Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 031

Selang dua pintu dari bilik ibubapa Jamal...

 

            “Jayme! Aku tak boleh tidur ni! Kau ada komik ke apa yang boleh jadi bedtime story?” Akmal mengeluh kerana sukar tidur di rumah yang asing baginya.

            “Apa kau minta malam-malam ni, Mal? Kau kira je la bulu kambing ni. Nah!”, Jamal melempar bantal peluk berbentuk seekor kambing.

            “Ini biri-biri. Bulu pun macam mi segera. Macam mana nak kira? Huh...”, balas Akmal melemparkan kembali kepada empunya kambing itu. “Busuk pulak tu! Ceh!”, tambahnya lagi.

            “Memang la busuk. Kau pernah nampak kambing mandi kah?”, seloroh Jamal.

            “Jangan main-main, Jayme. Esok aku nak balik kampung ni. Terlelap tengah memandu karang...”

            “Yelah. Nanti ramai pula orang cari aku nak minta kaunseling kau, Mal. Tunggu kejap”, kata Jamal sambil tangannya merayap ke bawah katil dan mengeluarkan sebuah kotak kasut. “Nah, ini je yang ada”, kata Jamal lagi, menghulurkan kotak itu kepada Akmal.

            Akmal bingkas bangun untuk menghidupkan lampu meja lalu melihat isi kandungan kotak tersebut. Alangkah terperanjatnya Akmal melihatkan judul buku tersebut. Walaupun ianya sebuah komik, namun judulnya berjaya menggelikan hati Akmal. Ingin sahaja dia ketawa terbahak-bahak tetapi niatnya berjaya dipendamkan. Almaklumlah ini rumah keluarga Jamal. Takut-takut mengganggu ibubapanya yang sedang beradu.

            “Aku ingatkan komik Doraemon ke, Dragonball ke apa. Rupanya...”

            “Diam! Baca sajalah. Jangan kacau aku tidur”, balas Jamal, bernada tinggi.

            “Ini komik 'shojo'. Komik budak perempuan. Dia lukis lelaki pun macam perempuan”, seloroh Akmal lantas menekup mulut dengan bantal untuk ketawa. “Fruit Basket...” ketawa Akmal lagi.

            “Kalau tak suka, jangan baca. Aku dah ngantuk. Malas nak layan kau.”

            Jamal menekup kepala dengan bantalnya untuk menghalang silauan daripada lampu meja itu. Akmal lalu kembali ke tempat tidurnya sambil mengambil jilid satu daripada set lengkap komik kepunyaan Jamal itu.

 

Kokkokokokkkkk!! Bunyi sahutan ayam saling bertandingan suara menandakan waktu subuh hampir tiba. Bak kata cendekiawan, kokokan ayam menandakan kelibat sekumpulan Malaikat manakala salakan anjing pula menandakan kelibat sekumpulan Jin. Berzikirlah pada kokokan ayam dan ta’awuz pada salakan anjing. Allahua’lam.

            Jamal bangun setelah mendengarkan azan subuh dari surau berhampiran. Melihatkan Akmal masih lagi terlena dibuai mimpi, Jamal berjalan dengan langkah sesenyap mungkin walaupun dia mengetahui bahawa lantai kayu itu pasti akan berbunyi. Sedangkan langkah seekor kucing pun tidak terelak, inikan pula Jamal yang jauh lebih berat badannya.

            Kala subuh di rumah ibubapa Jamal tersangat sejuk udaranya. Hakikatnya rumah itu ada di tengah-tengah kota tetapi sedikit pun tidak mencerminkan suasana bandar. Akmal terkejut mendengarkan jam loceng yang telah ditetapkan untuk berbunyi pada pukul 6 setiap pagi. Akmal menggosok-gosok mukanya dengan tangan lalu duduk berteleku seketika. Perasaan mengantuk masih menghantui diri Akmal.

            “Aduh, dapat tidur 3 jam je”, keluh Akmal sendirian sambil mencari-cari kelibat Jamal yang hilang entah ke mana.

            Dengan langkah yang berat, Akmal mencapai tuala lalu menuju ke arah dapur iaitu di mana bilik air tetamu berada. Rumah yang sederhana ini sangat selesa di hati Akmal. Suasana paginya yang sejuk ditambah pula bunyi kokokan ayam peliharaan ayah Jamal sangat menggamit suasana seperti di kampung. Rumah Akmal di Negeri Sembilan pun hanyalah sebuah rumah taman. Namanya sahaja taman tetapi pokoknya yang ada pun sebatang dua sahaja. Jangan kata ayam, kucing pun tidak dibenarkan untuk dipelihara kerana birokrasi jiran tetangga yang kuat membebel. Semuanya demi kebersihan taman perumahan, katanya. Kalau sudah pengotor, tetap juga pengotor, tidak perlu beralasan.

            “Woi, apasal tidur depan bilik air ni?”, tempelak Jamal, berkemban.

            Akmal tidak menjawab, sekadar senyum lalu melintasi Jamal memasuki ke bilik air. Meremang bulu roma Akmal apabila menyentuh permukaan kolah yang ternyata sejuk seperti air batu. Mahu tidak mahu, dia terpaksa juga mandi untuk membersihkan diri sebelum memulakan permusafiran. Sesudah itu, Akmal solat subuh dan mengemaskan pakaian lalu bersiap untuk pulang ke kampung. Namun niatnya terhalang seketika apabila dipelawa oleh ibu Jamal untuk bersarapan pagi dahulu sebagai pengalas perut.

            Tepat jam 8.30 pagi barulah Akmal memulakan perjalanan yang mengambil masa lebih kurang satu jam setengah itu. Sebaik sahaja kereta Akmal keluar dari perkarangan rumah tersebut, tiba pula sebuah kereta dari haluan bertentangan telah memarkir di tempat parkirnya kereta Akmal tadi. Hairan susuk tubuh yang baru tiba itu apabila melihatkan semua penghuni di rumah tersebut sedang menyambutnya di birai tangga.

            “Kenapa semua tunggu Aina balik ni?”, soal Aina, adik Jamal, kepada semua yang berada di situ.

            “Baru saja kawan Abang kamu balik. Sesaat lepas”, jawab Si Ibu.

            Aina tersenyum sahaja lalu bersalaman dengan setiap orang yang berada di situ. Dengan langkah yang longlai, Aina bergerak masuk ke dalam biliknya. Belum pun sampai seminit Aina masuk ke dalam biliknya, dia bergegas mendapatkan Jamal dengan perasaan gelisah dan sedikit marah terpancar di mimik mukanya.

            “Kenapa pula ni?”, Jamal berteka-teki.
Previous: Ep. 030
Next: Ep. 032

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree