Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 029

            “Kau tak tahu, Mal. Aku dibesarkan dengan mengagungkan Orang Barat. Makan guna sudu dan garfu. Masuk rumah pakai kasut. Segalanya serba kemodenan dIsebabkan ayah aku dahulu bekas duta di Kedutaan Amerika Syarikat.”

            Akmal mengangguk faham. Terselit perasaan simpati di hati Akmal melihatkan kawannya itu hidup di luar pengaruh agama dan budaya asalnya. Mujurlah Zaki masih mempunyai kesedaran untuk berubah ke arah yang lebih baik. Pastinya ada sesuatu perkara yang menyebabkan perubahan ketara tersebut dan Akmal dapat menjangkakan puncanya.

            “Sebenarnya aku tak ada niat pun nak berubah....”

            Aik! Akmal menjadi keliru dengan kenyataan Zaki.

            “Maksud aku, niat aku asalnya nak jadikan Sufiah tu isteri aku nanti. Kira okay lah berbanding tiada. Tapi bila aku tengok balik dalam cermin, aku pun terfikir: Layakkah aku untuk mengahwini gadis itu sedangkan aku masih berwatakan seperti Orang Barat?”

            Akmal menggosok-gosok pangkal lehernya lalu membasahkan rongganya dengan beberapa teguk air bandung dan diakhiri dengan seteguk air suam. Telinga Akmal tetap setia mendengar luahan hati Zaki. Bezanya luahan hati kali ini kelihatan lebih ceria berbanding beberapa minggu yang lalu ketikamana dia kehilangan Christie.

            “Aku selalu lepak dengan Sufiah kat perpustakaan. Boleh dikatakan setiap hari sepanjang waktu peperiksaan. So, makin lama aku makin memahami sifat gadis ini. Memang betul apa yang kau cakap dahulu. Daya tarikannya bukan pada mukanya tetapi sifatnya.”

            “Kau nampak apa?”, sampuk Akmal yang lama membisu sebagai tanda tindakbalas.

            “Kami belajar di sel single kat perpustakaan dari waktu pagi sehingga ke petang. Tapi, sekalipun aku tak pernah nampak dia menguap atau mengantuk. Setiap kali bunyi azan, dia akan terus ke surau. Waktu balik pun dia singgah ke surau dahulu barulah ke tempat lain.”

            Wow! Nampaknya Zaki ini terlalu obses dengan Sufiah. Setiap perlakuannya dituruti seperti seorang stalker. Agaknya tentu Sufiah perasan yang Zaki sering mengikutinya dan telah menyampaikan dakwah secara halus. Ligat benak Akmal memikirkan 'permainan' mereka itu.

            “Mula-mula dahulu, aku berhajat untuk mem-barat-kan Sufiah. Akhirnya aku pula yang di-timur-kan”, kata Zaki diselangi ketawa kecil. “Itu pasal aku nak berterima kasih pada kau. Disebabkan kau, aku jadi macam ni. Sebab itu juga aku dapat merasakan erti hidup di dunia.”

            “Lepas ni, kau akan ubah watak kolot kau macam Sufiah pulakah?” cetus Akmal pula, menduga. Akmal sebenarnya mahu Zaki juga mengubah pemikiran Sufiah yang tertutup itu.

            Zaki melirikkan senyuman lalu menjawab, “Aku tak fikir soal kahwin lagi buat masa sekarang. Dahulu aku macam tak jumpa motif hidup. Sekarang aku nak ubah diri menjadi manusia mengikut panduan agama. Nanti barulah aku fikirkan soal Sufiah tu. Kalau ada jodoh, ada lah.”

            Sejuk hati Akmal melihatkan prinsip kehidupan Zaki yang baru ini. Perubahan yang sangat pantas. Harap-harap niat Zaki itu akan berterusan dan bukan setakat ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja. 

            Nasi goreng paprik yang dipesan oleh Akmal telahpun tiba di mejanya. Zaki hanya mengenakan air sirap selasih sahaja dengan beralasan takut kesakitan perut ketika solat Isyak nanti. Demi memuaskan hatinya, Akmal bersetuju untuk solat berjemaah bersama-sama selepas ini.

 

Solat Akmal malam itu lebih khusyuk berbanding sebelumnya. Luahan hati Zaki tadi telah membangkitkan semangatnya untuk berasa tidak kalah kepada Zaki di dalam ibadah. Memang benarlah kata cendekiawan agama yang ada menyatakan bahawa, ‘Hadirlah kamu ke rumah Allah, nescaya akan melembutkan hati kamu. Jika sebaliknya, hati kamu akan semakin keras dan semakin susah untuk menerima kebaikan.’

            “Bila kau nak balik kampung, Mal?” cetus Zaki.

            “Aku janji nak singgah rumah Jayme. Lepas itu baru aku balik kampung.”

            Akmal dan Zaki berpisah dengan pelukan erat dan ucapan salam yang menandakan perubahan status daripada seorang kawan biasa kepada seorang sahabat. Sempat lagi Akmal memberikan kaunseling terakhir sebelum mereka membawa haluan masing-masing sehinggalah pembukaan semester dua bulan akan datang.

Previous: Ep. 028
Next: Ep. 030

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree