Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 022

Bunyi loceng sekolah berbunyi tanda tamatlah sudah sesi persekolah pada hari itu. Jam menunjukkan tepat 1:05 tengahari. Jantungku berdegup kencang seolah-olah telah berlari merentas desa sejauh 15 kilometer. Pakaian sekolah berbaju putih masih kemas tersemat di celahan seluar yang masih bersih. Songkok hitamku pula masih hitam tanpa sebarang debu yang tampak melekat di sisinya.

            Aku menanti sebatang tubuh berlalu keluar di tepi pintu pejalan kaki sekolah. Tangan yang memegang sekeping surat tidak bersetem itu aku sembunyikan di antara punggung dan beg sekolah. Degupan jantung yang pantas semakin deras apabila melihatkan semakin ramai murid yang keluar seorang demi seorang.

            “Ah! Awak tunggu!” laung aku sedikit kuat apabila wajah yang dinanti telah pun muncul.

            Seorang gadis kurus dengan ketinggian kurang 10 sentimeter daripada aku sedang mendakap fail biru di dada. Gadis itu tidak berhenti. Melihatkannya dia masih ketawa, aku merasakan mungkin dia tidak mendengar sapaanku. Namun, temannya yang sedang berjalan beriringan dengan gadis itu pastinya perasan kehadiranku melihatkan jelingan tajam matanya itu. Hatiku meronta kegeraman melihatkan perangai perempuan dengan perwatakan ‘ala-ala jantan’ itu.

            “Nurul! Sekejap, boleh saya nak jumpa awak sekejap kat sana”, pintaku kerana kami berada di tengah-tengah ruangpejalan kaki.

            Tanpa bersuara, Nurul menurut aku ketepian. Malangnya, sahabatnya juga turut menyusuri. Pandanganku yang sinis aku tujukan tepat ke arah gadis kecil yang mengekori di belakang Nurul. Namun, balasan sebuah tumbukan diacukan kepada aku secara bersembunyi oleh gadis itu. Tersentak aku sedikit terkejut ke sampingan melihatkan tindakbalas itu yang jauh dari dugaanku.

            “Saya ada benda nak beri pada awak”, kataku sambil menyerahkan sepucuk surat bersampul putih tanpa mempedulikan kehadiran sahabat Nurul yang menjadi kera sumbang di situ.

            “Sibuk betul budak tomboy ni. Aku sepak karang!” bentakku di dalam hati.

            Nurul mengambil surat tersebut tanpa sebarang riak muka yang kelihatan. Hatiku berbunga melihatkan sedikit senyuman yang terpancar di bibir Nurul yang berwajah putih manis itu. Jelas kelihatan lesung pipit yang menghiasi pipi gadis itu. Berbeza sungguh dengan perempuan tomboy yang sedang berdiri di sebelahnya. Dengan rambut yang tidak disanggul rapi menampakkan rambut-rambut mati yang tercacak berdiri di kala matahari sedang memancar tepat di atas kepala.

            “Jom, Nurul. Nanti kena tinggal bas pula”, kata sahabat Nurul itu yang berjaya menaikkan darah aku. Selalu sahaja mencuba untuk menggagalkan operasi cinta aku.

            “Penyibuk punya budak. Kau siap nanti!” Aku mengeluarkan jari telunjuk lalu menujukan ke arah gadis kecil di sebelah Nurul yang sedang menoleh ke arahku.

            “Ini amaran aku. Ingat!”, aku memberikan amaran lagi di dalam bentuk isyarat yang pastinya difahami oleh setiap orang.

            Nurul kembali berjalan bersama murid-murid yang lain. Aku memerhatikan riak tubuh Nurul dari belakang. Surat yang diberikan olehku telah dibuka dan kemudian dirampas selepas beberapa saat oleh sahabatnya itu. Lalu gadis tomboy itu menoleh kebelakang sambil menghayunkan penumbuk buat kali kedua ke arahku. Tidak semena-mena surat itu telah dibuang ke dalam longkang di kiri pejalan kaki itu.

            “Nurul! Jangan, Nurul!” jeritku perlahan. Air mataku mencurah jatuh ke pipi lalu aku berteleku sedih kerana diperlaku sedemikian rupa.

 

Tubuh Akmal digoncang kuat ketikamana dia sedang tidur dibuai mimpi. Mata yang kecil terbuka sedikit demi sedikit lalu menampakkan sekujur tubuh berjubah putih sedang berhadapan dengannya. Akmal terperanjat dan tersentak ke belakang lalu terhantuk ke dinding batu di belakangnya.

            “Aduh!” Akmal mengaduh kesakitan sambil memegang kepalanya yang sedang kepeningan disebabkan hentakan yang kuat.

            “Kau dah kenapa? Mengigau teruk macam tengah berkawat saja sampai angkat tangan kaki semua. Hilang khusyuk solat subuh aku”, rungut Jamal kepada Akmal yang masih dalam keadaan separa sedar.

            Akmal tidak menjawab. Dia sedang menyesuaikan diri dengan keadaan sedarnya daripada mimpi buruk tadi. Kepala yang sakit disebabkan hantukan kuat itu digosok perlahan-lahan. Apa yang dirasakan sebentar tadi seakan-akan benar dan bukannya mimpi.

            “Astaghfirullahala’zim”, ucap Akmal di saat tersedar dari mainan syaitan yang berusaha untuk melewatkan anak Adam daripada mengingati Tuhannya di kala fajar.

            Tanpa sebarang suara Akmal mencapai tuala lalu bergegas ke bilik mandi. Jamal yang sedang berdoa di tikar sejadah terpinga-pinga sambil menyusuri tindak tanduk Akmal itu. Hilang habis konsentrasi Jamal pada solat subuhnya di pagi itu.

Previous: Ep. 021
Next: Ep. 023

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree