Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 006

Akmal membetulkan kedudukan punggungnya di atas tikar mengkuang yang dibawanya dari kampung. Jamal menggaru-garu telinganya yang tidak gatal. Mereka seperti cacing kepanasan, tidak senang duduk.

            “Kenapa? Ada masalah?” tanya Ridwan kepada Akmal dan menjeling kepada Jamal yang tidak mengendahkan lalu mendongak ke siling.

            “Emm...” kelu lidah Akmal untuk seketika. “Nak tanya sikit, kat mana Wan kenal budak perempuan ni?” soal Akmal,sedikit serius.

            Ridwan ketawa kecil lalu menjawab, “Ceritanya lucu sikit. Masa saya datang kantin Engineering minggu lepas, saya terserempak dengan gadis ni.” Ridwan tersenyum pula. Mukanya sedikit kemerahan kerana menahan perasaan malu. Akmal dan Jamal hanya memerhatikan tanpa mengeluarkan sebarang bunyi.

 

Imbas kembali, seminggu yang lalu...

Kantin Kejuruteraan, Tingkat 5, Blok 3,Menara Berkembar.

 

Suasana pada waktu tengahari di kantin seumpama medan peperangan. Bunyi besi bekas makanan berlaga seperti pedang sedang bersabung. Suara mahasiswa dan mahasiswi bergema seperti sebuah bom yang meledak tidak henti-henti.

            Ridwan sedang beratur di dalam barisan panjang. Setelah hampir setengah jam, Ridwan semakin hampir ke kaunter makanan dengan hanya lebih kurang lima orang pelajar lagi di hadapannya. Perutnya yang lapar sedang berbunyi dapat disembunyikan dibalik keriuhan di tempat itu.

            Tiba-tiba datang sekumpulan tiga orang pelajar perempuan bertegur sapa dengan seorang gadis di hadapan Ridwan. Namun perbualan mereka tidak menunjukkan sebarang tanda akan reda. Ridwan telah menyedari bahawa itu adalah suatu taktik untuk memotong barisan yang panjang. Sekarang bilangan orang di hadapannya telah bertambah menjadi lapan orang.

            “Hoi, pompuan! Kalau rasa nak makan nasi hari ni, pergi beratur belakang. Kalau tak, makan penumbuk pula karang”, jerit seseorang di belakangnya, gadis A.

            “Ewah, ewah! Suka hatilah. Kawan kitorang dah cop tempat ni dulu”, balas gadis yang dilabelkan sebagai gadis B. Sementara gadis C dan D pula mencekak pinggang.

            Ridwan yang tersepit di celah-celah medan perbahasan menjadi tidak keruan. Pergaduhan di antara wanita ini tidaklah layak untuk dirinya masuk campur. Perang mulut masih tercetus sedang dia masih tidak berganjak ke mana-mana.

            “Okay, Cik. Cik seorang ambil tempat saya. Saya boleh keluar beratur di belakang”, kata Ridwan yang cuba untuk keluar dari situasi yang tegang. Namun, kolar bajunya telah ditarik oleh seseorang daripada meneruskan perjalanan.

            “No way, kau nak bagi chance kat perempuan gedik ni?”, kata gadis A, kurang berpuas hati. “Korang nak ke perempuan gedik tiga orang ni potong barisan kat sini?” soal gadis A kepada kawanan orang yang sedang beratur di belakangnya dan sedang kelaparan.

           “Belah la woi! Beratur la woi! Lahabau punya pompouan!”, kata-kata kesat yang dikeluarkan oleh orang ramai di situ. Dengan wajah yang malu dan geram, gadis B, C dan D berlalu tanpa sebarang penghasilan.

            Ridwan kagum dengan keperwiraan gadis A itu. Rasa laparnya serta-merta hilang bersama kepergian gadis-gadis tadi. Gadis A lantas menjeling ke arah Ridwan dengan renungan yang tajam.

            “Kalau nak tunjuk baik pun, janganlah pada perkara yang tak baik”, luah gadis A itu tepat ke muka Ridwan.

            Mata Ridwan terbelalak dan terkesima. Sifat tegas inilah yang kekurangan pada diri Ridwan. Anehnya, dia tidak berasa terhina. Malah dia bertekad untuk mengenali gadis itu pula.

            “Jalanlah! Aku lapar ni. Aku telan kau karang!” bentak gadis A kepada Ridwan yang terpinga-pinga.

            Terbantut niat Ridwan untuk bertanyakan nama gadis itu lantas cepat-cepat mengisi kekosongan di hadapannya. Hatinya terus berbunga dan berkembang sehinggakan dia tersalah untuk memesan makanan. Mi rebus yang dihajati, mi sup pula yang tiba. Mahu tidak mahu Ridwan terpaksa menjamah jua kerana perutnya semakin menjadi-jadi bunyian orkestranya. Dia mencari kerusi yang kosong namun cubaannya gagal dan terpaksa bercangkung di kaki lima bersama-sama teman yang senasib dengannya.

            Gadis A berlalu di hadapan Ridwan tetapi nasibnya lebih baik kerana seseorang telah mengosongkan sebuah kerusi secara kebetulan. Ridwan berpura-pura melihat jam di telefon bimbitnya padahal mod kamera telah diaktifkan. Gambar gadis A telah berjaya ditangkap dan matlamat baru telah diterapkan ke dalam senarai 'mesti-buat' oleh Ridwan.

            “Aku perlu mengenali gadis ini. Mesti!”, nekad Ridwan di dalam hati sambil menghirup sup yang kurang diminatinya itu.

            Ridwan tersenyum sendirian.Inilah pengalaman yang tidak pernah dirasainya sepanjang dia beratur di kantinnya yang terdiri daripada pelajar jurusan kedoktoran. Suasana di sini lebih ‘meriah’ dan penuh dramatik serta helah-helah yang menjangkaui akal fikiran manusia sepertinya yang lebih berdisiplin.
Previous: Ep. 005
Next: Ep. 007

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree