Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 009

Dengan sikap acuh tidak acuh, Jamal terus menjamah nasi kandar ayam tandori itu pula ke dalam mulutnya. Akmal memandang Jamal serba tidak kena.

            “Apa?” kata Jamal kepada Akmal yang sedang berpeluk tubuh.

            Jamal mengetahui kemahuan Akmal namun dia bersikap sambil lewa lalu menyandar di kerusi ular sawa kekenyangan.

            “Relax, brother. Aku faham apa kau nak. Tapi...”, kata Jamal sambil menghirup sisa-sia air minuman di dalam gelas. “Takkan kau nak aku bagi tahu kau nama dia. Kau kena juga kenal dia sikit-sikit sama macam Ridwan. Aku dah bagi bagi hint nama dia pun dah kira bagus.”

            Akmal tersentak dengan kata-kata Jamal. Ada betulnya juga. Ibu ketam perlulah berjalan lurus juga jika mahu anak ketam turut sama berjalan lurus. Kegeraman yang sehebat gunung berapi tadi telah membeku seperti kepulauan ais di Antartika. Nasi kandar yang masih tidak dijamah oleh Akmal tadi kemudiannya menghilang seperti pasir ditiup angin.

            “Wow, laju gila makan! Tercekik nanti baru tahu”, tegur Jamal.

            Akmal tersenyum sahaja. Perut yang menderita kelaparan kini menderita kekenyangan pula. Akmal melonggarkan tali pinggang yang melilit perutnya. Akmal menoleh ke arah gadis yang sedang berkemas dan bersiap sedia untuk pulang.

            “Jayme, kau order la makanan lain. Pizza ke apa saja. Aku belanja”, kata Akmal sambil membetulkan seluar lalu bangun menuju ke kaunter restoran di tingkat bawah.

            “Kau nak pergi mana?” tanya Jamal kehairanan.

            Akmal lantas menuju pula ke arah motorsikal Jamal lalu mengenakan topi keledar di atas kepala. Sedang menanti gadis bernama Nur itu keluar dari kekalutan di dalam restoran itu. Ternyata jangkaan Akmal meleset. Nur hanya berjalan kaki menjauhi restoran. Akmal memerhatikan gadis itu sehingga hilang di hujung perspektif. Akmal menghidupkan enjin motorsikal dan memecut terus ke arah bayangan Nur yang menghilang.

            Tiba di hujung blok bangunan komersial itu, Akmal mencari-cari kelibat Nur di tempat berhampiran. Hairannya, jejak Nur telah hilang bersama-sama gelap malam. Akmal meninjau ke arah lorong-lorong yang terdapat di kawasan itu. 

 

1 jam kemudian...


Hasilnya masih hampa. Akmal pasrah dengan ketentuanNya lalu pulang ke restoran di mana tempat Jamal ditinggalkan. Langkah yang hampa mendekati Jamal yang sedang menikmati pizza istimewa restoran itu.

             “Lamanya! Pergi mana? Sakit perut ke?” soal Jamal bertubi-tubi.

Akmal serba salah untuk menjawab samada Jamal benar-benar tidak tahu atau sekadar menunjukkan perasaan ambil tahunya. Akmal menyambar kepingan Pizza yang masih berbaki walaupun perutnya sudah tiada ruang yang masih kosong.

            “Aku follow Nur tadi. Tapi dia tiba-tiba hilang macam hantu. Padahal dia jalan kaki saja”, terang Akmal kepada Jamal, dengan nada agak sedih.

            “Laju juga budak tu berjalan”, balas Jamal. “Nantilah aku tolong kau tanya adik aku kat mana dia tinggal. Itu pun kalau kau sudi”, sindirnya pula.

            “Okay, thanks Jayme. Tak sia-sia aku belanja kau makan”, seloroh Akmal. Jamal menjeling ke arah Akmal dengan pandangan seolah-olah tidak berpuas hati.

            Malam yang penuh tragis dan dramatik itu melabuhkan tirainya dengan perut yang membuncit. Jam menunjukkan pukul 12:45 tengah malam. Perjalanan masuk ke kampus lebih sulit berbanding keluar kerana perlu menunjukkan kad pelajar dan pelekat asrama. Sekurang-kurangnya lima minit masa diperlukan untuk menyelesaikan keseluruhan sistem operasi keselamatan itu.

            Akmal masih membatu tidak mengeluarkan sepatah kata sejak di restoran tadi sehingga ke bilik asrama. Fikirannya masih ligat memikirkan beberapa kemungkinan yang berlaku di atas kehilangan jejak Nur tadi. Dia juga merasakan bahawa tahap kelenaan tidurnya malam ini akan teruk terjejas.

            “Kena tengok cerita sedih juga malam ni agaknya baru boleh tidur”, Akmal mengomel sendirian sambil melihat Jamal yang sedang ternganga tidur seperti ular sawa.
Previous: Ep. 008
Next: Ep. 010

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree