dari telefon bimbitnya kepada Akmal.

            Akmal melihat gambar tersebut lantas mengeluh. Jamal yang menjengah dari belakang Akmal juga mengeluh.

            “Aduh! Susah ni”, keluh Akmal didalam hati.

            Akmal melihat Ridwan daripada bahagian kaki hingga ke atas kepalanya. Agak sulit Akmal untuk menerima tugasan itu. Akmal sedang berkira-kira di dalam otaknya samada dia perlu menolak atau menyahut cabaran itu. Sedang Jamal pula telah menyandar ke dinding sebagai isyarat berundur dan menyerah diri.
Previous: Ep. 004
Next: Ep. 006

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree