Home Novelet Cinta Hello Mr. Counselor
Ep. 018

Kereta yang dipandu oleh Akmal lebih laju dari kebiasaannya. Bunyi geseran tayar kedengaran di atas jalan yang sempit dan curam itu. Setibanya di parkir, kelibat dua orang yang sedang duduk di kerusi medan selera yang beroperasi hanya pada waktu malam. Salah seorangnya itu kelihatan seperti Jamal manakala yang lain itu pastinya perempuan disebabkan orangnya bertudung. Mungkin juga seorang lelaki yang menutup kepala dengan tuala atau serban. Akmal tidak ambil kisah tentang hal Jamal itu kerana yang pasti Zaki sedang menunggu dibiliknya.

            “Assalamualaikum”, sapa Akmal di saat membuka pintu biliknya.

            Zaki yang sedang duduk di meja belajar Jamal kelihatan sedang mendengar lagu daripada pemain mp3 milik Jamal. Melihatkan tiada reaksi daripada Zaki, lantas Akmal merapatkan diri ke arah tubuh tersebut lalu menyentuh bahu Zaki.

            “Lama tunggu? Sorry lambat”, kata Akmal.

            “Tak apa. Baru habis dua lagu sahaja”, balas Zaki, sedikit terkejut dengan kehadiran Akmal secara tiba-tiba itu.

            “Ada hal apa kau nak jumpa aku?”, tanya Akmal sambil menarik kerusinya menghadap ke hadapan Zaki.

            Zaki menekan butang ‘Pause’ yang terdapat pada pemain mp3 itu lalu membetulkan kerusinya pula ke arah yang bersesuaian. Wajah Zaki yang selamba itu langsung tidak menampakkan apa-apa masalah yang merunsingkan. Tiba-tiba riak muka Zaki masam mencuka.

            “Aku dengar kau yang recommend Bobba untuk Christie,betulkah?”, tanya Zaki dengan kening dan dahi yang berkerut. Tanpa menanti jawapan Akmal lalu bertanya lagi, “Kenapa kau buat macam itu? Apa yang kau dapat?”

            Dengan tenang Akmal membalas, “Pembetulan! Aku tolong Bobba tackle Christie, bukan aku recommend.”

            “Aku suka Christie dari awal semester lagi. Macam-macam benda aku dah buat."

            “Kau yang silap, Zaki. Christie tu anak kesayangan. Segala macam benda yang kau bagi semua dia sudah nikmati. Lagipun...”, kata-kata Akmal terhenti seketika seraya menyambung kembali ayatnya yang terputus, “...dia bukan Muslim. Aku rasa Bobba lebih layak.”

            Zaki yang tadi kelihatan tenang kini berdengus menahan marah.

            “Agama bukan isu kat sini. Anak-anak SM Nasimudin, Akim, Hazama pun kahwin bukan Melayu. Kahwin nanti isteri diorang masuk Islamlah. Apa masalah?”

            Akmal tenang melihat reaksi Zaki yang nadanya sedikit tinggi, bukan menjerit. Akmal mendakap bahu kawannya itu sambil menenangkan perasaan marahnya. Latar belakang Zaki memang ala kebaratan. Sejak kecil dia dimasukkan ke Sekolah Antarabangsa Integrasi bersulamkan matapelajaran Sains dan Matematik serta Bahasa Inggeris. Oleh itu, kefahamannya tentang Pendidikan Islam sangat cetek dan tidak diambil berat.

            Pada pendapat Akmal, Zaki lebih tertarik dengan kecantikan Christie berbanding kemuliaan peribadi seseorang. Hakikat sebenarnya memang Akmal mengetahui bahawa Zaki memendam perasaan terhadap Christie. Namun,hati kecil Akmal tidak mahu kawannya itu terikut-ikut tingkahlaku orang-orang kenamaan yang memilih pasangan hidup secara membuta tuli meskipun mereka sendiri mengetahui bahawa mereka tidak mampu mendidik isterinya dengan baik kelak. Disuruh pakai tudung pun susah, inikan pula hal-hal Fardhu Ain dan yang lainnya.

            “Sorry,Zaki. Mungkin kata-kata aku menghampakan kau.”

             Akmal menepuk-nepuk bahu Zaki. Zaki membiarkan sahaja tingkah laku Akmal terhadapnya.

            “Actually, aku nampak kau sangat bijak dan berpotensi. Diibaratkan seperti pereka hiasan dalaman yang mencantikkan segenap ruang tamu."

            Akmal berhujah secara logika pula sebagai pembuka sajian utama.

            “Aku hairan juga. Kenapa kau nak ambil barang yang pasang-siap? Seelok-eloknya kaulah pereka cipta barang itu”, tambah Akmal lagi. 'Pasang-siap' ini merujuk kepada Christie yang telah pun sedia terserrlah kecantikannya. Akmal pasti Zaki memahami maksud perumpamaan tersebut. 

            Zaki terdiam agak lama. Wajahnya lantas berubah menjadi patung mainan yang tidak berperasaan. Tiada reaksi yang terpancar samada marah atau sebaliknya. Lantas Zaki menelangkup mukanya ke atas meja Jamal di mana kedua-dua belah lengan tangannya menelangkup di atas kepala. Mungkinkah dia sedang menangis?

            Terlintas Akmal berteka-teki di dalam kepalanya tentang perangai Zaki yang sedemikian rupa. Mengapakah Zaki perlu bersusah-payah bertandang ke asrama dari rumah sewanya semata-mata untuk melepaskan geram kepada Akmal seperti itu? Akmal merasakan ada sesuatu yang membelenggu Zaki selain perkara cintanya tidak berbalas. Akmal menantikan waktu yang sesuai untuk bertanyakan soalan tatkala perasaan Zaki telah tenang dan bersedia menerima hakikat itu.

            “Aku sebenarnya dah hilang arah tuju“, kata Zaki tanpa sedikit pun mengangkatkan kepalanya.             “Kehidupan di pengajian tinggi bakal aku tinggalkan tanpa membawa sebarang memori yang manis. Aku tak mahu menjadi ulat buku semata-mata sepertimana aku jalani ketika di Sekolah Asrama Penuh dan Kolej Matrikulasi. Aku sunyi. Sangat sunyi.”

            Zaki kembali membisu beberapa ketika. Akmal merasakan itulah masanya yang sesuai untuknya membetulkan keadaan sahabatnya itu.

            “Boleh aku recommend seseorang pada kau?”

            Perlahan-lahan Zaki mengangkat kepalanya. Dahinya berkerut. Matanya kemerahan. Mukanya menunjukkan reaksi yang bercampur-campur di antara terkejut dan teruja. Akmal tersenyum sinis sambil memerhatikan gelagat Zaki seperti anak kecil yang sedang dipujuk dengan sebiji gula-gula. Akmal sedang menantikan tindakbalas yang diperlukan daripada Zaki sebelum dia meneruskan nasihat kaunselingnya.

Previous: Ep. 017
Next: Ep. 019

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Athree